Thursday, September 11, 2014

PasMa boleh jadi pemangkin perpecahan dalam PAS

Tiba-tiba muncul sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bernama PasMa, singkatan dari Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia. Maka ‘PasMa’ pun buat seketika menjadi wirid paling banyak disebut, di seluruh negara, khususnya di kalangan peminat dan pemerhati politik tanah air.

Belum sempat pemimpin nombor satu PasMa sebenar membuat apa-apa kenyataan berhubung, senarai ‘jawatankuasa lengkap’ PasMa tersebar ke seluruh negara, siap dengan Mursyidul Amnya sekali.

Keesokan harinya, ‘Mursyidul Am’ serta beberapa orang yang disenaraikan dalam kepimpinan PasMa membuat penafian. Seorang demi seorang mengaku tidak tahu menahu. Demikianlah larisnya pasaran khabar angin dan fitnah yang melanda negara sekecil Malaysia ini. Lebih laju berita dari berlakunya peristiwa.

Wednesday, August 13, 2014

Belanda Timur musnah di tangan kerajaan BN Kedah!



Sewaktu Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan mengambilalih pentadbiran negeri Kedah pada Mac 2008, beliau bertekad menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur, yakni menjadikan negeri ini sebagai pengeluar dan pembekal pertanian yang terkemuka khususnya di Malaysia. Tekad itu juga terkandung dalam manifesto PAS Kedah PRU12. 

 (Dahulu)

Sepanjang memimpin pentadbiran Kedah, Ustaz Azizan sangat teruja dengan projek-projek pertanian yang digerakkan oleh GLC, khususnya Kedah Agro (anak syarikat Perbadanan Menteri besar) dan Kumpulan Ladang. Pernah kepimpinan PAS Pusat yang diketuai oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang melawat Kedah. Beliau dan rombongan dibawa Ustaz Azizan melawat ladang nenas yang diusahakan oleh Kedah Agro yang terletak di Daerah Kubang Pasu. 

Pakatan sedang membina persepsi untuk PRU14




Agak-agak positif atau NEGATIF?


Bagi setiap parti politik yang bersaing untuk merebut kuasa dalam sistem demokrasi, hari-hari yang dilalui adalah hari di mana mereka membina persepsi. Manakala hari-hari terakhir menjelang detik rakyat membuat pemilihan dalam pilihanraya umum; adalah tempoh singkat untuk parti politik memperkukuhkan persepsi baik terhadap parti mereka. 

Berkempen selepas parlimen dibubarkan hanyalah menggunakan kekuatan vocal atau visual yang didokumentasikan untuk meyakinkan pemilih. Sedangkan kaedah ‘berkempen’ yang sangat berkesan sebenarnya sedang berlangsung sekarang, di luar tempoh pilihanraya.

Bencana yang melanda negara belum tentu akan menyebabkan imej sesebuah parti politik yang memerintah menjadi buruk. Imejnya buruk hanya jika kerajaan tersebut gagal menguruskan bencana tersebut. Rakyat terasa susah kerana kegagalan kerajaan maka ia sudah menjadi ‘kempen’ berkesan memburukkan imej parti politik pemerintah. Jika hal sebaliknya berlaku, maka bencana yang melanda akan menjadi batu loncatan pula untuk parti pemerintah menggilap imej.

Sewaktu Susilo Bambang Yudoyono (SBY) mengambilalih pentadbiran Indonesia sebagai Presiden, kebetulannya banyak malapetaka besar yang berlaku di negara tersebut. Terdapat pihak yang anti SBY jadikan isu bencana sebagai senjata politik untuk memburukkan SBY. Pendokong khurafat pula mengaitkan SBY sebagai ‘pembawa sial’ lalu tercetuslah sindiran terhadap SBY sebagai ‘Selalu Bencana Ya…”

Sunday, August 10, 2014

"Wahai orang PAS, bertawadhuklah sikit..."




Masih terngiang-ngiang kata-kata Almarhum Ustaz Hasan Shukri, bekas Naib Presiden PAS, sewaktu menemani beliau pergi merasmikan mesyuarat agung sebuah kawasan di Perak. “Ahli PAS ni perlu ditekankan dengan ilmu tasawwuf, persoalan sifat-sifat mazmumah dan mahmudah supaya masing-masing ada sifat tawadhuk sikit,” katanya.

(Almarhum Ustaz Hassan Shukri)

Ketika itu saya baru menyertai Harakah, tahun 1988. Berlaku sedikit ‘ribut dalam cawan’ dalam Jabatan Penerangan PAS yang dipimpin oleh Ustaz Nakhaie Ahmad yang menjadi Naib Yang Dipertua PAS ketika itu. Ustaz Hassan membayangkan bahawa pergolakan dalaman itu lebih diburukkan oleh tiadanya sifat mahmudah dalam diri sebahagian individu terbabit. Mungkin masing-masing hanya memacu ego, tiada rasa tawadhuk dan hilang sifat memaafkan. Dalam peristiwa ‘ribut’ itu Ustaz Nakhaie keluar dari PAS dan akhirnya menyertai Umno. Beberapa rakan saya turut mengikut jejak langkah Nakhaie, antaranya Saifudin Nasution, Puad Zarkashi, Zulkifli Ahmad (bekas Presiden MISG), Che Johan Che Pa dan beberapa orang lagi.

Semua orang mengenali Ustaz Hassan adalah seorang yang semahunya cuba untuk tidak terbabit dalam apa saja konflik dalaman parti. Walaupun ada yang menuduhnya cuba ‘play safe’, hakikatnya beliau adalah tokoh pendamai dalam parti.

Sunday, July 20, 2014

Kenapa Mukhriz hendak dibunuh?




Berita panas dari Kedah minggu ini ialah apabila seorang pejuang maya pro BN, ditangkap polis kerana didakwa membuat ugutan untuk membunuh Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Mahathir dan juga kepada Setiausaha Sulit Sultan Kedah Dato’ Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdulah.

