Assalamu'alaikum semua,
Lepas Solat Jumaat semalam sempat bersantai dengan Nasir Mustafa (bekas ADUN Kubang Rotan) di restoran mamak Pasaraya Mydin. Dia memberi cabaran kepada saya supaya kembali menulis.
"Tulis buku politik mengenai Tun dan Anwar terkini.. menarik," katanya. Nasir memberi sedikit ulasan mengenai kedua-dua tokoh besar negara itu, sebagai lakaran panduan untuk saya menulis.
Ulasan Nasir tampaknya lebih hebat dari 'bakal buku' yang akan ditulis itu.
Namun cadangannya cuma masuk telinga kanan saya dan keluar telinga kiri. Terdetik di hati, "Mana mungkin untuk menjadi penulis buku sekarang, sedangkan menulis di akhbar pun sudah aku tinggalkan lebih empat tahun lalu."
Hari ini sengaja menjengah blog. Tertanya-tanya bila kali terakhir menulis di blog sendiri?
Aduss, rupanya pada bulan September dua tahun yang lalu. Menarik juga apabila membaca catatan yang dibuat pada 2016 itu; ialah kali terakhir menulis di blog sebelum itu ialah pada September 2014. Sekarang September 2018. September setiap dua tahun menjadi bulan menjengah blog sendiri.
Semoga tidak lagi selepas ini.
Design dan layout blog pun sudah empat tahun tidak updated. Masih foto-foto lama.
Sayang jugaklah, buat rumah dan tinggalkan begitu saja. Jadi rumah usang.. opss blog usang.
Apapun saya masih dingin dengan cabaran Nasir untuk menulis buku politik. Menulis isu politik rasanya sudah terlalu jauh ditinggalkan.
Cumanya, terdetik juga di hati untuk mencabar diri sendiri. Tulislah sesuatu yang memberi manfaat. Biar tulisan itu jadi 'amal jariah' yang berpanjangan.
Yakin boleh. Insya'Allah boleh.