Wednesday, July 31, 2013

Guna isu Syiah untuk pecahbelah PAS



Ketua Penerangan PAS Pusat Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa tiada di kalangan pemimpin PAS yang menjadi pengikut ajaran Syiah. Oleh itu, beliau mengecam tindakan media arus perdana yang cuba memberikan bayangan sebaliknya. 
Tuan Ibrahim dapat mengidu bahawa cubaan jahat untuk mengaitkan pimpinan PAS dengan ajaran Syiah hanyalah usaha musuh-musuh PAS bagi memecahbelahkan parti terutama menjelang pemilihan parti pada November ini. 

"Tiupan ini semakin dahsyat sehinggakan membaca artikel tertentu yang bercanggah pendapat juga boleh menimbulkan polemik dan menjadi senjata fitnah oleh pihak-pihak tertentu untuk menuduh pihak yang lain pro-Syiah," ujarnya.

Situasi politik terkini dalam negara menunjukkan bahawa satu-satunya musuh utama bagi Umno ialah PAS. Bukan KeADILan atau DAP. Umno telah berjaya melumpuhkan KeADILan dan tidak dapat berbuat apa-apa terhadap DAP yang telah berjaya memenangi hati masyarakat Cina. Langkah Umno menjuarai isu rasis adalah tindakan nekad mereka untuk tidak mengharapkan lagi sokongan dari masyarakat Cina. Umno memilih untuk mendapatkan sebanyak-banyaknya sokongan Melayu. Pesaing utama ialah PAS. Umno sudah tumbang diperingkat Pusat dalam PRU13 lalu jika lima peratus dari pengundi Melayu yang mereka miliki itu berpindah kepada PAS.

Sunday, July 28, 2013

Zaman di mana ramai orang biasa mahu menjadi 'peguam dan ulamak'... bagaimana menghadapi kecelaruan ini?



Guru besar Sekolah Kebangsaan Pristina, Kuala Lumpur bertungkuslumus mempertahankan diri apabila media sosial mempersoalkan tindakannya menjadikan bilik persalinan ala tandas menjadi tempat makan sementara kepada pelajar bukan Muslim.

Katanya, tempat itu bersih, bukannya tandas. Orang ramai di media sosial mempersoalkan, kalau bilik persalinan sekalipun ia tidak wajar kerana di situ ada tandas dan bilik mandi. Kementerian Pelajaran mengarahkan pihak sekolah menghentikan serta merta bilik itu dijadikan kantin sementara. Kalau betul di pihak sekolah, mengapa kementerian arah 'kantin sementara' itu dialihkan? Apapun isu itu dipolemikkan panjang lebar di alam maya.

Di Ipoh, seorang bapa berang dan enggan menerima laporan pihak hospital berhubung kematian anaknya lantas tidak mahu menuntut jenazah anaknya di hospital selagi bedah siasat kedua tidak dijalankan. Menurut laporan, anaknya mati tersepit di celah tingkap akibat sesak nafas. Bapa itu mempersoalkan kesan lebam yang terdapat di badan jenazah anaknya dan beberapa aspek yang menimbulkan keraguan terhadap cara kematian anaknya. Benarkah si malang itu mati tersepit atau tidak menjadi bahan polemik yang panjang di media maya. Semua orang kelihatan bijak memberi hujah, macam peguam belaka.

Seorang peserta ratu cantik yang mempersoalkan satu fatwa yang menyebabkan penganjur menggugurkan beliau daripada menyertai pertandingan Miss Malaysia World 2013.

Beliau mendakwa fatwa yang diwartakan pada 1996 itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa sekarang. Beliau merasa pelik mengapa peserta sukan renang dan gimnastik tidak diharamkan dari menyertai sukan tersebut walaupun mereka juga mendedahkan aurat.
Hujah itu tidak melepaskan dirinya dari perlakuan maksiat tetapi membelit leher para penguasa agama. Isu ini juga jadi bahan polemik yang menarik di media maya.

