Tuesday, December 3, 2013

Perjuangan PAS rahmat untuk semua


Dua buah parti yang didominasi oleh umat Islam berbangsa Melayu yang masih bertahan sejak pilihanraya umum pertama 1955 hingga ke saat ini ialah Umno dan PAS. Umno berteraskan nasionalisme Melayu sempit manakala PAS berasaskan Islam sebagai dasar dan matlamat.


Mengapa Umno boleh bertahan, sangat mudah untuk dijawab. Kerana Malaysia dianugerahkan kemerdekaan melalui Umno. Lalu Umno memperalat dan menyalahgunakan sepenuhnya kuasa yang dimiliki untuk mempertahankan kuasa mereka. Dengan kuasa dan wang yang diperolehi melalui kuasa itu juga mereka membela dan membelai Umno sepenuhnya hingga mampu bertahan sampai kini. Bolehkah Umno bertahan begitu lama tanpa menyalahgunakan kuasa? Hampir pasti, tidak boleh. Banyak sudah parti yang berasaskan Melayu lahir selepas merdeka, berkubur begitu sahaja satu demi satu.

Lebih menarik untuk melihat mengapa PAS boleh bertahan begitu lama, tidak berkubur hingga ke saat ini dan menjadi parti yang didominasi Melayu Islam yang kedua terbesar selepas Umno? Sedangkan PAS tidak ada kuasa di Pusat dan wang yang banyak. Maka jawapannya kerana PAS berjuang berlandaskan Islam. Setiap anggota PAS adalah pejuang Islam yang ikhlas berjuang kerana Allah semata-mata. Tiada matlamat duniawi atau kebendaan.

Jika terdapat parti politik yang kononnya bermatlamatkan Islam yang lahir selepas kewujudan PAS maka ia adalah kumpulan yang sengaja mahu menyanggah dan menyaingi gerakan Islam terbesar di Malaysia itu. Tiada kekuatan pada kumpulan yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi tidak ikhlas, maka padan sangat mereka berkubur.

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa asalnya PAS adalah parti serpihan Umno, namun kewujudan serpihan itu adalah berlandaskan keperluan menghimpun dan menggerakkan tenaga ulamak di tanahair. Atas kesedaran tersebut, melalui inisiatif Tuan haji Ahmad Fuad dan rakan-rakan,  pada 15 Ogos 1951, satu persidangan alim ulama telah berjaya di adakan di Kuala Lumpur bagi  membincangkan tuntutan tersebut serta merangka perlembagaannya.

Walaupun berlaku perdebatan mengenai baik buruknya golongan ulama menubuhkan sebuah parti politik Islam daripada hanya sekadar menubuhkan sebuah pertubuhan yang terkhusus kepada golongan ulama sahaja, namun fikiran umum ketika itu lebih cenderung mendorong ulama menubuhkan sebuah parti Islam yang bercorak politik dalam mengisi kekosongan untuk menuntut kemerdekaan negara.

Seterusnya pada 24 November 1951, Muktamar Ulama Kali Ke-3 telah di adakan di Seberang Prai (Bangunan UMNO Bagan) dan persidangan ini telah berjaya menubuhkan Persatuan Ulama Se-Malaya dan seterusnya ditukarkan kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) atas persetujuan ramai. Maknanya isu kepimpinan ulamak bukanlah baharu. Ulamak dan PAS sudah sinomim sejak penubuhannya lagi.

Jejak perjuangan PAS dari saat itu hingga kini terlalu panjang untuk ditelusuri, namun setiap keputusan besar yang dibuat tidak pernah terpisah dari sentuhan syariat, hukum hakam dan musyawarah. Dalam nada menyindir pihak musuh sering mendakwa kononnya PAS merasakan diri ‘terlebih Islam’ dari parti-parti politik yang lain. Jawapan boleh dibuat dalam bentuk persoalan; cuba sebutkan parti selain PAS yang wujud di Malaysia kini menjadikan Islam sebagai dasar dan matlamat, meletakkan alim ulamak (Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulamak) sebagai pembimbing serta menjadikan tarbiyah Islamiyah sebagai pembentuk kefahaman dan syaksiyyah para anggotanya. Memang tidak dijumpai kerana PAS adalah satu-satunya.
Keramatnya PAS sebagai gerakan Islam terbesar di negara ini lebih separuh abad, maka mana-mana pemimpin yang tidak ikhlas dalam perjuangan, mempunyai matlamat peribadi dan berniat untuk mengkhianati jamaah akan tersingkir. Terdapat segelintir pemimpin-pemimpin utama PAS yang kecundang, gugur dan lebih hina lagi akhirnya menjadi lembu tunggangan parti sekular.

