Friday, May 17, 2013

Masa untuk memperbaiki konflik dalaman PAS Kedah



Tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dikaitkan dengan perpecahan dalaman yang berlaku dalam kepimpinan PAS negeri. Sukar untuk menafikan berlakunya pergolakan tersebut kerana kemelut yang melanda PAS Kedah menjelang pelantikan semula Exco kerajaan negeri pada awal tahun 2012 diperhatikan dengan penuh minat oleh seluruh rakyat Malaysia.

Empat tahun pentadbiran kerajaan kelihatan berlalu dengan baik dan cemerlang. Tiba-tiba orang nombor dua dalam parti dan dalam kerajaan negeri kelihatan bermasalah dengan orang nombor satu, sehingga terpaksa campurtangan oleh PAS Pusat untuk menyelesaikannya. Perkara tersebut memang tidak dapat disembunyikan kerana di sebelah pihak yang terbabit dengan konflik tersebut sengaja mempamerkannya kepada media. Media yang digunakan pula ialah media talibarut Umno yang sepanjang sejarah tidak pernah bersimpati dengan perjuangan PAS. Media telah mengeksploit isu tersebut habis-habisan sehingga wajah PAS ketika itu benar-benar hodoh di mata rakyat.

Saya tidak berhasrat menghakimi konflik yang seantero negara sudah mengetahuinya itu kerana yakin, kedua-dua pihak ada hujah untuk dipertahankan. Pun terdapat juga aspek tidak betul pada kedua-dua belah pihak. Dari sudut tertentu, lebih kurang pertikaian belanga dan kuali, bontot siapa lebih hitam. Para penyokong puak yang berkonflik sekalipun berbeza sikap dan pandangan tetapi boleh sama-sama bersetuju dalam satu perkara, iaitu: Menuduh lawan masing-masing sebagai gila kuasa dan menjadi pengkhianat parti.

Apa yang ingin difokuskan ialah kesan konflik tersebut terhadap PAS adalah besar. Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng mengulas, antara sebab utama kekalahan Pakatan di Kedah ialah kerana krisis dalaman yang melanda PAS. Dakwaan beliau adalah benar. Krisis itu bukanlah satu-satunya penyebab kekalahan Pakatan tetapi faktor itu sangat kuat untuk menyumbang kepada kekalahan.

Pertama, kerana ia merosakkan imej PAS yang mendominasi Pakatan di Kedah. Rakyat nampak PAS berebut jawatan, gila kuasa dan berperangai macam Umno. Baru satu penggal berkuasa sudah berkelahi sesama sendiri. Pertikaian sebenar tidaklah seburuk digambarkan. Rakyat menghakimi berdasarkan persepsi. Persepsi dibuat berdasarkan apa yang ditunjukkan. Pemimpin-pemimpin utama PAS Kedah pada masa itu gagal untuk menunjukkan bahawa mereka tidak bermasalah. Rakyat tidak mahu kepimpinan yang bermasalah menerajui kerajaan lalu mereka menolaknya.

Kedua, pertikaian menyebabkan jentera parti lemah sedangkan kemantapan jentera merupakan faktor penting memacu kemenangan. Memang, pertikaian dalaman tidak menyebabkan ahli PAS mengundi BN, seteruk-teruk ahli PAS tidak tergamak berbuat demikian tetapi jentera yang lemah tidak akan dapat bekerja untuk menambah undi. Dahulu orang PAS tidak pandai ugut menutup markaz, sekarang sudah pandai. Dahulu tidak sampai ke tahap taja calon bebas, sekarang ada orang PAS yang sudah pandai berijtihad menghalalkan taja calon bebas. Semua bentuk 'pembaharuan' akibat perpecahan ini adalah menjahanamkan parti.

Ketiga, PAS adalah parti Islam yang mendokong perjuangan memartabatkan akhlak dan syaksiyyah. Memutuskan silaturrahim sesama Muslim, apatah lagi sesama jamaah adalah perkara maksiat. Berkata Saidina Umar, "Kalau kamu sama perangai dengan musuh, mereka akan mempunyai kelebihan ke atas kamu kerana jentera mereka lebih hebat dan kamu pula tidak ditolong oleh Allah."