Saya sekadar menyebut beberapa contoh, namun hari ini apa saja isu yang sensasi dalam masyarakat akan ditangani oleh ramai orang seolah-olah semua orang mahu menjadi peguam, ulamak, ahli akademik atau penganalisis isu sosial. Jika dahulu isu agama hanya ditangani oleh golongan ulama, hari ini bukan ulama pun sudah berani berhujah persis ulama.

Sunday, July 21, 2013

Kakitangan Insaniah Holdings 'makan pasir' menjelang Aidil Fitri?


Ramai kakitangan Insaniah Holdings, anak syarikat kepada Kolej Universiti Insaniah (KUIN) meluahkan rasa kecewa kerana masalah kebajikan yang melanda mereka sekarang tidak dapat pembelaan dari mana-mana pihak. "Termasuk pihak pembangkang," kata mereka.

Pihak pembangkang, khususnya ADUN Pakatan Rakyat mungkin tidak mendapat maklumat yang jelas mengenai kepincangan terkini KUIN. Atau ADUN pembangkang barangkali sedang mengalami penyakit yang sama dialami ADUN BN selepas kalah PRU12 lalu, iaitu 'belum sedar' sepenuhnya bahawa mereka adalah pembangkang justeru memerlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri sebagai pembangkang. Itu proses biasa bagi parti yang kalah pilihanraya sebagai sebuah kerajaan.
Isu besarnya ialah kakitangan Insaniah Holdings tidak mendapat gaji sudah tiga bulan! Semua proses untuk menuntut sara hidup itu telah dibuat tetapi hingga kini belum berhasil.
Selepas Pakatan tumbang, kakitangan Insaniah Holdings telah diketepikan. Kerajaan negeri tidak meletakkan keutamaan lagi untuk membayar gaji kepada GLC tersebut memandangkan kewujudannya dipertikaikan sewaktu BN menjadi pembangkang dahulu. Ada cakap liar yang berbunyi, oleh kerana ia diwujudkan diwujudkan oleh kerajaan terdahulu maka biarlah 'Ustaz Azizan dan Prof. Jamil Osman (bekas rektor) yang membayar gaji staf Insaniah Holdings'.
Kakitangan Insaniah Holdings yang dizalimi itu telah mengambil pelbagai tindakan untuk mengembalikan hak mereka namun pihak atasan KUIN hanya berlepas tangan. Antara tindakan yang mereka lakukan ialah mengadu kepada Menteri Besar, pihak istana, Timbalan Menteri Pelajaran dan Exco Pelajaran Negeri Kedah namun tiada tindakbalas positif yang diterima. Kumpulan tersebut juga telah membuat laporan kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Mahkamah Sivil dan Yayasan Perdana yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir namun semuanya tidak dapat berbuat apa-apa.
Masalah yang melanda Insaniah Holdings akan menjejaskan juga beberapa program pengajian secara langsung kerana mereka yang menguruskan program dan membayar gaji pensyarah. Isu ini sangat besar jika berlaku di bawah kerajaan Pakatan, namun apabila berlaku di bawah BN maka semua media talibarut BN menggelapkan laporan tersebut. Itu kebebasan media ala Malaysia, bebas menyembunyikan keburukan BN.
Bayangkan pelajar lama yang pulang dari cuti semester dan pelajar baru sepatutnya sudah mula kelas 14 Julai 2013 di kampus induk Kuala Ketil tidak dapat memulakan pengajian mereka untuk semester baru. Mereka hadir mendapati pensyarah dan kakitangan pentadbiran tiada. Para pelajar hanya berkeliaran di bangunan kuliah seperti anak-anak ayam kehilangan ibu. Beberapa pelajar Multimedia dan Muamalat menghubungi ibubapa masing-masing, ada waris yang naik berang dengan KUIN dan meminta anak mereka berhenti saja. Untuk berurusan, pelajar terpaksa ke Mergong pula sebab semua urusan Hal Ehwal Akademik dan Hal Ehwal Pelajar di pindahkan kembali ke sana.

