Friday, May 31, 2013

Kalah kerana tertipu dengan jumlah yang ramai? Iktibar Perang Hunain


(Foto hiasan)

Teringatkan artikel yang saya tulis sebelum parlimen bubar untuk PRU13 lalu, perihal iktibar Perang Hunain iaitu: kalah akibat terlalu yakin bahawa tentera Islam akan menang kerana tenteranya lebih ramai. Inilah tulisannya...

Saat tumbangnya BN semakin hampir. Buktinya tampak jelas apabila di mana sahaja himpunan anjuran Pakatan Rakyat, walaupun tanpa upah, rakyat jelata hadir berpusu-pusu. Kehadiran untuk program BN ramai juga tetapi semuanya hadir kerana kerahan tenaga dan paksaan. Setiap program yang melibatkan kehadiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri maka semua kakitangan kerajaan dipaksa hadir, sekalipun ia program politik. Inilah kelebihan dan keaslian sokongan untuk Pakatan berbanding BN.

Selepas Parlimen dibubarkan nanti, keghairahan akan lebih terserlah di kalangan para penyokong Pakatan. Semua markaz pilihanraya Pakatan akan dihurung siang dan malam. Kehadiran rakyat dalam apa jua himpunan akan berlipat ganda berbanding sebelumnya. Kekuatan yang paling  meyakinkan Pakatan untuk menang ialah sokongan bukan Melayu, khususnya kaum Cina. Mereka jadi undi penentu terhadap kemenangan Pakatan di banyak lokasi. Waktu itu amat sukar untuk setiap benak sanubari aktivis pembangkang yang telah terdera separuh abad oleh kerajaan memerintah untuk tidak meyakini bahawa 'ini kalilah' Pakatan akan menerajui Putrajaya.

Asas untuk kepercayaan itu ialah; bilangan rakyat yang menyokong Pakatan sudah tampak besar. Hukum demokrasi macam itu, yang ramai mesti menang.

Dalam Pakatan ada tiga komponen parti utama, yang paling ramai ahli dan penyokong ialah PAS. PAS wujud hampir di semua tempat di akar umbi. Di lokasi yang tiada cawangan dan ahli pun sekurang-kurangnya ada penyokong. Ia berbeza dengan DAP dan KeADILan. Di samping ramai bilangan ahli, PAS berbeza dengan rakan tahaluf kerana meletakkan Islam sebagai dasar dan matlamat di peringkat organisasi. PAS ada tarbiyah berasaskan Islam.

Wednesday, May 29, 2013

Belum sebulan perintah Kedah, Umno sudah lunak kepada tuntutan rasis Gerakan




Apakah selepas ini Umno akan bangunkan semula pusat potong babi di kampung Berjaya demi Gerakan?

Exco yang memegang potfolio Kerajaan Tempatan negeri Kedah, Badrul Hisham Hashim mengumumkan kesediaan mengkaji bagi mengembalikan semula kuota perumahan 30 peratus untuk Bumiputera bagi Tanah Simpanan Melayu yang ditukarganti (swapping). Kenyataan yang dibuat selepas dilantik jadi Exco itu sangat mengejutkan oleh sebuah kerajaan Umno kononnya sangat kuat Melayunya. Di saat sekutu parti rasis itu berkempen memboikot perniagaan orang Cina, Umno Kedah korbankan hak Melayunya untuk 'disedekahkan' kepada orang Cina?

Di masa Pakatan Rakyat, Ustaz Azizan mengubah polisi asal pemilikan minimum Bumiputera 30 peratus kepada 50 peratus. Tujuannya untuk mempastikan pemilikan Bumiputera terhadap tanah yang asalnya milik Melayu khususnya di kawasan bandar tidak berpindah milik dengan mudah. Polisi itu mendapat tentangan keras dari Gerakan dan MCA sepanjang penggal. Ia dijadikan isu utama oleh kedua-dua parti rasis itu untuk menghasut orang Cina menolak PAS.