Kemenangan oleh kumpulan Islam berbeza dengan kumpulan yang tidak pernah meletakkan Islam sebagai asas dan matlamat. Kemenangan 'tentera' Islam adalah berdasarkan kekuatan taqwa. Seperti kata Ketua Pemuda PAS, Ustaz Hasan Tantawi, mengharapkan kemenangan dengan bantuan tentera Malaikat. Kemenangan pihak yang tidak memperjuangkan Islam adalah berasaskan kekuatan fizikal semata-mata, menang tanpa redha Allah (istidraj) yang tidak membawa apa-apa faedah di akhirat kelak.

Dalam sejarah PAS Kedah pertikaian dalaman era ini adalah yang terburuk setakat ini (walaupun tidaklah seburuk Umno). Ia benar-benar berlaku di beberapa kawasan di Kedah! Perlukah perkara ini didedahkan? Tak mengapa rasanya untuk kita bercakap secara terbuka sekarang kerana PRU14 lambat lagi akan berlaku. Sudah lama kita sembunyikan dari khalayak tapi masalah tak selesai juga. Tokoh-tokoh yang dikaitkan dengan konflik pun sudah tiada dalam kepimpinan PAS Kedah. Pesuruhjaya kini bertukar tangan. Timbalan dah letak jawatan. Pesuruhjaya baru kena tumpukan kerja menyatupadukan ahli-ahli PAS Kedah di beberapa kawasan yang kurang berpadu. Biarlah kesemua pertikaian dalaman diselesaikan dan PAS melangkah kaki memasuki PRU14 dengan aman dan kuat.

Selepas prestasi Umno merudum PRU12 lalu, mereka bercakap secara terbuka perihal perpecahan dalaman. Mereka meratibkannya dalam setiap kali perhimpunan agung Umno sehingga timbul ketakutan di kalangan ahli-ahli Umno bahawa mereka bakal kehilangan kuasa jika terus berpecah. Akhirnya mereka mencari formula penyelesaian sehingga Umno (bukan BN) menang lebih baik kali ini berbanding PRU12 lalu. Tidak salah belajar dari pengalaman musuh. Cuma cara penyelesaian yang berbeza dengan Umno, PAS guna tarbiah bukan duit atau pangkat. Kembalilah pada tarbiah.

4 comments:

  1. Pastinya PAS mmg komited utk menegakkan islam dlm Malaysia. Moga ia akan jd kenyataan. Namun begitu selain PAS kedah berjaya mentadbir kedah dgn cekap & amanah selama 5 tahun. PAS kedah perlu dgn rendah diri belajar dari kejayaan DAP di Pulau Pinang dan PKR di selangor. Kerana mereka bijak memenangi hati rakyat walau media BN rakus memburukkan pentadbiran mereka. Politik adalah seni mendapatkan kuasa bukan seni utk nk tunjuk kuasa pd rakyat. Kerana rakyat yg bg kuasa pd org politik.

    ReplyDelete
  2. Sikap bodoh ahli ialah apabila hanya pandai menghentam kelemahan pemimpin dan sikap keras kepala, tidak bersifat terbuka.

    Mereka melihat pemimpin mesti sempurna, kelemahan tidak ditampung dan dibantu dengan kekuatan sokongan ahli untuk menghilang kelemahan itu.

    Banyak penyakit ini berlaku dalam PAS walaupun ia dari ahli biasa, ia merupakan bibit boleh merosakkan PAS dari dalam, apa lagi ia dilakukan oleh kepimpinan tertinggi parti.

    Barahnya merosakkan parti dengan cepat. Inilah penyakit yang dihasilkan dari golongan al-Musta'jilun sebagaimana dinyatakan dalam teori gerakan Islam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  3. Bermuhasabah lah kita semua. Jangan ikut perangai golongan yang menyokong syaitan yang dikenali. Taat lah kepada kepimpinanan dan tegurlah pemimpin secara beradab..

    ReplyDelete