Dunia dikejutkan dengan hukuman
mati terhadap Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh Abdul Quader
Mullah.
PAS melalui kenyataan
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyifatkan perbicaraan as-Syahid
adalah satu momokan terhadap sistem keadilan, apabila disabitkan kesalahan
dengan fakta yang meragukan dan penuh dengan sentimen politik dalaman
Bangladesh.
“Jelas sekali tindakan menukar
hukuman asal terhadap as-Syahid dari penjara seumur hidup adalah di atas
desakan politik dalaman menerusi demonstrasi jadian seperti protes Shahbag pada
Februari 2013 lalu yang menjadi tulang belakang agenda jahat kumpulan sekular
yang bencikan Islam,” ujar Presiden PAS.
Hukuman gantung terhadap
pemimpin parti Islam itu tidak syak lagi adalah perancangan jahat pemerintah
Bangladesh yang merasa tertekan dengan kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan
golongan sekular. Tahun lalu dunia di kejutkan dengan kebangkitan umat Islam
Bangladesh yang berjumlah ratusan ribu keluar ke jalanraya menuntut penegakan
undang-undang syariah di samping menuntut pemerintah yang ada turun dari tampuk
kuasa. Mereka turun dengan tangan kosong tetapi berjaya ‘melemahkan’ polis dan
tentera kerajaan kerana jumlahnya terlalu ramai. Jamaat-e-Islami dijangka
membuat kejutan dalam pilihanraya umum yang berlaku selepas ini.
Namun di saat Abdul Quader maut
di tali gantung, rakyat Bangladesh yag sedar akan kezaliman pemerintah kepada
negara paling miskin di dunia itu tidak dapat berbuat apa-apa.
Kini Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Morsi pula sedang
berdepat dengan ancaman maut setelah didakwa atas tuduhan terlibat dalam
kegiatan keganasan dan membocorkan maklumat rahsia ketenteraan negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pendakwa raya Mesir,
Mohamed Morsi dan pertubuhan Ikhwanul Muslimin telah melakukan kekerasan dan
keganasan di Mesir. Selain itu, mereka disyaki bersekutu dengan Hamas Palestin
dan Hezbollah Lubnan untuk merancang "serangan keganasan".
Morsi sehingga kini masih dalam tahanan pihak tentera sejak
digulingkan pada 3 Julai lalu. Bersama Morsi yang turut didakwa adalah 35
pemimpin pergerakan Ikhwanul Muslimin. Antaranya Mohamad Badie, Khairat
el-Shater dan Mahmoud Ezzat. Tuduhan itu boleh membawa kepada hukuman mati atau
penjara seumur hidup terhadap mereka.
Dakwaan terhadap mereka adalah konspirasi regim tentera tetapi
regim itu pula yang mendakwa Ikhwanul Muslimin yang berkonspirasi. Kononnya
Ikhwan merancang sejak 2005 melibatkan penghantaran pelatih ke Gaza untuk
menjalani latihan tentera oleh Hezbullah dan Pengawal Revolusi Iran.
Regim tentera terus berkelentong dengan dakwaan, selepas
penggulingan Presiden Mubarak pada 2011, pasukan terbabit melancarkan serangan
terhadap pasukan keselamatan seluruh Mesir. Kononnya kumpulan itu mahu tubuhkan
negara Islam di Sinai Utara dan penasihat keselamatan Morsi iaitu Essam
El-Haddad didakwa membocorkan maklumat kepada Iran dan Hezbullah sebagai
membalas kerjasama yang diberikan sebelum ini.
Rakyat Mesir tentu ketawa besar dengan dakwaan tersebut
sebagaimana rakyat Malaysia pernah ketawa dengan pelbagai tuduhan terhadap
pihak pembangkang dahulu, lebih-lebih lagi semasa ISA masih bertaring.
Pengalaman puak sekular Mesir menumbangkan kerajaan yang dipih
secara sah oleh rakyat nampaknya menjadi sumber inspirasi puak sekular Turki.
Tiba-tiba sahaja pihak berkuasa berkaitan keadilan di Turki (bebas dari
cengkaman mana-mana parti politik) menahan berpuluh individu berprofil tinggi
atas dakwaan rasuah. Berpuluh ketua polis dipecat sekaligus menyaksikan
penahanan 51 orang termasuk anak kepada tiga menteri kerajaan pimpinan Erdogan
dan beberapa ahli perniagaan terkenal.
Perdana Menteri Reccep Tayyip Erdogan menyifatkan penahanan itu
merupakan konspirasi dan operasi kotor untuk menentang kerajaan pimpinannya.
Sementara Timbalan Perdana Menteri Bulent Arinc berkata, operasi tersebut
merupakan perang psikologi terhadap Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).
Abdul
Quader Mullah menerima ‘padah’ sewaktu partinya bergerak menuju kemenangan. Dr.
Mohamad Morsi pernah berada di puncak kekuasaan, dijatuhkan dan sedang menunggu
‘padah’. Manakala konspirasi menjatuhkan Reccep Tayyip Erdogan sedang
diaktifkan pada fasa awal. Ketiga-tiganya adalah negara yang kononnya meraikan
demokrasi. Perangai jahat puak sekular sama sahaja di mana-mana.
Jangan
ada pihak terfikir (khususnya golongan agamawan) bahawa kerajaan sekular
Malaysia lain dari yang lain kerana kononnya terdapat kebaikan yang terpancar.
Percayalah mereka tetap sanggup melakukan apa saja bagi mempertahankan
kekuasaan.
Kerajaan
‘47 peratus’ yang sedang berkuasa kini berdepan dengan kemarahan melampau dari
rakyat akibat tekanan kos hidup yang berpunca kegagalan mereka menguruskan
ekonomi. Ramai kini marahkan BN, Najib, Rosmah serta seluruh pemimpin kerajaan
Pusat, termasuk dari ahli dan penyokong BN sendiri. Kemarahan berkaitan isu
‘bread and butter’ atau persoalan periuk nasi selalunya melampaui batas
politik. Bila rakyat lapar dan tertekan mereka akan hilang rasa hormat pada
kerajaan memerintah. Pada masa itu apa-apa saja boleh berlaku.
BN
cuba menimbulkan isu Syiah untuk mengalih perhatian rakyat tetapi nampaknya
gagal. Tuduhan yang cuba dikaitkan dengan PAS hanya jadi bahan gelak ketawa
rakyat. Di saat genting ini pihak pembangkang kena bersedia dengan sebarang
konspirasi yang besar kemungkinan dirancang oleh pemerintah. Mereka boleh
beralih kepada isu lain pula, yang selama ini tidak pernah terfikir oleh kita. Pemerintah
yang terdesak kerana kebangkitan rakyat yang alami tekanan kos hidup, akan
sanggup lakukan apa saja demi mengalih tumpuan rakyat dari isu yang dihadapi.
Juga demi mengekalkan kekuasaan mereka.
Seperti
di Bangladesh, Mesir dan Turki, pihak pembangkang di Malaysia; khususnya
kumpulan Islam mesti bersedia menghadapi konspirasi puak sekular – termasuk
ancaman terhadap para pemimpin PAS! Jangan pandang enteng…
No comments:
Post a Comment