Friday, August 30, 2013

Jangan anggap kezaliman Saddam adalah dari ajaran Islam hanya kerana memusuhi Syiah




Terdapat kecenderungan yang salah dalam sikap sekelompok manusia; iaitu apabila sesuatu pihak dimusuhi maka semua pihak yang turut berperang dengan musuh tersebut adalah benar.

Sebab itu tidak pelik jika terdapat pemimpin politik dari PAS, KeADILan atau DAP yang menyertai Umno atau parti komponen BN, atau sekurang-kurangnya 'bersama' dengan mereka selepas individu berkenaan berkonfrontasi dengan parti sendiri. Walhal wadah  yang disertai (atau bersama) itu adalah pihak yang ditentang habis-habisan sebelum ini.

Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam pernah saling berseteru kerana merebut jawatan Timbalan Presiden Umno. Apabila Musa pula tiba-tiba bermusuh dengan Tun Dr. Mahathir atas beberapa sebab, maka beliau boleh bersama dengan Tengku Razaleigh untuk menjatuhkan Mahathir. Ia sekadar satu contoh. Banyak contoh lain dalam pengalaman politik Malaysia.

Cinta itu buta. Tapi bermusuh pun jadikan seseorang buta sehingga nampak semua seteru musuh adalah pembawa kebenaran. Agak terkejut juga apabila tiba-tiba hari ini bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein menjadi hero pujaan pihak yang menamakan diri mereka gerakan anti Syiah, kerana kejayaan membunuh orang-orang syiah ketika berkuasa. Kumpulan ini bergerak dengan agresif dan meluas. Mereka bukan sahaja memerangi ajaran syiah habis-habisan bahkan memerangi sesiapa sahaja yang tidak menyesatkan semua syiah.

Tuesday, August 27, 2013

Puak zalim juga bersandarkan 'Islam'



Susah untuk rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang berjiwa lembut, untuk memahami mengapa begitu kejam pihak tentera dan polis kerajaan haram Mesir menyerang, menyeksa dan membunuh rakyatnya sendiri yang turun dengan tangan kosong untuk membantah rampasan kuasa.Begitu banyak laporan yang tersiar di media maya melalui audio visual perihal kekejaman pihak tentera, termasuk menggunakan samseng membunuh rakyat dengan sewenang-wenangnya, meroboh dan membakar khemah penyokong Mohamad Morsi, menyerang orang ramai hingga ke dalam masjid bahkan sanggup membakar Rumah Allah itu. Ada tahanan yang sudah ditangkap, dibunuh begitu sahaja dalam trak yang berkunci dengan dilemaskan asap gas pemedih mata. Ada laporan menyebut terdapat yang ditembak sewaktu dalam tahanan.

Laporan terakhir menyebut bahawa lebih dua ribu orang awam dibunuh manakala lebih sepuluh ribu tercedera. Sehingga kita tertanya-tanya, jenis makhluk apakah polis dan tentera Mesir dan para pemimpin kerajaan yang memerintah Mesir kini? Kumpulan manusia atau binatang buas?

Namun di Mesir gambaran yang dipersembahkan oleh kerajaan Mesir terhadap rakyatnya berbeza dari apa yang kita kutip melalui media maya. Setelah semua rangkaian media bebas serta yang pro Morsi diharamkan, mereka mempropagandakan bahawa pihak tentera adalah pejuang yang mempertahankan negara dari kezaliman Ikhwan Muslimin, diseru untuk ikhlas dalam perjuangan dan taat kepada pemerintah yang sah. 

Dalam surat khabar dipaparkan senarai tentera yang terkorban dan dikatakan sebagai hero negara dan syuhada. Ayat-ayat Quran mengenai jihad dan mati syahid menghiasi ruangan akhbar pada muka surat yang menunjukkan senarai gambar dan nama tentera yang terkorban. 

Saturday, August 24, 2013

Pemikiran luar tabie Ustaz Fathul Bari



Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, sokongan yang diberikan oleh beberapa negara Arab terhadap kerajaan sementara Mesir yang merampas kuasa tidak semestinya bermakna mereka juga menyokong kezalimannya terhadap rakyat.

“Arab Saudi yang mengiktiraf kerajaan Mesir, tak semestinya menyokong kekejamannya,” katanya.

Hairan kita berpanjangan sebenarnya. Sehebat mana pun ulamak, bila kemudiannya menyertai parti sekular maka mereka lantas jadi dungu untuk memahami situasi semasa. Kadangkala cakap-cakap mereka tampak lebih jahil dari golongan yang jahil.

