Saturday, June 29, 2013

Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang sukar dicari ganti



Hari ini pemikiran Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor diseminarkan. Memang tepat segala ilmu dan idea yang lahir dari tokoh besar itu dibincangkan. Membiarkan pemikiran yang telah menghasilkan sejarah perjuangan Islam di tanahair itu berlalu begitu sahaja tanpa dirujuk kembali adalah pensia-siaan yang sangat merugikan. Sejarah perjuangan Islam yang dibawa PAS masih belum panjang jarak masanya, belum menempuh pun satu abad. Tokoh-tokoh yang hebat dalam jamaah mungkin tidak seramai Ikhwanul Muslimin di Mesir, namun kehebatan tokoh yang sedikit ini mestilah dimanfaatkan ilmu dan pemikirannya sepenuhnya.

Terlalu banyak aspek menarik dan bermanfaat untuk dikaji dari sirnaan pemikiran Ustaz Fadzil, biarlah kita mengutip sisi-sisi yang tersurat sahaja, itu pun cuma selembar dari ribuan manfaat yang boleh digali.

Pencapaian terbaik

Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor pergi meninggalkan kita pada 23 Jun 2002. Sepanjang sejarah PAS meniti perjuangan, Ustaz Fadzil adalah tokoh paling hebat kerana memimpin parti di saat gemilangnya. PAS memimpin permuafakatan parti pembangkang apabila memenangi 27 kerusi Parlimen pada PRU 1999. Beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Sehingga kini PAS belum mampu memecahkan rekod pencapaian kerusi terbanyak itu.

PRU 1999 adalah merupakan detik paling perit bagi Umno kerana majoriti Melayu berpihak kepada pembangkang. Tidak dapat dinafikan bahawa penolakan Melayu terhadap BN pada masa itu ada kena mengena dengan Anwar dianiayai, dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, dibelasah dalam lokap serta dipenjarakan.

Ustaz Fadzil hadir dalam sidang media pertama selepas Anwar dipecat. Ia kelihatan sangat janggal ketika itu kerana persepsi umum adalah, pemecatan Anwar adalah persoalan rumahtangga Umno. Terdapat anggota PAS yang tidak menyetujui kehadiran Ustaz Fadzil bersama Anwar. Biarlah Umno bergasak sesama mereka, mengapa PAS nak campuri urusan dalaman mereka? Ustaz Fadzil ditempelak kerana kononnya membuat perhitungan yang salah.

Ustaz Fadzil menubuh, memimpin dan menggerakkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) untuk mengembeling tenaga parti-parti politik dan NGO menjadi suatu kekuatan berkesan untuk menentang ketidakadilan parti yang sedang memerintah. Selepas ledakan kebangkitan rakyat yang luarbiasa berhubung isu Anwar, barulah tindakan Ustaz Fadzil dianggap betul. Ia menjadi lebih tepat apabila PAS menjadi dominan dalam barisan pembangkang dengan memperoleh kerusi terbanyak, mampu mempertahankan Kelantan di samping menawan Terengganu.

Jika hari ini perpaduan parti-parti pembangkang adalah mantap, sehingga menang di lima negeri pada PRU12 dan hampir-hampir menumbangkan BN di Pusat dalam PRU13 lalu tetapi hakikatnya permuafakatan pembangkang itu digagaskan di masa Ustaz Fadzil memimpin PAS lebih sepuluh tahun lalu. PAS mengadakan permuafakatan dengan parti KeADILan dan DAP yang dianggap parti Cina rasis. Ustaz Fadzil, Datuk Dr. Wan Azizah dan Lim Kit Siang beberapa kali menganjurkan ceramah umum bersama menjelang PRU 1999. Ustaz Fadzil berjaya meyakinkan ahli PAS dan orang Melayu perihal pentingnya sokongan masyarakat Cina jika mahu memerintah negara. Cuma orang bukan Melayu pada masa itu belum berjaya diyakinkan oleh DAP untuk menyokong PAS.

