Sunday, April 27, 2014

Mana dia bandaraya yang dibuat dari getah tu?

Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0 yang membakar semangat para pekebun kecil menuntut hak mereka, mengingatkan kita kepada Akujanji BN PRU13 lalu yang mempunyai kaitan langsung dengan nasib masyarakat getah. Janji BN ialah mahu mewujudkan Bandaraya Getah di Padang Terap yang akan membuka kira-kira 13,000 peluang pekerjaan baharu.
PAS hilang kerusi parlimen Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling dalam PRU13 – empat kawasan yang dihuni paling ramai masyarakat pekebun kecil getah. Banyak faktor yang menyumbang kepada kekalahan PAS dan laungan pembelaan BN terhadap masyarakat pekebun kecil getah menjadi salah satu dari faktor berkenaan. Apatah lagi masyarakat getah begitu teruja dengan kenaikan harga getah ketika itu.
Bandaraya getah tidaklah bermaksud semua komponen membangunkan infrastruktur bandar dibuat dari getah. Pelik juga kalau jalanraya, bangunan dan padang permainan semuanya dibuat dari getah. Bandaraya getah bermaksud semua industri atau perniagaan yang berkaitan dengan getah akan berhimpun di bandar tersebut. Ada kilang memproses getah, kilang tayar, sarung tangan, tilam, kondom atau apa-apa produk yang dibuat berasaskan getah. Banyak sungguhlah kira-kiranya industri melibatkan getah di situ sehingga 13 ribu orang dapat bekerja. Pusat penyelidikan getah tidak perlu lagi dibangunkan di situ sebagai komponen kepada bandaraya itu kerana, ia sudah wujud dilaksanakan dengan ‘jayanya’ oleh Lembaga Getah Malaysia.
Sekalipun harga getah ditakdirkan jatuh merudum tetapi rakyat Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling tiada masalah kerana mereka boleh bekerja dalam industri tersebut. Itulah agaknya gambaran yang menguja pemikiran masyarakat getah hingga menyebabkan sokongan mereka terhadap BN begitu kuat sekali.

Wednesday, April 16, 2014

Rakyat tolak media utama, BN terpaksa kerahkan macai "Blue Wave Army"




Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, parti itu bercadang mewujudkan unit tentera siber, Blue Wave Army (BWA) dalam usaha melawan serangan dari ‘Red Bean Army (RBA)’. RBA adalah sebuah rangkaian siber yang tercetus dari khayalan para pemimpin BN selepas kecewa kerana ditolak oleh majority pengundi Cina dalam PRU13 lalu. Hakikatnya tidak wujud pun apa yang dikatakan RBA.

Menurut Ahmad,  BWA akan menggalas peranan penting dalam mengemukakan fakta sahih dan penjelasan terbaik kepada masyarakat bagi menjawab serta mematahkan sebarang hasutan RBA di ruang siber.

Penubuhan unit seperti itu bukan baharu bagi Umno atau BN. Pasca PRU12 di mana buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, parti pemerintah tua itu telah menubuhkan pelbagai unit siber pro BN dengan mendapat peruntukan besar menggunakan dana kerajaan.

Datuk Seri Najib sekurang-kurangnya sudah dua kali mengadakan pertemuan dengan tentera sibernya untuk melancarkan serangan propaganda dan tohmahan terhadap Pakatan Rakyat sebelum PRU13 lalu. Sebahagian mereka dibekalkan dengan elaun dan gajet ICT. Walaupun mereka menggelarkan diri sebagai pahlawan siber tetapi penggiat alam maya lebih senang memanggil mereka sebagai macai.

Ribuan macai yang hanya menggunakan akaun Facebook atau Twitter hanya diberi imbuhan sekali-sekala. Manakala macai pada tahap yang lebih atas, biasanya pengendali laman web atau blog akan mendapat elaun tetap yang lumayan. Mereka dilatih untuk melakukan kerja jahat di bidang propaganda secara berkesan melalui kursus-kursus professional.

Sunday, April 13, 2014

Wajah-wajah sekular tak boleh disembunyi

Tiada hukuman yang lebih ‘gila’ dari hukuman mati beramai-ramai terhadap penyokong Presiden Mesir yang digulingkan Dr. Mohamad Morsi. Mahkamah kudeta Mesir menghukum mati 529 orang itu setelah menjalani dua sesi prosiding iaitu hari Sabtu dan Isnin.

Fakta pelik dalam dakwaan tergesa-gesa ini ialah beberapa orang daripada mereka telah disahkan terkorban pada peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Medan Rabiatul Adawiyah. Mereka sudah mati sebelum diputuskan hukuman mati. Beberapa orang yang dihukum itu telah berada dalam tahanan politik sejak rampasan kuasa tentera lagi. Mereka telahpun di dalam penjara sebelum peristiwa yang dikaitkan dengan dakwaan berlaku.

Lima orang daripada mereka sudah dua tahun tinggal di luar negara dan tidak pernah pulang ke Mesir sejak rampasan kuasa Mesir berlaku. Mereka dituduh melakukan jenayah semasa ketiadaan mereka di Mesir. Fakta yang lebih lucu ialah 529 itu didakwa membunuh seorang anggota polis. Keputusan tersebut juga dikeluarkan tanpa mendengar hujah pihak pembela, yang mana ini merupakan hukuman mati terbesar dalam sejarah Mesir.

Keputusan yang dibuat ‘mahkamah kanggaroo’ Mesir itu adalah kehendak Israel. Sehari sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, Israel mengarahkan kesemua kedutaannya di seluruh dunia dikosongkan. Mereka dapat menghidu kemarahan umat Islam.

'Elemen Islam' jadi perisai lawan PAS


Jika Pakatan Rakyat akan mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 1 Mei 2014 bagi membantah perlaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) atau lain-lain isu yang berkaitan pembelaan terhadap hak rakyat, maka kemungkinan yang tidak dapat disangkal ialah kerajaan BN akan menganjurkan program keagamaan bagi menyainginya. Ia mungkin program Cinta Rasul, Salawat Perdana atau forum keagamaan yang mengundang tokoh-tokoh hebat.

Baru-baru ini PAS Kedah menganjurkan Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0. Himpunan dirancang kira-kira dua bulan lalu. Tak semena-mena dalam masa tidak sampai dua minggu, Umno menganjurkan program Cinta Rasul juga di Baling walaupun lokasi berbeza.  Program kilat itu mengundang habib kecil untuk memimpin salawat ke atas junjungan nabi SAW serta penceramah pro Umno. Atas rasa ketidakyakinan bahawa program tersebut mendapat sambutan, mereka mengadakan pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk motorsikal baharu.

Sewaktu Pakatan mengadakan himpunan Reformasi 2.0 di Stadium Kajang bulan lalu, Umno pula mengadakan program salawat perdana di Putrajaya yang mengundang habib besar sebagai penarik kehadiran orang ramai. Trend terkini, program-program berselawat sebegitu mendapat sokongan besar dari umat Islam khususnya yang mencintai agama. Mereka yang membanjirinya bukan anak-anak muda perempit atau yang ghairah menghadiri konsert maksiat tetapi golongan muda yang ikhlas mencintai Rasulullah SAW serta perjuangan yang dibawanya. Golongan ini lebih selesa mengenakan jubah, serban dan ridak.