Sunday, July 20, 2014

Kenapa Mukhriz hendak dibunuh?




Berita panas dari Kedah minggu ini ialah apabila seorang pejuang maya pro BN, ditangkap polis kerana didakwa membuat ugutan untuk membunuh Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Mahathir dan juga kepada Setiausaha Sulit Sultan Kedah Dato’ Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdulah.

Blogger berusia 37 tahun itu sebelum ini dikesan membuat ugutan bunuh itu melalui laman Facebook menggunakan akaun 'Padi Jantn'. Pihak polis berjaya mendapat perintah tahanan reman untuk beliau. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, siasatan dibuat adalah susulan dari lebih 20 laporan polis dibuat pelbagai pihak menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit.

Padi Jantn bukanlah nama asing lagi dalam dunia maya politik. Laman tersebut (Facebook dan blog) sangat aktif menghentam dan memfitnah kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Laman itu seringkali menyiarkan foto-foto menghina pemimpin kerajaan Pakatan yang diedit, khususnya Almarhum Ustaz Azizan Razak. Padi Jantn dikatakan ‘keybord warrior’ BN yang berbayar.

Cuma akhir-akhir ini Padi Jantn membuat kejutan apabila tiba-tiba serangannya berubah haluan; kali ini mengkritik kerajaan negeri Kedah pimpinan Mukhriz Mahathir secara terbuka. Isunya adalah isu lama, iaitu Madrasah Salihiah. Kalau dahulu Padi Jantn mengkritik Ustaz Azizan tetapi kali ini ini serangan dihalakan kepada Mukhriz, sebab yang memimpin kerajaan sekarang ialah Mukhriz. Lebih-lebih lagi sewaktu jadi pembangkang dahulu, Mukhrizlah yang paling lantang memperjuangkan agar surau tersebut dikekalkan di situ. Beliau pernah berkampung di situ bersama Perkasa demi mempertahankan tanah wakaf tersebut. Apabila dapat jawatan Menteri Besar, perjuangan tanah wakaf pun nampaknya berakhir.

Isu Madrasah Salihiah, yang terletak di Bandaraya Alor Setar diroboh untuk pembangunan menyeluruh kompleks Aman Central panas di zaman Ustaz Azizan apabila BN menjadikannya isu rasis untuk membakar sentimen Melayu.

Wednesday, July 16, 2014

Menjelaskan kritikan kaki racau terhadap Harakah

Pelik... ada orang hentam Harakah, tanpa membacanya


(Foto Presiden di Turki, ehsan Harakah)

Era langit tanpa sempadan ini, sangat mudah untuk menyalurkan pandangan peribadi. Bermula dari muhasabah yang tulus ikhlas, hinggakan kritikan bersulam keegoan seteruslah kepada maki hamun dan sumpah seranah semuanya boleh didapati di alam maya atas apa jua isu.

Lidah rasmi PAS, Harakah, sekali lagi menjadi sasaran serangan dari kalangan yang tidak berpuashati apabila organ parti ini menyiarkan rencana yang menyebut ‘Lotfi (bekas ahli PAS dari Kedah) menyertai kumpulan militan dalam konflik bersenjata menentang pemerintahan Syria…’ Mereka marahkan Harakah kerana menuduhnya militan. Persepsi yang tertanam kukuh di kalangan rata-rata rakyat Malaysia, militan adalah kumpulan pengganas. Justeru orang yang berjihad tidak layak dicop militan.

Typical pihak yang cuba melakukan provokasi ialah mengaitkan subjek kemarahan dengan aspek yang ditolak ramai. Suatu masa dahulu, mana-mana tokoh yang cuba disingkirkan dari kepimpinan utama Pakatan Rakyat oleh pihak tertentu akan dicop sebagai ‘alat Umno’ atau ‘Umno’; strategi untuk memudahkan kerja penyingkiran. Begitulah dalam isu ini, tiba-tiba Harakah dituduh mempunyai dalang Syiah di belakangnya. Tuduhan ini bukan kali pertama dilontar, namun sejak tuduhan liar itu mula tercetus di muktamar PAS suatu masa dahulu hingga kini; belum ada ahli lembaga pengarah Harakah mahupun kakitangannya yang bersolat berlapikkan batu.

Melalui tulisan Abu Firdaus, Harakah menyiarkan takrifan militan secara panjang lebar dalam keluaran berikutnya. Secara mudah difahami, militan ialah pasukan bersenjata bukan kerajaan yang berjuang untuk sesuatu tujuan. Militant berasal dari kata akar military iaitu ketenteraan. Militan tidak semestinya pengganas (terrorist) tetapi pengganas semestinya militan.

