Wednesday, May 15, 2013

Penerima rasuah pilihanraya menjadi 'majoriti senyap'?




Terlalu banyak analisis berhubung keputusan PRU13. Apa yang nyata ialah Pakatan Rakyat telah berjaya mengumpul sokongan majoriti rakyat Malaysia, namun masih belum dapat menumbangkan kerajaan tua BN lantaran kemenangan menguasai Parlimen ditentukan oleh jumlah kerusi. Kerusi pula ditentukan oleh persempadanan kawasan pilihanraya. Sistem demokrasi Malaysia tinggalan penjajah British ini sudah ketinggalan zaman tetapi ia tetap diamalkan kerana memberi keuntungan kepada pihak pemerintah.

Di peringkat nasional, sekalipun BN menang tetapi mereka tetap merasai kesuraman berdasarkan kemerosotan sokongan dan jumlah kerusi dimenangi. Satu-satunya negeri di mana penyokong BN menikmati kemenangan ialah Kedah. Mereka berjaya menawan Kedah dengan memperolehi 21 kerusi berbanding 15 oleh Pakatan. Dari segi undi popular peringkat DUN, Pakatan memperolehi 434,641 undi atau 48 peratus manakala BN memperolehi 444,258 atau 49.61 peratus. Perbezaannya cuma 17,137 undi atau 1.61 peratus.

'Mengapa PAS kalah di Kedah?' menjadi soalan yang cukup popular di kalangan rakyat Malaysia. Ia lebih popular dari 'mengapa PAS kalah tipis di Terengganu?'. Selangor adalah negeri Pakatan yang paling dahsyat diserang. Semua media menjadikan serangan untuk selangor sebagai agenda wajib harian selama lima tahun. Iklan untuk Selangor muncul di televisyen saban waktu sehingga kanak-kanak dapat menghafal lirik lagunya. Tiada iklan dan lagu untuk Kedah. Alih-alih Pakatan menang besar di Selangor dan kalah pula di Kedah.
Apabila BN menang di Kedah, tidak bermakna semua strategi mereka adalah betul dan semua strategi yang dibuat oleh Pakatan salah dan menyumbang kepada kekalahan. Menang atau kalah juga tidak ditentukan oleh hanya satu dua faktor. Pelbagai faktor turut menyumbang, cuma sama ada sumbangan itu kecil atau besar sahaja.

Faktor utama yang masih relevan sejak merdeka sehingga kini ialah BN (dulunya Perikatan) memiliki dan menguasai 3M. Duit yang banyak (money), media berat sebelah (media) dan jentera kerajaan yang disalahgunakan (machinery) adalah faktor yang hanya memihak kepada BN. Pada hukum adatnya, tanpa 3M BN sudah lama hilang kuasa di Malaysia. Ada pecacai Umno yang berhujah, kalau BN memiliki 3M sebagai kelebihan mengapa PAS boleh menang juga di Kelantan. Jawabnya, jika tanpa 3M BN bukan setakat kalah tetapi kalah teruk di Kelantan, bahkan calon BN mungkin hilang deposit!

Semua media elektronik (maksudnya radio dan televisyen) di negara ini berkempen untuk BN 100 peratus. Kecuali Zimbabwe, tidak ada negara demokrasi lain di dunia ini yang parti politik memerintah mencengkam sepenuhnya media tersebut. Siapa yang boleh menafikan bahawa peranan media tersebut sebagai sangat berkesan di kalangan rakyat? Jurang kemenangan BN di Kedah cuma 1.61 peratus, sedangkan peratus rakyat Kedah yang bergantung harap kepada televisyen semata-mata sebagai sumber maklumat jauh lebih besar dari itu.

Menyalahgunakan jentera kerajaan dilakukan oleh BN tanpa rasa bersalah. Mereka mengerahkan semua kakitangan kerajaan menggunakan surat rasmi ketua jabatan untuk hadir dalam program kempen BN. Calon BN dari kalangan menteri dan timbalan menteri mengerahkan tenaga kementeriannya untuk membantu. Peruntukan dan logistik kerajaan digunakan oleh BN menjadi perkara biasa. Tiada siapa dapat membetulkan kepincangan ini.


Faktor paling kuat BN ialah memiliki dan menggunakan duit yang banyak untuk membeli sokongan rakyat. Duit ini mereka perolehi dari sumber dana kerajaan Pusat yang ditiriskan melalui pelbagai projek besar. Atau dari syarikat korporat yang dijanjikan projek atau telah dianugerahkan projek. Dilaporkan untuk satu kawasan Parlimen, BN memperuntukkan tidak kurang dari RM7 juta untuk pengurusan pilihanraya. Tidak pelik jika bahan kempen pilihanraya mereka memenuhi setiap ruang muka bumi Malaysia. Risalah dan bahan cetak fitnah bersepah-sepah. Duit untuk pekerja parti sangat lumayan. Khabarnya peruntukan untuk ahli yang cuba mengkhianati parti juga turut disediakan. Bekas wakil rakyat BN yang bertanding bebas, Ustaz Fadzil Hanafi mendedahkan beliau dihubungi sebanyak dua kali oleh wakil berkenaan meminta beliau menarik diri dan mengiytihar sokongan untuk calon BN. "Saya hanya diminta menyebut jumlah  yang diperlukan," ujarnya. Fadzil memilih untuk menolak demi maruah.

Faktor duit tidak terhenti setakat itu sahaja. Sehari dua menjelang hari mengundi para pengundi yang masih belum menunjukkan kecenderungan terhadap BN dibeli jiwa raganya. Dilaporkan, strategi yang digunakan mereka ialah dengan menyenaraikan kumpulan sasar tersebut. Penyokong BN tegar dan penyokong Pakatan tegar tidak termasuk dalam senarai tersebut. Mereka dikatakan, diberikan RM1000 seorang. RM500 sebelum mengundi dan RM500 lagi selepas mengundi jika calon berkenaan menang. Kaedah lain ialah menerimanya dengan syarat bersumpah. Umno menamakannya 'sumpah laknat' walaupun sumpah seperti itu tiada dalam ajaran Islam. 

Pengundi terperangkap sam ada dengan budi, janji atau sumpah. Pemberian BR1M, TR1M, lesen memandu percuma, baucer buku, rebat telefon pintar, KR1M dan pelbagai lagi (belum wujud dalam PRU lalu) - semuanya adalah berkaitan dengan duit. Maka faktor paling besar dan berpengaruh digunakan BN khususnya di kalangan orang Melayu ialah duit. Orang yang menyokong BN kerana duit ini menjadi 'majoriti senyap' yang benar-benar senyap. Mereka tidak berarak membawa bendera di jalanraya seperti penyokong Pakatan yang ghairah di hari-hari terakhir.

Sejak dahulu pun duit tidak pernah dikesampingkan oleh BN dalam PRU, tetapi kali ini diperkasakan lagi.

Jika duit menjadi faktor utama di kalangan orang Melayu, khususnya di luar bandar, mengapa sokongan untuk PAS masih utuh di Kelantan dan makin memberansangkan di Terengganu tetapi tidak di Kedah? Saya sudah menjelaskan awal tadi bahawa kecenderungan memilih pengundi tidak hanya ditentukan oleh satu dua faktor sahaja. Ada faktor khusus untuk Kedah. 

No comments:

Post a Comment