Blogger berusia 37 tahun itu sebelum ini dikesan membuat ugutan bunuh itu melalui laman Facebook menggunakan akaun 'Padi Jantn'. Pihak polis berjaya mendapat perintah tahanan reman untuk beliau. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, siasatan dibuat adalah susulan dari lebih 20 laporan polis dibuat pelbagai pihak menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit.

Padi Jantn bukanlah nama asing lagi dalam dunia maya politik. Laman tersebut (Facebook dan blog) sangat aktif menghentam dan memfitnah kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Laman itu seringkali menyiarkan foto-foto menghina pemimpin kerajaan Pakatan yang diedit, khususnya Almarhum Ustaz Azizan Razak. Padi Jantn dikatakan ‘keybord warrior’ BN yang berbayar.

Cuma akhir-akhir ini Padi Jantn membuat kejutan apabila tiba-tiba serangannya berubah haluan; kali ini mengkritik kerajaan negeri Kedah pimpinan Mukhriz Mahathir secara terbuka. Isunya adalah isu lama, iaitu Madrasah Salihiah. Kalau dahulu Padi Jantn mengkritik Ustaz Azizan tetapi kali ini ini serangan dihalakan kepada Mukhriz, sebab yang memimpin kerajaan sekarang ialah Mukhriz. Lebih-lebih lagi sewaktu jadi pembangkang dahulu, Mukhrizlah yang paling lantang memperjuangkan agar surau tersebut dikekalkan di situ. Beliau pernah berkampung di situ bersama Perkasa demi mempertahankan tanah wakaf tersebut. Apabila dapat jawatan Menteri Besar, perjuangan tanah wakaf pun nampaknya berakhir.

Isu Madrasah Salihiah, yang terletak di Bandaraya Alor Setar diroboh untuk pembangunan menyeluruh kompleks Aman Central panas di zaman Ustaz Azizan apabila BN menjadikannya isu rasis untuk membakar sentimen Melayu.

Wednesday, July 16, 2014

Menjelaskan kritikan kaki racau terhadap Harakah

Pelik... ada orang hentam Harakah, tanpa membacanya


(Foto Presiden di Turki, ehsan Harakah)

Era langit tanpa sempadan ini, sangat mudah untuk menyalurkan pandangan peribadi. Bermula dari muhasabah yang tulus ikhlas, hinggakan kritikan bersulam keegoan seteruslah kepada maki hamun dan sumpah seranah semuanya boleh didapati di alam maya atas apa jua isu.

Lidah rasmi PAS, Harakah, sekali lagi menjadi sasaran serangan dari kalangan yang tidak berpuashati apabila organ parti ini menyiarkan rencana yang menyebut ‘Lotfi (bekas ahli PAS dari Kedah) menyertai kumpulan militan dalam konflik bersenjata menentang pemerintahan Syria…’ Mereka marahkan Harakah kerana menuduhnya militan. Persepsi yang tertanam kukuh di kalangan rata-rata rakyat Malaysia, militan adalah kumpulan pengganas. Justeru orang yang berjihad tidak layak dicop militan.

Typical pihak yang cuba melakukan provokasi ialah mengaitkan subjek kemarahan dengan aspek yang ditolak ramai. Suatu masa dahulu, mana-mana tokoh yang cuba disingkirkan dari kepimpinan utama Pakatan Rakyat oleh pihak tertentu akan dicop sebagai ‘alat Umno’ atau ‘Umno’; strategi untuk memudahkan kerja penyingkiran. Begitulah dalam isu ini, tiba-tiba Harakah dituduh mempunyai dalang Syiah di belakangnya. Tuduhan ini bukan kali pertama dilontar, namun sejak tuduhan liar itu mula tercetus di muktamar PAS suatu masa dahulu hingga kini; belum ada ahli lembaga pengarah Harakah mahupun kakitangannya yang bersolat berlapikkan batu.

Melalui tulisan Abu Firdaus, Harakah menyiarkan takrifan militan secara panjang lebar dalam keluaran berikutnya. Secara mudah difahami, militan ialah pasukan bersenjata bukan kerajaan yang berjuang untuk sesuatu tujuan. Militant berasal dari kata akar military iaitu ketenteraan. Militan tidak semestinya pengganas (terrorist) tetapi pengganas semestinya militan.

Monday, July 14, 2014

Jangan mudah sangat termakan hasutan pemecahbelah

Masih teringat sewaktu zaman kanak-kanak, seorang Ustaz pernah menceritakan perihal mudahnya syaitan melagakan manusia untuk berkelahi. Syaitan menyerupai manusia dan pergi berjumpa dua sahabat yang sangat karib. Syaitan itu berbisik kepada salah seorang darinya dengan berkata, “Dalam padi ada beras.” Lalu berlalu pergi. Rakan yang tidak mendengar bisikan syaitan itu mengesyaki mereka sedang berkata sesuatu yang buruk terhadap dirinya. Selepas syaitan pergi mereka berdua pula yang berkelahi. Mungkin cerita itu cuma rekaan tetapi Ustaz ingin memberitahu bahawa bijaknya syaitan untuk memecahbelahkan manusia. Justeru kita kena sentiasa berhati-hati.

Bertelingkah dan berkonflik adalah sifat lumrah manusia. Namun bertelingkah dalam semua perkara adalah perkara yang tidak normal bagi sekalangan manusia. Dalam organisasi politik bertelingkah dengan organisasi politik musuh semacam satu kewajipan kerana mereka adalah pesaing. Tetapi kalau bertelingkah sesama anggota dalam organisasi lebih hebat dari berperang dengan musuh maka ia adalah suatu yang amat buruk.

PAS sudah melepasi umur 60 tahun dalam persada politik tanah air. Jika Umno dikatakan sudah tua, maka PAS pun tidak boleh dikatakan muda kerana Umno cuma lima tahun lebih tua dari PAS. Masalah yang datang di usia tua lebih rumit untuk dihadapi berbanding ketika muda. Seorang rakan memberitahu, mudah sungguh sekarang ini kalau nak suruh orang PAS berkelahi. Kata-katanya itu sudah keterlaluan tetapi dengan senario yang berlaku nampak ada benarnya.