Saturday, July 20, 2013

Apa kata, kita gerakkan seluruh ahli dan penyokong PAS serta seluruh umat Islam berqiyamullail 10 malam terakhir macam kita gembelingkan himpunan Bersih


Setiap kali PAS kalah pilihanraya, maka ulasan, muhasabah, kritikan, post mortem dan sebagainya akan berjela-jela tersenarai sebab musabab kekalahan yang sebahagian besarnya terjurus kepada faktor-faktor nyata. Faktor tersebut seperti isu semasa, penipuan pihak lawan, demokrasi pincang, pengkhianatan dalaman, kelemahan jentera dan kekuatan pihak lawan. Kekurangan yang berkaitan dengan urusan kerohanian atau munajat jarang tersenarai dalam post mortem.



Para sahabat Rasulullah SAW pernah tidak menang-menang dalam pertempuran melawan musuh. Mereka melakukan muhasabah sejenak, lalu membuat kesimpulan bahawa mereka telah meninggalkan satu sunnah Rasulullah SAW iaitu bersugi. Selepas bersugi Allah turunkan kemenangan.
Catatan sejarah para sahabat ini pernah dirakamkan oleh Almarhum Datuk Fadzil Noor dalam satu ucapan dasar muktamar tahunan PAS yang berlangsung di Taman Melewar. Almarhum mahu ahli-ahli PAS mengambil iktibar supaya jangan meninggalkan perkara yang mengundang pertolongan Allah dalam perjuangan.

PAS sebagai jamaah Islam adalah lebih besar kehebatan dan kemuliaannya berbanding PAS sebagai parti politik yang menyertai pilihanraya. Sertai pilihanraya adalah untuk menang sebagai laluan melaksanakan Islam melalui kuasa yang diperolehi. Namun sebagai sebuah jamaah yang memperjuangkan Islam, tanpa memperolehi kemenangan pilihanraya pun PAS wajib bertekad supaya anggotanya serta seluruh sasaran dakwahnya menang di akhirat - dengan maksud bebas dari api neraka.

Tuesday, July 16, 2013

Isu pusat hiburan di bulan Ramadhan: Kerajaan lanie pun 2x5, 5x2 jugak!


Kalau Melayu tak mudah lupa, dua tahun lalu, media-media propaganda BN mengeksploit isu kononnya kerajaan PAS Kedah tunduk kepada desakan DAP kerana menarik balik pengharaman pusat hiburan dari beroperasi sepanjang bulan Ramadhan.

Enakmen hiburan yang dilulus dan diwartakan oleh kerajaan BN pada 12 Februari 1998 (zaman Tan Sri Sanusi Junid) melarang semua pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadhan. Isi enakmen itu sungguh sedap didengar tetapi apabila tiba peringkat perlaksanaan ia gagal dilaksanakan apabila mendapat bantahan dari para pengusaha pusat hiburan bukan Muslim. Akibatnya enakmen tersebut sekalipun diluluskan oleh Sidang DUN tetapi tidak pernah terlaksana pada mana-mana bulan Ramadhan selama 10 tahun di bawah tiga orang Menteri Besar Umno.

Kerajaan pakatan Rakyat cuba melaksanakan enakmen yang dibuat oleh BN itu. Masalahnya sama, ia mendapat  tentangan dari pengusaha bukan Muslim. Alasan mereka, bukan Muslim juga mempunyai hak untuk berniaga dan berhibur di bulan Ramadhan. Pihak yang paling lantang menentang pelaksanaan peraturan tersebut ialah Gerakan dan MCA Kedah, tetapi yang menerima tempelakan ialah DAP.

DAP sebagai rakan kongsi PAS, cuma menawarkan perbincangan untuk menyelesaikan kekusutan tersebut. Setelah perbincangan dibuat oleh kerajaan negeri dengan semua pihak terbabit, akhirnya kerajaan memutuskan pengusaha pusat hiburan bukan Muslim boleh membuka pusat hiburan kepada pelanggan bukan Muslim sahaja. Itu hak dan kebebasan mereka. Manakala pengusaha Muslim dan pelanggan Muslim tidak dibenarkan sama sekali. Peraturan yang dibuat ini jauh lebih baik dari zaman BN yang membenarkan pusat hiburan dibuka sepanjang Ramadhan tanpa sekatan untuk umat Islam.

