Saturday, June 15, 2013

Umno ketakutan kalau orang Melayu berani



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengungkapkan ulasan yang sangat masyhur berhubung keputusan PRU13. Katanya, UMNO menang besar bukan disebabkan perpaduan parti itu, sebaliknya disebabkan orang Melayu takut negara ini dipimpin oleh Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekutunya DAP.

Kenyataan Tun Mahathir itu benar sebagai salah satu faktor (bukan satu-satunya faktor) yang menyebabkan majoriti orang Melayu memilih BN dan menolak Pakatan. Faktor paling penting dan utama ialah orang Melayu makan umpan bersekali kail. Joran Umno terus menyentap orang Melayu ke dalam raga Umno untuk disiang dan dimakan.

Saya banyak menulis mengenai bagaimana DAP dijadikan hantu ciptaan Umno untuk mengusik jiwa orang Melayu sebelum PRU13. Ramai yang sedar permainan Umno yang 'memperalatkan' DAP untuk menakutkan Melayu itu tapi tidak ramai yang memikirkan jalan untuk mengatasinya.

Kononnya DAP dengan liciknya mahu menguasai Malaysia dengan berpaksikan slogan mereka Malaysian Malaysia. Kononnya juga Melayu yang lupa sejarah terus sanggup membiarkan diri mereka dijadikan perkakas oleh DAP. Melayu yang hilang jati dirinya sudah mula rela menjadi barua DAP untuk menyerang sesama Melayu. Melayu yang semakin lupa Allah itu Tuhannya sudah mula bersedia untuk menerima agama-agama baru yang DAP sedang suntik ke dalam masyarakat hari ini.
Bagi menambahkan lagi perisa provokasi rasisnya, pemimpin Perkasa ketika itu mengungkapkan kata-kata pembakar nafsu perkauman Melayu seperti “Mati Melayu”, “Apa polis boleh buat, kita Raja. Buang sama polis Melayu”, “Melayu sakai pergi masuk hutan”, “KL sekarang Cina punya”, “Melayu balik kampung, Melayu sekarang tiada kuasa. Sekarang kita Cina sudah control.” Kononnya itu yang diucapkan oleh DAP dalam peristiwa berdarah 13 Mei. Itu antara ucapan Timbalan Presiden Perkasa, Zulkifli Nordin di Dewan Rakyat jika Melayu tidak mudah lupa.

Memang bahasa pembakar sentimen perkauman begitu. Mereka akan mengungkapkan apa sahaja agar merah cuping telinga orang Melayu lalu hilang kewarasan dalam membuat perhitungan, walhal bangsa Melayu terus terperosok dalam bencana ketinggalan dalam serba serbi bidang kehidupan.


Isu membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Melayu, penyebaran dakyah Kristian di kalangan Melayu, pertambahan mendadak pusat hiburan dan maksiat di Selangor, jualan arak secara terbuka, larangan memperkuatkan bacaan Al-Quran sebelum Subuh oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang - semuanya dikaitkan dengan agenda DAP. Semua catatan propaganda itu dirangkaikan secara bersiri sepanjang lima tahun.

Mereka menggunakan bekas pemimpin dan aktivis PAS masuk ke kampung-kampung untuk menakutkan orang Melayu perihal bahaya DAP. Jentera Umno dan organisasi sokongan mereka seperti Amanah Ikhtiar, Kemas, Tekun dan sebagai menjalankan gerakan perang saraf di kalangan orang Melayu yang mereka kenalpasti sebagai golongan buta isu semasa.

Orang Melayu ditakutkan kalau-kalau DAP menguasai kerajaan maka mereka akan menguasai ekonomi. Maka orang Melayu akan hilang peluang berniaga, Melayu akan tertinggal teruk di bidang ekonomi. Demikianlah bijak Umno memperbodohkan Melayu walhal sekarang pun dari aspek pemilikan equiti orang Melayu hanya menguasai 19 peratus, 20.3 peratus dalam pemilikan syarikat, 11.7 peratus dalam pemilikan bangunan komersial, 14 peratus dalam pekerjaan pengurusan tertinggi dan 20 peratus pemegang jawatan CEO. Bakinya semua dimiliki oleh bukan Melayu. Orang Melayu hanya berjaya menguasai tahap sosioekonomi terendah sebanyak 76 peratus dan pengangguran 73.3 peratus. Ohya, lagi catatan kejayaan orang Melayu ialah peratusan tertinggi sebagai penagih dadah, pembuang bayi, mat rempit, bohsia dan bohjan. Purata pendapatan isi rumah orang Melayu juga adalah yang ketiga terendah selepas kaum Cina dan India.

Senario tersebut sudah jelas untuk dimaklumi. Cuma agenda penting Pakatan ialah bagaimana untuk meruntuhkan rasa takut di kalangan orang Melayu terhadap perkara yang tidak perlu ditakuti atau menyedarkan mereka bahawa perkara yang ditakuti itu sudah berlaku ketika Umno menerajui kerajaan.

Tindakan paling efisien untuk merungkaikan isu ini mestilah datang dari DAP. Tempoh masa sepenggal cukup untuk membersihkan nama DAP. Elakkan isu kontroversi yang boleh dikaitkan dengan dakwaan anti Melayu/Islam. Berhati-hati dalam membuat kenyataan yang melibatkan isu Islam. Tidak perlu melayan provokasi isu hudud oleh Umno.

Lebihkan kerja mendekati orang Melayu. DAP jangan lagi berlegar di dalam bandar sahaja tetapi hendaklah menjelajah ke kampung-kampung. Sikap orang Melayu ialah mudah lupa (mudah memaafkan) dan malu alah. Sudah sampai masanya DAP menggantikan MCA dan Gerakan. Apabila majoriti masyarakat Melayu beranggapan bahawa DAP tidak lebih jahat dari MCA dan Gerakan, maka ia membantu menggerakkan sokongan orang Melayu terhadap Pakatan.

Umno akan terus menggerakkan isu rasis sebagai bekalan menghadapi PRU14 dan DAP akan terus jadi sasaran. Maka gunakanlah masa sepenggal sebelum PRU ini untuk memusnahkan projek menakut-nakutkan orang Melayu oleh Umno. Insya Allah apabila rasa takut di kalangan masyarakat Melayu maka para pemimpimpin Umno pula yang akan dihantui rasa takut. Biarkan mereka.



No comments:

Post a Comment