Hudud adalah isu yang diperjuangkan oleh PAS. Apabila tiba-tiba kini Umno menyambutnya, isu tersebut menjadi bahan polemik sesama ahli. Ada yang berhujah jangan pertikai keikhlasan pihak lain. Itu persoalan hati, manusia tidak tahu. Tidak kurang yang bertegas bahawa ia agenda Umno untuk memecahkan PAS dan Pakatan juga. Umno dahulu, kini dan selamanya tidak layak dipercayai. Maka yang ‘berjaya’ dan bertepuk tangan dalam isu ini ialah Umno. Testimonial kejayaan mereka ialah PRK Teluk Intan. BN muncul dalam dua versi; Umno menyanggah PAS kerana calon BN menolak hudud dan Gerakan/MCA menyanggah PAS (komponen Pakatan) kerana jalin hubungan dengan Umno tubuh jawatankuasa teknikal laksana hudud.

Wednesday, June 25, 2014

Takkan sampai ke tahap ini? Betulkan sistem pemilihan dalam KeADILan



Golongan manusia yang waras akan ‘kehilangan kata-kata’ apabila menyaksikan pertikaian dalaman sebuah parti politik berakhir dengan pertumpahan darah yang menggerikan. Segera mengingatkan kita akan ucapan Mao Tze Tung, “Politik adalah peperangan tanpa darah dan peperangan adalah hasil dari politik yang sudah berdarah.”

Maksudnya, jika pertikaian sudah sampai ke tahap berbaling kerusi, pukul memukul secara fizikal sehingga berdarah-darah maka ia bukan lagi ‘berpolitik’ tapi namanya berperang. Peperangan yang berlaku sekalipun antara parti politik yang bermusuhan adalah keterlaluan dalam lingkungan demokrasi. Apatah lagi peperangan di dalam satu parti yang memperjuangkan ideologi yang sama di kalangan ahli-ahlinya. Ia sudah lebih dari keterlauan.

Ini kerana demokrasi memberi ruang kepada kebebasan bersuara dan peluang kepada suara terbanyak untuk menang. Demokrasi menolak kekerasan atau paksaan. Jika kekerasan yang ‘menang’ bermakna demokrasi kalah.

Tuesday, May 27, 2014

Tunggu apa lagi Najib, sila letak jawatan!



Kehilangan pesawat MH370 sudah memasuki bulan ke tiga. Sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengumumkan ia berakhir di Lautan Hindi, tiada secebis tinggalan dari pesawat yang didakwa mendarat atau terhempas di lautan itu dijumpai.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir membayangkan kenyataan Najib tidak betul. “Seseorang sedang menyembunyikan sesuatu,” katanya. Tambahnya, kapalterbang boleh mendarat dengan selamat atau terhempas tetapi tidak boleh hilang begitu sahaja.

Di mata Tun, rakyat Malaysia, mahupun dunia; Najib benar-benar sudah hilang wibawa berhubung isu MH370. Cakap Najib tidak boleh dipakai. Diam beliau berhubung isu tersebut adalah lebih baik dari bercakap tetapi tidak betul. Masalahnya mana mungkin ketua kerajaan tidak bercakap berhubung perkara besar yang berlaku dalam negara.

Najib dihadapkan juga dengan isu pergolakan di Terengganu sehingga terjebak dalam situasi amat mencemaskan, iaitu tumbangnya kerajaan BN. Bekas Menteri Besar Datuk Ahmad Said, ADUN Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Rosli Daud isytihar keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas. Umno tinggal 14 kerusi manakala Pakatan 15. Jika tiga ADUN tersebut mengambil sikap tidak menyokong sesiapa sekalipun, ia sudah cukup  kerusi untuk menumbangkan BN.

Sekalipun ketiga-tiga ADUN tersebut berjaya ditarik semula melalui kaedah yang ‘sedia dimaklumi’ dalam Umno namun imej Najib bukan setakat tercalar tapi tercedera teruk. Mana ada parti di mana orang boleh keluar masuk sesuka hati macam masuk keluar jamban. Menerima semula sipembelot dalam masa yang singkat adalah kerja yang tidak bermaruah.Najib tiada pilihan, tumbang sebuah kerajaan di depan mata lebih tidak bermaruah.

Tuesday, May 13, 2014

Benarkah Mad Bashah akan ganti Mukhriz sebagai MB?

Kisah panas politik Terengganu sudah diketahui umum. Tapi panas politik dalaman Kedah ramai yang tidak tahu. Rumors yang bertiup kecang dalam seminggu dua ini ialah kononnya DS Mukhriz Tun Mahathir akan digantikan dengan DP Ahmad Bashah Md Hanipah akibat prestasinya yang sangat teruk.

Tiada siapa akan kisah jika yang menyebarkan itu orang Pakatan Rakyat, namun apabila isu tersebut bertiup kencang dalam Umno maka ramai yang berminat nak tahu. Betulkah? Rakyat Kedah bertanya 'betulkah' kerana cerita itu ada asasnya, sebab memang sungguh prestasi setahun Najib tadbir Kedah sangat teruk.

Saya secara peribadi menolak mentah-mentah rumors tersebut kerana bagi saya, selagi Tun Mahathir masih bernyawa jangan sapa-sapa ada pasang cita-cita nak jatuhkan Mukhriz...

Berikut adalah sebarai kegagalan Mukhriz sepanjang setahun jadi MB Kedah:

1) GAGAL menguruskan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dengan baik sekalipun kampus induk dan segala kemudahan yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu begitu baik sekali. Sekejap arah berpindah ke kampus asal yang sempit di Mergong dan sekejap berpindah balik ke kampus induk. Kakitangan dan pelajar yang jadi mangsa.

2)  GAGAL menyelesaikan masalah kakitangan Insaniah Holding yang tidak dibayar gaji semenjak BN mengambilalih pentadbiran negeri pada Mei 2013.