Umno sebagai pembangkang tidak puas hati. Mereka terus mencanang isu 'PAS tunduk kepada DAP' dan isu operasi pusat hiburan di bulan Ramadhan dijadikan contoh dalam kempen-kempen politik mereka.

Kini mereka menjadi kerajaan. Sebelum Ramadhan, Exco yang mengetuai potfolio agama, Mat Rawi Abd Hamid umumkan bahawa semua pusat hiburan akan ditutup sepanjang bulan puasa. Seperti biasa, drama opera Tongsan muncul kembali. Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang membantah. MCA juga turut tidak berpuashati. Namun media-media pro BN yang menguasai negara sangat bijak, isu tersebut 'disimpan di bawah karpet' cepat-cepat. Tiada siapa tahu apa keputusan terakhir yang dibuat oleh kerajaan negeri. Iyalah, kalau diumum pengharaman sepenuhnya maka Gerakan dan MCA akan menentang. Kalau dilaksanakan penguatkuasaan untuk Muslim sahaja maka Umno khuatir umat Islam negeri ini nampak Umno tunduk pada Gerakan dan MCA.

Saturday, July 13, 2013

Mengapa Datuk Dr. Latifah dipecat dari KUIN?



Pendaftar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Datuk Dr. Latifah Hassan dipecat dari jawatan pendaftar ekoran pertukaran kerajaan Pakatan Rakyat kepada kerajaan Umno di Kedah. Dua kakitangan atasan yang turut menerima nasib yang sama ialah Ketua Penolong Bendahari, Che Kartina Mohd Idrus dan pensyarah Kulliyyah Syariah, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin. Dalam bahasa yang lebih lunak, mereka bukan dipecat sebaliknya diberhentikan. Iyalah orang Melayu suka guna bahasa lunak. Contoh mereka sebut 'bukan Islam' bukannya 'kafir', walaupun maksudnya sama.

Penguasa yang zalim sama saja sikapnya di atas mukabumi ini, dari Mesir sampai ke Malaysia. Langkah pertama yang diambil sebaik sahaja berkuasa ialah menyingkirkan mana-mana individu yang mereka anggap tidak sehaluan dalam pentadbiran.

Dr. Latifah bukan orang politik sebaliknya orang akademik tulen. Beliau dilantik kerana professionalismenya. Pernah bertugas sebagai pendaftar di UUM selama 23 tahun, 10 tahun di UKM dan dua setengah tahun di Unisel. Dr. Latifah mengikat kontrak dengan KUIN selama dua tahun dan bertugas baru enam bulan.

Friday, July 12, 2013

Najib tersalah 'ambil iktibar' isu konflik Mesir


Datuk Seri Najib mengingatkan rakyat supaya ambil iktibar daripada konflik di Mesir apabila perubahan yang ingin dituntut tidak menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Akhirnya, kata Najib, ia menyebabkan rakyat menuntut perubahan sekali lagi.



Siapa pun yang menjadi pemimpin kepada kerajaan tua BN tidak akan mensia-siakan peluang untuk mengeksploit kemelut di Mesir perihal bahayanya menukar kerajaan. Tun Mahathir sewaktu berkuasa sehingga kini pun masih bercakap dalam nada yang sama; bahaya menukar kerajaan. Sekalipun, katanya, kerajaan yang ada (BN) bukanlah sempurna.

