Saturday, January 11, 2014

Sanggup Derita Kerana Raja... Macam Kisah Singapura Dilanggar Todak



Singapura Dilanggar Todak adalah sebuah cerita lagenda orang Melayu yang sangat terkenal khususnya di Singapura. Kisah ini tercatat dalam Sulalatus Salatin atau kitab sejarah Melayu lama. Kononnya suatu hari Singapura telah diserang oleh ikan-ikan todak dari laut sehingga ramai kalangan rakyat yang berada berhampiran pantai cedera dan mati tertikam.

Raja Singapura dengan mengenderai gajah turun menyaksikan sendiri khabar yang sampai kepadanya. Terkejutlah raja melihat ramai rakyat yang menjadi mangsa ikan todak. Timbul ketakutan dalam hatinya kalau-kalau akhirnya serangan todak boleh sampai ke istana. Nyawa raja kaum kerabat serta kerajaannya sendiri boleh berakhir dengan serangan todak.

Maka baginda menitahkan para pengawalnya mengerah rakyat agar memagar pulau Singapura dengan menjadi benteng manusia menahan serangan todak. Bodohnya rakyat kerana sanggup bersabung nyawa mengikut perintah raja. Ramai yang mati dan cedera dek tikaman todak. Jika rakyat cerdik ketika itu, mereka bersatu untuk tidak mengikut perintah raja demi keselamatan nyawa masing-masing. Tanpa sokongan rakyat, raja boleh terguling begitu sahaja. Walaupun menderhakai raja adalah amalan tidak baik dalam budaya Melayu, namun situasi di kala itu menderhakai raja lebih afdhal dari menyeksa diri sendiri dengan serangan todak.

Wednesday, January 1, 2014

Menggempur pemikiran macai



Almarhum Dato’ Fadzil Noor dalam ceramahnya gemar menggunakan istilah ‘pecacai’ yang merujuk kepada golongan yang menjadi kuli atau barua politik pihak tertentu. Mereka sentiasa mengikut telunjuk pihak tertentu dan mempertahankan segala tindak tanduk pihak yang mereka sokong itu.

Istilah pecacai kemudiannya diringkaskan menjadi macai. Istilah ‘macai’ begitu popular dalam alam siber bagi merujuk kepada penyokong tegar parti politik yang akan membela, mempertahan, mengampu dan menjilat pemimpin dalam apa saja isu. Sekalipun secara terang-terangan macai tersebut mempertahankan perkara yang salah pada parti dokongannya. Istilah macai tidak ada dalam kamus, namun selepas ini pakar-pakar bahasa boleh berbincang sama ada perlu memasukkannya dalam perbendaharaan Bahasa Melayu.

Walaupun macai wujud di kedua-dua belah pihak parti mendokong kerajaan (BN) atau Pakatan Rakyat, tetapi apabila disebut macai semua pihak lebih senang untuk menganggap ia berada di pihak BN. Memang lumrah di Malaysia para pengampu dan penjilat, yang mengharap habuan duniawi dari usaha membodek parti politik yang memerintah hanya berada di sebelah sana. Bahkan ramai antara mereka yang dibayar hanya untuk tugasan menjadi macai, khususnya macai di alam siber.

Jangan cakap “bukan salah Umno”



Makin hari makin bertambah jumlah para pemimpin politik dari pihak kerajaan yang bercakap memperbodohkan rakyat. Dah jadi satu koleksi lawak jenaka yang berenteran. Ada menteri yang bercakap, jika ayam mahal belilah daging atau ayam. Ada menteri yang cadangkan jika tak setuju kenaikan harga tol, sila guna jalan biasa tanpa tol. Waktu harga petrol naik mereka beritahu, sebenarnya harga petrol tidak naik cuma subsidi dikurangkan. Waktu harga gula dinaikkan mereka cakap, tujuannya supaya rakyat sihat tak kena penyakit kencing manis. Dalam pilihanraya kecil Sungai Limau kerajaan BN anjurkan pula jualan gula RM1.00 sekilogram. Memang hebat kelentong para pemimpin politik yang sedang memerintah Malaysia. Kalau ditakdirkan mereka masuk program Rajalawak, tergugat juga para pelawak sedia ada.

Terbaru, bekas Naib Presiden UMNO yang pernah digantung keahlian kerana didakwa terbabit rasuah dalam pemilihan parti itu, Tan Sri Isa Samad turut menambahkan koleksi kenyataan jenaka berhubung isu tekanan kos hidup yang sedang melanda rakyat. Katanya, kenaikan harga barang bukan salah Umno.
"Itu kita tak boleh elak, nak marah pada Umno sebab apa, kalau marah pada Umno harga tidak boleh turun... kos hidup (tidak boleh turun).

Selepas Bangladesh, Mesir dan Turki: mungkin PAS di Malaysia...




Dunia dikejutkan dengan hukuman mati terhadap Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh Abdul Quader Mullah.

PAS melalui kenyataan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyifatkan perbicaraan as-Syahid adalah satu momokan terhadap sistem keadilan, apabila disabitkan kesalahan dengan fakta yang meragukan dan penuh dengan sentimen politik dalaman Bangladesh.