3) GAGAL dalam penghasilan padi/beras untuk negara di mana kini Kedah hanya mampu menyumbang 30 peratus bekalan beras, sedangkan semasa Pakatan Rakyat dahulu negeri ini menghasilkan 44 peratus bekalan beras negara.

4) GAGAL menyelamatkan tanah sawah apabila mengumumkan projek ZIPY akan diteruskan di Yan yang dijangka akan mengorbankan 4300 ekar tanah sawah.

5) GAGAL bercakap benar. Datuk Paduka Mukhriz Mahathir didakwa tidak bercakap benar dalam isu pembelian kereta baharu untuk Menteri Besar Kedah. Kenyataan yang dibuat kononnya untuk kegunaan Yang Di-Pertuan Agong, walhal plet kereta terang-terangan tertera perkataan ‘Menteri Besar Kedah’.

6) GAGAL mengawal nafsu untuk memiliki kereta rasmi Exco yang baharu. Mereka menukar kereta rasmi dari Camry ke Perdana baharu, walaupun kereta yang ditinggalkan Exco terdahulu masih elok. Walhal sewaktu kerajaan dahulu menukar kereta baharu akibat kereta lama sudah terlalu uzur, BN sebagai pembangkang di kala itu menentang keras.

7) GAGAL mengawal pembalakan yang berleluasa. Kegiatan pembalakan berjalan dengan rakus sekali terutama di daerah Padang Terap, Baling, Kulim dan Sik. Hutan digondolkan tanpa belas kasihan seolah-olah hutan tidak menyumbang apa-apa terhadap kestabilan alam.

8) GAGAL mengawal budaya hedonism. Kerajaan Negeri membenarkan kumpulan penyanyi separa bogel K-Pop dibawa masuk dari Korea dalam konsert UEPE yang di adakan di Sungai Petani.

9) GAGAL menjaga duit negeri, menggunakan untuk tujuan tidak baik. Kerajaan pimpinan Mukhriz dengan murah hati ‘bersedekah’ kepada Astro yang menganjurkan Program Maharaja Lawak Mega sebanyak RM200,000.00. Jumlah tersebut terlalu besar untuk rakyat Kedah yang miskin tetapi BN menghabiskannya untuk orang ramai bergelak ketawa.

10) GAGAL menghormati pegawai tadbir kerajaan negeri (KCS) di mana Menteri Besar cuba melantik Setiausaha Sulit Kanan dari kalangan bukan KCS. Akibat mendapat tentangan, individu tersebut dilantik sebagai Ketua Pegawai Khas (jawatan baru yang diwujudkan) dengan gaji dan elaun yang luarbiasa. Walhal mengikut tradisi pentadbiran pejabat Menteri Besar selama ini, ketua bagi pegawai-pegawai khas adalah Setiausaha Politik.

11) GAGAL membuat keputusan yang wajar dalam isu mahkamah. Mukhriz telah membuat keputusan tidak wajar dalam isu pembalak menyaman anak syarikat kerajaan negeri, apabila bersedia menerima penyelesaian di luar mahkamah sekalipun kes tersebut hampis pasti dimenangi oleh pihak kerajaan negeri. Akibatnya kerajaan negeri kerugian RM2.5 juta.

12) GAGAL mengurus sembilan buah Maktab Mahmud yang selama ini diurus oleh kerajaan negeri dengan menyerahkan kelolaannya kepada Kementerian Pelajaran dibawah pentadbiran Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Mukhriz mungkin ‘bijak’ kerana berjaya menyelamatkan duit negeri sebanyak RM26 juta yang selama ini membiayai Maktab Mahmud tersebut. Soalnya, ke mana perginya RM26 juta tersebut dan apakah nasib silibus Azhariah di Maktab Mahmud selepas ini?

13) GAGAL meneruskan Skim Kafalah iaitu pemberian RM500 untuk keluarga si mati yang diperkenalkan semasa Pakatan Rakyat dahulu.

Sunday, April 27, 2014

Mana dia bandaraya yang dibuat dari getah tu?

Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0 yang membakar semangat para pekebun kecil menuntut hak mereka, mengingatkan kita kepada Akujanji BN PRU13 lalu yang mempunyai kaitan langsung dengan nasib masyarakat getah. Janji BN ialah mahu mewujudkan Bandaraya Getah di Padang Terap yang akan membuka kira-kira 13,000 peluang pekerjaan baharu.
PAS hilang kerusi parlimen Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling dalam PRU13 – empat kawasan yang dihuni paling ramai masyarakat pekebun kecil getah. Banyak faktor yang menyumbang kepada kekalahan PAS dan laungan pembelaan BN terhadap masyarakat pekebun kecil getah menjadi salah satu dari faktor berkenaan. Apatah lagi masyarakat getah begitu teruja dengan kenaikan harga getah ketika itu.
Bandaraya getah tidaklah bermaksud semua komponen membangunkan infrastruktur bandar dibuat dari getah. Pelik juga kalau jalanraya, bangunan dan padang permainan semuanya dibuat dari getah. Bandaraya getah bermaksud semua industri atau perniagaan yang berkaitan dengan getah akan berhimpun di bandar tersebut. Ada kilang memproses getah, kilang tayar, sarung tangan, tilam, kondom atau apa-apa produk yang dibuat berasaskan getah. Banyak sungguhlah kira-kiranya industri melibatkan getah di situ sehingga 13 ribu orang dapat bekerja. Pusat penyelidikan getah tidak perlu lagi dibangunkan di situ sebagai komponen kepada bandaraya itu kerana, ia sudah wujud dilaksanakan dengan ‘jayanya’ oleh Lembaga Getah Malaysia.
Sekalipun harga getah ditakdirkan jatuh merudum tetapi rakyat Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling tiada masalah kerana mereka boleh bekerja dalam industri tersebut. Itulah agaknya gambaran yang menguja pemikiran masyarakat getah hingga menyebabkan sokongan mereka terhadap BN begitu kuat sekali.

