Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid
membuawa cerita dongeng kononnya kerajaan negeri telah bersetuju menukarkan
nama Pulau Jerejak kepada Pulau Mazu sempena nama tokong Mazu yang terkenal di
kalangan masyarakat Cina Non Muslim. Jahara lalu meminta Ketua Menteri, Lim
Guang Eng memberi penjelasan. Mudah sungguh kerja mereka, buat cerita fitnah
kemudian minta pemimpin Pakatan nafikan. Sejak dahulu kini dan mungkin
selamanya, begitulah perangai mereka tak pernah berubah. Segala cerita fitnah
mereka dipanjangkan dalam media manakala penafian atau penjelasan dari pemimpin
Pakatan dibakulsampahkan begitu saja. Akibatnya kerajaan negeri Pulau Pinang
pimpinan DAP, sejak mentadbir Pulau Pinang Mac 2008 lalu hingga kini berjaya
digambarkan sebagai rasis Cina dan anti Melayu. Lepas satu, satu cerita sensasi
politik muncul dari Pulau Pinang.
Pembangkang Pulau Pinang beriya-iya menghidupkan cerita rasis
sebagai sebagai kaedah terbaik untuk mengekalkan sokongan di kalangan orang
Melayu. Cerita kononnya penindasan kerajaan DAP terhadap orang Melayu Pulau
Pinang dimainkan sepanjang lima tahun Pakatan mentadbir, dengan isu yang
berbeza-beza. Kini diteruskan lagi untuk penggal terbaru. Berbohong kepada rakyat
bukan masalah besar bagi mereka, selagi masih terdapat kalangan orang Melayu yang
menjadikan parti rasuah sebagai dokongan tanpa persoalan lagi.
Hakikatnya rakyat umum sudah muak mendengar cerita
Melayu Pulau Pinang tertindas, miskin dan merempat (kononnya) sejak Pakatan
mentadbir kerana sejarah kemunduran Melayu di situ sudah berlarutan sejak
separuh abad.
Komtar tidak dibina semasa Pakatan tetapi semua premis perniagaan
di situ dibolot oleh orang Cina. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa polisi
yang diperkenalkan oleh kerajaan BN dahulu atau Pakatan kini, tetapi hanya
sanya kerana orang Melayu Pulau Pinang majoritinya tidak mampu untuk
menyewanya. Sebutlah apa sahaja kompleks perniagaan yang muncul di Pulau
Pinang, masyarakat Melayu hanya mampu jadi penonton.
Setelah kedudukan Melayu sangat daif di Pulau Pinang
kini, muncullah dakwaan PAS dan PKR sebagai rakan sekutu dalam Pakatan hanya
mengikut telunjuk DAP. Umno yang tidak mengikut telunjuk sesiapa sewaktu
berkuasa dahulu pun, tidak mampu buat apa-apa untuk perkasakan Melayu di bidang
ekonomi. UMNO tidak merangka pelan strategik pembangunan Melayu Pulau Pinang
secara bersungguh-sungguh tetapi kini bersungguh-sungguh pula menyalahkan DAP
kerana kerana kemunduran Melayu.
Harapkan Umno nak bangunankan tanah wakaf akhirnya
tanah wakaf jadi milik pihak lain berniaga. Termasuk juga jenis perniagaan yang
bertentangan dengan Islam. Pada tahun 1977 Badan Perhubungan PAS Negeri pernah
menghantar memorandum berkenaan penyalahgunaan tanah wakaf kepada Timbalan
Ketua Menteri, malangnya dibakulsampahkan. Umno hanya ternganga melopong tidak
buat apa-apa.
Sewaktu menumpang kuasa dengan parti Gerakan dulu,
Umno wujudkan Perda untuk bantu Melayu Pulau Pinang bersaing di bidang ekonomi.
Mereka ambil tanah Melayu untuk dibangunkan, selepas projek siap Melayu terus
gigit jari kerana tidak mampu memilikinya. Kewujudan Perda tidak juga
menyelesaikan masalah Melayu Pulau Pinang.
Hari ini macai-macai menebar fitnah kononnya
kerajaan negeri membenarkan pembinaan tokong yang paling besar di Pulau
Jerejak. Ingatkah sewaktu Lim Chong Eu menjadi Ketua Menteri, terdapat cadangan
supaya Masjid Negeri dibina di Padang Kota sebagai mercu tanda Islam di Pulau
Pinang? Cadangan dibantah keras oleh Gerakan dan MCA kerana tidak mahu simbol
Islam kelihatan di pintu masuk Pulau Pinang. Umno hanya ikut telunjuk Gerakan.
Hari ini Umno sibuk menjadi juara mempertahankan
kampung-kampung Melayu dari hilang akibat dimajukan oleh pihak lain. Hakikatnya
kampung yang diduduki sekelompok Melayu itu adalah milik pihak lain. Seperti
senikata lagu Umno, “Bumi dipijak milik orang”. Apabila tuan tanah mahu
membangunkan tanah miliknya sendiri maka orang yang menumpang kenalah tinggalkan.
Bukan sekarang sahaja berlaku peristiwa sebegitu, zaman BN dulu pun Umno tak dapat
buat apa-apa untuk pertahankan kampong Melayu.
Di zaman BN, seramai 37 keluarga Melayu Kampung Sungai
Nibung Besar, Bayan Baru terpaksa berpindah apabila tanah yang mereka diami
puluhan tahun di lot 1648 dan 1650 Mukim 12 Daerah Barat Daya dibeli oleh
syarikat Avongold Valley Sdn Bhd untuk tujuan pembangunan perumahan komesial
bernilai RM700,000.00 seunit. Penduduk dikenakan saman oleh pemaju berkenaan
kerana 'berdegil' terpaksa mengadakan piket aman di hadapan Jalan Aziz Ibrahim
untuk menagih simpati banyak pihak termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri
Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi Perhubungan Umno Negeri. Umno tidak
dapat berbuat apa-apa dan akhirnya hilang juga kampung Melayu tersebut. Namun
kerana peristiwa itu berlaku semasa BN maka Gerakan yang mentadbir Kedah tidak
pula rasis.
Sebelum PRU13 lalu seorang ADUN Umno berpidato, nasib
Melayu Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP harus dijadikan iktibar oleh orang
Melayu di negeri lain berikutan keadaan mereka kini yang cukup kritikal.
Kononnya selepas dua tahun DAP memerintah, mereka telah berjaya ‘merampas tanah
dan menghalau’ orang Melayu sehingga tinggal 20 peratus sahaja kini.
Entahlah, selepas tumbang pada PRU13, para pemimpin
Umno Pulau Pinang sering bercakap macam orang tertinggal akal. Apa sangat yang
mampu dibuat oleh PAS dan KeADILan dalam masa terdekat apabila diwariskan
sebuah negeri yang sudah kering kontang hak Melayunya – angkara kegagalan
kerajaan terdahulu.
Kehilangan tanah milik Melayu di Pulau Pinang yang
berpindah kepada bukan Melayu lebih banyak berlaku kerana Melayu dengan rela
hati menjual tanah tersebut kepada bukan Melayu. Jumlah yang berpindah milik
kerana jualan secara rela hati itu sebenarnya lebih besar berbanding, tanah
yang diambil oleh kerajaan negeri. Tapi apa Umno buat sewaktu jadi kerajaan
dulu?
No comments:
Post a Comment