Sunday, July 20, 2014

Kenapa Mukhriz hendak dibunuh?




Berita panas dari Kedah minggu ini ialah apabila seorang pejuang maya pro BN, ditangkap polis kerana didakwa membuat ugutan untuk membunuh Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Mahathir dan juga kepada Setiausaha Sulit Sultan Kedah Dato’ Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdulah.

Blogger berusia 37 tahun itu sebelum ini dikesan membuat ugutan bunuh itu melalui laman Facebook menggunakan akaun 'Padi Jantn'. Pihak polis berjaya mendapat perintah tahanan reman untuk beliau. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, siasatan dibuat adalah susulan dari lebih 20 laporan polis dibuat pelbagai pihak menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit.

Padi Jantn bukanlah nama asing lagi dalam dunia maya politik. Laman tersebut (Facebook dan blog) sangat aktif menghentam dan memfitnah kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Laman itu seringkali menyiarkan foto-foto menghina pemimpin kerajaan Pakatan yang diedit, khususnya Almarhum Ustaz Azizan Razak. Padi Jantn dikatakan ‘keybord warrior’ BN yang berbayar.

Cuma akhir-akhir ini Padi Jantn membuat kejutan apabila tiba-tiba serangannya berubah haluan; kali ini mengkritik kerajaan negeri Kedah pimpinan Mukhriz Mahathir secara terbuka. Isunya adalah isu lama, iaitu Madrasah Salihiah. Kalau dahulu Padi Jantn mengkritik Ustaz Azizan tetapi kali ini ini serangan dihalakan kepada Mukhriz, sebab yang memimpin kerajaan sekarang ialah Mukhriz. Lebih-lebih lagi sewaktu jadi pembangkang dahulu, Mukhrizlah yang paling lantang memperjuangkan agar surau tersebut dikekalkan di situ. Beliau pernah berkampung di situ bersama Perkasa demi mempertahankan tanah wakaf tersebut. Apabila dapat jawatan Menteri Besar, perjuangan tanah wakaf pun nampaknya berakhir.

Isu Madrasah Salihiah, yang terletak di Bandaraya Alor Setar diroboh untuk pembangunan menyeluruh kompleks Aman Central panas di zaman Ustaz Azizan apabila BN menjadikannya isu rasis untuk membakar sentimen Melayu.

Wednesday, July 16, 2014

Menjelaskan kritikan kaki racau terhadap Harakah

Pelik... ada orang hentam Harakah, tanpa membacanya


(Foto Presiden di Turki, ehsan Harakah)

Era langit tanpa sempadan ini, sangat mudah untuk menyalurkan pandangan peribadi. Bermula dari muhasabah yang tulus ikhlas, hinggakan kritikan bersulam keegoan seteruslah kepada maki hamun dan sumpah seranah semuanya boleh didapati di alam maya atas apa jua isu.

Lidah rasmi PAS, Harakah, sekali lagi menjadi sasaran serangan dari kalangan yang tidak berpuashati apabila organ parti ini menyiarkan rencana yang menyebut ‘Lotfi (bekas ahli PAS dari Kedah) menyertai kumpulan militan dalam konflik bersenjata menentang pemerintahan Syria…’ Mereka marahkan Harakah kerana menuduhnya militan. Persepsi yang tertanam kukuh di kalangan rata-rata rakyat Malaysia, militan adalah kumpulan pengganas. Justeru orang yang berjihad tidak layak dicop militan.

Typical pihak yang cuba melakukan provokasi ialah mengaitkan subjek kemarahan dengan aspek yang ditolak ramai. Suatu masa dahulu, mana-mana tokoh yang cuba disingkirkan dari kepimpinan utama Pakatan Rakyat oleh pihak tertentu akan dicop sebagai ‘alat Umno’ atau ‘Umno’; strategi untuk memudahkan kerja penyingkiran. Begitulah dalam isu ini, tiba-tiba Harakah dituduh mempunyai dalang Syiah di belakangnya. Tuduhan ini bukan kali pertama dilontar, namun sejak tuduhan liar itu mula tercetus di muktamar PAS suatu masa dahulu hingga kini; belum ada ahli lembaga pengarah Harakah mahupun kakitangannya yang bersolat berlapikkan batu.

Melalui tulisan Abu Firdaus, Harakah menyiarkan takrifan militan secara panjang lebar dalam keluaran berikutnya. Secara mudah difahami, militan ialah pasukan bersenjata bukan kerajaan yang berjuang untuk sesuatu tujuan. Militant berasal dari kata akar military iaitu ketenteraan. Militan tidak semestinya pengganas (terrorist) tetapi pengganas semestinya militan.

Monday, July 14, 2014

Jangan mudah sangat termakan hasutan pemecahbelah

Masih teringat sewaktu zaman kanak-kanak, seorang Ustaz pernah menceritakan perihal mudahnya syaitan melagakan manusia untuk berkelahi. Syaitan menyerupai manusia dan pergi berjumpa dua sahabat yang sangat karib. Syaitan itu berbisik kepada salah seorang darinya dengan berkata, “Dalam padi ada beras.” Lalu berlalu pergi. Rakan yang tidak mendengar bisikan syaitan itu mengesyaki mereka sedang berkata sesuatu yang buruk terhadap dirinya. Selepas syaitan pergi mereka berdua pula yang berkelahi. Mungkin cerita itu cuma rekaan tetapi Ustaz ingin memberitahu bahawa bijaknya syaitan untuk memecahbelahkan manusia. Justeru kita kena sentiasa berhati-hati.

Bertelingkah dan berkonflik adalah sifat lumrah manusia. Namun bertelingkah dalam semua perkara adalah perkara yang tidak normal bagi sekalangan manusia. Dalam organisasi politik bertelingkah dengan organisasi politik musuh semacam satu kewajipan kerana mereka adalah pesaing. Tetapi kalau bertelingkah sesama anggota dalam organisasi lebih hebat dari berperang dengan musuh maka ia adalah suatu yang amat buruk.

PAS sudah melepasi umur 60 tahun dalam persada politik tanah air. Jika Umno dikatakan sudah tua, maka PAS pun tidak boleh dikatakan muda kerana Umno cuma lima tahun lebih tua dari PAS. Masalah yang datang di usia tua lebih rumit untuk dihadapi berbanding ketika muda. Seorang rakan memberitahu, mudah sungguh sekarang ini kalau nak suruh orang PAS berkelahi. Kata-katanya itu sudah keterlaluan tetapi dengan senario yang berlaku nampak ada benarnya.

Hudud adalah isu yang diperjuangkan oleh PAS. Apabila tiba-tiba kini Umno menyambutnya, isu tersebut menjadi bahan polemik sesama ahli. Ada yang berhujah jangan pertikai keikhlasan pihak lain. Itu persoalan hati, manusia tidak tahu. Tidak kurang yang bertegas bahawa ia agenda Umno untuk memecahkan PAS dan Pakatan juga. Umno dahulu, kini dan selamanya tidak layak dipercayai. Maka yang ‘berjaya’ dan bertepuk tangan dalam isu ini ialah Umno. Testimonial kejayaan mereka ialah PRK Teluk Intan. BN muncul dalam dua versi; Umno menyanggah PAS kerana calon BN menolak hudud dan Gerakan/MCA menyanggah PAS (komponen Pakatan) kerana jalin hubungan dengan Umno tubuh jawatankuasa teknikal laksana hudud.