Sebuah perhimpunan dihadiri
kira-kira 30 orang yang dinamakan 'Bantahan penghinaan terhadap kepimpinan
Melayu, Yang di-Pertuan Agong, dan agama Islam serta maruah Melayu' oleh
segelintir ahli politik yang didakwa cauvinis Cina. Ia berlangsung berhampiran
Jalan Tun Perak berdekatan Puduraya, petang ini.
Pemimpin yang wajahnya terdapat pada kain rentang itu MP Seputeh, Teresa Kok,
MP Gelang Patah, Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari
DAP dan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dari PKR.
Apa yang menarik berlaku dalam
himpunan itu ialah seekor ayam disembelih ala-ala zaman khurafat dahulu,
kemudian darahnya disimbah ke atas gambar para pemimpin Cina tadi. Wakil
penganjur, Zulkifly Sharif dari Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda
Malaysia (Permas) yang berucap sewaktu ayam-ayam itu disembelih berkata mereka
yang wajahnya ada pada poster tersebut cuba memanipulasi kenaikan harga barang
baru-baru ini. Baginya, kenaikan harga barang seperti yang dihebohkan sekarang
ini adalah satu jenis propaganda bagi memburukkan kepimpinan Melayu.
Satu Malaysia dari segenap bangsa
terkesan dengan kenaikan harga barang, malahan bangsa Melayu yang paling banyak
memprotes dengan kenyataan media, himpunan dan flashmob di sana-sini. Tiba-tiba
segelintir bangsa Cina yang turut serta membantah kenaikan serta menyindir
pemimpin kerajaan pula yang difokuskan oleh kumpulan rasis Melayu itu.
Ertinya dalam pemikiran mereka
sangat tebal sikap rasis lalu bersandiwara pula kononnya pihak lain yang rasis.
"Kami amat terkejut dengan tindakan pelampau Cina dan Kristian ini yang
melakonkan imej pemimpin Melayu disumbat mulutnya dengan kangkung yang mana
pemimpin-pemimpin ini telah dipilih secara demokrasi oleh rakyat
Malaysia," kata Zulkifly Sharif. Peliknya dia sendiri tidak terkejut
dengan perbuatan konco-konconya memijak gambar pemimpin Cina. Bahkan dengan
megah memberitahu, tindakan menyembelih dan melumur darah ayam itu adalah
simbolik kepada "peristiwa berdarah" 13 Mei 1969.
Beliau dilaporkan menggesa agar
warganegara etnik Cina dan India yang tidak fasih bahasa Melayu dihalau dari
Malaysia sementelah operasi mengusir pendatang tanpa izin sedang berjalan.
Mereka turut mendesak agar Kementerian Dalam Negeri menumpu juga terutamanya
kepada rakyat Malaysia terutamanya bangsa Cina dan India yang tidak fasih
berbahasa Melayu dinyah keluar daripada Malaysia. Dahsyatnya cetusan sikap
rasis mereka, namun bagi pihak yang kononnya menjaga keselamatan negara ia
tidak menjadi rasis jika bersamaan dengan selera Umno atau menghenyak pihak
Pakatan khususnya DAP atau KeADILan.
Himpunan dan tindakan rasis
seperti itu bukan pertama kali berlaku di negara ini. Pasca PRU13 sudah
bermacam babak rasis yang dilakonkan oleh kumpulan yang senada dan seirama
dengan Umno itu. Daripada utusan kek hitam, bunga ros hitam, najis manusia
sehingga babak yang lebih rasis seperti mengarak kepala lembu dan memijaknya.
Juga tindakan persis orang terencat pemikiran iaitu menonggeng punggung di hadapan
rumah Ambiga yang kononnya anti Melayu Islam.
Kali ini, kumpulan rasis
Melayu itu menambahkan satu lagi koleksi kerja kebudak-budakan. Satu perikatan
NGO dikenali sebagai 'Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia' menawarkan ganjaran
RM500 buat mana-mana individu yang berjaya menampar Ahli Parlimen Seputeh,
Teresa Kok dan merakamkannya. Tawaran itu dibuat aktivis Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Mustafa Hamzah. Macam lelaki ‘tidak bertelur’ mengupah
orang melempang seorang perempuan. Dari aspek undang-undang ia jelas satu
kesalahan jenayah, tetapi di bawah pemerintahan Umno semuanya ditanggung halal
jika tindakan dapat memberi kepuasan terhadap nafsu serakah Umno.
"Ganjaran ini akan dikumpul dari NGO Jemaah Islam Malaysia," katanya penuh bersemangat. Pelik, NGO menggunakan nama Islam tetapi melakukan kerja bercanggah dengan Islam. Sepatutnya sebagai aktivis pengguna Islam, beliau memperjuangkan nasib rakyat yang tertindas dengan kenaikan harga barang bukan aktiviti rasis seperti itu.
Apa sebenarnya kesalahan
Teresa Kok? Isu tercetus dari video Tahun Baru
Cina yang dilakonkan Teresa dengan tajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014'. Lebih
kurang program ‘Rajalawak’. Kok memainkan watak sebagai
hos dalam acara bual bicara dengan menemuramah panel pakar tentang apa yang
diharapkan dalam Tahun Kuda. Mereka yang melakonkan pakar itu ialah - Brother
Wai, lelaki mudah tersentuh dan mengalirkan air mata; Puan Jit, wanita gemuk
berambut besar yang suka barang kemas dan beg tangan, dan Cik Yan Yan, pakar
dalam pelancongan dan Feng Shui. Isu sindiran berkaitan keselamatan, kekayaan,
pendidikan dan ekonomi, menjadi topik dengan anekdot biasa kepada rakyat
Malaysia. Tiada provokasi terhadap isu agama.
Jika ‘Puan Jit’ dianggap
karektor Rosmah Mansor lalu video ini dikaitkan dengan perbuatan menghina
pemimpin Melayu, bagaimana dengan kemunculan ‘Cik Yan Yan’ yang terang-terangan
merupakan sindiran terhadap pemimpin MCA, Ng Yen Yen?
Mari kita alihkan pula
dengan tindakan Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Zahid Hamidi serta lain-lain pemimpin Umno terhadap Lim
Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh. Mengapa tidak dituduh rasis kerana
mengkritik individu berlainan bangsa?
Apabila orang Cina
mengkritik kesalahan pemimpin Melayu maka ia adalah rasis sekalipun kritikan
tidak bertumpu terhadap isu rasis. Apabila orang Cina mengkritik pemimpin Cina
ia tidak rasis, betullah itu. Apabila pemimpin Melayu (Umno) mengkritik orang
Cina ia tidak menjadi rasis. Wah, apakah ini ukuran rasis kumpulan rasis Melayu
yang sangat teruja setiap kali pemimpin DAP mengkritik pemimpin UMNO lalu
segera melenting bagai orang hilang akal? Siapa sebenarnya rasis?
No comments:
Post a Comment