Wednesday, April 16, 2014

Rakyat tolak media utama, BN terpaksa kerahkan macai "Blue Wave Army"




Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, parti itu bercadang mewujudkan unit tentera siber, Blue Wave Army (BWA) dalam usaha melawan serangan dari ‘Red Bean Army (RBA)’. RBA adalah sebuah rangkaian siber yang tercetus dari khayalan para pemimpin BN selepas kecewa kerana ditolak oleh majority pengundi Cina dalam PRU13 lalu. Hakikatnya tidak wujud pun apa yang dikatakan RBA.

Menurut Ahmad,  BWA akan menggalas peranan penting dalam mengemukakan fakta sahih dan penjelasan terbaik kepada masyarakat bagi menjawab serta mematahkan sebarang hasutan RBA di ruang siber.

Penubuhan unit seperti itu bukan baharu bagi Umno atau BN. Pasca PRU12 di mana buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, parti pemerintah tua itu telah menubuhkan pelbagai unit siber pro BN dengan mendapat peruntukan besar menggunakan dana kerajaan.

Datuk Seri Najib sekurang-kurangnya sudah dua kali mengadakan pertemuan dengan tentera sibernya untuk melancarkan serangan propaganda dan tohmahan terhadap Pakatan Rakyat sebelum PRU13 lalu. Sebahagian mereka dibekalkan dengan elaun dan gajet ICT. Walaupun mereka menggelarkan diri sebagai pahlawan siber tetapi penggiat alam maya lebih senang memanggil mereka sebagai macai.

Ribuan macai yang hanya menggunakan akaun Facebook atau Twitter hanya diberi imbuhan sekali-sekala. Manakala macai pada tahap yang lebih atas, biasanya pengendali laman web atau blog akan mendapat elaun tetap yang lumayan. Mereka dilatih untuk melakukan kerja jahat di bidang propaganda secara berkesan melalui kursus-kursus professional.

Sunday, April 13, 2014

Wajah-wajah sekular tak boleh disembunyi

Tiada hukuman yang lebih ‘gila’ dari hukuman mati beramai-ramai terhadap penyokong Presiden Mesir yang digulingkan Dr. Mohamad Morsi. Mahkamah kudeta Mesir menghukum mati 529 orang itu setelah menjalani dua sesi prosiding iaitu hari Sabtu dan Isnin.

Fakta pelik dalam dakwaan tergesa-gesa ini ialah beberapa orang daripada mereka telah disahkan terkorban pada peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Medan Rabiatul Adawiyah. Mereka sudah mati sebelum diputuskan hukuman mati. Beberapa orang yang dihukum itu telah berada dalam tahanan politik sejak rampasan kuasa tentera lagi. Mereka telahpun di dalam penjara sebelum peristiwa yang dikaitkan dengan dakwaan berlaku.

Lima orang daripada mereka sudah dua tahun tinggal di luar negara dan tidak pernah pulang ke Mesir sejak rampasan kuasa Mesir berlaku. Mereka dituduh melakukan jenayah semasa ketiadaan mereka di Mesir. Fakta yang lebih lucu ialah 529 itu didakwa membunuh seorang anggota polis. Keputusan tersebut juga dikeluarkan tanpa mendengar hujah pihak pembela, yang mana ini merupakan hukuman mati terbesar dalam sejarah Mesir.

Keputusan yang dibuat ‘mahkamah kanggaroo’ Mesir itu adalah kehendak Israel. Sehari sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, Israel mengarahkan kesemua kedutaannya di seluruh dunia dikosongkan. Mereka dapat menghidu kemarahan umat Islam.

'Elemen Islam' jadi perisai lawan PAS


Jika Pakatan Rakyat akan mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 1 Mei 2014 bagi membantah perlaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) atau lain-lain isu yang berkaitan pembelaan terhadap hak rakyat, maka kemungkinan yang tidak dapat disangkal ialah kerajaan BN akan menganjurkan program keagamaan bagi menyainginya. Ia mungkin program Cinta Rasul, Salawat Perdana atau forum keagamaan yang mengundang tokoh-tokoh hebat.

Baru-baru ini PAS Kedah menganjurkan Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0. Himpunan dirancang kira-kira dua bulan lalu. Tak semena-mena dalam masa tidak sampai dua minggu, Umno menganjurkan program Cinta Rasul juga di Baling walaupun lokasi berbeza.  Program kilat itu mengundang habib kecil untuk memimpin salawat ke atas junjungan nabi SAW serta penceramah pro Umno. Atas rasa ketidakyakinan bahawa program tersebut mendapat sambutan, mereka mengadakan pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk motorsikal baharu.

Sewaktu Pakatan mengadakan himpunan Reformasi 2.0 di Stadium Kajang bulan lalu, Umno pula mengadakan program salawat perdana di Putrajaya yang mengundang habib besar sebagai penarik kehadiran orang ramai. Trend terkini, program-program berselawat sebegitu mendapat sokongan besar dari umat Islam khususnya yang mencintai agama. Mereka yang membanjirinya bukan anak-anak muda perempit atau yang ghairah menghadiri konsert maksiat tetapi golongan muda yang ikhlas mencintai Rasulullah SAW serta perjuangan yang dibawanya. Golongan ini lebih selesa mengenakan jubah, serban dan ridak.

Monday, February 24, 2014

UMNO Kedah kembali bergolak


Baru-baru ini, sewaktu Perhubungan PAS Kedah mengadakan program untuk memantapkan organisasi di SP Inn Sungai Petani; Umno Bahagian Merbok pula mengadakan pertemuan khas dengan Pengerusi Perhubungannya Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir. Meriah hotel milik anak syarikat kerajaan negeri itu apabila dua buah parti utama yang bersaing mengadakan program sebelah menyebelah.

