Tuesday, November 5, 2013

Analisis, mengapa undi PAS merosot di Sungai Limau?




Antara soalan yang menarik dalam menganalisis keputusan PRK Sungai Limau ialah mengapa berlaku kemerosotan undi PAS serentak menyumbang kepada pengurangan majoriti berbanding PRU13. Pada PRU13 majoriti diperolehi oleh Ustaz Azizan Razak ialah sebanyak 2,774 sedangkan kali ini Ustaz Mohd Azam Abd Samat hanya memperolehi majoriti 1,084. Ia mengingatkan kita kepada majoriti yang diperolehi oleh Ustaz Azizan sewaktu mengalahkan Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah iaitu sebanyak 1,080 pada PRU 2004 - kurang hanya empat undi. 

Sebab yang terang lagi bersuluh mengapa berlaku kemerosotan majoriti kali ini ialah kerana ini adalah pilihanraya kecil, bukan pilihanraya umum. Pelbagai kementerian Kerajaan Pusat, badan berkanun, GLC, pihak swasta yang pro BN bergabung kekuatan dengan kerajaan negeri dengan kekuatan logistic dan sumber dana yang berjuta-juta menghadapkan serangan kepada PAS sebagai sebuah parti politik! Analoginya macam Amerika Syarikat sebagai sebuah negara berperang dengan tentera Sulu. Layakkah? Demikianlah rakyat patut bertanya layakkah kerajaan Pusat dan Negeri (atas nama BN) berlawan dengan PAS sebuah parti politik pembangkang? Pihak yang mempersoalkan kemerosotan undi PAS sepatutnya merasa hairan, kerana logiknya PAS bukan setakat patut kalah tetapi hilang deposit.   

Para penghitung janji BN melaporkan, parti berimej rasuah itu membelanjakan kira-kira RM15.5 juta dalam kempen mereka di Sungai Limau. Jumlah itu meliputi RM5.5 juta untuk sekolah menengah agama, RM2.25 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina, dan RM1.2 juta untuk sekolah-sekolah lain. 

Pilihanraya kecil atau pesta rasuah?

Seperti dijangkakan PAS masih mampu mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau, tetapi majoriti yang berkurang berbanding PRU13. Calon PAS Ustaz Mohd Azam Abd Samat mendapat 12,069 undi menewaskan Dr. Ahmad Sohaimi Lazim dari BN dengan majoriti 1,084 undi.

Kemenangan memang sudah dijangka kerana dalam tempoh lebih lima bulan berlalu tiada berlaku sebarang isu besar yang memungkinkan berlaku peralihan sokongan besar-besaran terhadap mana-mana parti. Sikap politik berasaskan tradisi keluarga masih mendominasi politik di sini. Manakala kekurangan majoriti PAS sangat munasabah kerana parti pembangkang itu dihadapkan dengan tentangan oleh jentera kerajaan Pusat, yang nisbah kekuatannya dianggarkan 1:20 atau mungkin lebih rendah dari itu.

Tiada banyak perbezaan PRK Sungai Limau dengan semua siri PRK yang berlangsung di Malaysia pada zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. BN cuba memenangi hati rakyat bukan melalui melalui 'track record' mahupun isu, tetapi melalui 'rasuah' terhadap rakyat.

Pihak pembangkang sudah letih bercakap perihal PRK yang sangat tidak adil terhadap parti pembangkang, di mana BN menggunakan sebahagian besar kementerian kerajaan untuk membantu kempen mereka. Tiada siapa yang dapat menghalangnya, walaupun SPR selaku pengadil sekalipun.

Jentera pilihanraya BN hanya goyang kaki, semua kerja dibuat oleh kakitangan kerajaan. Saya sangat percaya duit yang didermakan pada pengundi dari pintu-kepintu juga adalah duit kerajaan, bukan duit BN. Sebagai parti politik, BN tidak mampu untuk menyediakan peruntukan sebesar itu.

