Saturday, October 19, 2013

Kembang tekak Najib dengar kenyataan Mukhriz


Calon Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Mahathir secara berterus terang memberitahu mahu menang dalam pertandingan merebut jawatan itu sebelum berputih mata melihat parti Melayu terbesar itu tewas dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau menyifatkan Umno sudah tidak mempunyai banyak masa dan keputusan beberapa pilihan raya sebelum ini jelas menunjukkan prestasi Umno dan BN.

Kenyataan anak bekas Perdana Menteri merangkap bekas Presiden Umno paling lama itu boleh membawa dua maksud. Pertama, kalau dia tidak bertanding dan menang sebagai Naib Presiden Umno maka tidak merasalah Mukhriz akan jawatan tersebut kerana selepas ini besar kemungkinan Umno akan kalah PRU. Apabila Umno kalah di Pusat, maka  empayar Umno seluruh negara akan runtuh secara berantaian persis  runtuhnya empayar komunis Soviet di zaman kejatuhan Mikhail Gorvachev.

Menjelang PRU14, Umno sekurang-kurangnya mempunyai sekali lagi pemilihan. Pada masa itu Mukhriz akan bertanding sama ada Timbalan atau Presiden Umno. Maknanya sempatlah dia merasa akan jawatan tertinggi parti itu, sekalipun kemenangannya dalam parti itu tidak membawa apa-apa serti kerana Umno kalah PRU.

Kedua, kenyataan Mukhriz boleh membawa maksud, hanya dia selaku anak Tun Dr. Mahathir yang paling layak memimpin Umno. Orang lain semua tidak layak belaka. Cuba kita teliti betul-betul kenyataan berikut:

"Jika saya lewat mengambil keputusan untuk bertanding, silap-silap PRU14 kita dah kecundang. Umno sudah tiada masa. Kita telah lihat senario PRU12 dan PRU13, apa agaknya keputusan PRU14 nanti?

"Kalau kita masih tidak berasa cemas dan hendak tunggu 10 ke 15 tahun lagi, kita terimalah padahnya," kata Mukhriz.

Mengapa bengap sangat segolongan rakyat itu?


Laporan Ketua Audit Negara 2010 rakyat Malaysia dikejutkan dengan penyelewengan projek National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang melibatkan syarikat keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada masa itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Sharizat tidak disambung jawatan menteri. Untuk seketika beliau semacam sudah hilang dari arena politik, namun selepas itu kembali memimpin wanita Umno tanpa rasa segan silu. Hari ini Sharizat terus meminta mandat dari wanita Umno dan nampaknya tidak ada masalah untuk memenanginya.

Mereka dengan mudah menjelaskan kepada rakyat Malaysia bahawa tiada penyelewengan RM250 juta seperti didakwa. Langsung tiada kudis.

Suami Sharizat menjelaskan bahawa pembelian dua unit kondominium mewah berjumlah RM14 juta (dengan menyalahgunakan duit pinjaman untuk projek lembu) itu adalah usaha menggunakan pinjaman mudah itu secara sah dengan menyatakan kedua-dua kondo ini memberi pulangan yang tinggi iaitu RM70 ribu sebulan. Ada rakyat Malaysia yang boleh menelan bulat-bulat penjelasan tersebut.

Parti politik yang memerintah masih boleh tersenyum mengekalkan kuasa dalam PRU. Orang yang terbabit dengan skandal masih gagah di persada politik, adalah antara keajaiban yang hanya terdapat di Malaysia.
Dalam Laporan Audit 2010 juga, terdapat 300 makmal komputer yang diluluskan peruntukan sebanyak RM160.7 juta oleh Kementerian Pelajaran gagal disiapkan. Namun, sehingga kini, hanya 2 buah makmal yang siap. Peralatan ICT yang dibekalkan sejak 3 tahun lepas masih belum dapat digunakan dan masih tersimpan akibat makmal yang tidak sempurna.

Begitu juga pembelian alatan yang jauh lebih mahal dari harga tertinggi pasaran di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Laptop dan pencetak dengan RM 11 845 berbanding pasaran RM 3428, 246 peratus lebih mahal. LCD TV dan DVD player dengan RM 16 100 berbanding pasaran 2182, yakni 638 peratus lebih mahal, Marine Binocular dengan RM 56 350 berbanding pasaran RM 1 940 iaitu 2 805 peratus lebih mahal. Bermacam-macam lagi penyelewengan di pelbagai kementerian. Akhirnya ia hanya menjadi bahan gelak ketawa orang ramai.

