Thursday, July 4, 2013

Silap, jika mengukur kekuatan PAS berdasarkan keputusan pilihanraya



Bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Dato' Ir Phahrolrazi Zawawi menggambarkan PAS Kawasan Kuala Kedah sebagai kubu kuat PAS, dilihat dari petunjuk PRU13 di mana PAS menyapu bersih semua kerusi yang ditandingi. PAS menang di Anak Bukit, Pengkalan Kundor dan Kubang Rotan, manakala KeADILan menang kerusi Parlimen.

Ada pihak menganggap PAS Selangor jauh lebih kuat dari PAS Kedah kerana mampu memenangi 15 kerusi DUN berbanding hanya 9 dimenangi PAS Kedah.

Sekian lama ukuran kekuatan PAS ialah keputusan pilihanraya. PAS dianggap kuat jika menang banyak kerusi dan lemah jika keputusan adalah sebaliknya.

Sebelum PRU12 (2008) PAS dianggap kuat di kawasan majoriti Melayu. Secara realiti memang PAS bertapak dan berpengaruh di Kelantan, Kedah dan Terengganu di mana majoriti Melayunya tinggi. Sehingga kini ketiga-tiga negeri tersebut pernah diperintah dengan kekuatan PAS. Walaupun Menteri Besar dari PAS pernah memimpin kerajaan negeri Perak namun ia di atas sebab-sebab khusus yang bukan kerana kelebihan kekuatan PAS.

Benarkah keputusan pilihanraya adalah adalah gambaran atau ukuran kekuatan PAS? Saya ingin merujuk situasi di Kedah untuk menjelaskannya. PAS menang di Anak Bukit (10.56 % pengundi Cina), Pengkalan Kundor (22.82 %), Kubang Rotan (27.3 %), Alor Mengkudu (23.96 %), Kuala Ketil (6.75%, I: 10.58 %) dan Merbau Pulas (13.35 %, I: 18.80 %). Jika tanpa undi Cina PAS atau bukan Melayu adakah PAS mampu memenangi kerusi tersebut? Kecuali Anak Bukit, selainnya hampir pasti PAS kalah. 

Hanya tiga kerusi yang mampu dimenangi PAS tanpa bantuan undi Cina iaitu Tokai (Melayu 90.88 %), Bukit Pinang (M 93.04 %) dan Sungai Limau (M 93.19 %). Jika dicampur dengan Anak Bukit, bermakna hanya empat kerusi mampu dimenangi PAS, tanpa bantuan Cina. Kedudukannya lebih buruk dari PRU 2004 di mana PAS mampu menang 5 kerusi DUN. Jadi tidak tepat untuk mengukur kekuatan PAS berdasarkan keputusan pilihanraya.


Dalam analisis yang lebih mikro, kita mendapati banyak 'pengalaman baru' diteroka ahli-ahli PAS di semua peringkat yang dahulunya tidak pernah berlaku. Dahulu, sehebat mana perbezaan dalaman ia tidak pernah ditonjolkan dengan menggunakan media takibarut BN untuk menunjukkan kepada dunia bahawa 'kami sedang berkrisis'. Kini, ada.

Dahulu calon ditentukan sepenuhnya oleh pihak atasan. Petugas akar umbi cuma menerima keputusan dan bekerja sepenuh hati untuk memenangkan parti. Kini, ada protes dan ugutan. Tidak terhenti setakat itu ada aktiviti menutup markaz dan lebih buruk lagi bersekongkol dengan pihak lawan untuk mengalahkan calon parti sendiri. Ada kelompok yang mengadakan solat hajat memohon si anu si anu tidak tercalon mewakili PAS. Ada yang mengadakan kenduri kesyukuran kerana calon PAS yang tidak disukainya kalah sekalipun dia sedar calon yang menang ialah BN. Cerita ini tak masuk akal untuk PAS sedekad lalu, kini ia benar-benar berlaku di kalangan ahli.

Secara peribadi saya berjumpa dengan ramai aktivis PAS yang hidup mati bersama jamaah, ada memegang jawatan ahli Majlis Ketua Kampung tetapi tidak mengundi calon PAS tertentu di Jerlun. Mereka ada hujah mengapa calon itu 'wajib' dikalahkan. Di Pendang, calon Parlimen Haji Mohamad Sabu hilang banyak undi berbanding perolehan undi DUN. Antara yang tidak mengundi ialah ahli PAS yang membuat pengakuan terbuka "Ana tak undi Mat Sabu kerana Syiah." 

Pengerusi Tetap PAS Dato' Abu Kasim Abdullah mengembalikan nostalgia zaman pemudanya. "Kami pimpinan negeri boleh bertanding di mana-mana kawasan, tiada siapa yang akan pertikai keputusan parti, " ujarnya. Zaman itu sudah berlalu. Pengalaman PRU13 menunjukkan bahawa PAS mampu kalah jika keputusan dibuat tanpa mengambilkira pandangan akar umbi.

Mungkin fenomena itu hanya di Kedah. Kerana Pesuruhjayanya tidak dihormati. "Keputusan yang dibuat oleh Mursyidul Am pun boleh bawa kekalahan kerana tidak disetujui aktivis akar umbi," ujar seorang rakan parti yang banyak mengkaji isu dalaman. Dia sebut Mursyidul Am, adakah maksudnya Kelantan juga begitu? "Iyalah calon pilihan tok guru kalah tipis di Selising kerana bantahan akar umbi walaupun PRU12 dulu menang," hujahnya. Entahlah, tidak pasti hujahnya berasaskan fakta atau emosi. Namun realitinya, tetap wujud masalah dalaman di mana sekalipun.

Dahulu, ketidakpuasan hati secara dalaman jika tidak dapat diselesaikan mungkin hanya berlegar di kalangan sekelompok manusia. Kini, bukan lagi berupa bisikan perang saraf atau surat layang tetapi edaran secara elektronik di media sosial. Sekali papan kekunci komputer diketuk, ribuan manusia dapat mengikutinya. Dari Presiden hingga pemimpin bawahan, tiada siapa terkecuali dari kecaman dan kutukan. Bahasa yang digunakan kadangkala bukan bahasa orang beriman, sekalipun mereka yang mengutuk itu juga orang PAS.

Sesekali kita termangu lalu bertanya, adakah sekarang PAS semakin kuat atau semakin lemah? Jika kita mengukur kekuatan parti sebagai perolehan jumlah kerusi maka hakikatnya kita sedang tertipu.

Kekuatan seharusnya diukur dari aspek penghasilan ahli-ahli berkualiti seramai mungkin, memahami tanzim dan disiplin jamaah serta yang penting ialah mampu membuat keputusan terbaik berdasarkan ilmu dan realiti semasa. Bukan ahli bawahan saja, pemimpin pun kena begitu

1 comment:

  1. pandangan yang tepat
    jangan dok gila nak menang...
    hingga ada yang kurang ajaq
    tuan guru hj abd hadi ... disebut hadi awang sahaja
    adakah ini kekuatan pas.... tapi makhluk nie menang parlimen

    ReplyDelete