Walhal situasi di Mesir berbeza sama sekali dengan Malaysia. Pertama kali rakyat bangkit menentang regim Mubarak dua tahun lalu setelah merasakan kerajaan pimpinannya tidak membawa apa-apa perubahan dalam menjaga kebajikan rakyat, sedangkan pada ketika itu rakyat mengalami tekanan ekonomi yang sangat teruk. Isu utamanya masih persoalan 'bread and butter' atau periuk nasi, bukan perjuangan berteraskan ideologi. Cuma solidariti kebangkitan rakyat dibantu oleh pelbagai golongan, antaranya yang memperjuangkan keadilan sosial, menuntut demokrasi, yang menolak sekular dan memperjuangkan Islam, pejuang kebebasan bersuara, golongan miskin serta yang sekadar hadir untuk mencipta sejarah. Tanpa dipimpin oleh sesiapa, mereka semua bersatu menumbangkan regim Mubarak yang tidak pernah mempamerkan model demokrasi sebenar di negaranya.

Monday, July 8, 2013

Insaniah Holdings jadi mangsa balas dendam politik?


Kisah Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang kononnya dirundung pelbagai masalah sewaktu pentadbiran Pakatan dahulu disensasikan habis-habisan oleh media Umno dalam usaha memburukkan imej kerajaan negeri.

Kalangan rakyat yang terpengaruh dengan propaganda negatif itu merasa 'lega' kerana akhirnya Pakatan tumbang di Kedah, tentulah apabila Umno kembali berkuasa semuanya akan pulih semula. Rupanya harapan menggunung yang diberikan sebahagian rakyat sia-sia sahaja kerana Umno dapat Insaniah ibarat kera dapat bunga. Keadaan jadi lebih celaru.


Tiba-tiba kakitangan Insaniah Holdings serta anak-anak syarikatnya yang menjadi cabang perniagaan KUIN mengamuk kerana tidak dibayar sesen pun gaji selepas Umno mengambilalih Kedah. Staf Insaniah Holdings adalah terdiri dari manusia biasa, tiada seorang pun malaikat atau robot yang tidak bekehendak kepada makan minum atau lain-lain keperluan kemanusiaan. Mereka ada keluarga untuk disara dan anak-anak untuk disekolahkan. Semuanya perlukan wang namun hak mereka itu disekat oleh kerajaan negeri.

Insaniah Holdings Sdn. Bhd. ditubuhkan dengan keputusan oleh Ahli Lembaga Pengarah Insaniah yang dipengerusikan oleh Menteri Besar. Di bawah Insaniah Holdings terdapat Insan Maya, Insan Faseh, Insan System, Insan Medic, Insan Hospitality dan Insan Bestari. KUIN mengadakan perjanjian dengan anak-anak syarikat Insan Holdings, antaranya bersetuju menyediakan modal kerja, melalui pemberian pendahuluan dari masa kesemasa penggajian, sewaan, ulititi dan operasi.

Thursday, July 4, 2013

Silap, jika mengukur kekuatan PAS berdasarkan keputusan pilihanraya



Bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Dato' Ir Phahrolrazi Zawawi menggambarkan PAS Kawasan Kuala Kedah sebagai kubu kuat PAS, dilihat dari petunjuk PRU13 di mana PAS menyapu bersih semua kerusi yang ditandingi. PAS menang di Anak Bukit, Pengkalan Kundor dan Kubang Rotan, manakala KeADILan menang kerusi Parlimen.

Ada pihak menganggap PAS Selangor jauh lebih kuat dari PAS Kedah kerana mampu memenangi 15 kerusi DUN berbanding hanya 9 dimenangi PAS Kedah.

Sekian lama ukuran kekuatan PAS ialah keputusan pilihanraya. PAS dianggap kuat jika menang banyak kerusi dan lemah jika keputusan adalah sebaliknya.

Sebelum PRU12 (2008) PAS dianggap kuat di kawasan majoriti Melayu. Secara realiti memang PAS bertapak dan berpengaruh di Kelantan, Kedah dan Terengganu di mana majoriti Melayunya tinggi. Sehingga kini ketiga-tiga negeri tersebut pernah diperintah dengan kekuatan PAS. Walaupun Menteri Besar dari PAS pernah memimpin kerajaan negeri Perak namun ia di atas sebab-sebab khusus yang bukan kerana kelebihan kekuatan PAS.