Dalam meredakan kemarahan masyarakat Cina yang termakan hasutan rasis Gerakan dan MCA itu, Dato’ Ir. Phahrolrazi Zawawi yang memegang potfolio kerajaan tempatan pada masa itu menjelaskan bahawa tanah Simpanan Melayu yang diswapping cuma sekitar 15 peratus dari tanah perumahan yang akan dimajukan.

Kira-kira 70 peratus lagi adalah berstatus milikan bebas (free hold) di mana kuota untuk Bumiputera hanya 30 peratus, bermakna bukan Bumiputera boleh membeli sehingga 70 peratus.

Saturday, May 25, 2013

Mentelaah konspirasi kotor kerajaan minoriti Umno


Sewaktu menulis ruangan ini, ketika ini, saya mendapat maklumat dari rakan-rakan peniaga akhbar di Bandaraya Alor Setar bahawa gerombolan dari Kementerian Dalam Negeri bertindak merampas akhbar Harakah, Roket dan Suara KeADILan. Lama benar tidak mendengar KDN bertindak demikian terhadap akhbar yang menjadi suara rasmi parti-parti dari Pakatan Rakyat. 

Pegawai KDN biasanya tidak bertindak sewenang-wenangnya dalam isu yang berkaitan parti politik tanpa arahan dari Menteri. Dalam amalan politik Malaysia, Menteri Dalam Negeri pula tidak akan berani bertindak sendirian jika tanpa arahan dari Perdana Menteri.

Ketika rencana ini ditulis juga tersebar berita bahawa tiga pemimpin utama Pakatan ditahan polis. Mereka ialah aktivis PAS Datuk Tamrin Ghafar, Naib Presiden KeADILan Tian Chua dan penggerak NGO Asal Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim. Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Cikgu Bard juga kononnya dicari polis. Berita panas seperti itu sangat pantas tersebar, maklumlah ini zaman ICT.

Semalam di hadapan Balai Polis Jinjang, 18 rakyat biasa yang memberi simpati terhadap Adam Adli yang ditahan kerana dituduh menghasut; telah diberkas pihak berkuasa. Mereka bukan penyamun atau perompak tetapi orang awam yang hadir dengan tangan kosong untuk  bangun menentang kezaliman kerajaan BN terhadap Adam Adli.

Hari ini Adam Adli, aktivis muda yang sering memperjuangkan kebebasan demokrasi didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 4(1)(B) Akta Hasutan, berikutan ucapannya pada 13 Mei lalu yang kononnya menghasut rakyat.

Rakyat baru sahaja selesai menghabiskan siri bantahan di seluruh negara (Black 505) berhubung dakwaan penipuan PRU13. Penipuan itu menyebabkan Umno (Nota: lebih tepat menggunakan Umno, bukannya BN) berjaya memperolehi undi popular 47 peratus. Kemuncak siri bantahan yang dianjurkan oleh berpuluh buah NGO tersebut akan berlaku pada 25 Mei ini di Selangor. Sehingga rencana ini ditulis, perhimpunan belum berlaku namun melihat kepada senario awal manipulasi BN terhadap isu tersebut ia kelihatan tidak akan dibiarkan berlaku secara aman.

Persoalan menarik ialah, mengapa kerajaan minoriti Najib Razak kelihatan seolah-olah memilih suasana tidak tenteram ini berlaku? Umno mempunyai kuasa Persekutuan dan penguasaan sepenuhnya terhadap media utama negara. Mencipta kegelisahan untuk menagih sokongan bukan kali pertama dibuat oleh Umno. Ia sudah dibuat berkali-kali sejak merdeka.

Modus Operandi yang paling licik dan 'berjaya' digunakan Umno ialah ketika Operasi Lallang 1988. Umno yang mencetuskan suasana tidak tenteram, membakar isu rasis tetapi pemimpin pembangkang yang menjadi mangsa. Jika ada pun pemimpin Umno yang ditahan di peringkat awal maka ia cuma sandiwara untuk menipu rakyat bahawa kerajaan bertindak adil. Namun selepas itu berbondong-bondong pemimpin pembangkang disumbat ke lokap.