Wednesday, June 26, 2013

Di mana rakyat buta isu semasa, di situ BN menang!



Media arus perdana kononnya telah berubah kini; dari media yang sedia difahami iaitu media elektronik (radio dan televisyen) dan akhbar-akhbar harian utama, kepada media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin media arus perdana mula hilang taring. "Facebook dan Twitter adalah media arus perdana 2013 kerana media ini lebih berkesan," ujar beliau di wacana Sinar Harian yang membincangkan "Media arus perdana: Apa nasib Pakatan Rakyat?"

Pandangan itu mungkin benar jika beliau merujuk kelompok masyarakat elit dan pertengahan yang mendiami lembah kelang di mana dunia maya boleh diakses dengan mudah oleh majoriti anggota masyarakat. Kajian menunjukkan lebih 44 peratus rakyat Malaysia mengakses media sosial, cuma persoalannya bukan semuanya menekuni secara harian. Dalam kelompok itu pula bukan semuanya menatap atau melayan isu-isu semasa. Sehingga kini media belum mampu diakses oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebahagian besar para penoreh getah, petani dan nelayan yang layak mengundi, melihat komputer macam tikus tengok besi.

Pilihanraya dan isu, sangat berhubung kait. Di mana-mana negara demokrasi pun (merujuk kepada negara demokrasi tulen), kemenangan atau kekalahan sesebuah parti politik dikaitkan dengan isu. Selesai PRU13, hampir semua media elektronik menyediakan pentas forum, berbicara mengenai keputusan pilihanraya. Tiada langsung ahli panel yang tidak menyentuh perihal isu-isu tertentu yang jadi penyebab kalah menang sesebuah parti. Sama ada isu tersebut cuma satu persepsi semata-mata atau persepsi berasaskan realiti; ia tetap jadi asas penting bagi rakyat membuat keputusan di kertas undi.

Cuma persoalan lebih besar yang jarang disentuh oleh panelis forum tersebut ialah apakah isu-isu yang diperkatakan itu sampai kepada seluruh rakyat Malaysia.

Biasanya orang Melayu di akar umbi ditemui dengan jumlah yang lebih besar dari biasa, sama ada oleh perayu undi BN atau Pakatan, ialah semasa tempoh berkempen dalam PRU. Pengalaman yang diceritakan oleh Muslimat dan Pemuda PAS yang mendominasi kempen rayu undi ini, masih ramai yang tidak memahami isu yang dibawa oleh Pakatan. Mereka tidak tahu apa yang ditawarkan oleh Pakatan seperti terkandung dalam manifesto. Di luar bandar, jumlah tersebut lebih besar termasuk segelintir ahli-ahli PAS sendiri. Maknanya kelompok yang besar ini tidak ditembusi oleh media sosial.

Sebaliknya sebahagian besar pengundi Melayu itu dapat 'memahami' dengan baik isu yang dibawa oleh BN. Tidak perlu dijelaskan mengapa hal ini berlaku, semua tahu bahawa tukang kempen BN (radio dan televisyen) berada dalam setiap rumah rakyat Malaysia. Itu sebenarnya media arus perdana yang telah menjahanamkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Sesedar saya, perkara ini sudah dibincangkan oleh jentera penerangan PAS sejak berdekad namun kebuntuan tersebut masih belum dapat dipecahkan. Kebuntuan bagaimana menyampaikan maklumat secara berkesan sehingga ke akar umbi. Ceramah bukan jawapannya, kerana ceramah jugak tertakluk kepada banyak sekatan serta tidak mampu dibuat di setiap pelosok tempat.

Pelbagai cadangan dibuat, namun sehingga kini tiada satu pun langkah berkesan dapat dibuat untuk memastikan maklumat dari PAS atau Pakatan dapat menembusi setiap pintu rumah.

