Hari ini pemikiran Almarhum Dato'
Fadzil Mohd Noor diseminarkan. Memang tepat segala ilmu dan idea yang lahir
dari tokoh besar itu dibincangkan. Membiarkan pemikiran yang telah menghasilkan
sejarah perjuangan Islam di tanahair itu berlalu begitu sahaja tanpa dirujuk
kembali adalah pensia-siaan yang sangat merugikan. Sejarah perjuangan Islam
yang dibawa PAS masih belum panjang jarak masanya, belum menempuh pun satu
abad. Tokoh-tokoh yang hebat dalam jamaah mungkin tidak seramai Ikhwanul
Muslimin di Mesir, namun kehebatan tokoh yang sedikit ini mestilah dimanfaatkan
ilmu dan pemikirannya sepenuhnya.
Terlalu banyak aspek menarik dan
bermanfaat untuk dikaji dari sirnaan pemikiran Ustaz Fadzil, biarlah kita
mengutip sisi-sisi yang tersurat sahaja, itu pun cuma selembar dari ribuan
manfaat yang boleh digali.
Pencapaian
terbaik
Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor pergi
meninggalkan kita pada 23 Jun 2002. Sepanjang sejarah PAS meniti perjuangan,
Ustaz Fadzil adalah tokoh paling hebat kerana memimpin parti di saat
gemilangnya. PAS memimpin permuafakatan parti pembangkang apabila memenangi 27
kerusi Parlimen pada PRU 1999. Beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang di
Dewan Rakyat. Sehingga kini PAS belum mampu memecahkan rekod pencapaian kerusi terbanyak
itu.
PRU 1999 adalah merupakan detik paling
perit bagi Umno kerana majoriti Melayu berpihak kepada pembangkang. Tidak dapat
dinafikan bahawa penolakan Melayu terhadap BN pada masa itu ada kena mengena
dengan Anwar dianiayai, dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, dibelasah
dalam lokap serta dipenjarakan.
Ustaz Fadzil hadir dalam sidang media
pertama selepas Anwar dipecat. Ia kelihatan sangat janggal ketika itu kerana
persepsi umum adalah, pemecatan Anwar adalah persoalan rumahtangga Umno.
Terdapat anggota PAS yang tidak menyetujui kehadiran Ustaz Fadzil bersama
Anwar. Biarlah Umno bergasak sesama mereka, mengapa PAS nak campuri urusan
dalaman mereka? Ustaz Fadzil ditempelak kerana kononnya membuat perhitungan
yang salah.
Ustaz Fadzil menubuh, memimpin dan
menggerakkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) untuk mengembeling
tenaga parti-parti politik dan NGO menjadi suatu kekuatan berkesan untuk
menentang ketidakadilan parti yang sedang memerintah. Selepas ledakan
kebangkitan rakyat yang luarbiasa berhubung isu Anwar, barulah tindakan Ustaz
Fadzil dianggap betul. Ia menjadi lebih tepat apabila PAS menjadi dominan dalam
barisan pembangkang dengan memperoleh kerusi terbanyak, mampu mempertahankan
Kelantan di samping menawan Terengganu.
Jika hari ini perpaduan parti-parti
pembangkang adalah mantap, sehingga menang di lima negeri pada PRU12 dan hampir-hampir
menumbangkan BN di Pusat dalam PRU13 lalu tetapi hakikatnya permuafakatan
pembangkang itu digagaskan di masa Ustaz Fadzil memimpin PAS lebih sepuluh
tahun lalu. PAS mengadakan permuafakatan dengan parti KeADILan dan DAP yang
dianggap parti Cina rasis. Ustaz Fadzil, Datuk Dr. Wan Azizah dan Lim Kit Siang
beberapa kali menganjurkan ceramah umum bersama menjelang PRU 1999. Ustaz
Fadzil berjaya meyakinkan ahli PAS dan orang Melayu perihal pentingnya sokongan
masyarakat Cina jika mahu memerintah negara. Cuma orang bukan Melayu pada masa
itu belum berjaya diyakinkan oleh DAP untuk menyokong PAS.