Jangan terkejut kalau selepas ini beberapa pemimpin Umno dan Perkasa juga ditahan pihak berkuasa demi mengaburi mata orang kampung di luar bandar yang tiada talian internet. Masa itu rakyat Malaysia hanya berbicara mengenai pemimpin politik yang ditahan dan dakwa di mahkamah. Atau keganasan pihak berkuasa membelasah rakyat di mana-mana perhimpunan. Mereka tidak lagi memberi tumpuan kepada isu penyelewengan pilihanraya dan ketidakadilan sistem demokrasi di Malaysia yang menjadi isu pokok.
Selalunya begitulah, bila muncul isu yang lebih brutal maka isu pokok tuntutan rakyat akan diketepikan. Ulamak-ulamak Umno pun akan muncul di kaca televisyen memberi fatwa bahawa haram menyokong keganasan walhal tuntutan perjuangan rakyat tidak diulas sepatah pun. Walhal juga, pihak mereka yang memulakan keganasan. Ahli-ahli akademik berkepentingan, professor kangkung serta pemimpin NGO yang disumbat mulut dengan wang ringgit pun muncul mempertahankan kezaliman Umno dengan hujah bersulam kewarasan, kononnya.

Sekarang, secara mutlak Umno sudah berjaya menguasai Malaysia dengan majoriti mudah. Kalau kelebihannya cuma 10 kerusi sekalipun Umno tidak perlu susah hati. Mereka memiliki polis, tentera serta semua jentera kerajaan Persekutuan. Pertukaran hanya diizinkan berlaku lima tahun dari sekarang. Jadi Umno peduli apa? Umno tidak perlu runsing untuk memikirkan kejatuhan kerajaan sekarang ini. Dan sekarang adalah masa terbaik untuk mereka melakukan kezaliman dan kekerasan terhadap pembangkang. Biarkan saja jika ada rakyat (khususnya orang Melayu) yang bersimpati terhadap pembangkang kerana Melayu mudah lupa. Lima tahun lagi orang Melayu hanya perlu 'dirasuah' dengan pelbagai umpan kebendaan untuk menyokong Umno. Umno tidak pernah takut untuk kehilangan kuasa kerana yakin ada kalangan rakyat yang boleh mereka berbodohkan dengan mudah.

Pakatan harus mengkagumi Umno dari aspek konspirasi jahat. Mereka ternyata sangat unggul! Mungkin Yahudi APCO yang dibayar RM77 juta menggunakan duit rakyat masih berperanan sebagai penasihat. Percayalah bahawa rentetan kekerasan yang akan muncul selepas ini bukan keputusan sambil lewa ataupun terdesak, tetapi keputusan yang dibuat dengan perancangan yang sangat rapi.

Jika begitu congak politiknya, para pemimpin Pakatan perlu menangani permainan kotor Umno dalam masa terdekat ini dengan perhitungan yang lebih baik.


Monday, May 20, 2013

Jangan seluruh perjuangan hanya untuk belek 'peti undi'

(Nota: Tulisan ini sama sekali tidak ditujukan kepada gerakan membantah penipuan PRU13 - Black 505, teruskan!) 

(Hiasan)

Islam adalah addin yang syumul (lengkap dan menyeluruh). Rasulullah SAW memperjuangkan kesyumulan Islam. Selepas kewafatan baginda, Islam dipertahankan oleh pemerintahan yang dipimpin oleh Khulafa' ur-Rashidin. Pemerintahan Islam sambung menyambung selepas itu. Khilafah Islam yang terakhir ialah kerajaan Usmaniah Turki. Selepas itu tiada lagi kerajaan yang mendaulatkan kesyumulan Islam.

Muncul selepas itu ialah jamaah-jamaah yang berjuang ke arah perlaksanaan Islam yang syumul. Bermula dengan pembinaan peribadi Muslim sehinggalah kepada cadangan pembentukan sebuah negara Islam. Di Malaysia, PAS adalah satu-satunya jamaah Islam yang memperjuangkan kesyumulan itu.