Jika PAS sebagai pembangkang sedang bangkit semula membina kekuatan, Umno pula sedang berhempas pulas untuk memulihkan masalah dalaman parti pemerintah itu satu demi satu bahagian. Baru minggu lalu Mukhriz terpaksa campurtangan menasihati seorang ADUN BN supaya tidak meneruskan hasrat untuk menyaman pemimpin Umno bahagian berhubung pertikaian politik dalaman mereka. Setiap bahagian Umno ada masalahnya masih-masing yang lebih merumitkan berbanding sewaktu jadi pembangkang dahulu.

Selepas sembilan bulan berlalu, tempoh berbulan madu Menteri Besar Kedah itu sudah berakhir.  Apa yang terpaksa dilaluinya kini ialah masalah demi masalah yang melanda sebuah parti tua lagi nazak yang talian hayatnya cuma kuasa dan wang dari kerajaan Pusat dan bukan jatidiri perjuangan.

Sunday, February 23, 2014

Perjuangan rasis Melayu yang tak ketahawan keluloi


Sebuah perhimpunan dihadiri kira-kira 30 orang yang dinamakan 'Bantahan penghinaan terhadap kepimpinan Melayu, Yang di-Pertuan Agong, dan agama Islam serta maruah Melayu' oleh segelintir ahli politik yang didakwa cauvinis Cina. Ia berlangsung berhampiran Jalan Tun Perak berdekatan Puduraya, petang ini.

Pemimpin yang wajahnya terdapat pada kain rentang itu MP Seputeh, Teresa Kok, MP Gelang Patah, Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP dan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dari PKR.

Apa yang menarik berlaku dalam himpunan itu ialah seekor ayam disembelih ala-ala zaman khurafat dahulu, kemudian darahnya disimbah ke atas gambar para pemimpin Cina tadi. Wakil penganjur, Zulkifly Sharif dari Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) yang berucap sewaktu ayam-ayam itu disembelih berkata mereka yang wajahnya ada pada poster tersebut cuba memanipulasi kenaikan harga barang baru-baru ini. Baginya, kenaikan harga barang seperti yang dihebohkan sekarang ini adalah satu jenis propaganda bagi memburukkan kepimpinan Melayu.

Saturday, February 22, 2014

Mukriz ditimpa balak!


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah memandang serius laporan kes pembalakan di sepanjang Lebuhraya Trans Eastern Kedah Interland Highway (Tekih) dan penyelesaian luar mahkamah kes saman syarikat Bina Darul Aman Berhad (BDB) dengan sebuah syarikat pembalakan.
Pengarahnya Raja Ahmad Raja Khan mengesahkan menerima laporan dari Ketua Pembangkang DUN Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah dan terus melakukan siasatan. Ia menampakkan perkembangan positif SPRM di Kedah kerana sebelum ini membuat laporan SPRM lebihkurang sama saja dengan mencampakkan dokumen ke dalam tong sampah.


Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir yang diajukan soalan mengapa mesti melakukan penyelesaian di luar mahkamah dengan membayar RM2.5 juta kepada syarikat pembalakan yang menyaman BDB, beliau berkata, kes tersebut berlarutan sekian lama. Jadi, ia langkah terbaik untuk mempercepatkan prosiding mahkamah dengan menutup kes yang sudah lama dibicarakan di mahkamah.

Friday, February 21, 2014

‘Pakai otak laa’ Mukhriz!



Masih ingat tindakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang memimpin penyokong Umno Kedah berhimpun di Tasik Pedu membantah pembalakan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat, sewaktu beliau menjadi pembangkang di kedah dahulu?

Dengan memakai  baju T berwarna merah tertera perkataan ‘Pakai Otak Laa’ beliau mengecam kerajaan negeri yang kononnya menebang balak sewenang-wenangnya, sekalipun pembalakan yang dibuat adalah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan.

Apabila kalimah Allah jadi barang dagangan politik...


Debat Khalid Samad-Noh Omar cuma satu babak dari drama Kalimah Allah yang berlarutan sejak bertahun, dipanaskan oleh media pro BN setelah sedar ia menjadi isu berkesan untuk merperlecehkan minda orang Melayu - kononnya Pakatan Rakyat berpihak kepada orang Kristian dalam isu kalimah Allah.

Himpunan demi himpunan, kenyataan demi kenyataan dan provokasi demi provokasi; semuanya dilakukan oleh kumpulan rasis Melayu bagi menonjolkan bahawa merekalah pejuang Islam tulen di negara ini.

Polemik kalimah Allah sangat pelik kerana ia hanya berlaku secara panas dan berpanjangan di Malaysia, tidak di negara-negara Islam yang lain termasuk negara Arab sekalipun. Di Mesir yang menjadi kilang menghasilkan ratusan ribu ulamak di seluruh dunia pun tidak kecoh isu kalimah Allah macam di Malaysia, walaupun Kristian menulis Allah dalam Bahasa Arab dalam kitab mereka.

Saya tidak bermaksud mahu terbabit atau memanjangkan polemik kalimah Allah, kerana PAS mempunyai pendirian yang jelas dalam isu tersebut. Melalui kenyataan yang dibuat oleh Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa, kalimah "Allah" tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan. Kalimah "Allah" adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat. Walau bagaimanapun Islam tidak menghalang pengganut agama lain mengggunakan kalimah "Allah" dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran. Pendirian yang dibuat oleh Presiden adalah berdasarkan hukum bukan emosi. Beliau pernah mengulas isu tersebut secara ilmiah menyebut ketika  mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada tahun 2010 yang telah diterbitkan sebagai buku kecil yang bertajuk: "Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah".

Apa yang menjadi persoalan ialah mengapa pihak tertentu khususnya NGO Muslim yang berbau rasis, (apatah lagi Umno yang lebih sudu dari garpu) terlalu memokuskan kepada tindakan tidak membenarkan pihak lain menggunakan kalimah Allah secara bersungguh-sungguh tetapi meninggalkan kerja lain yang sewajarnya dilakukan secara bersungguh-sungguh?

