Isu muzakarah PAS-Umno muncul lagi. Entah kali yang ke
berapa. Kali ini ia tercetus ekoran kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang dalam ucapan Ahad penangguhan di Muktamar Tahunan PAS ke-59 melahirkan kesediaan
bermuzakarah dengan sesiapa sahaja (termasuk Umno) dalam usaha untuk melaksana
undang-undang syariah Islam di negara ini.
Setiap kali
muncul isu muzakarah maka para pemimpin Umno akan menyahutnya dengan segera dan
dalam nada yang tampak positif, kononnya untuk perpaduan dan penyatuan umat
Islam di negara ini. Di hujung setiap siri isu ini berbangkit maka Umno akan
muncul sebagai juara perpaduan ummah dan pihak yang sangat ikhlas. Manakala PAS
akan menjadi pihak yang ‘angkuh dan menolak perpaduan’ apabila kononnya
mengenakan pelbagai syarat terhadap Umno.
Babak stereotype
yang akan muncul selepas itu ialah PAS menolak perpaduan sesama Melayu/Islam
sebaliknya lebih sedia berbaik dengan DAP yang kononnya musuh Islam. Isu ini
menjadi momokan bertubi oleh Umno di kalangan masyarakat Melayu negara ini,
akhirnya sokongan orang Melayu terhadap PAS merosot manakala Umno meningkat.