Politik merupakan satu aspek perjuangan Islam yang menjadi keutamaan PAS. Namun jika tanpa penyertaan dalam pilihanraya pun, PAS mempunyai banyak agenda lain yang menjadi aspek-aspek penting mewujudkan kesyumulan Islam. PAS mengusahakan pendidikan, pembinaan aqidah, penyempurnaan ibadah, dakwah dan pelbagai bentuk pengislahan dalam masyarakat.

Friday, May 17, 2013

Masa untuk memperbaiki konflik dalaman PAS Kedah



Tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dikaitkan dengan perpecahan dalaman yang berlaku dalam kepimpinan PAS negeri. Sukar untuk menafikan berlakunya pergolakan tersebut kerana kemelut yang melanda PAS Kedah menjelang pelantikan semula Exco kerajaan negeri pada awal tahun 2012 diperhatikan dengan penuh minat oleh seluruh rakyat Malaysia.

Empat tahun pentadbiran kerajaan kelihatan berlalu dengan baik dan cemerlang. Tiba-tiba orang nombor dua dalam parti dan dalam kerajaan negeri kelihatan bermasalah dengan orang nombor satu, sehingga terpaksa campurtangan oleh PAS Pusat untuk menyelesaikannya. Perkara tersebut memang tidak dapat disembunyikan kerana di sebelah pihak yang terbabit dengan konflik tersebut sengaja mempamerkannya kepada media. Media yang digunakan pula ialah media talibarut Umno yang sepanjang sejarah tidak pernah bersimpati dengan perjuangan PAS. Media telah mengeksploit isu tersebut habis-habisan sehingga wajah PAS ketika itu benar-benar hodoh di mata rakyat.

Saya tidak berhasrat menghakimi konflik yang seantero negara sudah mengetahuinya itu kerana yakin, kedua-dua pihak ada hujah untuk dipertahankan. Pun terdapat juga aspek tidak betul pada kedua-dua belah pihak. Dari sudut tertentu, lebih kurang pertikaian belanga dan kuali, bontot siapa lebih hitam. Para penyokong puak yang berkonflik sekalipun berbeza sikap dan pandangan tetapi boleh sama-sama bersetuju dalam satu perkara, iaitu: Menuduh lawan masing-masing sebagai gila kuasa dan menjadi pengkhianat parti.

Wednesday, May 15, 2013

Penerima rasuah pilihanraya menjadi 'majoriti senyap'?




Terlalu banyak analisis berhubung keputusan PRU13. Apa yang nyata ialah Pakatan Rakyat telah berjaya mengumpul sokongan majoriti rakyat Malaysia, namun masih belum dapat menumbangkan kerajaan tua BN lantaran kemenangan menguasai Parlimen ditentukan oleh jumlah kerusi. Kerusi pula ditentukan oleh persempadanan kawasan pilihanraya. Sistem demokrasi Malaysia tinggalan penjajah British ini sudah ketinggalan zaman tetapi ia tetap diamalkan kerana memberi keuntungan kepada pihak pemerintah.

Di peringkat nasional, sekalipun BN menang tetapi mereka tetap merasai kesuraman berdasarkan kemerosotan sokongan dan jumlah kerusi dimenangi. Satu-satunya negeri di mana penyokong BN menikmati kemenangan ialah Kedah. Mereka berjaya menawan Kedah dengan memperolehi 21 kerusi berbanding 15 oleh Pakatan. Dari segi undi popular peringkat DUN, Pakatan memperolehi 434,641 undi atau 48 peratus manakala BN memperolehi 444,258 atau 49.61 peratus. Perbezaannya cuma 17,137 undi atau 1.61 peratus.