Senario terakhir semakin menyebelahi PAS



BN ‘mati angin’ apabila PAS mempelopori politik damai untuk PRK Sungai Limau kali ini. BN yang sudah terbiasa dengan politik putarbelit, fitnah dan menyerang peribadi calon lawan, tiba-tiba kali ini dihadapkan dengan politik lunak dari PAS.

BN menyedari bahawa langkah menyerang peribadi calon PAS membahayakan diri sendiri kerana tiada isu yang boleh dieksploit. Ustaz Mohd Azam Abd Samat adalah tokoh muda yang terpuji sekalipun terbabit dalam politik namun tidak pernah naik kepentas menghentam sesiapa. Di kalangan orang yang mengenali calon PAS, Azam terkenal dengan imej baik dan bersopan santun. Sumber bilik gerakan BN sendiri mengakui bahawa calon mereka sukar untuk mengatasi  kelebihan wibawa calon PAS.

Azam adalah anak kelahiran Sungai Limau. Ibu dan ayahnya juga anak Sungai Limau, justeru mereka mempunyai rangkaian keluarga yang sangat besar di sini. Ke mana sahaja beliau turun berkempen, seolah-olah tidak perlu diperkenalkan lagi. Kelebihan ini tiada pada calon BN meskipun dia juga anak Sungai Limau.

Apapun peribadi calon tidak akan menyumbang peratus yag lebih besar dari sokongan berdasarkan parti. Realiti Sungai Limau sejak PRU 1959, PAS dan Umno wujud secara tradisi dari warisan keluarga. Cuma akhir-akhir ini anak muda dari keluarga Umno sudah mula memecahkan tradisi itu. Sebahagian yang sudah biasa berhijrah ke tempat lain, kenal PAS atau Pakatan Rakyat, membawa balik ideologi yang berbeza dengan ibu bapa. Anak keluarga PAS biasanya menjadi PAS, tetapi anak keluarga Umno belum tentu jadi Umno.

BN cuba jadi ‘PAS’ di Sungai Limau

BN memasuki PRK Sungai Limau dalam keadaan tidak bersemangat, terpaksa serta gagal mencari konsep dan imej diri sendiri. Banyak faktor yang mengganggu fokus dalam PRK kali ini. Antaranya ialah kesan percecahan dalaman Umno yang baru selesai menjalani pemilihan kepimpinan, kegagalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir memenangi kerusi Naib Presiden dan menyedari hakikat bahawa Sungai Limau adalah kubu kuat PAS.

BN menyedari bahawa mereka memasuki gelanggang sebagai orang kalah, lantas mengerahkan beberapa kementerian kerajaan Pusat untuk turun menghamburkan projek dan wang bagi membeli sokongan dari pengundi Sungai Limau. Kos yang dibelanjakan bukan sedikit, dianggarkan melebihi RM10 juta untuk membeli 27 ribu jiwa pemilih.

BN Kedah sangat tertekan sebagai pentadbir sebuah kerajaan yang sudah lima bulan berkuasa. Mereka sedar mereka tidak berbuat apa-apa projek besar untuk rakyat. Jika adapun, semuanya projek kerajaan Pusat. BN diberi mandat pada 5 Mei 2013 di Kedah bukan kerana mereka hebat tetapi kerana wang dan undi pos. Selepas berkuasa baru kerja mereka dinilai. 

Mengapa mesti pilih Ustaz Azam, bukan Dr. Sohaimi?

Ramai terkejut apabila tiba-tiba nama Dr. Sohaimi Md Lazim bekas pensyarah UPSI diumumkan sebagai calon BN. Dr. Sohaimi langsung tiada dalam senarai bakal-bakal calon pilihan rakyat. Dia cuma calon dari proksi Dato’ Seri jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Nama Dr. Suhaimi diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Umno  sehari selepas pemilihan Umno Bahagian Jerai yang menyaksikan Dato’ Suhaimi Abdullah ditewaskan oleh Jamil Khir. Jika tidak kerana Jamil Khir menang ketua bahagian, nama Dr. Sohaimi hampir pasti tiada dalam senarai menunggu sekalipun.

