Wednesday, August 14, 2013

Raya sebulan hanya terdapat di Malaysia?


Sedih mengenangkan Ramadhan kita yang berlalu pergi. Biar begitu banyak pesanan Rasulullah SAW perihal kelebihan Ramadhan namun ia tidak dihayati oleh umat Islam seperti sepatutnya. Persoalan kehidupan di akhirat bukan perkara kecil. Ia jauh lebih besar dari isu yang sering diperkatakan saban hari - iaitu perihal kehidupan dunia.

Semua tahu di akhirat kita kekal selama-lamanya. Bekalan untuk bahagia di akhirat semuanya perlu disediakan di atas dunia. Biarpun bekalan kita tidak cukup di akhirat untuk menebus pembalasan buruk di neraka (waliyazubillah) namun tiada peluang lagi untuk kembali ke dunia bagi membetulkan kesilapan. Kehidupan dunia adalah singkat, namun ia sangat penting untuk survival di akhirat.

Kita mampu menghimpunkan puluhan ribu manusia di mana-mana untuk perjuangan menuntut demokrasi yang adil, misalnya, tetapi agak sukar untuk menghimpunkan umat Islam berhimpun di masjid-masjid pada 10 malam terakhir.

Ramadhan adalah bulan di mana Allah menjanjikan syurga dan pembebasan dari api neraka untuk umat yang beriman. Ramai yang memandang sepi seolah-olah tiada perkara besar yang ditawarkan. Reaksi terhadap pemberian BR1M dan bonus raya lebih hebat dari tawaran dari Allah SWT. Itu situasi biasa bagi insan yang sentiasa lalai.

Tidak dinafikan perkembangan mutakhir ini di tanahair adalah jauh lebih baik dari dekad-dekad yang lalu. Makin bertambah masjid dan surau yang mengimarahkan hari-hari Ramadhan khususnya di 10 malam terakhir secara berperancangan dan pengembelingan. Namun menghitung dari nisbah umat Islam yang terdapat di negara ini, ianya tersangat kecil. 

Malaysia juga masih jauh ketinggalan dari negara-negara Arab dari aspek meraikan bulan Ramadhan dengan program-program amal ibadah. Pesta ibadah kita tidak sehebat mereka. Bagi mereka sebulan bulan Ramadhan adalah merupakan bulan perayaan bagi umat Islam. Hari raya tidak lebih besar dari hari-hari Ramadhan. Hanya sehari mereka meraikan Aidil Fitri bersama keluarga masing-masing.

Di Malaysia, hari raya adalah peristiwa yang sangat besar justeru ia diraikan hingga sebulan! Saya sering bertanya kepada rakan-rakan yang pernah bermastautin di negara luar perihal sambutan hari raya umat Islam di sana. Belum lagi bertemu jawapan bahawa hariraya diraikan selama sebulan. Mungkin rekod meraikan Aidilfitri selama sebulan hanya dipegang oleh rakyat Malaysia.

Tidak salah pun untuk meraikan Aildilfitri selama sebulan dimana menjadi tradisi kita mengadakan jamuan rumah terbuka, pertemuan kembali ahli-ahli keluarga atau rakan-rakan yang lama terpisah (reunion) atau meraikan golongan yang daif untuk turut menikmati kemeriahan. Parti politik atau gerakan Islam boleh memanfaatkan sambutan adilfitri untuk mendekatkan sasaran dengan harakah Islam. Semua itu amalan mulia dalam Islam, asal tidak berlebih-lebihan dan menjaga batas syariat.

Masalahnya ialah apabila sambutan Aidil Fitri yang asalnya merupakan hari anugerah Allah terhadap hamba-hambanya yang berjaya menjalani ibadah puasa, dirosakkan oleh budaya ciptaan orang Melayu yang bukan lagi berteraskan syariat.

Sambutan Aidil Fitri dijadikan medan para artis berpesta. Hampir semua siaran televisyen menyiarkan program artis melalak, menari terkinja-kinja mendedahkan aurat di atas pentas sambil kononnya mengucapkan 'kesyukuran'. Program mereka tiada kena mengena dengan Islam tetapi menggunakan status Aidil Fitri. Jika masih mahu mengaitkan dengan Aidil Fitri, jelas ia adalah amalan bidaah yang merosakkan. Para Mufti dan penguasa agama yang cepat sangat menghukum haram sertai himpunan untuk dikaitkan dengan Bersih, tidak pula mengeluarkan fatwa bahawa segala program bersukaria tanpa batas itu adalah penghinaan besar terhadap agama kerana mengaitkannya dengan Aidil Fitri.

Negara pernah dikecohkan dengan golongan yang mahu agar kalimah Allah dilarang dari digunakan oleh orang kafir kerana ia adalah hak mutlak umat Islam. Hujah mereka kalimah Allah tiada kena mengena dengan bukan Islam. Demikian juga sambutan Aidil Fitri, ia adalah hak mutlak orang yang berjaya menunaikan tuntutan Ramadhan dan sambutannya juga mestilah atas landasan syariat. Ia tiada kena mengena dengan golongan yang menari mendedahkan aurat, melalak di pentas hiburan, bersalaman dan bercampurgaul antara bukan mahram. Jati dan Perkasa patut buat bantahan terhadap kerajaan Umno.

Ramai yang sedar bahawa tambahan berpuasa enam hari pada bulan syawal menjadikan ganjaran pahala yang diterima seolah-olah berpuasa setahun. Analognya macam bekerja sebulan dapat ganjaran sebulan gaji. Tetapi majikan tawarkan akan bayar gaji setahun jika pekerja menambah kerja hanya untuk enam hari sahaja lagi. Gila jika ada yang menolak tawaran tersebut. Malangnya Lebih ramai yang memandang sepi tawaran dari Allah SWT berbanding yang menunaikannya. Apatah lagi mereka 'terganggu' dengan rumah terbuka demi rumah terbuka sehingga tidak berjumpa hari untuk berpuasa. Nampaknya urusan manusia lebih diraikan dari tuntutan Allah SWT.

Urusan politik kita banyak yang kandas. Urusan duniawi tidak semuanya cemerlang. Sedang urusan mendapatkan keselesaan di akhirat pun tidak lakukan dengan bersungguh-sungguh. Hendaknya janganlah kita menjadi golongan yang sentiasa rugi.


No comments:

Post a Comment