Sambil
bercakap soal penipuan, perkuatkan akar umbi parti
Jangan nafikan - apabila semua ahli
Parlimen pakatan Rakyat yang terpilih pada 5 Mei lalu dalam PRU13 mengangkat
sumpah di Dewan Rakyat pada 23 Jun lalu maka ia 'meredakan' gelombang
penentangan terhadap penipuan pilihanraya atau kepincangan demokrasi di
Malaysia. Tindakan mereka memilih untuk mengangkap sumpah sebagai anggota
Parlimen adalah betul dari segi aulawiyat (keutamaan) politik.
Mengelak dari mengangkat sumpah akan
mendatangkan mudharat yang lebih besar. Para pemimpin Pakatan telah memerhati
dari segenap dimensi, akan kesan baik dan buruk jika tidak mengangkat sumpah
lalu membuat keputusan terbaik mengenainya. Namun percayalah, jika ada NGO
merancang untuk mengadakan himpunan bantahan penipuan PRU selepas ini maka
sokongan terhadapnya tidaklah sepadu himpunan sebelum dan sebelum-sebelumnya.
(Sekalipun kita tidak menyukai situasi kehambaran itu)
Ledakan atau gelombang kebangkitan
yang digerakkan oleh amarah rakyat semata-mata biasanya tidak mampu bertahan
lama. Hanya aktivis politik tulen yang mampu mengasak isu politik sepanjang
masa tetapi rakyat biasa ada pasang surutnya. Majoriti rakyat melihat politik
sebagai agenda bermusim, lantas jika ia cuba dipaksakan tanpa mengira waktu
maka akhirnya jumlah yang membosaninya akan semakin bertambah. Fenomena itu
membahayakan penggerak politik kerana seni politik ialah untuk menarik orang
mendekati kita di samping menjauhkan diri dari pihak lawan. Justeru penggerak
politik yang bijak akan memikirkan apa yang rakyat mahu dari berfikir untuk
memaksa rakyat mengikut apa yang kita mahu.
Pakatan dibentuk dari asas
bermuafakatan untuk sama-sama menumbangkan BN yang jelik sebagai pemerintah.
Masing-masing parti komponen ada kelebihan dan kekurangan. Dengan itu
masing-masing parti saling tumpang menumpang dan tampung menampung akan kekurangan dan menyumbang kelebihan. Secara
berterus terang, kita perlu mengakui bahawa KeADILan dan DAP mempunyai
kelebihan dari aspek menggerakkan propaganda dan mensensasikan isu. Sekalipun
pemimpin mereka tidak terlalu ramai namun semua pemimpin yang ada 'berguna
sepenuhnya' dalam mengerakkan isu. Seorang Rafizi Ramli mampu menyamai beberapa
orang pemimpin PAS dalam aspek menjuarai isu. Apatah lagi seorang Anwar
Ibrahim.
Malangnya kedua-dua parti itu tidak ada kekuatan akar umbi, berbanding dengan PAS. Maka kelemahan tersebut ditampung oleh PAS. Ini makna bermuafakatan.
Saya membuat kajian terhadap banyak
kawasan pilihanraya di Kedah. Di negeri lain pun mungkin begitu. KeADILan
bertanding kerusi Parlimen atau DUN tetapi jentera di akar umbi hampir seratus
peratus petugas PAS! Dari tukang pacak bendera, agen mengundi dan mengira undi
semuanya ahli PAS.
Bagus juga kalau petugas PAS yang bekerja tetapi saguhati untuk
mereka yang bertungkus lumus siang malam disumbangkan oleh parti yang
bertanding (KeADILan), malangnya duit minyak petugas pun PAS dari kantung PAS
juga.
Penipuan pilihanraya adalah
konspirasi BN. Bukan semua jentera SPR bekerja bagi pihak BN. Rafizi Ramli
membangkitkan isu lampu terpadam semasa pengiraan, jumlah undi dikeluar SPR
berbeza dengan yang terkumpul dalam tong, semuanya melibatkan pernanan dan
tanggungjawab agen mengundi dan mengira parti politik. Penipuan yang
dibangkitkan sukar untuk berlaku jika wakil parti dapat berfungsi dengan baik.
Namun jika ada parti yang tidak mampu sekalipun untuk menyediakan petugas
sendiri, maka ia nampak sumbang dan janggal apabila cuba menjuarai isu
penipuan.
Isu penipuan PRU dan kepincangan
demokrasi tidak akan terus hangat. Suhunya akan semakin menurun selepas ini dan akan panas semula apabila PRU14 muncul nanti. Sementara PRU14
muncul, tempohnya agak panjang. Apa kata kalau dalam tempoh tersebut
parti-parti komponen Pakatan memuhasabah diri sendiri untuk membetulkan
kelemahan yang terlalu banyak.
Sewaktu
Pakatan mengalami kemerosotan undi Melayu agak teruk, Kelantan tidak sangat
terjejas. Jentera PAS di akar umbi mereka hebat. Pergantungan mereka pada Allah
kuat, kesan tarbiyah Tok Guru. Setiap kali bermunajat di dinihari hingga ke
Subuh, sampai penuh stadium. Penguasaan di kampung-kampung sewaktu PRU cukup
kuat. Jika ada gelagat perasuah masuk ke kampung untuk membeli undi mereka
ekori hingga ke dalam rumah pengundi.
Kekuatan PAS dan pihak lawan di Kelantan sama ada tampak
seimbang atau ada kelebihan di akar umbi. Jika dalam situasi begitu, mereka
kalah jugak maka golongan itu sangat layak turun ke jalanraya melancarkan
protes.
Tapi
kalau ada pihak ketika masuk gelanggang sudah lompong di sana sini berbanding
musuh; jangankan jentera peringkat peti undi, jawatankuasa pilihanraya
peringkat DUN dan Parlimen pun tidak mampu ditubuh untuk semua urusan sebab
kekurangan petugas - tiba-tiba kalah, lalu jadikan 'penipuan SPR' sebagai
alasan, maka dakwaan itu jadi sumbang dan sumbing.
Tulisan
ini tidak bermaksud merencatkan gerakan penentangan terhadap penipuan PRU, teruskan!
Namun sementara gerakan itu berjalan maka eloklah semua parti komponen Pakatan,
khususnya KeADILan, memperkuatkan akar umbi sehingga sekurang-kurangnya mereka
dapat menubuhkan jawatankuasa peringkat Unit Peti Undi dengan penyertaan
ahli-ahli sendiri. Pastikan di mana ada cawangan atau ahli Umno maka di situ
ada ahli atau cawangan Pakatan. Sekurang-kurang bila bercakap soal penipuan
pilihanraya, kita mampu bercakap dengan selesa.
No comments:
Post a Comment