Untuk PRU13 ini, dapatan keputusan pilihanraya memang selari dengan situasi tersebut iaitu; Pakatan kalah di sebahagian besar kawasan luar bandar di mana media sosialnya tidak sangat berperanan dan menang di kawasan bandar dan pinggir bandar. Memang pengundi Cina jadi faktor tapi tanpa pengundi Melayu yang celik isu, Pakatan tidak mampu menang juga. Jika mahu menggunakan bahasa yang kasar, kesimpulannya begini; di mana rakyat Malaysia buta isu semasa maka di situ BN menang.

Pilihanraya umum 1986 PAS kalah teruk, tinggal satu kerusi Parlimen iaitu Pengkalan Chepa. Selepas menyalahkan Komuniti Perundingan Cina (CCC) sebagai sebab kekalahan (Nota: CCC cuma jadi kambing hitam) maka sebahagian pemimpin PAS menyalahkan media.

PAS Pusat lantas mengambil tanggungjawab mewujudkan akhbar Harakah. Sekalipun kerajaan BN hanya membenarkan jualan untuk ahli sahaja, namun ia memberi nafas baru terhadap penyebaran maklumat. Ia sedikit sebanyak membantu kemenangan PAS menambah kerusi serta menawan negeri Kelantan pada PRU 1990.

PRU 1999, pembangkang mulai dibantu oleh media maya. Perkembangan paling pesat media sosial berlaku selepas PRU 2008, iaitu revolusi Facebook dan Twitter menyebabkan Pakatan menang lebih baik pada PRU 2013 baru-baru ini. Itu peranan maklumat dalam membantu kemenangan Pakatan. Petunjuknya sangat jelas.

Jika Malaysia hanya mengandungi Semenanjung sahaja tanpa Sabah dan Sarawak, maka Pakatan sudah menerajui pentadbiran di Putrajaya. BN menang kerana sebahagian besar rakyat di kepulauan Borneo itu sangat tersisih dengan maklumat bersumberkan media maya. Masih terdapat ramai rakyat kedua negeri tersebut yang seumur hidup mereka tidak pernah mendengar ceramah pembangkang, tidak dapat mengakses media maya dan hanya mendapat maklumat sebelah pihak semata-mata.

Ada pandangan menyebut bahawa untuk PRU14 nanti Pakatan akan mampu menawan Putrajaya kerana golongan tua yang buta internet akan meninggal dunia, manakala golongan muda yang celik internet akan jadi pelapis dalam senarai daftar pemilih. Pandangan itu mungkin betul tapi kelakar kerana mengharapkan kematian orang lain untuk kita menjadi kuat.

Saturday, June 22, 2013

Regim Syria macam BN, buat pekak badak terhadap kutukan dunia... yang penting pertahankan kuasa


Mata masyarakat dunia kini tertumpu pada Syria. Perkara besar yang berlaku di Syria ialah keganasan regim Basyar Al-Assad membunuh ribuan rakyatnya sendiri. Ada sumber melaporkan jumlah kini melepasi 200 ribu.

Basyar berjaya memecahkan rekod keganasan bapanya Hafiz Al-Assad. Dalam konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari regim Hafiz mengorbankan hampir 46 ribu penduduk.

Pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat sendiri itulah sebenarnya peristiwa besar. Peristiwa yang melatari dan menghiliri kemelut itu seperti Hezbullah, Iran, Syiah, Amerika, Israel hakikatnya bukan perkara untuk difokuskan di kala nyawa rakyat sendiri tidak dapat dipertahankan oleh kerajaan yang sepatutnya melindungi rakyat.

Mengapa sanggup membunuh rakyat sendiri untuk mempertahankan kuasa?Tanpa rakyat tiada ertinya kuasa. Itu persoalan yang ditimbulkan oleh golongan rasional dan berakal. Namun orang yang tamakkan kuasa seringkali hilang akal. Regim Pol Pot di Kemboja membunuh lebih sejuta rakyatnya, sebahagian besarnya terdiri dari bijak pandai lantaran Pol Pot tidak mahu golongan yang lebih pandai darinya akan menguasai kerajaan.

