Wednesday, June 26, 2013

Di mana rakyat buta isu semasa, di situ BN menang!



Media arus perdana kononnya telah berubah kini; dari media yang sedia difahami iaitu media elektronik (radio dan televisyen) dan akhbar-akhbar harian utama, kepada media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin media arus perdana mula hilang taring. "Facebook dan Twitter adalah media arus perdana 2013 kerana media ini lebih berkesan," ujar beliau di wacana Sinar Harian yang membincangkan "Media arus perdana: Apa nasib Pakatan Rakyat?"

Pandangan itu mungkin benar jika beliau merujuk kelompok masyarakat elit dan pertengahan yang mendiami lembah kelang di mana dunia maya boleh diakses dengan mudah oleh majoriti anggota masyarakat. Kajian menunjukkan lebih 44 peratus rakyat Malaysia mengakses media sosial, cuma persoalannya bukan semuanya menekuni secara harian. Dalam kelompok itu pula bukan semuanya menatap atau melayan isu-isu semasa. Sehingga kini media belum mampu diakses oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebahagian besar para penoreh getah, petani dan nelayan yang layak mengundi, melihat komputer macam tikus tengok besi.

Pilihanraya dan isu, sangat berhubung kait. Di mana-mana negara demokrasi pun (merujuk kepada negara demokrasi tulen), kemenangan atau kekalahan sesebuah parti politik dikaitkan dengan isu. Selesai PRU13, hampir semua media elektronik menyediakan pentas forum, berbicara mengenai keputusan pilihanraya. Tiada langsung ahli panel yang tidak menyentuh perihal isu-isu tertentu yang jadi penyebab kalah menang sesebuah parti. Sama ada isu tersebut cuma satu persepsi semata-mata atau persepsi berasaskan realiti; ia tetap jadi asas penting bagi rakyat membuat keputusan di kertas undi.

Cuma persoalan lebih besar yang jarang disentuh oleh panelis forum tersebut ialah apakah isu-isu yang diperkatakan itu sampai kepada seluruh rakyat Malaysia.

Biasanya orang Melayu di akar umbi ditemui dengan jumlah yang lebih besar dari biasa, sama ada oleh perayu undi BN atau Pakatan, ialah semasa tempoh berkempen dalam PRU. Pengalaman yang diceritakan oleh Muslimat dan Pemuda PAS yang mendominasi kempen rayu undi ini, masih ramai yang tidak memahami isu yang dibawa oleh Pakatan. Mereka tidak tahu apa yang ditawarkan oleh Pakatan seperti terkandung dalam manifesto. Di luar bandar, jumlah tersebut lebih besar termasuk segelintir ahli-ahli PAS sendiri. Maknanya kelompok yang besar ini tidak ditembusi oleh media sosial.

Sebaliknya sebahagian besar pengundi Melayu itu dapat 'memahami' dengan baik isu yang dibawa oleh BN. Tidak perlu dijelaskan mengapa hal ini berlaku, semua tahu bahawa tukang kempen BN (radio dan televisyen) berada dalam setiap rumah rakyat Malaysia. Itu sebenarnya media arus perdana yang telah menjahanamkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Sesedar saya, perkara ini sudah dibincangkan oleh jentera penerangan PAS sejak berdekad namun kebuntuan tersebut masih belum dapat dipecahkan. Kebuntuan bagaimana menyampaikan maklumat secara berkesan sehingga ke akar umbi. Ceramah bukan jawapannya, kerana ceramah jugak tertakluk kepada banyak sekatan serta tidak mampu dibuat di setiap pelosok tempat.

Pelbagai cadangan dibuat, namun sehingga kini tiada satu pun langkah berkesan dapat dibuat untuk memastikan maklumat dari PAS atau Pakatan dapat menembusi setiap pintu rumah.

Untuk PRU13 ini, dapatan keputusan pilihanraya memang selari dengan situasi tersebut iaitu; Pakatan kalah di sebahagian besar kawasan luar bandar di mana media sosialnya tidak sangat berperanan dan menang di kawasan bandar dan pinggir bandar. Memang pengundi Cina jadi faktor tapi tanpa pengundi Melayu yang celik isu, Pakatan tidak mampu menang juga. Jika mahu menggunakan bahasa yang kasar, kesimpulannya begini; di mana rakyat Malaysia buta isu semasa maka di situ BN menang.

Pilihanraya umum 1986 PAS kalah teruk, tinggal satu kerusi Parlimen iaitu Pengkalan Chepa. Selepas menyalahkan Komuniti Perundingan Cina (CCC) sebagai sebab kekalahan (Nota: CCC cuma jadi kambing hitam) maka sebahagian pemimpin PAS menyalahkan media.

PAS Pusat lantas mengambil tanggungjawab mewujudkan akhbar Harakah. Sekalipun kerajaan BN hanya membenarkan jualan untuk ahli sahaja, namun ia memberi nafas baru terhadap penyebaran maklumat. Ia sedikit sebanyak membantu kemenangan PAS menambah kerusi serta menawan negeri Kelantan pada PRU 1990.

PRU 1999, pembangkang mulai dibantu oleh media maya. Perkembangan paling pesat media sosial berlaku selepas PRU 2008, iaitu revolusi Facebook dan Twitter menyebabkan Pakatan menang lebih baik pada PRU 2013 baru-baru ini. Itu peranan maklumat dalam membantu kemenangan Pakatan. Petunjuknya sangat jelas.

Jika Malaysia hanya mengandungi Semenanjung sahaja tanpa Sabah dan Sarawak, maka Pakatan sudah menerajui pentadbiran di Putrajaya. BN menang kerana sebahagian besar rakyat di kepulauan Borneo itu sangat tersisih dengan maklumat bersumberkan media maya. Masih terdapat ramai rakyat kedua negeri tersebut yang seumur hidup mereka tidak pernah mendengar ceramah pembangkang, tidak dapat mengakses media maya dan hanya mendapat maklumat sebelah pihak semata-mata.

Ada pandangan menyebut bahawa untuk PRU14 nanti Pakatan akan mampu menawan Putrajaya kerana golongan tua yang buta internet akan meninggal dunia, manakala golongan muda yang celik internet akan jadi pelapis dalam senarai daftar pemilih. Pandangan itu mungkin betul tapi kelakar kerana mengharapkan kematian orang lain untuk kita menjadi kuat.


No comments:

Post a Comment