“Jelas sekali tindakan menukar hukuman asal terhadap as-Syahid dari penjara seumur hidup adalah di atas desakan politik dalaman menerusi demonstrasi jadian seperti protes Shahbag pada Februari 2013 lalu yang menjadi tulang belakang agenda jahat kumpulan sekular yang bencikan Islam,” ujar Presiden PAS.

Hukuman gantung terhadap pemimpin parti Islam itu tidak syak lagi adalah perancangan jahat pemerintah Bangladesh yang merasa tertekan dengan kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan golongan sekular. Tahun lalu dunia di kejutkan dengan kebangkitan umat Islam Bangladesh yang berjumlah ratusan ribu keluar ke jalanraya menuntut penegakan undang-undang syariah di samping menuntut pemerintah yang ada turun dari tampuk kuasa. Mereka turun dengan tangan kosong tetapi berjaya ‘melemahkan’ polis dan tentera kerajaan kerana jumlahnya terlalu ramai. Jamaat-e-Islami dijangka membuat kejutan dalam pilihanraya umum yang berlaku selepas ini.

Isunya ialah kenaikan harga barang gila gila, BN jangan alih isu!


Percayalah bahawa perkara yang paling ditakuti oleh BN ialah isu yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai, termasuk orang Umno sendiri. Pilihanraya  umum 1999 tahap sokongan orang Melayu terhadap BN adalah paling rendah. Puncanya kerana ahli-ahli dan penyokong Umno sendiri marahkan tindakan Dr. Mahathir Mohamad yang mereka sifatkan menzalimi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas peristiwa tersebut hingga PRU 2013 tidak muncul lagi isu yang membawa kemarahan kepada orang Melayu dan Umno secara serentak. Banyak isu yang membangkitkan kemarahan orang Melayu tetapi tidak pada orang Melayu Umno.

Selepas 15 tahun berlalu, nampaknya situasi terkini menunjukkan sudah muncul isu yang membangkitkan kemarahan orang Melayu dan Umno terhadap kerajaan. Di pejabat, kedai kopi, tempat awam, di media sosial atau di mana sahaja kini, kita mudah untuk temui ahli dan penyokong Umno marahkan kerajaan berikutan tekanan kos hidup yang semakin hari semakin membebankan.

Nasib ler Melayu Pulau Pinang berkerajaankan DAP...



Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid membuawa cerita dongeng kononnya kerajaan negeri telah bersetuju menukarkan nama Pulau Jerejak kepada Pulau Mazu sempena nama tokong Mazu yang terkenal di kalangan masyarakat Cina Non Muslim. Jahara lalu meminta Ketua Menteri, Lim Guang Eng memberi penjelasan. Mudah sungguh kerja mereka, buat cerita fitnah kemudian minta pemimpin Pakatan nafikan. Sejak dahulu kini dan mungkin selamanya, begitulah perangai mereka tak pernah berubah. Segala cerita fitnah mereka dipanjangkan dalam media manakala penafian atau penjelasan dari pemimpin Pakatan dibakulsampahkan begitu saja. Akibatnya kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP, sejak mentadbir Pulau Pinang Mac 2008 lalu hingga kini berjaya digambarkan sebagai rasis Cina dan anti Melayu. Lepas satu, satu cerita sensasi politik muncul dari Pulau Pinang.

Pembangkang Pulau Pinang beriya-iya menghidupkan cerita rasis sebagai sebagai kaedah terbaik untuk mengekalkan sokongan di kalangan orang Melayu. Cerita kononnya penindasan kerajaan DAP terhadap orang Melayu Pulau Pinang dimainkan sepanjang lima tahun Pakatan mentadbir, dengan isu yang berbeza-beza. Kini diteruskan lagi untuk penggal terbaru. Berbohong kepada rakyat bukan masalah besar bagi mereka, selagi masih terdapat kalangan orang Melayu yang menjadikan parti rasuah sebagai dokongan tanpa persoalan lagi.

Kesian petani... harga barang naik mendadak, harga padi tak naik naik


Antara kejayaan yang dicatat dalam PRK Sungai Limau ialah mempertahankan kemenangan PAS. Kejayaan sampingan yang lain ialah rakyat mendapat perhatian istimewa dan luarbiasa dari kerajaan Pusat. Tidak kurang RM17 juta peruntukan yang diterima oleh rakyat dalam pelbagai bentuk.

Satu lagi kejayaan yang tercetus ialah penubuhan Badan Membela Kebajikan Petani atau Belatani yang memperjuangkan nasib pesawah padi, merupakan kelompok terbesar rakyat Kedah. Walaupun sebelum ini sudah wujud beberapa badan bertindak yang memperjuangkan nasib pesawah, namun ianya tidak dapat perhatian dari pihak kerajaan. Kerajaan buat tidak peduli dan langsung tidak melayan tuntutan mereka mungkin kerana kerajaan menganggap semua NGO itu tidak ‘menyengat’ kerajaan.

Kemunculan Belatani agak berlainan kerana ia dicetuskan dari bayangan pihak pembangkang. Kerajaan 47 peratus yang sedang berkuasa pasti tidak akan pandang sepi tuntutan NGO yang dilihat lahir dari rusuk pembangkang. Macam Anak yang memperjuangkan nasib peneroka Felda, walaupun sekecil anak namun tetap menggugat kerajaan BN kerana bayangan pembangkang di belakangnya.