Slogan 1Malaysia dan transformasi yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Tun Razak berlaku dalam tempoh lima tahun. Pelbagai perkara yang tidak pernah muncul di zaman sebelum PRU12, khususnya program-program untuk 'membeli undi' atas nama 1Malaysia, dihadirkan di zaman Najib menjadi Perdana Menteri.
Apa yang menarik dalam masa lima tahun juga ialah bagaimana Pakatan Rakyat dipotretkan oleh BN di kalangan rakyat, ia juga satu 'kejayaan' bagi BN yang menguasai sepenuhnya media utama negara. Antaranya:
Parti KeADILan menghadapi kehancuran yang sangat teruk. Berbondong-bondong para pemimpin utama parti, termasuk ahli-ahli Parlimen dan ADUN keluar parti beramai-ramai. Banyak nama-nama besar dalam keADILan meninggalkan parti hanya dalam tempoh lima tahun tersebut, berbanding dua penggal PRU sebelum itu. Perkelahian dalaman sepanjang pemilihan parti tersebut juga diserlahkan dengan bukti-bukti yang jelas.
PAS terlalu lunak dengan DAP dan Anwar sehingga mengikut apa sahaja telunjuk mereka termasuk meninggalkan dasar perjuangan apabila kononnya membuang nama negara Islam untuk diganti dengan negara kebajikan, bertindak memecat Dr. Hassan Ali yang lantang perjuangkan Islam dalam PAS dan membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah.
DAP pula diimejkan sebagai rasis Cina, komit menentang pelaksanaan syariah Islam dan menindas orang Melayu Islam melalui sikap yang ditunjukkan dalam pentadbiran di Pulau Pinang dan Selangor.
Bagi Pakatan semua tuduhan buruk itu ada jawapannya namun sebaik mana penjelasan sekalipun ia tidak mampu sampai kepada setiap rakyat, sebagaimana kemampuan BN menyebarkan maklumat hingga ke setiap pintu rumah.
Ancaman penghapusan kuasa Melyu dan kemudharatan terhadap Islam jika Pakatan berkuasa di Pusat berjaya dipasakkan di benak pemikiran majoriti orang Melayu sepanjang lima tahun.
Dalam tempoh itu juga, Umno berjaya menghimpun beberapa ulamak yang berimej serban jubah untuk bersama mereka. Mereka berjaya memecahkan mental block rakyat yang selama ini menganggap ulamak Umno hanya jenis ulamak bersongkok hitam. Kehadiran orang seperti Kazim Elias, Abdullah Samaah, Haji Sobri Tanjung Kapur, Fathul Bari serta 40 ulamak muda, Dr. Hassan Ali, Nasharuddin Md Isa, Cikgu Non bersama Umno berjaya membawa satu imej umum bahawa ulamak sudah bersama Umno.
Jangan lupa juga bahawa dalam tempoh lima tahun tersebut, imej Datuk Seri Anwar paling teruk dibusukkan. Perbicaraan Liwat II, video China doll dan kenyataan kontroversi Anwar terhadap Israel berlaku dalam tempoh tersebut.
Imej 'buruk' yang berjaya digambarkan mengenai Pakatan oleh BN, khususnya di kalangan orang Melayu sepanjang lima tahun itulah yang memusnahkan harapan Pakatan di peti undi pada 5 Mei lalu.
Penantian lima tahun sejak 8 Mac 2008 berakhir pada 5 Mei 2013 dan BN masih mengekalkan kuasa meskipun kedudukan mereka makin gawat. Maka penentuan untuk lima tahun akan datang bergantung pula kepada tempoh lima tahun (atau mungkin kurang) yang akan kita lalui ini.
Bermula seawal 6 Mei 2013, gerak kerja membina imej baru yang buruk terhadap Pakatan oleh BN sudah pun bermula. Ia perancangan sepenggal mereka untuk membantu rakyat membuat keputusan pada satu hari mengundi.
"Apa Cina mahu?" adalah antara lontaran bahan provokasi, sebenarnya bukan untuk ditujukan kepada orang Cina, tetapi membakar semangat perkauman di kalangan orang Melayu bagi melihat DAP yang berada bersama Pakatan sebagai ancaman terhadap Melayu.
Bermula dari situ pengimejan buruk terhadap Pakatan pun akan dikembangkan lagi untuk sepenggal. Muncul slogan ABC (Asal Bukan Cina), Tsunami Cina, pemboikotan terhadap perniagaan Cina dan mencipta kewujudan tahyul Red Bean Army di alam maya - semua itu adalah kerja beragenda Umno.
Melihat kepada keputusan PRU13, Umno sebenarnya sudah berputus harapan terhadap sokongan masyarakat Cina. Di Lembah Kelang, dianggarkan 90 peratus sudah berpihak kepada Pakatan. Pun, orang Cina tetap minoriti di negara ni. Maka kerja Umno ialah melakukan hasutan terhadap orang Melayu habis-habisan, kalau dapat biarlah sehingga 90 peratus orang Melayu menyokong Umno. Secara asas dan tampak, itulah antara kerja lima tahun mereka; akan terus membakar isu rasis.
Itu perancangan Umno. Bagaimana perancangan Pakatan?
No comments:
Post a Comment