Zaman Firaun, bayi yang baru dilahirkan mestilah jangan lelaki. Kerana ada Ahlulnujum diraja beritahu, orang yang akan mencabar kuasa Fiaraun adalah seorang lelaki. Maka Firaun mengarahkan mana-mana bayi lelaki yang muncul hendaklah dibunuh. Jika semua bayi lelaki dibunuh, yang tinggal hanya perempuan, mana nak bersambung zuriat selepas itu? Peraturan Firaun adalah gila namun orang yang terdesak pertahankan kuasa akan buat apa saja kerja gila.

Friday, June 21, 2013

Melayu terima Umno sebab tak nampak bahaya rasuah


Antara kejayaan Umno dalam menipu orang Melayu ialah kononnya PAS anti perpaduan ummah, sedangkan Umno sentiasa menghulurkan salam perpaduan dengan PAS. PAS menolaknya, dalam waktu yang sama sanggup pula berbaik dengan DAP yang kafir. Itu antara isu di mana 'silent majority' Melayu terkesan dalam PRU 13 lalu.

Pemimpin PAS sentiasa menegaskan bahawa kerjasama antara parti itu dengan Umno, atau mana-mana pertubuhan sekalipun tidak menjadi masalah. PAS bersedia untuk duduk bersama sesiapa sahaja untuk membincangkan isu Islam atau Melayu. Cuma bermuafakatan itu tidak bermakna PAS bersama Umno dalam pentadbiran negara, sama ada atas nama Kerajaan Perpaduan atau PAS menyertai BN.

Mungkin orang melihat bahawa ada banyak perkara boleh dibuat dari perpaduan politik PAS-Umno kearah manfaat bersama satu kelompok manusia yang sebangsa dan seagama. Tetapi ada satu perkara besar yang PAS atau sesiapa sahaja tidak akan mampu buat bila masuk bergabung dengan Umno - iaitu membanteras rasuah! Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, bukan tidak ada orang baik dalam Umno tetapi sesiapa pun yang mahu membetulkan isu rasuah Umno akan gagal. Para perasuah sudah mendominasi Umno dan kerajaan. AJK PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata, penyakit rasuah Umno sudah berada di 'stage four' (tahap empat, iaitu paling kronik). Pendek kata, penyakit rasuah akan hilang dari Umno apabila parti itu mati atau kalah.

Kroniknya rasuah dalam Umno dan kerajaan yang dipimpin Umno sehinggakan jika PAS bersama Umno dalam kerajaan, maka mudharat yang datang dalam kerajaan akan lebih besar manakala PAS akan rosak dengan palitan budaya rasuah bawaan Umno. Sebab itu PAS memilih untuk membentuk rakan kongsi lain (Pakatan Rakyat) bagi menumbangkan terus Umno dan BN bersama nyawa rasuah mereka.

Cuma perkara yang belum mampu dilakukan oleh PAS setakat ini ialah menyedarkan orang Melayu bahawa rasuah itu sangat besar bahayanya serta Umno dan rasuah adalah sinonim. Umno berjaya melunakkan Melayu dengan rasuah dengan menghulurkan 'rasuah' berbentuk pelbagai pemberian tunai kepada Melayu. "I help you, you help me." Melayu dilunakkan bahawa budaya pembelian jawatan dalam Umno itu hanyalah politik wang bukan rasuah, sedangkan politik wang dan rasuah itu adalah umpama khinzir dan babi.

Rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Daripada Abu Hurairah RA. dia berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum-menghukum”. Sabda Rasulullah SAW lagi: “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.

