Red Bean Army kononnya ialah kumpulan tentera siber
pembangkang yang bergerak aktif untuk menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan
melalui apa cara sekalipun. Kali pertama nama itu diperkenalkan adalah oleh
sebuah akhbar primitif yang terkenal dengan rasis Melayu. RBA dikatakan mempunyai kekuatan seramai 200 orang anggota, didakwa
memburuk-burukkan BN sejak enam tahun lalu.
DAP didakwa membiayai RBA dengan
peruntukan RM15 juta setahun, bermakna telah menyediakan dana sebanyak RM108
juta untuk enam tahun. Dakwaan tersebut membuatkan Penasihat DAP, Lit Kit Siang
ketawa besar. Kaya sungguh DAP sebagai sebuah parti politik tanpa syarikat
perniagaan seperti MCA, boleh membiayai pihak tertentu dengan jumlah wang yang
sangat besar (bagi sebuah parti pembangkang).
Akhbar primitif itu bukan setakat
mengaitkan RBA dengan DAP tetapi lebih jahat mengaitkannya dengan jenayah dan
keganasan. Satu laporan di akhbar tersebut mendakwa pasukan siber 'Red Bean
Army' turut mengancam untuk merogol golongan wanita yang menyokong parti BN. Tulisan
di pojok akhbar tersebut hari ini mendakwa, tindakan pasukan siber tersebut
semasa pilihan raya itu lebih bahaya dari ancaman pengganas bersenjata.
“Serangan yang mereka lakukan dahsyat. Daripada memfitnah isu pengundi hantu dan menyerang siapa yang menyokong BN sehinggalah menghina raja-raja Melayu, agama Islam, orang Melayu dan memboikot produk syarikat Islam.
“Malah ada tentera siber RBA yang mengancam membakar rumah dan pelbagai bentu ugutan serta buli.
“Bukan sahaja sangat rasis bahkan ekstrem, lebih bahaya daripada ancaman pengganas bersenjata. Semua itu berlaku dalam pilihan raya Malaysia,” kata pengarang akhbar rasis Melayu itu dalam tulisan berkenaan.
Seperti biasa, bagi meyakinkan rakyat
Malaysia akan kewujudan RBA maka pihak polis didesak bertindak. Maka muncullah Timbalan Ketua Polis Negara Polis
Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus
memantau aktiviti di laman sosial dan tidak akan teragak-agak mengambil
tindakan tegas terhadap individu yang menggunakannya untuk melanggar
perundangan negara.
Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan
secara menyeluruh setiap aktiviti sama ada ia berunsur jenayah atau hasutan,
dan sekiranya ada bukti yang kukuh, mereka akan bertindak tanpa memberi amaran. Itu imej polis
Malaysia. Kes seorang aktivis Umno mengancam di alam siber mahu
membunuh Tok Guru Nik Aziz beberapa tahun lalu belum habis disiasat (sebab hingga
kini belum ada dakwaan) sekarang nak bertindak pula pada RBA.
Persoalannya, adakah sebenarnya RBA ini wujud
dalam bentuk terancang seperti didakwa? Jawapannya, karut! Jika semua dakwaan
yang dibuat oleh akhbar rasis Melayu itu benar, maka pihak yang paling awal
dapat mengesan dan akan bertindak ialah PDRM. Mengesan penjenayah di alam siber
lebih mudah dari mengesan ahli kongsi gelap kerana semua alamat di talian dapat
dikesan dengan mudah. Kerajaan ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) untuk memantau dan mengesan. Apabila PDRM tidak mengheret ke
muka pengadilan, lebih-lebih lagi yang melibatkan pihak pembangkang, bermakna
tiada kes untuk disabitkan.
Pihak rasis Melayu mendakwa bukti kewujudan RBA
dalam bentuk kumpulan terancang ialah apabila 'ahli-ahli' kumpulan tersebut
meletakkan simbol kacang merah sebagai foto profil. Jika itu buktinya, maka
banyak benar kumpulan terancang di alam siber yang wujud. Foto icon seperti
Bersih, Adam Adli, Ini Kalilah, Hijau Lynas, Blackout 505 bertukar ganti
menjadi foto profil pemegang akuan laman sosial. Mereka tidak pernah mendaftar
sebagai ahli kumpulan tersebut, tetapi ia merupakan trend semasa penghuni alam
siber mempamerkan sokongan terhadap mana-mana tuntutan.
Pengwujudan isu RBA oleh akhbar rasis Melayu ini
mengingatkan kita kepada pepatah Arab yang selalu diungkapkan oleh AlMarhum
Ustaz Fadzil Noor, "Dia memukul aku, dia pula yang menangis." Di alam
siber serta di media cetak dan televisyen, pihak yang teruk dibelasah dan
difitnah saban waktu ialah pembangkang atau Pakatan Rakyat. Tiba-tiba BN pula
yang mengadu diserang menggunakan tentera siber.
Saya pernah didatangi oleh seorang aktivis maya
BN, mengaku sudah insaf dan mendedahkan semua gerak kerja mereka sebagai
pahlawan siber. Mereka memang dilatih, dibekalkan peralatan uktuk akses alam
siber dan diberikan elaun tetap bulanan. Mereka bekerja sepenuh masa untuk BN.
Fitnah, adu domba dan provokasi merupakan makanan harian kumpulan tersebut.
Sehingga kini semua laman maya tersebut masih terus aktif dan bekerja sepenuh
masa untuk BN. Di samping fitnah dan penghinaan melampau terhadap pemimpin
Pakatan sebagai sajian utama dalam laman maya mereka, bahan-bahan rasis dan
provokasi keagamaan juga disebar tanpa rasa bersalah.
Terdapat lagi pahlawan maya BN yang bukan petugas
sepenuh masa tetapi berperanan sepanjang masa untuk menyerang Pakatan dan
menaikkan BN. Bukan rahsia lagi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pernah
dua kali bertemu dan menyampaikan amanat kepada kumpulan yang terdiri dari
anak-anak muda ini. Mereka hanya dibekalkan dengan komputer i-Pad tanpa elaun
bulanan. Dikatakan terdapat 10 ribu ahli kumpulan ini di seluruh negara,
sebahagian besarnya berperanan dalam PRU13 lalu.
Jadi, apabila pihak Umno menonjolkan isu
kewujudan RBA sebagai ancaman dalam negara, maka tidak lebih dari pepatah,
"Pencuri jeritkan pencuri."
Apabila terdapat gerakan besar-besaran oleh media
pro BN untuk menonjolkan RBA, mengaitkannya dengan DAP serta menggesa pihak
polis bertindak maka ia mengingatkan kita kepada strategi yang digunakan oleh
Amerika Syarikat untuk memusnahkan Iraq. Alasan yang digunakan oleh tiga
Presiden Amerika Syarikat untuk memusnahkan Iraq iaitu George Bush, Bill
Clinton dan George W. Bush ialah terhadap senjata pemusnah berskala besar yang
merbahaya di Iraq. Dengan menggunakan alasan tersebut mereka mendapat mandat
dari kuasa-kuasa besar untuk menyerang Iraq.
Sehingga Saddam Husein berjaya ditangkap, Iraq
hancur berkecai namun senjata pemusnah tidak juga dijumpai. Maka kewujudan isu
RBA oleh kumpulan rasis Melayu itu tidak lebih dari idea yang diciplak dari White
House. Amerika menggunakan modal senjata pemusnah untuk hancurkan Iraq,
manakala kumpulan rasis Melayu menggunakan RBA untuk cuba memusnahkan DAP.
UMNO/BN ada Mr.Bean Army.
ReplyDelete