PAS dan tarbiyah menjadi sinonim sejak
tercetusnya era kepimpinan ulamak. Untuk tempoh masa yang agak panjang, PAS
sangat berbangga dengan kelebihan ahli-ahlinya yang jauh lebih berkualiti
berbanding lawan tradisinya Umno. Ikhlas (kerja tanpa upah), syaksiyah diri dan
keluarga mengikut Islam, walak kepada kepimpinan, ukhuwah yang mantap sesama
ahli, komitmen tinggi terhadap perjuangan - adalah PAS ketika tempoh gemilang itu.
Kemenangan dalam pilihanraya muncul kadang-kadang dan jarang-jarang
namun semangat di dada ahli tetap membara sepanjang masa, seolah-olah tak
pernah kenal derita kalah. Para pemuda tidak pernah jemu berehlah,
bermukhaiyam, berqiyamullail serta dapat menghadiri program-program membina
kekuatan kerohanian tanpa banyak songeh.
Hari ini PAS berjaya meletakkan diri sebagai pemain utama politik
negara, memacu sebuah pakatan alternatif yang sudah dua kali PRU nyaris-nyaris
menumbangkan gergasi tua BN di peringkat Persekutuan. PAS wujud dan tumbuh di mana-mana, termasuk di
negeri yang dahulunya menjadi tanah gersang perjuangan PAS.
Namun di
sebalik kejayaan dan kegagahan di mata masyarakat itu catatan dalamannya pula
tidak secantik dahulu. Zaman kegemilangan tarbiyah itu seolah-olah berlalu
pergi.
Dalam mana-mana
organisasi, Islam atau sekular, perbezaan sikap dan pandangan adalah perkara
biasa. Berbeza pandangan bukan satu jenayah. Wujudnya mazhab yang empat adalah
kerana berbeza fahaman, pandangan dan ijtihad. Allah menganugerahkan dua pahala
untuk ijtihad yang betul dan satu pahala untuk ijtihad yang tidak tepat.
Sebabnya, Allah suka hambanya yang berfikir dan berfikir pula mestilah
berlandaskan ilmu.
Anehnya,
berbeza pandangan dalam jamaah mutakhir ini dihadapi oleh golongan tidak sealiran
bukan dengan hujah-hujah ilmiah tetapi dengan persendaan melampau serta penghinaan
yang bertubi-tubi. Kewujudan media sosial dijadikan platform untuk melepaskan
geram terhadap pemimpin-pemimpin tertentu tanpa batasan akhlak. Asal terungkap
'kesilapan' atau salah pengertian dari kenyataan pemimpin tertentu maka akan
dilanyak bertali temali.
Sebenarnya
Islam sangat menggalakkan muhasabah atau kritikan untuk membaiki. Tapi
muhasabah adalah lahir lubuk nurani yang ikhlas untuk membetulkan. Ia berbeza
dengan sindiran, penghinaan atau kutukan. Istilah seperti 'Fil qudha', 'kari
ayam', 'tahan teksi', 'komunis' dan sebagainya sengaja dikeluarkan untuk
mengejek pemimpin tertentu dalam parti. Rasanya ajaran syiah sekalipun tidak
mengajar pengikutnya sebiadap ini. Kebiadapan seperti ini bukan baru, malahan
berlarutan sejak bertahun.
Oleh kerana
berbeza pandangan diraikan dalam Islam dan berhujah berlandaskan ilmu
digalakkan oleh Islam, apakah salahnya golongan yang tidak berpuas hati
terhadap kenyataan pemimpin tertentu berjumpa secara berdepan meminta
penjelasan atau berhujah dari akal, hati dan lidah. Bukankah sepatutnya itu
manifestasi tarbiyah?
Saya tertarik
dengan kenyataan terbaru Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi
perihal pentingnya amal tarbawi dalam jamaah. Katanya, tanpa amal tarbawi atau perlaksanaan amal tarbawi yang lemah serta tidak konsisten bakal mengundang 1001 masaalah
dalaman yang mencetus konflik atau krisis.
"Apabila Amal Tarbawi
mula tidak diendah atau perlaksanaannya bersifat acuh tidak acuh lantaran
memberi keutamaan kepada skil politik seperti penampilan imej, kenyataan media,
penampilan di tengah-tengah kemelut masyarakat, mengupas dan menjuarai isu,
enggagement dengan pelbagai pihak dan sebagainya lagi yang saya tidak nafikan
kepentingannya, maka ia membawa implikasi yang besar dan sukar buat masa depan
perjuangan.
"Kita kelak mungkin dilihat hebat dan gah pada zahirnya dek penampilan dan penonjolan imej politik yang luar biasa tetapi individu anggota dan jamaah itu sendiri terdedah kepada hakisan nilai fundemental dan spiritual Harakah Islamiyyah," ujarnya.
"Kita kelak mungkin dilihat hebat dan gah pada zahirnya dek penampilan dan penonjolan imej politik yang luar biasa tetapi individu anggota dan jamaah itu sendiri terdedah kepada hakisan nilai fundemental dan spiritual Harakah Islamiyyah," ujarnya.
Entahlah,
melihat situasi terkini kadang-kadang terasa macam ahli-ahli PAS sedang
'ditarbiyah' oleh pihak lain. Pesanan Ustaz Idris Ahmad, AJK PAS Pusat rasanya
menepati situasi terlajak ahli-ahli PAS ini. Katanya, "Jangan
kita gopoh untuk mendapat kemenangan sehingga kita lupa asas perjuangan.
Kadang-kadang kita sudah hilang adab dalam berjamaah. Bermusuh sesama sendiri,
kutuk sesama sendiri. Sehingga sudah tidak tahu membezakan antara prinsip dan
strategi. Hendak menjaga hati orang luar, lebih daripada hendak menjaga hati
sesama sahabat. Manakah sikap kita sebagaimana
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Merendah diri dengan orang Mukmin dan
menujukkan izzah dengan orang bukan Islam"
PRU13 yang baru berakhir
adalah masa terbaik bermuhasabah, merancang dan melaksanakan program menguatkan
parti. Parti selamanya akan lemah dan bermasalah jika tiada kecekapan di
kalangan ahli untuk menguruskan perbezaan pendapat.
Dalam sejarah moden, PAS telah
kehilangan sebuah negeri dalam PRU di mana salah satu faktor kekalahan itu
disumbangkan oleh kegagalan menguruskan perbezaan, sehingga seluruh rakyat
Malaysia tahu bahawa mereka sedang bertelagah. Negeri tersebut adalah Kedah.
Kini kalau perbezaan di
peringkat lebih tinggi pula gagal diuruskan dengan baik, maka kita hakikatnya
sedang membuat persiapan mengekalkan kuasa BN di Pusat untuk kali ke 14.
Terpulanglah kalau ada yang redho dengan keputusan yang akan disumbangkan oleh
pertelagahan dalaman yang sia-sia itu.
betul.... setuju
ReplyDeletekepada merea yg gila nak menang
himgga lupa mana kawan ...mana sahabat ....