Monday, June 17, 2013

Tarbiah kita semakin merosot



PAS dan tarbiyah menjadi sinonim sejak tercetusnya era kepimpinan ulamak. Untuk tempoh masa yang agak panjang, PAS sangat berbangga dengan kelebihan ahli-ahlinya yang jauh lebih berkualiti berbanding lawan tradisinya Umno. Ikhlas (kerja tanpa upah), syaksiyah diri dan keluarga mengikut Islam, walak kepada kepimpinan, ukhuwah yang mantap sesama ahli, komitmen tinggi terhadap perjuangan - adalah PAS ketika tempoh gemilang itu.

Kemenangan dalam pilihanraya muncul kadang-kadang dan jarang-jarang namun semangat di dada ahli tetap membara sepanjang masa, seolah-olah tak pernah kenal derita kalah. Para pemuda tidak pernah jemu berehlah, bermukhaiyam, berqiyamullail serta dapat menghadiri program-program membina kekuatan kerohanian tanpa banyak songeh.

Hari ini PAS berjaya meletakkan diri sebagai pemain utama politik negara, memacu sebuah pakatan alternatif yang sudah dua kali PRU nyaris-nyaris menumbangkan gergasi tua BN di peringkat Persekutuan. PAS wujud dan tumbuh di mana-mana, termasuk di negeri yang dahulunya menjadi tanah gersang perjuangan PAS.

Namun di sebalik kejayaan dan kegagahan di mata masyarakat itu catatan dalamannya pula tidak secantik dahulu. Zaman kegemilangan tarbiyah itu seolah-olah berlalu pergi.

Dalam mana-mana organisasi, Islam atau sekular, perbezaan sikap dan pandangan adalah perkara biasa. Berbeza pandangan bukan satu jenayah. Wujudnya mazhab yang empat adalah kerana berbeza fahaman, pandangan dan ijtihad. Allah menganugerahkan dua pahala untuk ijtihad yang betul dan satu pahala untuk ijtihad yang tidak tepat. Sebabnya, Allah suka hambanya yang berfikir dan berfikir pula mestilah berlandaskan ilmu.

Saturday, June 15, 2013

Umno ketakutan kalau orang Melayu berani



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengungkapkan ulasan yang sangat masyhur berhubung keputusan PRU13. Katanya, UMNO menang besar bukan disebabkan perpaduan parti itu, sebaliknya disebabkan orang Melayu takut negara ini dipimpin oleh Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekutunya DAP.

Kenyataan Tun Mahathir itu benar sebagai salah satu faktor (bukan satu-satunya faktor) yang menyebabkan majoriti orang Melayu memilih BN dan menolak Pakatan. Faktor paling penting dan utama ialah orang Melayu makan umpan bersekali kail. Joran Umno terus menyentap orang Melayu ke dalam raga Umno untuk disiang dan dimakan.

Saya banyak menulis mengenai bagaimana DAP dijadikan hantu ciptaan Umno untuk mengusik jiwa orang Melayu sebelum PRU13. Ramai yang sedar permainan Umno yang 'memperalatkan' DAP untuk menakutkan Melayu itu tapi tidak ramai yang memikirkan jalan untuk mengatasinya.

Kononnya DAP dengan liciknya mahu menguasai Malaysia dengan berpaksikan slogan mereka Malaysian Malaysia. Kononnya juga Melayu yang lupa sejarah terus sanggup membiarkan diri mereka dijadikan perkakas oleh DAP. Melayu yang hilang jati dirinya sudah mula rela menjadi barua DAP untuk menyerang sesama Melayu. Melayu yang semakin lupa Allah itu Tuhannya sudah mula bersedia untuk menerima agama-agama baru yang DAP sedang suntik ke dalam masyarakat hari ini.