Di kalangan parti pembangkang, PAS satu-satunya parti yang mempunyai kekuatan akar umbi yang menyeluruh. Ketika menghadapi PRU, di saat semua tenaga terpaksa bekerja di kubu masing-masing PAS masih mampu menyediakan tenaga asas untuk gerakerja pilihanraya sekalipun ditandingi oleh rakan-rakan sekutu Pakatan Rakyat.

Di pentas politik, lawan utama iaitu Umno sering mengutuk kononnya PAS tidak pernah membawa pembangunan untuk rakyat. Pemikiran sekular Umno, tentulah menafsirkan pembangunan sebagai kebendaan yang berasaskan kepuasan duniawi semata-mata. Maafkan Umno kerana terlalu jahil untuk mengerti bahawa kerajaan yang paling berkuasa dan memiliki sumber dana yang besar ialah kerajaan Persekutuan. Sejak merdeka PAS tidak pernah mentadbir kerajaan Pusat.

Apapun tuduhan yang dibuat terhadap PAS, mereka tidak dapat menafikan realiti bahawa segala kebaikan yang dirasai rakyat adalah akibat kewujudan PAS dan pembangkang. Persaingan dalam politik ialah persaingan untuk memenangi hati rakyat lalu kerajaan BN yang memerintah terpaksa (sekalipun tiada keikhlasan) memberikan kepuasan untuk rakyat bagi mengelak mereka cenderung hati menyokong PAS atau parti pembangkang.

Kerana PAS bertanding dalam PRK di Kuala Besut maka kerajaan Pusat menghulurkan sumbangan berbentuk projek untuk manfaat rakyat sejumlah RM477 juta. Kerana PAS bertanding di Sungai Limau maka rakyat di situ dapat RM17 juta. Bayangkan jika PAS tidak bertanding di situ apa yang rakyat dapat? Itu contoh mudah. Maka begitu halnya dalam scenario lebih luas dalam negara, sejak merdeka hingga kini. Dalam soal pendidikan, ekonomi, infrastruktur, kebajikan – semuanya diperjuangkan PAS. Rakyat dapat macam-macam kerana adanya PAS.

Malangnya sejak enam dekad selepas kelahiran, PAS masih belum mampu bertapak di pusat pentadbiran Persekutuan. PAS pernah sejenak dalam kerajaan campuran bersama BN, tetapi tidak dominan. Mungkin kerana itu, dengan mudah ia disingkirkan. Sejak itu hingga kini PAS bertahaluf dengan pelbagai parti, satu demi satu. Sebahagian besar parti yang bekerjasama dengan PAS pun sudah berkubur tapi PAS kekal. Kerjasama terakhir yang dijalinkan adalah dengan KeADILan dan DAP. Sekalipun kerjasama dilakukan secara serentak dengan keduanya mulai PRU 1999 namun hanya pada PRU12 (2008) barulah nampak hasilnya. Buat pertama kali dalam sejarah politik tanahair orang Cina boleh menyokong PAS.

Orang Cina membuktikan kesetiaan sekali lagi pada PRU13, sebaliknya sebahagian undi Melayu pula (yang dahulunya menyokong Pakatan Rakyat) beralih kepada BN. Maka PAS dan Pakatan tetap belum berkuasa juga. Halangan terbesarnya ialah undi Melayu.

Cabaran untuk memperolehi dan menguasai undi Melayu adalah agenda yang perlu difokuskan, khususnya dalam muktamar tahunan kali ini. Beberapa kali PAS Pusat mengadakan seminar mencari pelbagai pendekatan untuk menguasai sokongan orang Melayu terbanyak, nampaknya belum berhasil.

Berkata pakar motivasi, jika kita bertindak berterusan melalui cara yang sama maka hasilnya pun sama. Kaedah dan strategi perjuangan boleh berubah untuk disesuaikan dengan tuntutan semasa, agar PAS sentiasa relevan dengan tuntutan zaman. Kadang-kadang kita selesa dengan cara bekerja serta pendekatan lama sedangkan ia sudah jauh ketinggalan tanpa disedari.

Semua organisasi lama, biasanya melakukan proses peremajaan dan penjenamaan semula agar kelihatan kuat dan mantap. Aspek-aspek yang kelihatan kecil sekalipun, perlu diberi perhatian. Saya tertarik dengan cadangan calon Ketua Pemuda PAS Pusat untuk menukar ‘PAS Pusat’ kepada ‘PAS Malaysia’ supaya tidak kelihatan lama. ‘Dewan Pemuda, Muslimat atau Ulamak’ juga mungkin tidak sesuai lagi digunakan kerana zaman kini medan kerja sebenar adalah di luar ‘Dewan’.

Ia sekadar contoh. Pembedahan terhadap semua aspek dalam PAS perlu dilakukan secara jujur untuk meremajakan semula parti demi menarik sokongan orang Melayu sebagai pengundi terbanyak dalam negara. Jadikan PAS benar-benar membawa Rahmat Untuk Semua.

No comments:

Post a Comment