Oleh kerana Jamil Khir yang memimpin Umno Jerai maka kumpulan beliau juga yang akan menerajui gerakerja PRK Sungai Limau. Manakala Dato’ Suhaimi dan kumpulannya menjadi orang yang tersisih dari parti. Masakan Najib hendak membiarkan pihak yang kalah memimpin PRK yang akan menentukan maruah Umno dan BN kerana orang yang kecewa biasanya sanggup melakukan apa saja. 

Jamil Khir pula tidak bodoh untuk mengusulkan calon dari pihak yang menentangnya. Dari kajiselidik dari beberapa kumpulan professional, nama Dato’ Suhaimi mendapat tempat tertinggi dari kalangan orang Umno yang mendapat sokongan penduduk Sungai Limau. Jika namanya terpilih mewakili BN maka peluang BN menjadi lebih baik, sekalipun harapan untuk menang masih samar.
Selepas kalah pemilihan Bahagian, Dato’ Suhaimi menjadi ‘lebai malang’ kali kedua apabila namanya dicantas sebagai calon. Sewaktu PRU13, ada sumber dalaman memberitahu bahawa terdapat perjanjian antara mereka berdua. Lebihkurang maksud perjanjian tersebut ialah ‘Suhaimi tak ganggu Jamil Khir jadi calon Parlimen mewakili BN, manakala Jamil Khir tidak akan mengganggu jawatan Ketua Bahagian Jerai yang dipegang Suhaimi’. Malangnya, menurut sumber tersebut, janji Jamil Khir tidak ditepati.

Mukhriz yang dulu bukanlah yang sekarang


Bersama-sama mereka juga adalah para lelaki yang memakai baju hitam ala Perkasa, duduk beramai-ramai di atas jalanraya di hadapan Wisma Darul Aman. Mereka turut menahan setiap kereta yang keluar dari Wisma Darul Aman, mengarahkan cermin kereta diturunkan kononnya untuk mempastikan supaya Menteri Besar tidak terlepas keluar.

Apa yang diperjuangkan oleh kumpulan tersebut? Mereka menuntut supaya Kerajaan Negeri membatalkan projek pembinaan jirat Cina di atas tanah seluas 190 ekar di Sungai Kob. Hujah mereka tanah tersebut berstatus Simpanan Melayu serta jirat Cina tersebut tidak sesuai diadakan di kawasan yang terdapat ramai penduduk Melayu/Islam. Mereka menuduh projek tersebut diluluskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Kedah walhal ianya diluluskan di zaman BN.

Persoalannya setelah BN kembali berkuasa, apa sudah jadi dengan tuntutan kumpulan tersebut? Sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi oleh pihak kerajaan negeri bahawa projek itu telah ditarik balik. Namun Umno dan Perkasa yang dilihat menjadi dalang mengapikan isu rasis dahulu, kini semacam sudah berpuas hati tanpa sebab.

Teori mudah pertahan kerusi PAS di Sungai Limau

Saya pernah mendedahkan sebuah kajian yang dibuat oleh sebuah badan professional beberapa minggu sebelum parlimen dibubarkan untuk PRU13. Perihal di seluruh negara, secara umumnya sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat merosot sebanyak empat peratus berbanding enam bulan sebelumnya.

Apa yang mengejutkan dalam kajian tersebut ialah kemerosotan sokongan Melayu terhadap Pakatan berlaku paling teruk di Kedah, iaitu sebanyak 9 peratus! Jika pada September 2012 sokongan Melayu untuk Pakatan ialah 53 peratus, namun Mac 2013 sokongan merosot tinggal 44 peratus sahaja. Mengikut kajian tersebut, kerusi DUN yang mampu dimenangi oleh Pakatan Rakyat di Kedah cuma 14.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar melahirkan kebimbangan Pakatan akan kalah di Kedah jika perkara tersebut tidak berjaya diatasi.

Berikutnya, Penerangan PAS Kedah mengambil tanggungjawab menghimpunkan semua tenaga penerangan bagi memberi taklimat khusus menangani isu kemerosotan sokongan Melayu.