Thursday, June 13, 2013

Kerajaan UMNO Kedah bergerak macam kura-kura




Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir sedia mengunggu sehingga enam bulan lagi untuk mengisi kekosongan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang diperuntukkan kepada MCA. Mukhriz telah melantik lapan anggota Exco dari kalangan ADUN Umno. MCA sehingga kini masih terikat dengan resolusi yang diputuskan diperingkat Pusat melarang wakil rakyatnya memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan Negeri atau Pusat. Di Kedah MCA menang dua kerusi DUN, di Kulim dan Gurun. Tiada kerusi dimenangi oleh MIC dan Gerakan. Maka kerajaan negeri hanya layak digelar kerajaan Umno, bukannya BN.

Enam bulan adalah masa yang panjang, sepanjang enam bulan tersebut tiada siapa yang akan menjaga potfolio masyarakat Cina iaitu potfolio Exco yang dijanjikan kepada MCA. Atau mungkin itu satu cara Umno 'mengajar' masyarakat Cina Kedah yang tidak menyokong BN dalam PRU lalu. Katakan selepas enam bulan nanti keputusan MCA tetap sama iaitu tidak membenarkan ADUNnya menyertai pentadbiran negeri sebagai Exco, maka kekallah Kedah ini diperintah oleh Umno semata-mata. Jika hal tersebut berlaku maka slogan 1Malaysia tidak lagi boleh dipakai di Kedah. Ia harus ditukar dengan slogan 1Umno.

Sebaik PAS mengambilalih Kedah Mac 2008 dahulu, slogan Kedah Sejahtera di perkenalkan. Slogan itu diambil dari manifesto PRU12 PAS Kedah yang meletakkan tema 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'. Di zaman Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadui Menteri Besar beliau perkenalkan slogan 'Kedah Gemilang'. Di zaman Datuk Seri Syed Razak sebelum itu, slogannya ialah 'Kedah Maju 2010'. Kini sudah lebih sebulan menerajui Kedah, Mukhriz dan Umno Kedah masih teraba-raba mencari slogan. Apa kata kalau Mukhriz menggunakan 'Kedah Perlahan', iyalah perlahan dalam serba serbi tindakan.

Isu yang hangat diperkatakan juga ialah 'pengharaman' kuliah agama Sri Mentaloon yang diadakan setiap hari Sabtu. Kuliah tersebut diasaskan oleh Pejabat Menteri Besar sewaktu Ustaz Azizan dahulu. Ia diserahkan kepada Yayasan Paksi (yang diasaskan oleh AlMarhum Ustaz Suhaimi Hj Ahmad) untuk mengelolakannya, menggunakan peruntukan dan kemudahan Pejabat Menteri Besar. Kehadiran orang ramai, yang sebahagian besarnya terdiri dari kakitangan kerajaan dan golongan pesara sangat luarbiasa. Jika tokohnya hebat, kerusi yang disediakan tidak muat untuk mengisi semua hadirin.

Sunday, June 9, 2013

Saya meramalkan BN akan menang besar PRU14...

Pakar-pakar motivasi selalu menyebut ungkapan ini, "Jika kita melakukan perkara yang sama saban hari maka jangan harap untuk melihat hasil yang lebih baik dari biasa." Maksudnya sangat mudah untuk difahami, iaitu lakukan perubahan dalam usaha dan kerja maka natijah yang diperolehi barulah turut berubah, yakni akan menjadi lebih baik.

Malaysia telah menghadapi 13 kali pilihanraya umum, hasilnya sama iaitu BN (dahulunya Perikatan) tidak pernah kalah dan pembangkang tidak pernah mampu menumbangkan parti tua itu di Pusat.

Pasca PRU13, untuk kali pertama dalam sejarah Malaysia pihak pembangkang mencanangkan secara bersunguh-sungguh bahawa kemenangan BN ialah kerana penipuan. Apabila digerakkan secara besar-besaran, suara rakyat Malaysia itu didengari oleh dunia.

