Setiap kali PAS kalah pilihanraya, maka ulasan, muhasabah,
kritikan, post mortem dan sebagainya akan berjela-jela tersenarai sebab musabab
kekalahan yang sebahagian besarnya terjurus kepada faktor-faktor nyata. Faktor
tersebut seperti isu semasa, penipuan pihak lawan, demokrasi pincang,
pengkhianatan dalaman, kelemahan jentera dan kekuatan pihak lawan. Kekurangan
yang berkaitan dengan urusan kerohanian atau munajat jarang tersenarai dalam post
mortem.
Para sahabat Rasulullah SAW pernah tidak menang-menang dalam
pertempuran melawan musuh. Mereka melakukan muhasabah sejenak, lalu membuat
kesimpulan bahawa mereka telah meninggalkan satu sunnah Rasulullah SAW iaitu
bersugi. Selepas bersugi Allah turunkan kemenangan.
Catatan sejarah para sahabat ini pernah dirakamkan oleh
Almarhum Datuk Fadzil Noor dalam satu ucapan dasar muktamar tahunan PAS yang
berlangsung di Taman Melewar. Almarhum mahu ahli-ahli PAS mengambil iktibar
supaya jangan meninggalkan perkara yang mengundang pertolongan Allah dalam
perjuangan.
PAS sebagai jamaah Islam adalah lebih besar kehebatan dan
kemuliaannya berbanding PAS sebagai parti politik yang menyertai pilihanraya.
Sertai pilihanraya adalah untuk menang sebagai laluan melaksanakan Islam
melalui kuasa yang diperolehi. Namun sebagai sebuah jamaah yang memperjuangkan
Islam, tanpa memperolehi kemenangan pilihanraya pun PAS wajib bertekad supaya
anggotanya serta seluruh sasaran dakwahnya menang di akhirat - dengan maksud
bebas dari api neraka.
Akhirat adalah persoalan besar bagi setiap manusia kerana di
sana mereka akan kekal selama-lamanya. Tiada peluang untuk memperbaiki nasib di
akhirat kerana ia kena dilakukan sewaktu berada di dunia. Itu jugalah persoalan
besar yang perlu difikirkan oleh PAS sebagai jamaah Islam, perlu diseminarkan
dan di'postmortem' secara berfasa sebelum dunia kiamat atau sebelum kita mati.
Selepas kemenangan Morsi dan penguasaan Ikhwanul Muslimin
dalam politik Mesir ramai yang kembali mengkagumi harakah Islam terbesar dan
tertua di dunia itu. Sejak zaman As-Syahid Hasan Al-Bana tarbiyah anggota
Ikhwanul Muslimin sangatlah hebat. Mereka mempunyai silibus amalan harian yang
mendekatkan diri kepada Allah bagi setiap anggota, berbeza dari tahap
kepimpinan hingga ahli biasa. Sepertimana
badan perlu melakukan riadhah untuk kesihatan, mana rohani juga perlukan
riadhah kerohanian. Wirid Al-Ma'thurat yang dikompilasi oleh
asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna menjadi wirid harian yang diwajibkan terhadap ahli-ahli
Ikhwanul Muslimin.
Mereka berjaya menghasilkan anggota yang berkualiti serta tidak terperangkap
dengan habuan duniawi. Sebaik Parti Kebebasan dan Keadilan (dari
Ikhwanul Muslimin) menguasai Mesir, parlimen dipenuhi oleh para hafiz Al-Quran
dan menteri yang dilantik dari Ikhwanul Muslimin hampir kesemuanya memiliki
status 'Doktor'. Order
lama tinggalan Mubarak yang bersisa dalam pentadbiran menjadi buntu apabila
anggota Ikhwanul Muslimin yang diserap masuk dalam kerajaan rupanya adalah
golongan yang tidak berubah pendirian hanya dengan umpan rasuah.
Saya rasa rasa teruja untuk menyentuh persoalan ini dengan sentuhan Ramadhan yang menaungi kita sekarang. Ramadhan adalah madrasah taqwa, jadi sejauhmana kita menggerakkan perkara kerohanian yang mendekatkan diri dengan Allah. Sejauhmana anggota-anggota kita digerakkan secara perancangan oleh jamaah untuk menghayati dan mengamalkan ibadah khusus seperti solat berjamaah, bacaan Al-Quran, qiyamullail, solat sunat, bersedekah, memburu qiyamullail, menadah ilmu dan sebagainya? Seterusnya amalan ini dilanjutkan di luar Ramadhan. Perkara ibadah ini jika dibiarkan untuk dilakukan secara sendirian oleh anggota jamaah secara individu rasanya tidak ramai yang ada kekuatan. Kita mampu menggerakkan ahli-ahli jamaah untuk menghadiri kursus berkaitan pilihanraya, mengapa agaknya kita ketinggalan untuk mengerakkan pelbagai program berkaitan Ramadhan terhadap ahli-ahli?
Jika
seluruh ahli-ahli PAS digerakkan untuk mengisi 10 malam terakhir Ramadhan di
masjid-masjid seperti mana mereka digerakkan untuk menyertai himpunan Bersih
atau Blackout, rasanya jumlah ramainya ahli dan penyokong PAS itu cukup menukar
suasana malam menjadi siang. Ia adalah amalan untuk mendapatkan keredhaan Allah
di samping membina kekuatan dalaman dalam perjuangan, bukan untuk keuntungan
politik atau menunjuk-nunjuk. Pedulikan apa orang nak kata yang penting kita
melakukan apa yang Allah mahu hambanya lakukan.
Walaupun
amalan kerohanian tersebut dilakukan bukan diniatkan untuk menang pilihanraya
tetapi untuk menang perlawanan dengan musuh, kekuatan kerohanian sangatlah
penting dalam semua keadaan. Allah menjanjikan pertolongan Allah hanya datang
untuk golongan yang beriman dan bertaqwa. Tiada guna kemenangan jika ianya
istidroj (nikmat yang datang bersama kemurkaan Allah).
Ramadhan
masih berbaki. Tahun-tahun akan datang Ramadhan akan terus berkunjung. Walaupun
kita belum pasti akan ada di kala itu namun PAS sebagai jamaah Islam tidak akan
ditutup, insya Allah. Jadikanlah Ramadhan sebaik-baik madrasah tarbiyah untuk
setiap amilin yang berjuang dalam PAS. Jangan dikemetotkan Ramadhan kita.
No comments:
Post a Comment