Perkara yang dibangkitkan ialah, pihak Kristian tidak akan beriya-iya menggunakan kalimah Allah di Malaysia jika tidak kerana mahu mengelirukan umat Islam atau melicinkan strategi dakyah mereka dengan penggunaan kalimah Allah. Maksudnya apabila orang Islam membaca Bible maka ada yang yakin bahawa Allah berkonsep trinity dalam Bible itu adalah benar. Jika ada orang Islam yang boleh dipesongkan begitu maka bukankah ia berpunca dari umat Islam sendiri (termasuk kerajaan umat Islam) yang gagal menanamkan asas tauhid yang jelas kepada orang Islam?

Kerajaan berkuasa terhadap rakyat. Kerajaan juga berkuasa ke atas setiap kepala umat Islam, bermula sejak dia dilahirkan di bumi Malaysia. Kerajaan boleh mewajibkan matapelajaran Tauhid yang mengenal Allah secara tepat mengikut Islam dan yakin akan syariat yang diturunkan Allah dalam semua perkara. Mana-mana pelajar Muslim yang tidak lulus subjek tersebut, maka dia tidak layak mendapat sijil penting malah tidak layak untuk memasuki mana-mana institusi pengajian yang lebih atas. Mengapa kerajaan yang memerintah tidak buat begitu atau NGO yang memperjuangkan kalimah Allah itu mendesak kerajaan untuk buat begitu? Mereka tidak sibuk memberi kefahaman Islam kepada umat Islam dan bukan Islam, sebaliknya lebih sibuk untuk menyekat pendakyah Kristian memesongkan aqidah umat Islam.

Saturday, January 11, 2014

Sanggup Derita Kerana Raja... Macam Kisah Singapura Dilanggar Todak



Singapura Dilanggar Todak adalah sebuah cerita lagenda orang Melayu yang sangat terkenal khususnya di Singapura. Kisah ini tercatat dalam Sulalatus Salatin atau kitab sejarah Melayu lama. Kononnya suatu hari Singapura telah diserang oleh ikan-ikan todak dari laut sehingga ramai kalangan rakyat yang berada berhampiran pantai cedera dan mati tertikam.

Raja Singapura dengan mengenderai gajah turun menyaksikan sendiri khabar yang sampai kepadanya. Terkejutlah raja melihat ramai rakyat yang menjadi mangsa ikan todak. Timbul ketakutan dalam hatinya kalau-kalau akhirnya serangan todak boleh sampai ke istana. Nyawa raja kaum kerabat serta kerajaannya sendiri boleh berakhir dengan serangan todak.

Maka baginda menitahkan para pengawalnya mengerah rakyat agar memagar pulau Singapura dengan menjadi benteng manusia menahan serangan todak. Bodohnya rakyat kerana sanggup bersabung nyawa mengikut perintah raja. Ramai yang mati dan cedera dek tikaman todak. Jika rakyat cerdik ketika itu, mereka bersatu untuk tidak mengikut perintah raja demi keselamatan nyawa masing-masing. Tanpa sokongan rakyat, raja boleh terguling begitu sahaja. Walaupun menderhakai raja adalah amalan tidak baik dalam budaya Melayu, namun situasi di kala itu menderhakai raja lebih afdhal dari menyeksa diri sendiri dengan serangan todak.

Wednesday, January 1, 2014

Menggempur pemikiran macai



Almarhum Dato’ Fadzil Noor dalam ceramahnya gemar menggunakan istilah ‘pecacai’ yang merujuk kepada golongan yang menjadi kuli atau barua politik pihak tertentu. Mereka sentiasa mengikut telunjuk pihak tertentu dan mempertahankan segala tindak tanduk pihak yang mereka sokong itu.

Istilah pecacai kemudiannya diringkaskan menjadi macai. Istilah ‘macai’ begitu popular dalam alam siber bagi merujuk kepada penyokong tegar parti politik yang akan membela, mempertahan, mengampu dan menjilat pemimpin dalam apa saja isu. Sekalipun secara terang-terangan macai tersebut mempertahankan perkara yang salah pada parti dokongannya. Istilah macai tidak ada dalam kamus, namun selepas ini pakar-pakar bahasa boleh berbincang sama ada perlu memasukkannya dalam perbendaharaan Bahasa Melayu.

Walaupun macai wujud di kedua-dua belah pihak parti mendokong kerajaan (BN) atau Pakatan Rakyat, tetapi apabila disebut macai semua pihak lebih senang untuk menganggap ia berada di pihak BN. Memang lumrah di Malaysia para pengampu dan penjilat, yang mengharap habuan duniawi dari usaha membodek parti politik yang memerintah hanya berada di sebelah sana. Bahkan ramai antara mereka yang dibayar hanya untuk tugasan menjadi macai, khususnya macai di alam siber.

Jangan cakap “bukan salah Umno”



Makin hari makin bertambah jumlah para pemimpin politik dari pihak kerajaan yang bercakap memperbodohkan rakyat. Dah jadi satu koleksi lawak jenaka yang berenteran. Ada menteri yang bercakap, jika ayam mahal belilah daging atau ayam. Ada menteri yang cadangkan jika tak setuju kenaikan harga tol, sila guna jalan biasa tanpa tol. Waktu harga petrol naik mereka beritahu, sebenarnya harga petrol tidak naik cuma subsidi dikurangkan. Waktu harga gula dinaikkan mereka cakap, tujuannya supaya rakyat sihat tak kena penyakit kencing manis. Dalam pilihanraya kecil Sungai Limau kerajaan BN anjurkan pula jualan gula RM1.00 sekilogram. Memang hebat kelentong para pemimpin politik yang sedang memerintah Malaysia. Kalau ditakdirkan mereka masuk program Rajalawak, tergugat juga para pelawak sedia ada.

Terbaru, bekas Naib Presiden UMNO yang pernah digantung keahlian kerana didakwa terbabit rasuah dalam pemilihan parti itu, Tan Sri Isa Samad turut menambahkan koleksi kenyataan jenaka berhubung isu tekanan kos hidup yang sedang melanda rakyat. Katanya, kenaikan harga barang bukan salah Umno.
"Itu kita tak boleh elak, nak marah pada Umno sebab apa, kalau marah pada Umno harga tidak boleh turun... kos hidup (tidak boleh turun).

