Saturday, September 15, 2018

Hubungan PAS-Umno. Betulkah pihak lawan yang 'ghagaih dinding'?



Ahli-ahli dan penyokong PAS sudah tidak terasa apa-apa apabila disindir bertalu-talu oleh pihak lawan; bahawa PAS kini 'berkahwin' dengan Umno. Sudah mangli dengan tuduhan itu sejak lebih 3 tahun lalu.

Lantas, apabila Presiden Umno serta rombongan (yang dijemput) hadir ke Muktamar PAS Ke 61 di Kuala Terengganu, ianya tidak lagi menjadi berita besar. Tiada ahli PAS yang terkeliru dan melatah. Semuanya cool dan menyerah keputusan kepada Majlis Syura Ulamak dan kepimpinan PAS Pusat. Walhal Umno adalah musuh besar PAS kira-kira separuh abad.

Faktor lain mengapa tiada kecoh-kecoh dalam PAS ialah kerana puak yang kecoh dan melatah sudah melompat pergi meninggalkan PAS. Yang tinggal hanya golongan Walaun United yang memberi sepenuh kepercayaan kepada pucuk pimpinan jamaah. Baik di atas, maka baiklah di bawah. Samigna wa atogna (kami dengar dan kami taat) menjadi kunci kekuatan dan kesepaduan jamaah PAS yang sukar digugat. Sukar juga dipengaruhi oleh pihak luar.


Dari pengalaman, psikologi manusia akan terganggu apabila dituduh dengan suatu tuduhan palsu. Tapi kalau pihak yang dituduh nampak selamba saja macam 'mengiyakan' tuduhan tersebut. Maka pihak yang menuduh pula yang kelihatan terganggu psikologi. Inilah strategi perang psikologi namanya. Ada rakan-rakan dari parti lawan terkesan apabila saya bergurau dalam media sosial, "Kami yang kahwin, hangpa pulak yang naik syeikh dok ghagaih dinding."

Setakat ini, PAS dan Umno belum secara rasmi mengadakan apa-apa ikatan pun. Kemungkinan akan wujud satu bentuk kerjasama yang lebih mantap tidak dapat dinafi. Masing-masing pihak perlu buat keputusan di peringkat parti terlebih dahulu, sebab ia melibatkan persoalan besar. Ia tidaklah macam sesetengah parti di mana keputusan boleh ditentukan oleh pemimpin tertentu atau satu kumpulan tertentu sahaja dalam parti.

Apa masalahnya kalau PAS bekerjasama dengan Umno? Soalan itu menarik untuk ditanya dan dijawab. Sebelum soalan itu dijawab, pihak lawan mengajukan pula beberapa soalan dalam usaha meragukan ahli-ahli PAS. Antaranya:

1) Kami tak kisah PAS nak kerjasama dengan siapapun, tapi mengapa dulu tak mengaku. "Bang Mat dah bagitau 2 tahun dulu, hangpa tak pecaya." Jawapannya, nak mengaku dan nak percaya macam mana sebab masa tu kerjasama belum berlaku. Dalam PRU14 PAS lawan Umno dan PH. Berdasarkan undi popular, kalau pada PRU14 PAS kerjasama dengan Umno, PH pun tak merasa jadi kerajaan di banyak negeri. Sekarang baru laluan ke arah kerjasama Umno -PAS dirintis. Kalau PAS perlu buat pengakuan, maka ikut progreslah. Mana boleh baru kawan, nak beritahu dunia sudah kahwin.

2) TGNA kata, dah lama PAS nak kalahkan Umno. Saat Umno lemas, mengapa PAS hulur tangan selamatkan Umno? Jawapannya, Umno sudah pun 'mati lemas' dalam politik pada PRU14. Umno hilang kerajaan Pusat. Umno dah jadi pembangkang di Pusat sama macam PAS. Ucapan TGNA hanya relevan ketika Umno sedang berkuasa.

3) Pihak lawan mengungkit semula ucapan pemimpin-pemimpin PAS dahulu. "Kerjasama dengan Umno umpama dokong biawak hidup." "Daripada UG dengan Umno, baik bubar PAS masuk Umno." Macam-macam lagilah.

Jawapannya, semua ucapan itu dibuat sewaktu Umno jadi kerajaan. Jika Umno adalah penyamun dan zalim sebabnya ialah kerana mereka ada kuasa pada masa itu. Mereka jadi kerajaan maka mereka kuatkuasakan ISA yang zalim, bunuh penduduk Memali, tembak gas dan air kimia kepada peserta reformasi dan Bersih, sekat kebebasan media serta terbabit dalam pelbagai skandal kewangan, pemborosan dan penyelewengan. Sekarang Umno sudah hilang kuasa sebagai sebuah kerajaan maka penilaian terhadap mereka tentu tidak semacam dulu. Ayat-ayat terhadap Umno yang diungkap dahulu, sebahagiannya sudah boleh dimansuh. Macam Abang Mat Sabu memansuhkan gelaran Bapak Penyamun kepada Tun Mahathir apabila Tun sertai gabungan pembangkang dahulu.

Apabila Umno sudah hilang kuasa maka menjadi tanggungjawab terhadap kerajaan baharu untuk mengadili segala salahlaku para pemimpin Umno sewaktu berkuasa. Siasat dan dakwalah, tunggu apa lagi? Kerajaan mempunyai Peguam Negara yang sangat hebat, jalankan tanggungjawab biar semua pemimpin regim lama yang terbabit dengan penyelewengan diheret ke mahkamah. Takkan Najib seorang yang boleh didakwa?

Orang PAS pun sudah tentu mahu melihat berbondong-bondong pemimpin Umno yang terbabit salah laku didakwa dan dihukum di mahkamah. Kerana, jika berlaku tahaluf PAS-Umno PRU15 nanti maka PAS sedang bertahaluf dengan saki baki pemimpin yang bersih,  tidak terbabit dengan penyelewengan.

Mereka bertanya soalan mautlah konon-kononnya, "Mengapa parti Islam nak bersama dengan parti penyamun?"

Samun, curi, rompak, seleweng, jahat atau zalim itu adalah perbuatan buruk individu. Ia tidak menjadi dasar mana-mana parti politik di negara ini. Individu atau manusia itu boleh berubah jadi baik. Yang baik pula boleh berubah jadi jahat. Lancang mulut melabel pihak selain kita, sebagai penyamun, penjual agama, sesat.. pun adalah perbuatan tidak bermoral. Kira-kira sama tiada moral seperti penyamun juga.

Prinsip PAS dalam isu kerjasama dengan mana-mana parti politik sangat mudah; asalkan ianya menguntungkan Islam, ayuh. PAS tidak tuntut nak jadi pemimpin. Cuma mahu Islam yang memimpin.

No comments:

Post a Comment