Monday, July 14, 2014

Jangan mudah sangat termakan hasutan pemecahbelah

Masih teringat sewaktu zaman kanak-kanak, seorang Ustaz pernah menceritakan perihal mudahnya syaitan melagakan manusia untuk berkelahi. Syaitan menyerupai manusia dan pergi berjumpa dua sahabat yang sangat karib. Syaitan itu berbisik kepada salah seorang darinya dengan berkata, “Dalam padi ada beras.” Lalu berlalu pergi. Rakan yang tidak mendengar bisikan syaitan itu mengesyaki mereka sedang berkata sesuatu yang buruk terhadap dirinya. Selepas syaitan pergi mereka berdua pula yang berkelahi. Mungkin cerita itu cuma rekaan tetapi Ustaz ingin memberitahu bahawa bijaknya syaitan untuk memecahbelahkan manusia. Justeru kita kena sentiasa berhati-hati.

Bertelingkah dan berkonflik adalah sifat lumrah manusia. Namun bertelingkah dalam semua perkara adalah perkara yang tidak normal bagi sekalangan manusia. Dalam organisasi politik bertelingkah dengan organisasi politik musuh semacam satu kewajipan kerana mereka adalah pesaing. Tetapi kalau bertelingkah sesama anggota dalam organisasi lebih hebat dari berperang dengan musuh maka ia adalah suatu yang amat buruk.

PAS sudah melepasi umur 60 tahun dalam persada politik tanah air. Jika Umno dikatakan sudah tua, maka PAS pun tidak boleh dikatakan muda kerana Umno cuma lima tahun lebih tua dari PAS. Masalah yang datang di usia tua lebih rumit untuk dihadapi berbanding ketika muda. Seorang rakan memberitahu, mudah sungguh sekarang ini kalau nak suruh orang PAS berkelahi. Kata-katanya itu sudah keterlaluan tetapi dengan senario yang berlaku nampak ada benarnya.

Hudud adalah isu yang diperjuangkan oleh PAS. Apabila tiba-tiba kini Umno menyambutnya, isu tersebut menjadi bahan polemik sesama ahli. Ada yang berhujah jangan pertikai keikhlasan pihak lain. Itu persoalan hati, manusia tidak tahu. Tidak kurang yang bertegas bahawa ia agenda Umno untuk memecahkan PAS dan Pakatan juga. Umno dahulu, kini dan selamanya tidak layak dipercayai. Maka yang ‘berjaya’ dan bertepuk tangan dalam isu ini ialah Umno. Testimonial kejayaan mereka ialah PRK Teluk Intan. BN muncul dalam dua versi; Umno menyanggah PAS kerana calon BN menolak hudud dan Gerakan/MCA menyanggah PAS (komponen Pakatan) kerana jalin hubungan dengan Umno tubuh jawatankuasa teknikal laksana hudud.

Wednesday, June 25, 2014

Takkan sampai ke tahap ini? Betulkan sistem pemilihan dalam KeADILan



Golongan manusia yang waras akan ‘kehilangan kata-kata’ apabila menyaksikan pertikaian dalaman sebuah parti politik berakhir dengan pertumpahan darah yang menggerikan. Segera mengingatkan kita akan ucapan Mao Tze Tung, “Politik adalah peperangan tanpa darah dan peperangan adalah hasil dari politik yang sudah berdarah.”

Maksudnya, jika pertikaian sudah sampai ke tahap berbaling kerusi, pukul memukul secara fizikal sehingga berdarah-darah maka ia bukan lagi ‘berpolitik’ tapi namanya berperang. Peperangan yang berlaku sekalipun antara parti politik yang bermusuhan adalah keterlaluan dalam lingkungan demokrasi. Apatah lagi peperangan di dalam satu parti yang memperjuangkan ideologi yang sama di kalangan ahli-ahlinya. Ia sudah lebih dari keterlauan.

Ini kerana demokrasi memberi ruang kepada kebebasan bersuara dan peluang kepada suara terbanyak untuk menang. Demokrasi menolak kekerasan atau paksaan. Jika kekerasan yang ‘menang’ bermakna demokrasi kalah.

Tuesday, May 27, 2014

Tunggu apa lagi Najib, sila letak jawatan!



Kehilangan pesawat MH370 sudah memasuki bulan ke tiga. Sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengumumkan ia berakhir di Lautan Hindi, tiada secebis tinggalan dari pesawat yang didakwa mendarat atau terhempas di lautan itu dijumpai.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir membayangkan kenyataan Najib tidak betul. “Seseorang sedang menyembunyikan sesuatu,” katanya. Tambahnya, kapalterbang boleh mendarat dengan selamat atau terhempas tetapi tidak boleh hilang begitu sahaja.