Cerita penipuan pilihan raya di Malaysia menjadi gah di media antarabangsa. Laporannya tersiar di TVBS Taiwan, Hong Kong Phoenix satelit televisyen, CCTV China, NHK Jepun, CNN Amerika Syarikat, British BBC, News Asia dan banyak lagi stesen berita besar dan kecil di seluruh dunia. Sekurang-kurangnya rakyat negara ini merasa 'bangga' dalam tempoh sebulan ini kerana nama Malaysia menjadi sebutan di persada dunia.

Mukhriz hanya nampak untung dunia sahaja?

Kerajaan Kedah akan mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan untuk rakyat negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir. 
    
Katanya kerajaan negeri tidak mempunyai sumber pendapatan yang banyak dan beliau menetapkan setiap wang yang dibelanjakan akan memberi pulangan ekonomi kepada negeri ini semula.

Sebulan menerajui kerajaan negeri baru beliau sedar sukarnya mentadbir dengan sumber kewangan yang terhad. Ia tidak semudah mentadbir kerajaan Pusat yang cuma menadah kantung, mengutip duit cukai dari rakyat melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri. Itupun Mukhriz sangat beruntung kerana boleh mendapat bantuan dari Pusat bila-bila masa. Jika Pusat keberatan, beliau boleh menggunakan Tun Mahathir untuk menekan Perdana Menteri.

Pakatan mentadbir dulu tanpa sesen pun bantuan Pusat, kecuali geran wajib perkepala yang mesti dilunaskan setiap tahun kepada negeri. Sudahlah Pakatan dibekalkan dengan hutang tinggalan BN dahulu sebanyak 2.1 billion. Berkat perbelanjaan berhemat, banyak perkara yang tidak mampu dilakukan oleh BN sebelum 2008 dapat dibuat oleh Pakatan, bahkan negeri tidak pernah berhutang dari Pusat barang sesen pun untuk membayar gaji kakitangan.

Sekarang apabila Kedah kembali ke tangan BN maka skim Kafalah untuk kematian ahli keluarga, bantuan pelajar masuk IPTA, bantuan guru Al-Quran sukarela, bidang kampung, bantuan sekolah agama rakyat yang dahulunya dibayar menggunakan peruntukan negeri, pastinya tiada lagi.

Cara berfikir Mukhriz dapat dijelaskan melalui kenyataannya, "Kesemua perbelanjaan, setiap ringgit yang dikeluarkan mesti jana hasil. Bukan seperti 'curah air atas daun keladi' sahaja. Ia akan mendatangkan hasil yang tinggi kepada rakyat sekali gus menyumbang ke arah penjanaan pendapatan negeri."

Friday, June 7, 2013

Rasisme bakal hiasi rancangan 5 tahun BN

Selepas BN menghadapi prestasi buruk pada PRU12 mereka telah melakukan pelbagai perkara untuk memulihkan sokongan bagi mengekalkan kemenangan pada PRU13.

Slogan 1Malaysia dan transformasi yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Tun Razak berlaku dalam tempoh lima tahun. Pelbagai perkara yang tidak pernah muncul di zaman sebelum PRU12, khususnya program-program untuk 'membeli undi' atas nama 1Malaysia, dihadirkan di zaman Najib menjadi Perdana Menteri. 

Apa yang menarik dalam masa lima tahun juga ialah bagaimana Pakatan Rakyat dipotretkan oleh BN di kalangan rakyat, ia juga satu 'kejayaan' bagi BN yang menguasai sepenuhnya media utama negara. Antaranya:

Parti KeADILan menghadapi kehancuran yang sangat teruk. Berbondong-bondong para pemimpin utama parti, termasuk ahli-ahli Parlimen dan ADUN keluar parti beramai-ramai. Banyak nama-nama besar dalam keADILan meninggalkan parti hanya dalam tempoh lima tahun tersebut, berbanding dua penggal PRU sebelum itu. Perkelahian dalaman sepanjang pemilihan parti tersebut juga diserlahkan dengan bukti-bukti yang jelas.