Selepas Bangladesh, Mesir dan Turki: mungkin PAS di Malaysia...




Dunia dikejutkan dengan hukuman mati terhadap Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh Abdul Quader Mullah.

PAS melalui kenyataan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyifatkan perbicaraan as-Syahid adalah satu momokan terhadap sistem keadilan, apabila disabitkan kesalahan dengan fakta yang meragukan dan penuh dengan sentimen politik dalaman Bangladesh.

“Jelas sekali tindakan menukar hukuman asal terhadap as-Syahid dari penjara seumur hidup adalah di atas desakan politik dalaman menerusi demonstrasi jadian seperti protes Shahbag pada Februari 2013 lalu yang menjadi tulang belakang agenda jahat kumpulan sekular yang bencikan Islam,” ujar Presiden PAS.

Hukuman gantung terhadap pemimpin parti Islam itu tidak syak lagi adalah perancangan jahat pemerintah Bangladesh yang merasa tertekan dengan kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan golongan sekular. Tahun lalu dunia di kejutkan dengan kebangkitan umat Islam Bangladesh yang berjumlah ratusan ribu keluar ke jalanraya menuntut penegakan undang-undang syariah di samping menuntut pemerintah yang ada turun dari tampuk kuasa. Mereka turun dengan tangan kosong tetapi berjaya ‘melemahkan’ polis dan tentera kerajaan kerana jumlahnya terlalu ramai. Jamaat-e-Islami dijangka membuat kejutan dalam pilihanraya umum yang berlaku selepas ini.

Isunya ialah kenaikan harga barang gila gila, BN jangan alih isu!


Percayalah bahawa perkara yang paling ditakuti oleh BN ialah isu yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai, termasuk orang Umno sendiri. Pilihanraya  umum 1999 tahap sokongan orang Melayu terhadap BN adalah paling rendah. Puncanya kerana ahli-ahli dan penyokong Umno sendiri marahkan tindakan Dr. Mahathir Mohamad yang mereka sifatkan menzalimi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas peristiwa tersebut hingga PRU 2013 tidak muncul lagi isu yang membawa kemarahan kepada orang Melayu dan Umno secara serentak. Banyak isu yang membangkitkan kemarahan orang Melayu tetapi tidak pada orang Melayu Umno.

Selepas 15 tahun berlalu, nampaknya situasi terkini menunjukkan sudah muncul isu yang membangkitkan kemarahan orang Melayu dan Umno terhadap kerajaan. Di pejabat, kedai kopi, tempat awam, di media sosial atau di mana sahaja kini, kita mudah untuk temui ahli dan penyokong Umno marahkan kerajaan berikutan tekanan kos hidup yang semakin hari semakin membebankan.

Nasib ler Melayu Pulau Pinang berkerajaankan DAP...



Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid membuawa cerita dongeng kononnya kerajaan negeri telah bersetuju menukarkan nama Pulau Jerejak kepada Pulau Mazu sempena nama tokong Mazu yang terkenal di kalangan masyarakat Cina Non Muslim. Jahara lalu meminta Ketua Menteri, Lim Guang Eng memberi penjelasan. Mudah sungguh kerja mereka, buat cerita fitnah kemudian minta pemimpin Pakatan nafikan. Sejak dahulu kini dan mungkin selamanya, begitulah perangai mereka tak pernah berubah. Segala cerita fitnah mereka dipanjangkan dalam media manakala penafian atau penjelasan dari pemimpin Pakatan dibakulsampahkan begitu saja. Akibatnya kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP, sejak mentadbir Pulau Pinang Mac 2008 lalu hingga kini berjaya digambarkan sebagai rasis Cina dan anti Melayu. Lepas satu, satu cerita sensasi politik muncul dari Pulau Pinang.

Pembangkang Pulau Pinang beriya-iya menghidupkan cerita rasis sebagai sebagai kaedah terbaik untuk mengekalkan sokongan di kalangan orang Melayu. Cerita kononnya penindasan kerajaan DAP terhadap orang Melayu Pulau Pinang dimainkan sepanjang lima tahun Pakatan mentadbir, dengan isu yang berbeza-beza. Kini diteruskan lagi untuk penggal terbaru. Berbohong kepada rakyat bukan masalah besar bagi mereka, selagi masih terdapat kalangan orang Melayu yang menjadikan parti rasuah sebagai dokongan tanpa persoalan lagi.

Kesian petani... harga barang naik mendadak, harga padi tak naik naik


Antara kejayaan yang dicatat dalam PRK Sungai Limau ialah mempertahankan kemenangan PAS. Kejayaan sampingan yang lain ialah rakyat mendapat perhatian istimewa dan luarbiasa dari kerajaan Pusat. Tidak kurang RM17 juta peruntukan yang diterima oleh rakyat dalam pelbagai bentuk.

Satu lagi kejayaan yang tercetus ialah penubuhan Badan Membela Kebajikan Petani atau Belatani yang memperjuangkan nasib pesawah padi, merupakan kelompok terbesar rakyat Kedah. Walaupun sebelum ini sudah wujud beberapa badan bertindak yang memperjuangkan nasib pesawah, namun ianya tidak dapat perhatian dari pihak kerajaan. Kerajaan buat tidak peduli dan langsung tidak melayan tuntutan mereka mungkin kerana kerajaan menganggap semua NGO itu tidak ‘menyengat’ kerajaan.

Kemunculan Belatani agak berlainan kerana ia dicetuskan dari bayangan pihak pembangkang. Kerajaan 47 peratus yang sedang berkuasa pasti tidak akan pandang sepi tuntutan NGO yang dilihat lahir dari rusuk pembangkang. Macam Anak yang memperjuangkan nasib peneroka Felda, walaupun sekecil anak namun tetap menggugat kerajaan BN kerana bayangan pembangkang di belakangnya.