'Mengapa PAS kalah di Kedah?' menjadi soalan yang cukup popular di kalangan rakyat Malaysia. Ia lebih popular dari 'mengapa PAS kalah tipis di Terengganu?'. Selangor adalah negeri Pakatan yang paling dahsyat diserang. Semua media menjadikan serangan untuk selangor sebagai agenda wajib harian selama lima tahun. Iklan untuk Selangor muncul di televisyen saban waktu sehingga kanak-kanak dapat menghafal lirik lagunya. Tiada iklan dan lagu untuk Kedah. Alih-alih Pakatan menang besar di Selangor dan kalah pula di Kedah.
Apabila BN menang di Kedah, tidak bermakna semua strategi mereka adalah betul dan semua strategi yang dibuat oleh Pakatan salah dan menyumbang kepada kekalahan. Menang atau kalah juga tidak ditentukan oleh hanya satu dua faktor. Pelbagai faktor turut menyumbang, cuma sama ada sumbangan itu kecil atau besar sahaja.

Faktor utama yang masih relevan sejak merdeka sehingga kini ialah BN (dulunya Perikatan) memiliki dan menguasai 3M. Duit yang banyak (money), media berat sebelah (media) dan jentera kerajaan yang disalahgunakan (machinery) adalah faktor yang hanya memihak kepada BN. Pada hukum adatnya, tanpa 3M BN sudah lama hilang kuasa di Malaysia. Ada pecacai Umno yang berhujah, kalau BN memiliki 3M sebagai kelebihan mengapa PAS boleh menang juga di Kelantan. Jawabnya, jika tanpa 3M BN bukan setakat kalah tetapi kalah teruk di Kelantan, bahkan calon BN mungkin hilang deposit!

Semua media elektronik (maksudnya radio dan televisyen) di negara ini berkempen untuk BN 100 peratus. Kecuali Zimbabwe, tidak ada negara demokrasi lain di dunia ini yang parti politik memerintah mencengkam sepenuhnya media tersebut. Siapa yang boleh menafikan bahawa peranan media tersebut sebagai sangat berkesan di kalangan rakyat? Jurang kemenangan BN di Kedah cuma 1.61 peratus, sedangkan peratus rakyat Kedah yang bergantung harap kepada televisyen semata-mata sebagai sumber maklumat jauh lebih besar dari itu.

Menyalahgunakan jentera kerajaan dilakukan oleh BN tanpa rasa bersalah. Mereka mengerahkan semua kakitangan kerajaan menggunakan surat rasmi ketua jabatan untuk hadir dalam program kempen BN. Calon BN dari kalangan menteri dan timbalan menteri mengerahkan tenaga kementeriannya untuk membantu. Peruntukan dan logistik kerajaan digunakan oleh BN menjadi perkara biasa. Tiada siapa dapat membetulkan kepincangan ini.

Pakatan tumbang oleh undi Melayu di Kedah



Beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan, saya dan beberapa penggerak isu semasa di Kedah dipanggil oleh Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar. Kami meneliti meneliti sebuah kajiselidik yang dijalankan oleh sebuah badan professional. Perihal di seluruh negara, secara umumnya sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat merosot sebanyak empat peratus berbanding enam bulan sebelumnya.

Apa yang mengejutkan dalam kajian tersebut ialah kemerosotan sokongan Melayu terhadap Pakatan berlaku paling teruk di Kedah, iaitu sebanyak 9 peratus! Jika pada September 2012 sokongan Melayu untuk Pakatan ialah 53 peratus, namun Mac 2013 sokongan merosot tinggal 44 peratus sahaja. Mengikut kajian tersebut, kerusi DUN yang mampu dimenangi oleh Pakatan Rakyat di Kedah cuma 14. Mahfuz melahirkan kebimbangan Pakatan akan kalah di Kedah jika perkara tersebut tidak berjaya diatasi.

Berikutnya, Penerangan PAS Kedah mengambil tanggungjawab menghimpunkan semua tenaga penerangan bagi memberi taklimat khusus menangani isu kemerosotan sokongan Melayu.

