Antara kejayaan yang
dicatat dalam PRK Sungai Limau ialah mempertahankan kemenangan PAS. Kejayaan
sampingan yang lain ialah rakyat mendapat perhatian istimewa dan luarbiasa dari
kerajaan Pusat. Tidak kurang RM17 juta peruntukan yang diterima oleh rakyat
dalam pelbagai bentuk.
Satu lagi kejayaan
yang tercetus ialah penubuhan Badan Membela Kebajikan Petani atau Belatani yang
memperjuangkan nasib pesawah padi, merupakan kelompok terbesar rakyat Kedah.
Walaupun sebelum ini sudah wujud beberapa badan bertindak yang memperjuangkan
nasib pesawah, namun ianya tidak dapat perhatian dari pihak kerajaan. Kerajaan
buat tidak peduli dan langsung tidak melayan tuntutan mereka mungkin kerana kerajaan
menganggap semua NGO itu tidak ‘menyengat’ kerajaan.
Kemunculan Belatani
agak berlainan kerana ia dicetuskan dari bayangan pihak pembangkang. Kerajaan
47 peratus yang sedang berkuasa pasti tidak akan pandang sepi tuntutan NGO yang
dilihat lahir dari rusuk pembangkang. Macam Anak yang memperjuangkan nasib
peneroka Felda, walaupun sekecil anak namun tetap menggugat kerajaan BN kerana
bayangan pembangkang di belakangnya.
Terbaru Belatani
menganjurkan pendekatan memahamkan rakyat, khususnya pesawah padi bahawa status
mereka adalah tinggi dalam masyarakat. Petani adalah pegawai penyedia makanan
asasi negara. Mereka menyediakan 70 peratus pengeluaran padi untuk dijadikan
beras dan seterusnya nasi kepada lebih
26 juta rakyat Malaysia, demi menjamin stok makanan asasi negara tetap stabil
terhadap segala kemungkinan bencana alam di negara-negara pembekal beras dunia.
Adalah menjadi
kewajipan kerajaan menyediakan kemudahan, subsidi dan insentif seperti yang
diberikan kepada seluruh kakitangan awam. Hakikat sebenar subsidi dan insentif
tidaklah seberapa berbanding keistimewaan yang diperolehi oleh kakitangan awam
disepanjang perkhidmatan mereka, malah diberi pencen selepas mencapai umur
bersara. Nah, jika para pesawah sedar kedudukan mereka maka para pemimpin BN
akan ‘bermasalah’. Selama ini para petani dijadikan macam kuli sehingga
sebahagian besar mereka bergantung harap kepada kerajaan, sedangkan hakikatnya
kedudukan mereka lebih tinggi serta lebih berkuasa dari kerajaan.
Contoh mudah ialah
seorang anggota keselamatan yang menerima dua pasang - uniform, talipinggang,
kasut, topi mengikut jenis, wisel, pistol, gari, walky talky, baju pantul
cahaya, kenderaan, cota, bangunan dan kelengkapan pejabat dan bermacam lagi. Sumber
kewangannya adalah dari kutipan cukai rakyat. Nilainya sudah tentu berkali
ganda melebihi insentif yang diberi kepada petani, walhal petani berkhidmat
menjaga keselamatan makanan negara tidak ditatang begitu rupa.
Kerajaan memerintah sepatutnya jangan lagi melabelkan petani
sebagai ‘masyarakat subsidi’ dengan hanya insentif sekitar RM355 dan jika
dicampur subsidi baru RM762.00 semusim (RM127.00 sebulan).
Petani yang menyewa
dan mengusahakan sehingga lima relong sawah, memperolehi pendapatan bulanan
mereka masih di bawah paras kemiskinan yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu
RM760 sebulan, jika tidak mempunyai pendapatan sampingan yang lain. Mengikut
anggaran pendapatan berdasarkan pengalaman pesawah, pendapatan sebulan setiap
relong ialah RM149.83. Jika petani ada tiga relong pendapatannya ialah RM449.49
(miskin tegar). Jika petani ada 5 relong pendapatannya ialah RM749.15 (paras
miskin).
Mengikut Unit
Perancang Ekonomi, paras garis kemiskinan selaras dengan Rancangan Ekonomi
Kesepuluh (RMK-10), paras garis kemiskinan telah ditetapkan untuk isi rumah
miskin adalah RM760.00 seisi rumah.
Sedarkah kita bahawa
harga sebenar padi yang ditetapkan kerajaan hanyalah 75 sen sekilogram, bayaran
lebih oleh kilang bila-bila masa boleh
diturunkan mengikut daya persaingan semasa. Sementara subsidi bukanlah harga
padi tetapi sebagai sedikit insentif kerajaan kepada petani yang memerah
keringat menyediakan makanan asasi negara dan bila-bila masa juga boleh
ditiadakan.
Tuntutan kenaikan
harga padi merupakan agenda utama para petani. Mengikut kiraan jika harga padi
naik sehingga RM1.50 sekilogram maka pendapatan tambahan yang diperolehi oleh
petani bagi setiap relong cuma RM109.33.
Jumlah itu hanya untuk menampung kekurangan dalam perbelanjaan
akibat kenaikan harga minyak petrol/disel, gula, bil elektrik sahaja. Tak
apalah, sekurang-kurangnya ia lebih baik dari tiada kenaikan langsung kerana
petani mungkin memiliki tanah lebih dari serelung.
Sudah lebih 6 tahun (2006 -2013) harga beras ST5 naik
dari RM1.70 sekilogram ke RM2.60 sekilogram dengan perbezaan peningkatan
sebanyak 90 sen, sedangkan harga padi dalam tempoh yang sama hanya dinaikkan
dari 65 sen sekilogram kepada 75 sekilogram dengan perbezaan peningkatan hanya
sebanyak 10 sen.
Harga beras runcit
sekarang sudah tinggi iaitu RM2.60 sekilogram (RM26.00 bungkusan 10 kg). Kilang
sudah boleh membuat keuntungan melalui penjualan beras putih sahaja, tidak
termasuk jualan dedak dan temukut dari padi yang sama. Oleh itu, secara
rasionalnya beras tetap boleh dijual dengan harga runcit RM2.60 sekilogram
walaupun harga padi dinaikkan sehingga RM1.50.
Adalah lumrah
selepas ini pihak kilang pula akan melahirkan perasaan tak puas hati bahawa
mereka memperolehi keuntungan yang sedikit dari sebelum ini pada hakikatnya
tetap memperolehi keuntungan. Dalam situasi itu kerajaanlah yang harus
memastikan semua pihak; petani, pengilang dan pengguna dalam situasi untung
untung untung.
Petani mesti bersatu
menuntut hak agar kerajaan menetapkan harga lantai padi dari 75 sen sekilogram
kepada RM1.50 sekilogram, mengekalkan subsidi serta insentif sedia ada bermula
musim padi ini. Sekarang masanya untuk untuk para petani bangkit menuntut hak.
Biar Belatani yang menjadi teras pendesak.
No comments:
Post a Comment