Semua tahu bahawa kerajaan Arab Saudi (bukan rakyatnya) dari awal menyokong penuh tindakan tentera menumbangkan sebuah kerajaan yang sah pimpinan Presiden Mohamed Morsi melalui rampasan kuasa. Saudi mengumumkan akan menyumbang sebanyak USD5 bilion kepada kerajaan haram yang merampas kuasa itu.

Bahkan pemerintah Saudi, Raja Abdullah Raja Abdullah Arab Saudi secara terang-terangan menyeru bangsa Arab untuk berdiri bersama-sama menentang "cubaan untuk menjejaskan kestabilan Mesir" (merujuk pada himpunan pro demokrasi) sewaktu kerajaan haram Mesir itu membunuh beribu-ribu rakyatnya, menyerang dan membakar masjid. Bagaimana Fathul Bari boleh keluar kenyataan; Arab Saudi iktiraf kerajaan tentera Mesir tidak semesti iktiraf kekejamannya. Ulamak muda Umno seorang ini butakah?

Sunday, August 18, 2013

100 hari Mukhriz, masih dibayangi Tun Mahathir


Datuk Mukhriz Mahathir - dengan imej jubah berkopiah muncul di mana-mana, di paparan billboard dan banner seluruh Kedah. Di luar papan iklan pun imej sebenar Mukhriz kelihatan agak 'Islamik'. Sewaktu para Exconya turun ke program rasmi dengan baju Melayu bersamping, Menteri Besar Kedah itu pula hanya berkopiah putih dan berkain pelikat. Di waktu Subuh, ramai jemaah masjid yang terkejut kerana tiba-tiba Mukhriz muncul bersolat subuh.

Jarang sekali para pemimpin Umno dapat turun ke pondok-pondok pengajian di Kedah tetapi Mukhriz boleh melakukannya. Beliau hadir dan diraikan. 


Dahulu, penguasa pusat pendidikan Islam, khususnya pondok dan sekolah agama rakyat di Kedah agak terasing dengan Umno. Mungkin kerana dianggap kubu PAS. Di era Mukhriz bukan setakat Umno tiada masalah dengan banyak pondok, NGO yang bergerak atas nama tahfiz dan pusat pengajian juga tidak kekok berkunjung hormat ke pejabat Menteri Besar. Itu kelebihan Mukriz yang tidak mampu dilakukan oleh Menteri Besar Kedah dari Umno sebelum ini.

Kuliah agama di Seri Mentaloon yang diwujudkan di zaman Ustaz Azizan, diteruskan selepas terhenti beberapa ketika, walaupun kehadiran orang ramai yang mengikuti kuliah jauh merosot. "Kita akan meneruskan apa-apa program yang baik untuk rakyat yang dimulakan oleh kerajaan lalu," katanya. Beliau meneruskan pemberian sumbangan saguhati untuk guru-guru Al-Quran dan bidan kampung. Khabarnya juga mereka akan meneruskan pemberian bantuan untuk para pelajar yang memasuki IPTA dan pemberian Kafalah seperti yang dimulakan oleh kerajaan lalu.

Wednesday, August 14, 2013

Raya sebulan hanya terdapat di Malaysia?


Sedih mengenangkan Ramadhan kita yang berlalu pergi. Biar begitu banyak pesanan Rasulullah SAW perihal kelebihan Ramadhan namun ia tidak dihayati oleh umat Islam seperti sepatutnya. Persoalan kehidupan di akhirat bukan perkara kecil. Ia jauh lebih besar dari isu yang sering diperkatakan saban hari - iaitu perihal kehidupan dunia.

Semua tahu di akhirat kita kekal selama-lamanya. Bekalan untuk bahagia di akhirat semuanya perlu disediakan di atas dunia. Biarpun bekalan kita tidak cukup di akhirat untuk menebus pembalasan buruk di neraka (waliyazubillah) namun tiada peluang lagi untuk kembali ke dunia bagi membetulkan kesilapan. Kehidupan dunia adalah singkat, namun ia sangat penting untuk survival di akhirat.

Kita mampu menghimpunkan puluhan ribu manusia di mana-mana untuk perjuangan menuntut demokrasi yang adil, misalnya, tetapi agak sukar untuk menghimpunkan umat Islam berhimpun di masjid-masjid pada 10 malam terakhir.

Ramadhan adalah bulan di mana Allah menjanjikan syurga dan pembebasan dari api neraka untuk umat yang beriman. Ramai yang memandang sepi seolah-olah tiada perkara besar yang ditawarkan. Reaksi terhadap pemberian BR1M dan bonus raya lebih hebat dari tawaran dari Allah SWT. Itu situasi biasa bagi insan yang sentiasa lalai.