Datuk Mahfuz Omar ketika membentangkannya menjelaskan, antara faktor utama kemerosotan sokongan Melayu ialah pemberian BR1M 2.0. Namun di Kedah, katanya, terdapat faktor-faktor khusus yang menambah penolakan terhadap Pakatan. Isu terbesarnya ialah 'penebangan balak secara rakus'. Kali pertama dalam sejarah negara, isu alam sekitar mendapat perhatian dari masyarakat Melayu. Isu lain ialah kepimpinan PAS yang dilihat berpecah dan kemelut Kolej Universiti Insaniah. Maknanya, isu khusus dalam pentadbiran Kedah yang menyumbang penolakan orang Melayu terhadap kerajaan negeri. Soal sama ada kerajaan benar-benar gagal adalah persoalan lain, namun BN yang menguasai segenap media berjaya membina persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan negeri.

Di samping tenaga penerangan peringkat negeri diperjelaskan mengenai isu-isu tersebut untuk ditangani, Penerangan Negeri turun hingga ke kawasan memberi taklimat.
Kebimbangan tersebut pernah saya catatkan di ruangan ini, menjelang hari pembubaran Parlimen. Berikut antara petikannya;

"Secara jujur saya sempat mengikuti hasil kajiselidik yang menampakkan Pakatan menghadapi sedikit masalah di kawasan majoriti Melayu dan sebaliknya di kawasan pengundi bercampur. Jangan fikir bahawa isu BR1M, pembalakan, kalimah Allah, DAP, Kristian, kenyataan Nurul Izzah mengenai kebebasan beragama, Tian Chua dalam isu Lahad Datu - langsung tidak memberi bekas kepada pengundi Melayu. Ia berkesan sehingga berjaya melarikan 4 peratus sokongan Melayu!

Selangor menjadi negeri Pakatan yang diserang bertalu-talu oleh media talibarut BN berbanding Kedah, namun sedikit mengejutkan kerana kedudukan Selangor menjadi jauh lebih baik dari Kedah, malah hampir pasti akan mengekalkan penguasannya dalam PRU13.

Situasi terkini menunjukkan bahawa Pakatan perlu bekerja berkali ganda di Kedah dalam usaha mempertahankan kerajaan negeri."

Memang jentera Pakatan Kedah telah bekerja berkali ganda dalam PRU ini dalam usaha mempertahankan kerajaan negeri Kedah. Namun terdapat isu yang perlu ditangani dengan penyelesaian atau gambaran penyelesaian, ia tidak berlaku. Ia tidak boleh dijelaskan melalui ceramah.

Isu ribuan penduduk Baling yang menghirup air keruh saban hari dari bekalan air masyarakat Gunung Inas tidak boleh dijelaskan di pentas pidato. Ia hanya selesai jika penduduk mendapat bekalan air bersih semula dan ia tidak mungkin berlaku apabila hutan digondolkan. Orang kampung tidak mahu tahu manfaat ladang rakyat, jika air yang menjadi keperluan asas mereka tercemar teruk.

Untuk PRU13, faktor calon tidak jadi penentu menang atau kalah di Kedah


Datuk Wan Salleh Wan Isa dilaporkan akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan KeADILan Kedah dan Ketua Cabang Langkawi. Beliau kecewa terhadap kepimpinan parti itu di peringkat Pusat yang enggan mendengar suara kepimpinan negeri dalam soal pemilihan calon sehingga menyebabkan tiga dari tujuh kerusi Parlimen dan enam dari sepuluh kerusi DUN yang ditandingi parti itu kalah.

Ulasan seperti yang dibuat oleh Datuk Wan itu (jika benar seperti laporan media) boleh kita dapati 'bersepah-sepah' di negara ini oleh ramai pengulas politik, selepas selesainya PRU13 ini. Maksudnya, meletakkan alasan kekalahan atas satu-satu faktor sahaja. Selain faktor calon, ada pihak yang menjadikan 'konflik PAS Kedah' sebagai penyebab, isu balak, Kolej Universiti Insaniah, kesihatan Menteri Besar, pusat hiburan, kemerosotan prestasi bolasepak dan sebagainya sebagai penyebab. Faktor-faktor tersebut boleh diterima sebagai penyebab kekalahan jika digabungkan kesemuanya, namun di kalangan itu tiada satu pun faktor yang terlalu kuat untuk bersendiri; sebagai penyebab kekalahan Pakatan mempertahankan kerajaan negeri Kedah.

