Kalau Melayu tak mudah lupa, dua tahun lalu, media-media propaganda BN mengeksploit isu kononnya kerajaan PAS Kedah tunduk kepada desakan DAP kerana menarik balik pengharaman pusat hiburan dari beroperasi sepanjang bulan Ramadhan.
Enakmen hiburan yang dilulus dan diwartakan oleh
kerajaan BN pada 12 Februari 1998 (zaman Tan Sri Sanusi Junid) melarang semua
pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadhan. Isi enakmen itu sungguh sedap
didengar tetapi apabila tiba peringkat perlaksanaan ia gagal dilaksanakan
apabila mendapat bantahan dari para pengusaha pusat hiburan bukan Muslim.
Akibatnya enakmen tersebut sekalipun diluluskan oleh Sidang DUN tetapi tidak
pernah terlaksana pada mana-mana bulan Ramadhan selama 10 tahun di bawah tiga
orang Menteri Besar Umno.
Kerajaan pakatan Rakyat cuba melaksanakan enakmen yang
dibuat oleh BN itu. Masalahnya sama, ia mendapat tentangan dari pengusaha
bukan Muslim. Alasan mereka, bukan Muslim juga mempunyai hak untuk berniaga dan
berhibur di bulan Ramadhan. Pihak yang paling lantang menentang pelaksanaan
peraturan tersebut ialah Gerakan dan MCA Kedah, tetapi yang menerima tempelakan
ialah DAP.
DAP sebagai rakan kongsi PAS, cuma menawarkan
perbincangan untuk menyelesaikan kekusutan tersebut. Setelah perbincangan
dibuat oleh kerajaan negeri dengan semua pihak terbabit, akhirnya kerajaan
memutuskan pengusaha pusat hiburan bukan Muslim boleh membuka pusat hiburan
kepada pelanggan bukan Muslim sahaja. Itu hak dan kebebasan mereka. Manakala
pengusaha Muslim dan pelanggan Muslim tidak dibenarkan sama sekali. Peraturan
yang dibuat ini jauh lebih baik dari zaman BN yang membenarkan pusat hiburan
dibuka sepanjang Ramadhan tanpa sekatan untuk umat Islam.
Umno sebagai pembangkang tidak puas hati. Mereka terus
mencanang isu 'PAS tunduk kepada DAP' dan isu operasi pusat hiburan di bulan
Ramadhan dijadikan contoh dalam kempen-kempen politik mereka.
Kini mereka menjadi kerajaan. Sebelum Ramadhan, Exco
yang mengetuai potfolio agama, Mat Rawi Abd Hamid umumkan bahawa semua pusat
hiburan akan ditutup sepanjang bulan puasa. Seperti biasa, drama opera Tongsan
muncul kembali. Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang membantah. MCA juga
turut tidak berpuashati. Namun media-media pro BN yang menguasai negara sangat
bijak, isu tersebut 'disimpan di bawah karpet' cepat-cepat. Tiada siapa tahu
apa keputusan terakhir yang dibuat oleh kerajaan negeri. Iyalah, kalau diumum
pengharaman sepenuhnya maka Gerakan dan MCA akan menentang. Kalau dilaksanakan
penguatkuasaan untuk Muslim sahaja maka Umno khuatir umat Islam negeri ini
nampak Umno tunduk pada Gerakan dan MCA.
Sekalipun, pihak kerajaan negeri terus menyepi selepas
mendapat tekanan dari Gerakan dan MCA, namun apa yang terhidang sebaik
munculnya Ramadhan memberi jawapan terhadap persoalan yang timbul. Rupanya,
sama saja macam sewaktu Pakatan dahulu pusat hiburan milik bukan Muslim rancak
beroperasi dengan kehadiran pelanggan bukan Muslim. Cuma di zaman Umno,
pengunjung Melayu pun dilaporkan hadir juga di pusat hiburan bukan Muslim tu.
Sementara bagi pengusaha Melayu (kebanyakannya karaoke) dilaporkan ramai yang
menutup perniagaan.
Cabaran yang dihadapi oleh sesiapa pun yang memerintah
sama saja, iaitu isu penguatkuasaan dan dilema politik. Saya pernah menulis isu
pusat hiburan yang bertambah di Kedah di zaman Pakatan bahawa pertambahan yang
berlaku kerana kelemahan birokrasi badan yang menjadi badan pelaksana dasar
kerajaan (jika tidak mahu menyebut sabotaj oleh pegawai tertentu dalam
pentadbiran negeri). Misalnya Tan Sri Azizan Razak, sewaktu menjadi Menteri
Besar pernah mengeluarkan arahan supaya lesen pusat hiburan baru tidak lagi
dikeluarkan, hanya perbaharui lesen lama. Namun pengawai tertinggi negeri tidak
mengeluarkan pekeliling manakala para pegawai daerah serta pihak berkuasa
tempatan diajar bekerja hanya dengan aturan kertas 'hitam putih' tidak
melaksanakan kehendak Menteri Besar tanpa arahan rasmi.
Antara kandungan Enakmen Pusat-pusat Hiburan yang dirapikan pada 1997 ialah tidak membenarkan ia dibuka pada malam Jumaat. Ia berjaya dilaksanakan di seluruh negeri sehingga kini, kecuali Langkawi yang tidak mampu dilaksanakan sejak Tan Sri Sanusi menjadi Menteri Besar dan ADUN Kuah, Langkawi.
Antara kandungan Enakmen Pusat-pusat Hiburan yang dirapikan pada 1997 ialah tidak membenarkan ia dibuka pada malam Jumaat. Ia berjaya dilaksanakan di seluruh negeri sehingga kini, kecuali Langkawi yang tidak mampu dilaksanakan sejak Tan Sri Sanusi menjadi Menteri Besar dan ADUN Kuah, Langkawi.
Isu pusat hiburan tidak berbangkit di Kelantan kerana
lebih 90 peratus penduduknya Muslim. Sekatan, pengawalan dan penguatkuasaan
tidak menimbulkan keresahan pihak lain. Di Kedah tidak begitu, jika silap
menangani kerajaan akan dituduh menindas kaum lain, tidak kira PAS atau Umno
sebagai kerajaan.
Pilihan yang baik untuk mengendalikan isu pusat
hiburan dalam masyarakat majmuk ini ialah jangan nafikan hak bukan Muslim untuk
menikmati hiburan yang tidak ditegah oleh agama mereka atau untuk mereka
berniaga industri hiburan secara eksklusif; dalam waktu yang sama mengharamkan
terus umat Islam mengunjungi pusat hiburan yang jelas haram menurut Islam. Soalnya bolehkah Umno lakukan perkara tersebut setelah
kerajaan Pakatan dahulu dituduhnya gagal? Nampaknya 2x5, 5x2 juga.
Saya tidak berhujah untuk mempertahankan apa yang
tidak betul di masa PAS mentadbir, cuma nak habag UMNO yang cakap
berdegag-degag pun tak buat jugak apa dicakap...
No comments:
Post a Comment