Saturday, October 5, 2013

Dimarahi Ustaz Azizan kerana isu 'berus jamban'


"Kalau boleh biarlah kemenangan PAS untuk memerintah Kedah bukan berlaku masa ana jadi Pesuruhjaya," itu kata-kata Ustaz Azizan menjelang PRU tahun 2004, sewaktu saya dipanggil ke biliknya untuk mendapat pandangan mengenai calon-calon PAS di kawasan Alor Setar.

'PAS Tawan Kedah 2004' adalah slogan PAS bagi PRU12. Selepas PAS mencatat kejayaan memberangsangkan PRU tahun 1999, maka semua menaruh harapan besar bahawa PAS hampir pasti menawan Kedah dalam PRU12.



Apabila Ustaz Azizan bercakap begitu sewaktu semua pihak dalam PAS yakin Kedah dapat ditawan, maka apa yang dapat disimpulkan ialah beliau bukan seorang yang gila jawatan. Ditakdirkan sewaktu ramai yang tidak meletak harapan tinggi bahawa PAS bersama rakan-rakan pakatan mampu menewaskan BN, dalam PRU berikutnya maka kemenangan pun muncul. Ustaz Azizan diamanahkan oleh PAS Pusat untuk memimpin kerajaan negeri Kedah sebagai Menteri Besar.

Sewaktu majlis angkat sumpah Menteri Besar Mac 2008, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpelukan dengan Ustaz Azizan. Mahdzir berbisik, "Kami tak sangka BN akan kalah teruk di Kedah." Ustaz Azizan membalas, "Kami pun tak sangka akan menang."

Antara Chin Peng dan Henry Gurney, siapa lebih jahat?

Betul kata penganalisis politik tanahair, para pemimpin Umno akan menjadi hero untuk dua musim; pilihanraya dan pemilihan parti. Ditakdirkan Allah, bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia Chin Peng meninggal dunia ketika para pemimpin Umno sibuk melobi untuk bertanding dalam pemilihan di semua peringkat.


Maka berhamburanlah kata-kata makihamun keluar dari mulut para pemimpin Umno terhadap mendiang Chin Peng. Masing-masing memberi amaran supaya mayat Chin Peng tidak dibawa pulang kerana bekas pemimpin PKM itu adalah penderhaka dan pengganas. Jangankan mayat, abu bakaran mayat pun tidak dibenar masuk ke Malaysia. Pasukan polis dikerahkan mengawal dengan rapi sempadan negara.

Menjelang hariraya rasanya bertan-tan mercun diseludup masuk ke Malaysia dari Thailand. Malam raya bumi Malaysia bagaikan medan perang. Bahan letupan pun boleh diseludup dengan mudah ke Malaysia, maka setakat nak seludup abu tidaklah susah sangat. Polis banyak kerja lain, tiba-tiba dikerahkan melakukan kerja tiada berfaedah.

Maka Putrajaya akan berpindah ke Sungai Limau


Pilihanraya Kecil Dun Sungai Limau tetap akan diadakan mengikut peruntukan perlembagaan. SPR akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi. Para pemilih berdaftar yang namanya tersenarai dalam daftar pemilih, sekalipun mereka orang Myanmar yang diberi kerakyatan layak untuk mengundi memilih Adun Sungai Limau yang baru menggantikan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Razak yang meninggal 26 September lalu.



Pada PRU13, Ustaz Azizan mengalahkan sepupunya dari BN, Mohd Fadhilah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.  Dalam ranking keputusan pilihanraya yang disertai calon PAS di Kedah, Sungai Limau berada di kedudukan kedua selepas Tokai. Jika pada PRU13 lalu PAS kalah di Sungai Limau, maka di atas kertas PAS juga tidak berupaya menghantar tujuh lagi wakilnya ke Dun. Ustaz Azizan dan PAS telah mempertahankan Sungai Limau selama lima penggal berturut-turut. Sewaktu PAS Kedah mencapai keputusan tercorot, Sungai Limau (dahulunya Sala) dan Tokai (dahulunya Bukit Raya) masih mampu dipertahankan oleh Ustaz Azizan dan Almarhum Dato' Fadzil Noor.

Ini bermakna secara realistik, BN masih sukar untuk merampas kerusi Sungai Limau dalam PRK kali ini kerana ia masih kubu kuat PAS. Walaupun BN memiliki kelebihan logistik 'peperangan' dan akan menggunakan segala cara untuk menewaskan PAS tetapi mereka bukan berlawan dengan tunggul kayu mati yang tidak bertindakbalas apa-apa. PAS Kedah masih memiliki ahli paling ramai di Malaysia dan jentera pilihanraya yang cukup terlatih untuk berlawan dengan BN. Insya Allah tiada masalah untuk mengekalkan kemenangan di kawasan PAS sudah memiliki kekuatan asas.