Wednesday, April 16, 2014

Rakyat tolak media utama, BN terpaksa kerahkan macai "Blue Wave Army"




Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, parti itu bercadang mewujudkan unit tentera siber, Blue Wave Army (BWA) dalam usaha melawan serangan dari ‘Red Bean Army (RBA)’. RBA adalah sebuah rangkaian siber yang tercetus dari khayalan para pemimpin BN selepas kecewa kerana ditolak oleh majority pengundi Cina dalam PRU13 lalu. Hakikatnya tidak wujud pun apa yang dikatakan RBA.

Menurut Ahmad,  BWA akan menggalas peranan penting dalam mengemukakan fakta sahih dan penjelasan terbaik kepada masyarakat bagi menjawab serta mematahkan sebarang hasutan RBA di ruang siber.

Penubuhan unit seperti itu bukan baharu bagi Umno atau BN. Pasca PRU12 di mana buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, parti pemerintah tua itu telah menubuhkan pelbagai unit siber pro BN dengan mendapat peruntukan besar menggunakan dana kerajaan.

Datuk Seri Najib sekurang-kurangnya sudah dua kali mengadakan pertemuan dengan tentera sibernya untuk melancarkan serangan propaganda dan tohmahan terhadap Pakatan Rakyat sebelum PRU13 lalu. Sebahagian mereka dibekalkan dengan elaun dan gajet ICT. Walaupun mereka menggelarkan diri sebagai pahlawan siber tetapi penggiat alam maya lebih senang memanggil mereka sebagai macai.

Ribuan macai yang hanya menggunakan akaun Facebook atau Twitter hanya diberi imbuhan sekali-sekala. Manakala macai pada tahap yang lebih atas, biasanya pengendali laman web atau blog akan mendapat elaun tetap yang lumayan. Mereka dilatih untuk melakukan kerja jahat di bidang propaganda secara berkesan melalui kursus-kursus professional.


Perkara ini didedahkan kepada saya oleh seorang bekas macai yang mungkin telah insaf dari kegiatan songsang mereka suatu masa dahulu. Para macai yang betebaran seluruh negara ini pula tidaklah berada di bawah satu kumpulan tetapi pelbagai kumpulan. Saya sangat yakin bahawa dana yang digunakan untuk menyara para macai ini adalah dari duit kerajaan. Maksudnya duit dari poket rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan.

Pelik, takkanlah Ahmad Maslan selaku Ketua Penerangan Umno tidak tahu mengenai kegiatan macai mereka bekerja sepenuh masa di alam siber, tiba-tiba mengumumkan pula untuk menubuhkan RBA. Atau pengumuman itu bertujuan menagih dana dari Najib supaya terus dapat membaham duit rakyat demi kepentingan para macai BN.

Dalam situasi media-media utama dalam negara dikongkong sepenuhnya oleh BN, sepatutnya mereka tidak perlu khuatir sebarang maklumat dari pihak pembangkang. Malaysia menduduki tangga ke 147 dalam dunia dari aspek kebebasan akhbar. Apa nak dikhuatirkan apabila 100 peratus media elektronik bukan siber dalam negara adalah pengampu BN dan anti Pakatan Rakyat?

Mutakhir ini BN terpaksa menerima hakikat bahawa media elektronik (radio dan televisyen) sudah tidak berupaya menjadi ejen propaganda mereka yang berkesan. Perkembangan terbaru MH370 memberi pukulan maut terhadap integriti para pemimpin kerajaan Malaysia dalam penyampaian maklumat. 

Bayangkan kajiselidik yang dibuat oleh penyelidik professional Mendeka Center terhadap rakyat Malaysia sendiri menunjukkan 54 peratus yakin kerajaan BN menyembunyikan maklumat mengenai kejadian sebenar kehilangan MH370, hanya 26 peratus yang percaya kerajaan bercakap benar.

Saban hari media-media utama negara menjalankan propaganda dengan baik sekali bagi menunjukkan bahawa kerajaan bertindak betul dan bercakap benar, walhal majoriti rakyat tidak mempercayainya sebaliknya menganggap kerajaan berbohong. Dakwaan bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat ini banyak tersebar di alam siber. Penyebar maklumat tak semestinya professional tetapi apabila terdapat kalangan yang berjaya kemukakan bukti yang meyakinkan bahawa kerajaan tidak bercakap benar maka maklumat itu dikongsi dengan pantas oleh para pemilik akaun alam siber. Bukan sahaja isu MH370 tetapi pelbagai isu lain seperti Panda RM25 juta, kangkong, dakwaan salahlaku Rosmah, Muhyiddin dan sebagainya tersebar dengan pantas di alam maya.

Bilangan pengguna Internet di Malaysia kini menghampiri 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada 2012.  Menurut laporan Kementerian Kewangan kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013 manakala dengan kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini terdapat 42.6 juta langganan.

Laporan itu menyebut rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa melayari Internet berbanding media lain seperti televisyen, radio dan suratkhabar dengan penggunaan Internet yang meluas untuk rangkaian sosial. Nah, masakan BN tidak ‘pening kepala’ kerana bencana yang paling besar bagi BN ialah apabila rakyat mendapat maklumat yang betul.

Cadangan BN untuk menggunakan atau lebih tepat lagi, membesarkan penggunaan macai tidak harus dipandang sepi oleh Pakatan kerana mereka boleh menyalahgunakan duit rakyat untuk menyediakan peruntukan ke arah itu.

Pahlawan maya penyokong Pakatan sudah terlalu ramai di alam siber. Mereka bekerja dengan sukarela. Pihak berkenaan dalam Pakatan cuma perlu mantapkan dengan sentuhan dan pengembelingan, supaya gerakerja mereka lebih berkesan maka insyaAllah WBA ciptaan Ahmad Maslan akan lenyap macam MH370.


No comments:

Post a Comment