Terdapat
kecenderungan yang salah dalam sikap sekelompok manusia; iaitu apabila sesuatu
pihak dimusuhi maka semua pihak yang turut berperang dengan musuh tersebut
adalah benar.
Sebab
itu tidak pelik jika terdapat pemimpin politik dari PAS, KeADILan atau DAP yang
menyertai Umno atau parti komponen BN, atau sekurang-kurangnya 'bersama' dengan
mereka selepas individu berkenaan berkonfrontasi dengan parti sendiri. Walhal
wadah yang disertai (atau bersama) itu
adalah pihak yang ditentang habis-habisan sebelum ini.
Tengku
Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam pernah saling berseteru kerana merebut
jawatan Timbalan Presiden Umno. Apabila Musa pula tiba-tiba bermusuh dengan Tun
Dr. Mahathir atas beberapa sebab, maka beliau boleh bersama dengan Tengku
Razaleigh untuk menjatuhkan Mahathir. Ia sekadar satu contoh. Banyak contoh
lain dalam pengalaman politik Malaysia.
Cinta
itu buta. Tapi bermusuh pun jadikan seseorang buta sehingga nampak semua seteru
musuh adalah pembawa kebenaran. Agak terkejut juga apabila tiba-tiba hari ini
bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein menjadi hero pujaan pihak yang menamakan
diri mereka gerakan anti Syiah, kerana kejayaan membunuh orang-orang syiah
ketika berkuasa. Kumpulan ini bergerak dengan agresif dan meluas. Mereka bukan
sahaja memerangi ajaran syiah habis-habisan bahkan memerangi sesiapa sahaja
yang tidak menyesatkan semua syiah.