Berdasarkan keputusan yang diperolehi, tidak benar KeADILan kalah di beberapa kerusi DUN yang ditandingi kerana silap pilih calon. Calon KeADILan kalah di Kuah dengan majoriti 6,371 berbanding jumlah pengundi seramai 17,406, kalah di Bukit Kayu Hitam 7,873 dari 29,228 pengundi, kalah di Pedu 2,960 dari 20,309 pengundi dan kalah di Gurun 1,296 berbanding 26,037 pengundi. Melihat kepada angka majoriti yang diperolehi BN, siapa pun calon memang sukar untuk menang. Kekalahan tipis yang dicatatkan ialah di Bakar Bata iaitu 895 dari 28,186 pengundi tetapi calon BN, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah adalah nama besar yang sejak dahulu tak pernah kalah di situ. Kekalahan yang dikaitkan dengan faktor calon juga ialah di Kulim. Cina yang menjadi penyokong kuat Pakatan merupakan 22.3 peratus pengundi tetapi KeADILan kalah dengan 898 undi. Andaian yang dibuat, calon Pakatan tidak terkenal, jika calon lain mungkin menang. Bagaimana pula dengan kerusi Parlimen yang menaungi DUN Kulim iaitu Kulim Bandar Baharu. Pengundi Cina kira-kira 20 peratus, calonnya ialah tokoh yang sangat hebat iaitu Datuk Saifuddin Nasution tapi beliau kalah juga.

Datuk Wan Salleh yang juga selaku Ketua Cabang Langkawi menyifatkan KeADILan Pusat silap tentukan calon. Calon KeADILan Langkawi, Ahmad Abdullah kalah dengan majoriti 11,861 undi. Jangankan kalau diletak Datuk Wan di Langkawi, jika Datuk Seri Anwar yang bertanding pun tak akan mampu mengambus majoriti yang sebesar itu.

Bagi calon PAS yang kalah pun sama saja situasinya. Ada orang berkata, "Jika Taib Azamudin yang bertanding di Baling tentu boleh menang." Calon PAS Datuk Najmi Ahmad kalah di Baling dengan majoriti 5,185, tidak guna 'berjika' kerana sehebat mana pun faktor peribadi calon tidak akan dapat mengumpul sokongan di luar lingkungan parti melangkaui jumlah sebesar itu. "PAS kalah di Pendang kerana letak Mat Sabu, jika calon lain boleh menang... " Jika dan jika ini dilontarkan untuk beberapa tempat di mana PAS kalah tetapi terdapat pertikaian terhadap calon oleh pihak tertentu. Antaranya ialah Parlimen Jerlun (majoriti 3,270), Pendang (2,638), DUN Jeneri (2,060), Bayu (4,132), Pantai Merdeka (1,707) dan Bandar Baharu (2,069).

Kesimpulannya, senario di Kedah untuk PRU13 ini, faktor calon tidak lagi jadi penentu seperti PRU12 lalu. Pada PRU12 lalu, Ustaz Nasir Zakaria menang di Parlimen Padang Terap walaupun kedua DUN di bawahnya Pakatan kalah. Datuk Mukhriz Mahathir menang Parlimen Jerlun majoriti 2,205 walaupun berdasarkan perolehan undi DUN yang dinaunginya BN kalah. Datuk Chor Chee Heung menang di Parlimen Alor Setar, walaupun berdasarkan perolehan undi DUN BN kalah kira-kira 3,000 undi. Che Uda Che Nik menang Parlimen Sik walaupun jumlah perolehan DUN yang dinaunginya PAS kalah. Ustaz Firdaus Jaafar menang Parlimen Jerai, sekalipun jumlah perolehan DUN yang dinaunginya PAS kalah.

