Jika Pakatan Rakyat akan mengadakan perhimpunan
besar-besaran pada 1 Mei 2014 bagi membantah perlaksanaan Cukai Barangan &
Perkhidmatan (GST) atau lain-lain isu yang berkaitan pembelaan terhadap hak
rakyat, maka kemungkinan yang tidak dapat disangkal ialah kerajaan BN akan
menganjurkan program keagamaan bagi menyainginya. Ia mungkin program Cinta
Rasul, Salawat Perdana atau forum keagamaan yang mengundang tokoh-tokoh hebat.
Baru-baru ini PAS Kedah menganjurkan Himpunan Derita Rakyat:
Baling 2.0. Himpunan dirancang kira-kira dua bulan lalu. Tak semena-mena dalam
masa tidak sampai dua minggu, Umno menganjurkan program Cinta Rasul juga di
Baling walaupun lokasi berbeza. Program
kilat itu mengundang habib kecil untuk memimpin salawat ke atas junjungan nabi
SAW serta penceramah pro Umno. Atas rasa ketidakyakinan bahawa program tersebut
mendapat sambutan, mereka mengadakan pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk
motorsikal baharu.
Sewaktu Pakatan mengadakan himpunan Reformasi 2.0 di Stadium
Kajang bulan lalu, Umno pula mengadakan program salawat perdana di Putrajaya
yang mengundang habib besar sebagai penarik kehadiran orang ramai. Trend
terkini, program-program berselawat sebegitu mendapat sokongan besar dari umat
Islam khususnya yang mencintai agama. Mereka yang membanjirinya bukan anak-anak
muda perempit atau yang ghairah menghadiri konsert maksiat tetapi golongan muda
yang ikhlas mencintai Rasulullah SAW serta perjuangan yang dibawanya. Golongan
ini lebih selesa mengenakan jubah, serban dan ridak.
Maka para pemimpin Umno hadir ‘tumpang tui’ program sebegitu
juga dengan watak golongan yang mencintai agama Allah. Perdana Menteri,
menteri, menteri besar dan exco turut berjubah dan beridak, malah ada menteri
besar yang turut berserban. Isteri Perdana Menteri yang hadir juga kelihatan
menutup aurat dengan sempurna.
Dahulu suasana seperti ini tidak pernah kelihatan. Imej
Islam bagi para pemimpin Umno digambarkan melalui sepasang baju Melayu dan
songkok hitam. Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, Tun Mahathir hampir
tidak pernah dilihat berjubah. Hanya sekali beliau dikesan berkopiah putih
apabila hadir bersama Almarhum Ustaz Fadzil Noor di satu program yang diadakan
di Darul Aitam Walmasakin, Alor Setar. Beliau dipaksakan memakai kopiah oleh
penganjur.
Suasana berubah kini. Jubah dan serban yang dianggap symbol
ekstrimis Islam suatu masa dahulu kini dipakai dengan selesa oleh para pemimpin
parti sekular Umno termasuk anak Tun Mahathir sendiri. Biar apa pun niat yang
terkandung dalam hati kecil sipemakai maka bukan tugas kita untuk mentafsirkannya
kerana andai terselit niat untuk mengejeknya ia semacam menghina sunnah
Rasulullah SAW, sedang orang yang menghina sunnah Rasulullah tempat yang layak
baginya adalah neraka, waliyazubillah.
Cuma yang membuka persoalan di sebalik pakaian sunnah bahkan
program-program berbentuk keIslaman itu ialah sikap istiqomah mereka. Hadir
dalam program sebegitu dengan pakaian sunnah dan isteri menutup aurat, selepas
itu hadir pula dalam program lain dengan anak perempuan dan isteri bertelanjang
rambut. Hadir program cinta Rasul, selepas itu benarkan pula penganjuran
program anti Rasul. Dalam program cinta Rasul, luar program cinta rasuah –
khazanah kekayaan negara dirembat semahunya untuk kroni dan sanak saudara. Isteri
kenamaan dapat memakai cincin, jam tangan dan beg tangan yang mahal-mahal. Memegang
jawatan dalam parti yang memerintah adalah lessen untuk membina empayar
kekayaan. Rakyat dhaif dan marhaen terpaksa membayar kos yang tinggi apabila
harga pengurusan negara dinaikkan dengan tidak munasabah demi untuk mendapat
lebihan wang bagi disalurkan kepada para penyamun berlesen. Istilah lunaknya
disebut ketirisan dan ungkapan kasarnya, rasuah! Ketua Pembangkang Datuk Seri
Anwar menganggarkan RM30 billion wang rakyat hilang akibat ketirisan. Adakah
ini perangai golongan cinta Rasul?
Separuh abad PAS yang membawa perjuangan Islam dicop sebagai
golongan yang memperalatkan agama untuk tujuan politik, sekalipun PAS dan
elemen Islam adalah sinonim dan tulen. PAS tidak pernah berlakon dengan amalan
Islam. Apabila tiba-tiba Umno sebuah parti sekular yang memperjuangkan nasionalisme
Melayu sempit mempamerkan elemen Islam, maka apakah mereka sebenarnya yang
memperalatkan Islam untuk tujuan politik?
Sokongan majoriti masyarakat bukan Melayu/Islam terhadap
Pakatan kini sangatlah jelas. Sukar untuk dipecahkan lagi. Umno sedar hal
tersebut. Pilihan yang ada bagi Umno ialah menguat serta menambahkan sokongan
orang Melayu terhadap mereka. Dahulu Umno agak takut dengan serban dan jubah
kerana ia simbol ekstremisme. Kini bagi bagi Umno, kalau PAS yang berserban dan
berjubah pun boleh diterima oleh masyarakat bukan Islam sudah tentu Umno yang
berketayap dan berjubah lebih-lebih lagi akan disukai oleh orang Melayu yang
berjiwa Islam.
Tiada salahnya bagi umat Islam menyanjungi para pemimpin
Umno yang mengenakan pakaian sunnah dan menganjurkan program cinta rasul tetapi
yang salahnya ialah cepat sangat mempercayai Umno hanya kerana perubahan
luarannya. Jangan terpedaya, Umno tetap Umno.
Kalau dahulu BN/Umno menghadapi program besar Pakatan dengan
pancutan air kimia dan gas pemedih mata kini tindakan tidak bertamadun itu
bukan pendekatan terbaik bagi parti tua yang memerintah negara itu.
Berkali-kali tembakan gas mereka hanya mampu membawa sokongan 47 peratus dalam
PRU13.
Pendekatan kini ialah bersaing dengan Pakatan melalui
penganjuran program berimej Islam. Saya percaya kaedah ini akan digunakan oleh
BN sehingga PRU14 nanti.
Dalam perang Siffin antara dua kumpulan sahabat, satu
kumpulan yang dikatakan hampir kalah menjulang Al-Quran untuk menghentikan
pertempuran. Apapun tindakan dibuat mereka adalah betul kerana berijtihad. Kita
yang sudah terlalu jauh dengan Rasulullah SAW dan para sahabat tidak berhak
menilai pertikaian mereka.
Hari ini, jelas pemerintah yang batil sedang berhadapan
dengan golongan rakyat yang menuntut hak dan keadilan. Dalam keadaan tenat dan
hampir kalah tiba-tiba mereka menjadikan elemen Islam sebagai perisai maka golongan yang cerdik jangan tertipu.
No comments:
Post a Comment