Di mata Tun, rakyat Malaysia, mahupun dunia; Najib benar-benar sudah hilang wibawa berhubung isu MH370. Cakap Najib tidak boleh dipakai. Diam beliau berhubung isu tersebut adalah lebih baik dari bercakap tetapi tidak betul. Masalahnya mana mungkin ketua kerajaan tidak bercakap berhubung perkara besar yang berlaku dalam negara.

Najib dihadapkan juga dengan isu pergolakan di Terengganu sehingga terjebak dalam situasi amat mencemaskan, iaitu tumbangnya kerajaan BN. Bekas Menteri Besar Datuk Ahmad Said, ADUN Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Rosli Daud isytihar keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas. Umno tinggal 14 kerusi manakala Pakatan 15. Jika tiga ADUN tersebut mengambil sikap tidak menyokong sesiapa sekalipun, ia sudah cukup  kerusi untuk menumbangkan BN.

Sekalipun ketiga-tiga ADUN tersebut berjaya ditarik semula melalui kaedah yang ‘sedia dimaklumi’ dalam Umno namun imej Najib bukan setakat tercalar tapi tercedera teruk. Mana ada parti di mana orang boleh keluar masuk sesuka hati macam masuk keluar jamban. Menerima semula sipembelot dalam masa yang singkat adalah kerja yang tidak bermaruah.Najib tiada pilihan, tumbang sebuah kerajaan di depan mata lebih tidak bermaruah.

Tuesday, May 13, 2014

Benarkah Mad Bashah akan ganti Mukhriz sebagai MB?

Kisah panas politik Terengganu sudah diketahui umum. Tapi panas politik dalaman Kedah ramai yang tidak tahu. Rumors yang bertiup kecang dalam seminggu dua ini ialah kononnya DS Mukhriz Tun Mahathir akan digantikan dengan DP Ahmad Bashah Md Hanipah akibat prestasinya yang sangat teruk.

Tiada siapa akan kisah jika yang menyebarkan itu orang Pakatan Rakyat, namun apabila isu tersebut bertiup kencang dalam Umno maka ramai yang berminat nak tahu. Betulkah? Rakyat Kedah bertanya 'betulkah' kerana cerita itu ada asasnya, sebab memang sungguh prestasi setahun Najib tadbir Kedah sangat teruk.

Saya secara peribadi menolak mentah-mentah rumors tersebut kerana bagi saya, selagi Tun Mahathir masih bernyawa jangan sapa-sapa ada pasang cita-cita nak jatuhkan Mukhriz...

Berikut adalah sebarai kegagalan Mukhriz sepanjang setahun jadi MB Kedah:

1) GAGAL menguruskan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dengan baik sekalipun kampus induk dan segala kemudahan yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu begitu baik sekali. Sekejap arah berpindah ke kampus asal yang sempit di Mergong dan sekejap berpindah balik ke kampus induk. Kakitangan dan pelajar yang jadi mangsa.

2)  GAGAL menyelesaikan masalah kakitangan Insaniah Holding yang tidak dibayar gaji semenjak BN mengambilalih pentadbiran negeri pada Mei 2013.

3) GAGAL dalam penghasilan padi/beras untuk negara di mana kini Kedah hanya mampu menyumbang 30 peratus bekalan beras, sedangkan semasa Pakatan Rakyat dahulu negeri ini menghasilkan 44 peratus bekalan beras negara.

4) GAGAL menyelamatkan tanah sawah apabila mengumumkan projek ZIPY akan diteruskan di Yan yang dijangka akan mengorbankan 4300 ekar tanah sawah.

5) GAGAL bercakap benar. Datuk Paduka Mukhriz Mahathir didakwa tidak bercakap benar dalam isu pembelian kereta baharu untuk Menteri Besar Kedah. Kenyataan yang dibuat kononnya untuk kegunaan Yang Di-Pertuan Agong, walhal plet kereta terang-terangan tertera perkataan ‘Menteri Besar Kedah’.

6) GAGAL mengawal nafsu untuk memiliki kereta rasmi Exco yang baharu. Mereka menukar kereta rasmi dari Camry ke Perdana baharu, walaupun kereta yang ditinggalkan Exco terdahulu masih elok. Walhal sewaktu kerajaan dahulu menukar kereta baharu akibat kereta lama sudah terlalu uzur, BN sebagai pembangkang di kala itu menentang keras.