Untuk PRU13 ini perolehan undi untuk DUN dan Parlimen adalah seragam bagi semua kawasan. Perbezaan tetap ada tetapi jumlahnya terlalu kecil. BN telah meminimumkan undi protes. Banyak bahagian bagi BN di mana berlakunya bantahan oleh pihak tertentu yang tidak tercalon. Protes juga dizahirkan melalui penajaan calon bebas atau bakal calon tidak terpilih bertanding bebas. Apabila undi selesai dikira semua undi proksi calon pesaing BN (dari kalangan mereka sendiri) memperolehi undi yang sangat kecil. Contohnya Mohd Yusof Lazim (Pantai Merdeka) mendapat 316 undi, Fadzil Hanafi (Alor Mengkudu) 325 undi dan Sobri Ahmad (Sungai Limau) 100 undi.

Ada pandangan yang mengatakan Pakatan Rakyat turut membantu BN mengurangkan undi protes. Apabila slogan Tawan Putrajaya dilaungkan saban waktu, ahli-ahli dan penyokong BN jadi cemas. Sebelum ini sebahagian mereka cuma mahu mengajar pemimpin melalui undi protes sambil percaya BN akan terus berkuasa. Tetapi kali ini mereka benar-benar takut melakukan undi protes kerana khuatir BN tumbang di Putrajaya.

Di kalangan PAS juga terdapat calon protes. Abu Bakar Abdullah (Tokai) hanya mendapat 136 undi dan Abdullah Hashim atau Lah 46 (Sungai Limau) hanya mendapat 84 undi. Jika dilihat manipulasi media talibarut BN menjelang PRU, Ustaz Azizan Razak ditolak oleh separuh ahli PAS di Kedah. Demonstrasi menyangggah Ustaz Azizan digambarkan berlaku di mana-mana, tapi di peti undi hanya 84 orang menyokong penentang beliau. Itu pun boleh jadi undi simpati dari saudara mara Lah 46, bukan kerana menolak Ustaz Azizan. Liew Kard Seong ahli DAP yang memprotes calon partinya, bertanding bebas di Kota Darul Aman hanya mendapat 38 undi. Nampaknya baik BN atau Pakatan, tahap kesetiaan terhadap parti adalah tinggi untuk PRU13 ini. Ini bermakna, mengundi berdasarkan parti mendominasi keputusan PRU kali ini.

Walaupun faktor calon menjadi tidak begitu penting di peti undi, namun dalam membuat pemilihan calon pihak parti tidak boleh pandang enteng. Masalah yang melanda banyak kawasan untuk PRU13 ini adalah berkaitan pemilihan calon. Secara sinis, ada pihak berkata ia ada kaitan dengan slogan 'PAS Ganti Umno'. Ahli-ahli PAS yang dibekalkan tarbiyah umumnya tidak akan membuat undi protes terhadap calon PAS. Mereka sekali-kali tidak tergamak mengundi BN. Cuma yang luntur ialah semangat bekerja dan kelemahan jentera, tidak dinafi akan menyumbang kepada kekalahan. Untuk pilihanraya yang akan datang, soal pemilihan calon hendaklah diselesaikan dari awal jangan biar berlarutan sehingga waktu tempoh perdana petugas perlu bekerja. Maksudnya selesaikan sebelum Parlimen dibubar.

Tuesday, May 14, 2013

Kali pertama buka blog

Assalamualaikum Wmt Wbr

Hari ini 5 Rejab 1434 Hijrah bersamaan 15 Mei 2013 buat kali pertama Zulkifli Yahaya dapat menulis di blog sendiri. Dah lama berhasrat nak memiliki blog sendiri tapi dibataskan dengan urusan lain yang lebih perlu diberi keutamaan (sekadar memberi alasan). 

Lima tahun diberi amanah memimpin Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah di bawah Pakatan Rakyat. 5 Mei lalu, Allah SWT mentakdirkan teraju pentadbiran bertukar tangan - Kedah kembali ke tangan BN. Maka rutin kerja harian pun hilang sekelip mata dan saya mempunyai masa terluang yang sangat lumayan buat masa ini. 

Terima kasih kepada Sdr. Azman Ahmad bekas staff Urusetia Penerangan yang juga pakar ICT PAS Kedah yang tolong saya membuka blog ini.

Saya akan manfaatkan sebaiknya blog ini untuk mencari keredhaan Allah.