Sunday, April 27, 2014

Mana dia bandaraya yang dibuat dari getah tu?

Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0 yang membakar semangat para pekebun kecil menuntut hak mereka, mengingatkan kita kepada Akujanji BN PRU13 lalu yang mempunyai kaitan langsung dengan nasib masyarakat getah. Janji BN ialah mahu mewujudkan Bandaraya Getah di Padang Terap yang akan membuka kira-kira 13,000 peluang pekerjaan baharu.
PAS hilang kerusi parlimen Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling dalam PRU13 – empat kawasan yang dihuni paling ramai masyarakat pekebun kecil getah. Banyak faktor yang menyumbang kepada kekalahan PAS dan laungan pembelaan BN terhadap masyarakat pekebun kecil getah menjadi salah satu dari faktor berkenaan. Apatah lagi masyarakat getah begitu teruja dengan kenaikan harga getah ketika itu.
Bandaraya getah tidaklah bermaksud semua komponen membangunkan infrastruktur bandar dibuat dari getah. Pelik juga kalau jalanraya, bangunan dan padang permainan semuanya dibuat dari getah. Bandaraya getah bermaksud semua industri atau perniagaan yang berkaitan dengan getah akan berhimpun di bandar tersebut. Ada kilang memproses getah, kilang tayar, sarung tangan, tilam, kondom atau apa-apa produk yang dibuat berasaskan getah. Banyak sungguhlah kira-kiranya industri melibatkan getah di situ sehingga 13 ribu orang dapat bekerja. Pusat penyelidikan getah tidak perlu lagi dibangunkan di situ sebagai komponen kepada bandaraya itu kerana, ia sudah wujud dilaksanakan dengan ‘jayanya’ oleh Lembaga Getah Malaysia.
Sekalipun harga getah ditakdirkan jatuh merudum tetapi rakyat Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling tiada masalah kerana mereka boleh bekerja dalam industri tersebut. Itulah agaknya gambaran yang menguja pemikiran masyarakat getah hingga menyebabkan sokongan mereka terhadap BN begitu kuat sekali.

Kini menjelang setahun pentadbiran BN pasca PRU13 rakyat di kawasan terbabit barulah membuka mata dan bertanya sesama sendiri, di mana bandaraya getah yang dijanjikan dulu? Setahun mungkin masa yang terlalu suntuk untuk membangungkan sebuah bandaraya seumpama itu tetapi yang memusykilkan ialah di mana pelan induk mahupun blueprint bandaraya getah yang dijanjikan? Sehingga kini tiada seorang pun pemimpin BN yang berani menyentuh mengenainya. Hakikatnya Bandaraya Getah adalah keterlanjuran BN dalam menulis akujanji 2013. Kini menikam mereka kembali.
Membangunkan bandaraya bukanlah kemampuan sebuah kerajaan negeri sebenarnya. Apatah lagi bandaraya yang akan dibangunkan itu terletak di kawasan pedalaman yang rendah kepadatan penduduknya. Padang Terap bukan daerah yang pesat membangun. Ciri-ciri untuk dibangunkan sebuah bandaraya langsung tidak ada. Dek kerana terlalu ghairah untuk merampas Kedah, maka janji yang tidak masuk akal itu dibuat juga. Mungkin kerana menganggap Melayu mudah lupa dan tidak akan mengingati lagi akujanji yang dibuat dahulu.
Sehingga kini BN tidak mampu menunjukkan model bandaraya getah yang pernah wujud di dunia ini namun ghairah menjanjikannya. Lebihkurang situasinya sewaktu BN menjanjikan Padang Terap mahu dijadikan kawasan yang terbabit industri gula yang membuka peluang pekerjaan yang banyak suatu masa dahulu.
Syarikat Gula Padang Terap yang dianggap hebat suatu ketika, bertukar tangan kepada satu demi satu pihak, sehingga akhirnya kawasan ladang gula yang saujana mata memandang dahulu kini tinggal kenangan.

Kali terakhir (sebelum kerajaan PAS), tanah tersebut berpindah tangan kepada Tradewinds (M) Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Khabarnya tanah yang dahulunya ditanam tebu, kini akan ditanam getah. Tradewinds memiliki  bank tanah seluas 151,850 hektar semuanya,  87,515 hektar di Sarawak, 11,302 hektar di Sabah, dan 53,039 hektar lagi di Semenanjung Malaysia. Sebahagiannya di Padang Terap.

Sewaktu proses memberikan tanah kepada Tradewinds di zaman Syed Razak selaku menteri besar sehingga zaman Mahdzir Khalid, ramai orang kampung yang memugar tanah dihalau dan dituduh menceroboh.

Mereka meneroka hutan menanam getah dan dusun. Ada yang membina rumah dan membuka kampung, mencari tapak mendirikan kediaman membesarkan anak dan mencari sesuap rezeki.

Sewaktu kerajaan bertukar pada 2008, proses milikan oleh Tradewinds sudah selesai, dan tak ada apa-apa boleh dibuat untuk mengembalikan tanah itu kepada peneroka kecil-kecilan iaitu orang kampung yang daif. Namun bijaknya BN selaku pembangkang ketika itu, menghimpun orang kampung untuk menyalahkan kerajaan PAS kerana gagal membela nasib mereka. Kini BN kembali jadi kerajaan, apa pula peranan mereka untuk membela hak penduduk kampung yang memugar tanah tersebut? Cakap dahulu tak serupa bikin kini.

Derita masyarakat penoreh bukan cerita propaganda. Harga getah sekerap jatuh serendah RM2.20 sekilogram. Jualan sekerap dalam sehari belum tentu dapat membeli sekilogram ikan kembung yang berharga antara RM12 hingga RM15. Perut anak-anak yang kelaparan perlu diisi. Belanja keperluan harian makin meningkat. Apa yang Najib dan Mukhriz tahu perihal derita rakyat? Mereka tidak merasainya.


No comments:

Post a Comment