(Hiasan)
Islam adalah addin yang syumul (lengkap dan menyeluruh). Rasulullah SAW memperjuangkan kesyumulan Islam. Selepas kewafatan baginda, Islam dipertahankan oleh pemerintahan yang dipimpin oleh Khulafa' ur-Rashidin. Pemerintahan Islam sambung menyambung selepas itu. Khilafah Islam yang terakhir ialah kerajaan Usmaniah Turki. Selepas itu tiada lagi kerajaan yang mendaulatkan kesyumulan Islam.
Muncul selepas itu ialah jamaah-jamaah yang berjuang ke arah perlaksanaan Islam yang syumul. Bermula dengan pembinaan peribadi Muslim sehinggalah kepada cadangan pembentukan sebuah negara Islam. Di Malaysia, PAS adalah satu-satunya jamaah Islam yang memperjuangkan kesyumulan itu.
Politik merupakan satu aspek perjuangan Islam yang menjadi keutamaan PAS. Namun jika tanpa penyertaan dalam pilihanraya pun, PAS mempunyai banyak agenda lain yang menjadi aspek-aspek penting mewujudkan kesyumulan Islam. PAS mengusahakan pendidikan, pembinaan aqidah, penyempurnaan ibadah, dakwah dan pelbagai bentuk pengislahan dalam masyarakat.
Idealnya memanglah begitu. Namun mutakhir ini terdapat persepsi bahawa PAS telah memberi tumpuan berlebihan terhadap aspek politik sehingga banyak kerja asas lain yang terabai. Segalanya bermula dengan keghairahan bahawa kuasa sudah berada di muka pintu. Pasca Tsunami politik 2008, tumpuan terarah kepada menjayakan matlamat yang semakin hampir. Pertama kali majoriti dua pertiga BN berjaya dinafikan di samping berkuasa di lima negeri. Kira-kira sebelah kaki sudah berada di persada kuasa Pusat, cuma tinggal sebelah kaki lagi untuk melangkah masuk iaitu pada PRU13. Maka keghairahan ke Putrajaya berlarutan sepanjang lima tahun, dihangatkan lagi dengan pilihanraya kecil yang berlaku secara bersiri.
Kita tidak habis-habis bercakap dan mengulas isu politik, merancang program politik sepanjang masa tanpa bermusim. Di alam nyata dan medan maya, semua asyik bertumpu isu politik. Dahulu, ulamak sering mengingatkan masyarakat supaya jangan kesampingkan agama dengan politik. Politik juga satu aspek dari Islam. Nampaknya suasana hari ini terbalik, kita kena mengingatkan supaya penumpuan terhadap politik jangan sampai kesampingkan aspek-aspek lain dalam ajaran Islam kerana Islam itu syumul. Bukan politik semata-mata.
Keghairahan terhadap sesuatu menyebabkan tumpuan yang berlebih-lebihan diberikan. Tidak salah juga memberikan tumpuan terhadap perkara besar itu, persoalannya ialah sama ada elemen lain yang membina kesyumulan perjuangan Islam tidak diabaikan?
Antara aspek penting yang menjadi tunjang kekuatan jamaah ialah tarbiyah. Jika ukuran kekuatan sokongan terhadap parti dinilai melalui pilihanraya, maka ukuran kemantapan tarbiyah dinilai melalui walak, gerak kerja amal jamai dan apabila berlaku konflik. Hari ini tidak siapa dapat menafikan konflik dalaman PAS berlaku secara menyeluruh. Meskipun konflik belum sampai ke tahap UMNO tapi terdapat ahli PAS kini sudah 'pandai' mengatur calon, mengugut tutup markaz dan enggan berwalak kepada pemimpin.
Jika masalah tarbiyah beres, ahli-ahli PAS tidak menjadikan media sosial sebagai medan membelasah pemimpin parti serta melancarkan pertempuran sesama sendiri dengan cara yang tidak berakhlak seperti dua kelompok itu. Itu cerita di Kedah. Di tempat lain pun nampaknya sama saja.
Pilihanraya umum datang lima tahun sekali. Sementara musim pilihanraya belum sampai, agenda jamaah yang lain perlu diteruskan. Perjuangan bukan hanya untuk membelek peti undi. Pendidikan, pentadbiran, dakwah, amar makruf nahi mungkar, mualamat, kebajikan, ibadah, agenda menghasilkan ahli-ahli yang berkualiti dan sebagainya - semuanya penting. Semuanya perlu dibelek.
Di zaman Rasulullah SAW, Perang Badar berlaku pada tahun 2 Hijrah dan orang Islam telah menang. Pada tahun 3 Hijrah berlaku Perang Uhud. Perang Khandak berlaku 5 Hijrah dan Perang Tabuk berlaku 8 Hijrah. Perang tidak berlaku sepanjang masa. Para sahabat tidak mengasah pedang dan anak panah sepanjang waktu. Habis perang mereka berdakwah dan menjalankan kerja lain.
Khuatir juga apabila tumpuan berlebihan diberi untuk aspek politik, tumpuan terhadap pembinaan ahli berkualiti dikesampingkan, maka kita kecundang lagi dalam PRU14. Kali ini bukan kerana tipudaya musuh tetapi kerana ahli-ahli tidak cukup kualiti untuk menghadapi musuh, termasuklah kualiti pembinaan taqwa yang nampaknya semakin terancam dalam jamaah.
No comments:
Post a Comment