Saturday, October 19, 2013

Mengapa bengap sangat segolongan rakyat itu?


Laporan Ketua Audit Negara 2010 rakyat Malaysia dikejutkan dengan penyelewengan projek National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang melibatkan syarikat keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada masa itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Sharizat tidak disambung jawatan menteri. Untuk seketika beliau semacam sudah hilang dari arena politik, namun selepas itu kembali memimpin wanita Umno tanpa rasa segan silu. Hari ini Sharizat terus meminta mandat dari wanita Umno dan nampaknya tidak ada masalah untuk memenanginya.

Mereka dengan mudah menjelaskan kepada rakyat Malaysia bahawa tiada penyelewengan RM250 juta seperti didakwa. Langsung tiada kudis.

Suami Sharizat menjelaskan bahawa pembelian dua unit kondominium mewah berjumlah RM14 juta (dengan menyalahgunakan duit pinjaman untuk projek lembu) itu adalah usaha menggunakan pinjaman mudah itu secara sah dengan menyatakan kedua-dua kondo ini memberi pulangan yang tinggi iaitu RM70 ribu sebulan. Ada rakyat Malaysia yang boleh menelan bulat-bulat penjelasan tersebut.

Parti politik yang memerintah masih boleh tersenyum mengekalkan kuasa dalam PRU. Orang yang terbabit dengan skandal masih gagah di persada politik, adalah antara keajaiban yang hanya terdapat di Malaysia.
Dalam Laporan Audit 2010 juga, terdapat 300 makmal komputer yang diluluskan peruntukan sebanyak RM160.7 juta oleh Kementerian Pelajaran gagal disiapkan. Namun, sehingga kini, hanya 2 buah makmal yang siap. Peralatan ICT yang dibekalkan sejak 3 tahun lepas masih belum dapat digunakan dan masih tersimpan akibat makmal yang tidak sempurna.

Begitu juga pembelian alatan yang jauh lebih mahal dari harga tertinggi pasaran di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Laptop dan pencetak dengan RM 11 845 berbanding pasaran RM 3428, 246 peratus lebih mahal. LCD TV dan DVD player dengan RM 16 100 berbanding pasaran 2182, yakni 638 peratus lebih mahal, Marine Binocular dengan RM 56 350 berbanding pasaran RM 1 940 iaitu 2 805 peratus lebih mahal. Bermacam-macam lagi penyelewengan di pelbagai kementerian. Akhirnya ia hanya menjadi bahan gelak ketawa orang ramai.


Laporan Audit 2011 juga tidak kurang hebatnya. Dua syarikat kerajaan Rangkaian Pengangkutan Deras Sdn Bhd (RapidKL) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengalami kerugian lebih RM1 bilion sehingga akhir 2010.

Menurut laporan itu, IWK terus mengalami kerugian sehingga mencatatkan angka RM888.81 juta sehingga akhir 2010, manakala RapidKL pula mengalami kerugian terkumpul RM293.82 juta antara 2008 hingga 2010. Banyak lagi kongkalikong dipelbagai kementerian. Macam biasa, ia cuma jadi bahan gelak ketawa sebahagian rakyat Malaysia manakala sebahagian besar lagi langsung tidak tahu apa-apa.

Kini rakyat Malaysia dihidangkan pula dengan Laporan Audit 2012. Antaranya Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa PDRM kehilangan 309 aset bernilai RM1.33 juta dalam tempoh tiga tahun dari 2010 hingga 2012 termasuk 44 unit senjata api. Laporan tersebut turut menyatakan aset tertinggi yang hilang ialah gari iaitu sebanyak 156 unit selain 29 unit kenderaan PDRM.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa rasa bersalah memberitahu bahawa tiada penyelewengan berhubung kehilangan aset PDRM itu.

Polis adalah pihak yang memegang amanah menjaga keselamatan negara, jika berlaku kehilangan yang begitu besar sehingga mencecah nilai RM1.33 juta bermakna mereka sudah melakukan penyelewengan dalam menjaga amanah. Lalai juga adalah satu bentuk penyelewengan amanah.

Lagi fakta menarik dalam laporan Ketua Audit Negara ialah Kementerian Belia dan Sukan telah membazirkan wang rakyat kerana membayar K-Pop pada sambutan Hari Belia Negara sejumlah RM2.94 juta. Dulu pihak menteri pernah mendakwa RM1.6 juta adalah tajaan namun Ketua Audit Negara sahkan ia bukan tajaan tetapi wang rakyat.

Begitu juga laporan JKR kerugian RM4.89 juta apabila projek dimansuh, RTM beli 20 jam dinding bernilai RM76,200, kos projek CIQ Melaka meningkat 122 peratus, KWAP rugi RM209.55 juta akibat salah labur - semuanya tidak berbekas di hati rakyat.

Laporan Ketua Audit Negara disiarkan setiap tahun. Banyak penyelewengan kerajaan terdedah, namun majoriti rakyat khususnya orang Melayu macam tak peduli. Tiba PRU, kerajaan 'penyamun', penyeleweng dan pembazir duit rakyat itu terpilih juga. Jika laporan audit seperti ini berlaku di negara luar, parti yang memerintah boleh tumbang tapi di Malaysia ia tidak memberi kesan apa-apa.

Bukan setakat laporan audit, apa saja penyelewengan dan salahlaku yang didedahkan, sebahagian rakyat buat tak peduli. Sebutlah isu beg tangan RM600 ribu, cincin RM24 juta, rumah anak menteri RM7 juta, komisyen kapal selam beratus juta dan sebagainya; ia cuma masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Kadang-kadang kita hairan dan tertanya-tanya, mengapa bengap sangat sebahagian rakyat Malaysia yang terus menyokong BN?



No comments:

Post a Comment