Benarkah keputusan pilihanraya adalah adalah gambaran atau ukuran kekuatan PAS? Saya ingin merujuk situasi di Kedah untuk menjelaskannya. PAS menang di Anak Bukit (10.56 % pengundi Cina), Pengkalan Kundor (22.82 %), Kubang Rotan (27.3 %), Alor Mengkudu (23.96 %), Kuala Ketil (6.75%, I: 10.58 %) dan Merbau Pulas (13.35 %, I: 18.80 %). Jika tanpa undi Cina PAS atau bukan Melayu adakah PAS mampu memenangi kerusi tersebut? Kecuali Anak Bukit, selainnya hampir pasti PAS kalah. 

Hanya tiga kerusi yang mampu dimenangi PAS tanpa bantuan undi Cina iaitu Tokai (Melayu 90.88 %), Bukit Pinang (M 93.04 %) dan Sungai Limau (M 93.19 %). Jika dicampur dengan Anak Bukit, bermakna hanya empat kerusi mampu dimenangi PAS, tanpa bantuan Cina. Kedudukannya lebih buruk dari PRU 2004 di mana PAS mampu menang 5 kerusi DUN. Jadi tidak tepat untuk mengukur kekuatan PAS berdasarkan keputusan pilihanraya.

Monday, July 1, 2013

Muhasabah untuk KeADILan... dan PAS juga

Sambil bercakap soal penipuan, perkuatkan akar umbi parti

Jangan nafikan - apabila semua ahli Parlimen pakatan Rakyat yang terpilih pada 5 Mei lalu dalam PRU13 mengangkat sumpah di Dewan Rakyat pada 23 Jun lalu maka ia 'meredakan' gelombang penentangan terhadap penipuan pilihanraya atau kepincangan demokrasi di Malaysia. Tindakan mereka memilih untuk mengangkap sumpah sebagai anggota Parlimen adalah betul dari segi aulawiyat (keutamaan) politik.

Mengelak dari mengangkat sumpah akan mendatangkan mudharat yang lebih besar. Para pemimpin Pakatan telah memerhati dari segenap dimensi, akan kesan baik dan buruk jika tidak mengangkat sumpah lalu membuat keputusan terbaik mengenainya. Namun percayalah, jika ada NGO merancang untuk mengadakan himpunan bantahan penipuan PRU selepas ini maka sokongan terhadapnya tidaklah sepadu himpunan sebelum dan sebelum-sebelumnya. (Sekalipun kita tidak menyukai situasi kehambaran itu)

Ledakan atau gelombang kebangkitan yang digerakkan oleh amarah rakyat semata-mata biasanya tidak mampu bertahan lama. Hanya aktivis politik tulen yang mampu mengasak isu politik sepanjang masa tetapi rakyat biasa ada pasang surutnya. Majoriti rakyat melihat politik sebagai agenda bermusim, lantas jika ia cuba dipaksakan tanpa mengira waktu maka akhirnya jumlah yang membosaninya akan semakin bertambah. Fenomena itu membahayakan penggerak politik kerana seni politik ialah untuk menarik orang mendekati kita di samping menjauhkan diri dari pihak lawan. Justeru penggerak politik yang bijak akan memikirkan apa yang rakyat mahu dari berfikir untuk memaksa rakyat mengikut apa yang kita mahu.

Pakatan dibentuk dari asas bermuafakatan untuk sama-sama menumbangkan BN yang jelik sebagai pemerintah. Masing-masing parti komponen ada kelebihan dan kekurangan. Dengan itu masing-masing parti saling tumpang menumpang dan tampung menampung akan kekurangan dan menyumbang kelebihan. Secara berterus terang, kita perlu mengakui bahawa KeADILan dan DAP mempunyai kelebihan dari aspek menggerakkan propaganda dan mensensasikan isu. Sekalipun pemimpin mereka tidak terlalu ramai namun semua pemimpin yang ada 'berguna sepenuhnya' dalam mengerakkan isu. Seorang Rafizi Ramli mampu menyamai beberapa orang pemimpin PAS dalam aspek menjuarai isu. Apatah lagi seorang Anwar Ibrahim.