PAS terlalu lunak dengan DAP dan Anwar sehingga mengikut apa sahaja telunjuk mereka termasuk meninggalkan dasar perjuangan apabila kononnya membuang nama negara Islam untuk diganti dengan negara kebajikan, bertindak memecat Dr. Hassan Ali yang lantang perjuangkan Islam dalam PAS dan membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah.

DAP pula diimejkan sebagai rasis Cina, komit menentang pelaksanaan syariah Islam dan menindas orang Melayu Islam melalui sikap yang ditunjukkan dalam pentadbiran di Pulau Pinang dan Selangor.

'Red Bean Army' idea dari White House

Red Bean Army kononnya ialah kumpulan tentera siber pembangkang yang bergerak aktif untuk menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan melalui apa cara sekalipun. Kali pertama nama itu diperkenalkan adalah oleh sebuah akhbar primitif yang terkenal dengan rasis Melayu. RBA dikatakan mempunyai kekuatan seramai 200 orang anggota, didakwa memburuk-burukkan BN sejak enam tahun lalu. 


DAP didakwa membiayai RBA dengan peruntukan RM15 juta setahun, bermakna telah menyediakan dana sebanyak RM108 juta untuk enam tahun. Dakwaan tersebut membuatkan Penasihat DAP, Lit Kit Siang ketawa besar. Kaya sungguh DAP sebagai sebuah parti politik tanpa syarikat perniagaan seperti MCA, boleh membiayai pihak tertentu dengan jumlah wang yang sangat besar (bagi sebuah parti pembangkang).

Akhbar primitif itu bukan setakat mengaitkan RBA dengan DAP tetapi lebih jahat mengaitkannya dengan jenayah dan keganasan. Satu laporan di akhbar tersebut mendakwa pasukan siber 'Red Bean Army' turut mengancam untuk merogol golongan wanita yang menyokong parti BN. Tulisan di pojok akhbar tersebut hari ini mendakwa, tindakan pasukan siber tersebut semasa pilihan raya itu lebih bahaya dari ancaman pengganas bersenjata.

Saturday, June 1, 2013

Adakah kita tersalah fokus: Penipuan pilihanraya atau kepincangan demokrasi?



Penghapusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi agenda penting dalam manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU13. Sejak mula dicadangkan sehinggalah perkara itu termaktub dalam manifesto, frasa 'hapus PTPTN' menjadi fokus utama oleh Pakatan. Frasa itu juga yang dikutip oleh BN sebagai modal untuk terus mengelirukan rakyat.

Dalam media massa, ceramah, perang saraf dan gerak kempen BN mereka menempelak cadangan Pakatan itu dalam bentuk persoalan yang sangat pandir, "Jika PTPTN dihapuskan, macam mana anak Melayu yang miskin nak meneruskan pengajian di IPT?". Mungkin kita akan ketawa dengan kedunguan mereka memahami maksud 'hapus PTPTN' namun jangan menolak hakikat bahawa kedunguan yang disengajakan oleh para pemimpin Umno untuk memanipulasi isu tersebut telah berjaya menipu jutaan pengundi Melayu. Sejuzuk orang Melayu yang buta isu semasa (yang hanya mendapat maklumat dari TV3 dan RTM semata-mata) khuatir sepenuhnya terhadap cadangan Pakatan tersebut. Mereka yang segolongan itu, sekalipun mungkin kurang cerdik, tetapi tetap memiliki hak mengundi. Mereka adalah antara yang menyumbang kepada kemenangan BN.

Bukankah fokus yang sepatutnya dibuat Pakatan ialah memberi, pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi - ganti PTPTN dengan biasiswa dan tidak perlu bayar balik!

'Hapus PTPTN' sengaja dijadikan muqaddimah ulasan kali ini untuk berhujah bahawa, ada kalanya kita tersalah memberi fokus.