Debat Khalid Samad-Noh Omar cuma satu babak dari drama Kalimah Allah yang berlarutan sejak bertahun, dipanaskan oleh media pro BN setelah sedar ia menjadi isu berkesan untuk merperlecehkan minda orang Melayu - kononnya Pakatan Rakyat berpihak kepada orang Kristian dalam isu kalimah Allah.
Himpunan demi himpunan, kenyataan demi kenyataan dan provokasi demi provokasi; semuanya dilakukan oleh kumpulan rasis Melayu bagi menonjolkan bahawa merekalah pejuang Islam tulen di negara ini.
Polemik kalimah Allah sangat pelik kerana ia hanya berlaku secara panas dan berpanjangan di Malaysia, tidak di negara-negara Islam yang lain termasuk negara Arab sekalipun. Di Mesir yang menjadi kilang menghasilkan ratusan ribu ulamak di seluruh dunia pun tidak kecoh isu kalimah Allah macam di Malaysia, walaupun Kristian menulis Allah dalam Bahasa Arab dalam kitab mereka.
Saya tidak bermaksud mahu terbabit atau memanjangkan polemik kalimah Allah, kerana PAS mempunyai pendirian yang jelas dalam isu tersebut. Melalui kenyataan yang dibuat oleh Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa, kalimah "Allah" tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan. Kalimah "Allah" adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat. Walau bagaimanapun Islam tidak menghalang pengganut agama lain mengggunakan kalimah "Allah" dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran. Pendirian yang dibuat oleh Presiden adalah berdasarkan hukum bukan emosi. Beliau pernah mengulas isu tersebut secara ilmiah menyebut ketika mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada tahun 2010 yang telah diterbitkan sebagai buku kecil yang bertajuk: "Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah".
Apa yang menjadi persoalan ialah mengapa pihak tertentu khususnya NGO Muslim yang berbau rasis, (apatah lagi Umno yang lebih sudu dari garpu) terlalu memokuskan kepada tindakan tidak membenarkan pihak lain menggunakan kalimah Allah secara bersungguh-sungguh tetapi meninggalkan kerja lain yang sewajarnya dilakukan secara bersungguh-sungguh?
Perkara yang dibangkitkan ialah, pihak Kristian tidak akan beriya-iya menggunakan kalimah Allah di Malaysia jika tidak kerana mahu mengelirukan umat Islam atau melicinkan strategi dakyah mereka dengan penggunaan kalimah Allah. Maksudnya apabila orang Islam membaca Bible maka ada yang yakin bahawa Allah berkonsep trinity dalam Bible itu adalah benar. Jika ada orang Islam yang boleh dipesongkan begitu maka bukankah ia berpunca dari umat Islam sendiri (termasuk kerajaan umat Islam) yang gagal menanamkan asas tauhid yang jelas kepada orang Islam?
Kerajaan berkuasa terhadap rakyat. Kerajaan juga berkuasa ke atas setiap kepala umat Islam, bermula sejak dia dilahirkan di bumi Malaysia. Kerajaan boleh mewajibkan matapelajaran Tauhid yang mengenal Allah secara tepat mengikut Islam dan yakin akan syariat yang diturunkan Allah dalam semua perkara. Mana-mana pelajar Muslim yang tidak lulus subjek tersebut, maka dia tidak layak mendapat sijil penting malah tidak layak untuk memasuki mana-mana institusi pengajian yang lebih atas. Mengapa kerajaan yang memerintah tidak buat begitu atau NGO yang memperjuangkan kalimah Allah itu mendesak kerajaan untuk buat begitu? Mereka tidak sibuk memberi kefahaman Islam kepada umat Islam dan bukan Islam, sebaliknya lebih sibuk untuk menyekat pendakyah Kristian memesongkan aqidah umat Islam.
Tidak dinafikan gerakan Kristian akan menggunakan kalimah Allah untuk memesongkan umat Islam. Namun merupakan juzuk yang sangat kecil, hanya kepada golongan yang benar-benar jahil. Tapi percayalah bahawa mereka telah dan akan menggunakan apa saja cara untuk memesongkan umat Islam. Antara kaedahnya ialah melalaikan pemikiran umat dengan pelbagai bentuk hiburan. Golongan yang dilemahkan pemikiran dengan hiburan yang melalaikan tidak akan berminat untuk melaksanakan ajaran Islam sekalipun mereka juga mengucap dua kalimah syahadah. Golongan ini akan lebih mudah diperangkap oleh pihak pendakyah.
Nah, apa yang dilakukan oleh pejuang kalimah Allah untuk menyekat budaya hedonisme yang disuburkan oleh kerajaan BN sama ada melalui saluran media elektronik, pentas terbuka atau premis khusus hiburan?
Pihak Yahudi dan Nasoro juga menggunakan industri filem untuk menyebarkan dakyah atau melalaikan umat melalui cerita lucah. Apabila produser filem Hollywood kelahiran Malaysia, Riza Aziz yang juga merupakan anak tiri Perdana Menteri menerbitkan filem lucah bertajuk The Wolf Of Wall Street mengapa para pejuang kalimah Allah diam membisu? Betul filem itu tidak masuk ke Malaysia tetapi umat Islam di seluruh dunia tetap terancam dengan perancangan jahat musuh, menjadikan pintu hedonisme untuk memurtadkan umat.
Mengharapkan umat Islam tidak terancam aqidah dengan menyekat gerak kerja pihak musuh semata-mata adalah cara berfikir yang sangat primitif di zaman langit terbuka hari ini. Usah risau anak-anak muda Islam rajin menatap kitab Bible (yang di dalamnya terdapat kalimah Allah), Al-Quran pun mereka malas nak baca. Tapi di zaman langit terbuka, sesiapa sahaja boleh membaca apa saja kitab yang menyesatkan secara percuma – maklumat di hujung jari!
Kita tabik jika para pejuang kalimah Allah yang beremosi di sana sini dengan sepanduk-sepanduk rasis, turut berperanan melakukan kerja dakwah secara bersungguh-sungguh memahamkan umat manusia, Islam dan bukan Islam mengenai ketauhidan kepada Allah. Tetapi kalau mengangkat sepanduk, memaki hamun musuh hanya untuk mencari undi Melayu terhadap Umno yang sedang nazak maka baiklah dihentikan kerja yang sia-sia itu.
Pencerahan yang bagus dijadikan risalah untuk diedarkan pada rakyat biar celik politik
ReplyDelete