7) GAGAL mengawal pembalakan yang berleluasa. Kegiatan pembalakan berjalan dengan rakus sekali terutama di daerah Padang Terap, Baling, Kulim dan Sik. Hutan digondolkan tanpa belas kasihan seolah-olah hutan tidak menyumbang apa-apa terhadap kestabilan alam.

8) GAGAL mengawal budaya hedonism. Kerajaan Negeri membenarkan kumpulan penyanyi separa bogel K-Pop dibawa masuk dari Korea dalam konsert UEPE yang di adakan di Sungai Petani.

9) GAGAL menjaga duit negeri, menggunakan untuk tujuan tidak baik. Kerajaan pimpinan Mukhriz dengan murah hati ‘bersedekah’ kepada Astro yang menganjurkan Program Maharaja Lawak Mega sebanyak RM200,000.00. Jumlah tersebut terlalu besar untuk rakyat Kedah yang miskin tetapi BN menghabiskannya untuk orang ramai bergelak ketawa.

10) GAGAL menghormati pegawai tadbir kerajaan negeri (KCS) di mana Menteri Besar cuba melantik Setiausaha Sulit Kanan dari kalangan bukan KCS. Akibat mendapat tentangan, individu tersebut dilantik sebagai Ketua Pegawai Khas (jawatan baru yang diwujudkan) dengan gaji dan elaun yang luarbiasa. Walhal mengikut tradisi pentadbiran pejabat Menteri Besar selama ini, ketua bagi pegawai-pegawai khas adalah Setiausaha Politik.

11) GAGAL membuat keputusan yang wajar dalam isu mahkamah. Mukhriz telah membuat keputusan tidak wajar dalam isu pembalak menyaman anak syarikat kerajaan negeri, apabila bersedia menerima penyelesaian di luar mahkamah sekalipun kes tersebut hampis pasti dimenangi oleh pihak kerajaan negeri. Akibatnya kerajaan negeri kerugian RM2.5 juta.

12) GAGAL mengurus sembilan buah Maktab Mahmud yang selama ini diurus oleh kerajaan negeri dengan menyerahkan kelolaannya kepada Kementerian Pelajaran dibawah pentadbiran Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Mukhriz mungkin ‘bijak’ kerana berjaya menyelamatkan duit negeri sebanyak RM26 juta yang selama ini membiayai Maktab Mahmud tersebut. Soalnya, ke mana perginya RM26 juta tersebut dan apakah nasib silibus Azhariah di Maktab Mahmud selepas ini?

13) GAGAL meneruskan Skim Kafalah iaitu pemberian RM500 untuk keluarga si mati yang diperkenalkan semasa Pakatan Rakyat dahulu.

Sunday, April 27, 2014

Mana dia bandaraya yang dibuat dari getah tu?

Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0 yang membakar semangat para pekebun kecil menuntut hak mereka, mengingatkan kita kepada Akujanji BN PRU13 lalu yang mempunyai kaitan langsung dengan nasib masyarakat getah. Janji BN ialah mahu mewujudkan Bandaraya Getah di Padang Terap yang akan membuka kira-kira 13,000 peluang pekerjaan baharu.
PAS hilang kerusi parlimen Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling dalam PRU13 – empat kawasan yang dihuni paling ramai masyarakat pekebun kecil getah. Banyak faktor yang menyumbang kepada kekalahan PAS dan laungan pembelaan BN terhadap masyarakat pekebun kecil getah menjadi salah satu dari faktor berkenaan. Apatah lagi masyarakat getah begitu teruja dengan kenaikan harga getah ketika itu.
Bandaraya getah tidaklah bermaksud semua komponen membangunkan infrastruktur bandar dibuat dari getah. Pelik juga kalau jalanraya, bangunan dan padang permainan semuanya dibuat dari getah. Bandaraya getah bermaksud semua industri atau perniagaan yang berkaitan dengan getah akan berhimpun di bandar tersebut. Ada kilang memproses getah, kilang tayar, sarung tangan, tilam, kondom atau apa-apa produk yang dibuat berasaskan getah. Banyak sungguhlah kira-kiranya industri melibatkan getah di situ sehingga 13 ribu orang dapat bekerja. Pusat penyelidikan getah tidak perlu lagi dibangunkan di situ sebagai komponen kepada bandaraya itu kerana, ia sudah wujud dilaksanakan dengan ‘jayanya’ oleh Lembaga Getah Malaysia.
Sekalipun harga getah ditakdirkan jatuh merudum tetapi rakyat Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling tiada masalah kerana mereka boleh bekerja dalam industri tersebut. Itulah agaknya gambaran yang menguja pemikiran masyarakat getah hingga menyebabkan sokongan mereka terhadap BN begitu kuat sekali.