Kehilangan pesawat MH370 sudah memasuki bulan ke tiga. Sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengumumkan ia berakhir di Lautan Hindi, tiada secebis tinggalan dari pesawat yang didakwa mendarat atau terhempas di lautan itu dijumpai.
Bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir membayangkan kenyataan Najib tidak betul. “Seseorang
sedang menyembunyikan sesuatu,” katanya. Tambahnya, kapalterbang boleh mendarat
dengan selamat atau terhempas tetapi tidak boleh hilang begitu sahaja.
Di mata Tun,
rakyat Malaysia, mahupun dunia; Najib benar-benar sudah hilang wibawa berhubung
isu MH370. Cakap Najib tidak boleh dipakai. Diam beliau berhubung isu tersebut
adalah lebih baik dari bercakap tetapi tidak betul. Masalahnya mana mungkin
ketua kerajaan tidak bercakap berhubung perkara besar yang berlaku dalam
negara.
Najib
dihadapkan juga dengan isu pergolakan di Terengganu sehingga terjebak dalam
situasi amat mencemaskan, iaitu tumbangnya kerajaan BN. Bekas Menteri Besar Datuk
Ahmad Said, ADUN Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Rosli Daud isytihar
keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas. Umno tinggal 14 kerusi manakala
Pakatan 15. Jika tiga ADUN tersebut mengambil sikap tidak menyokong sesiapa
sekalipun, ia sudah cukup kerusi untuk
menumbangkan BN.
Sekalipun
ketiga-tiga ADUN tersebut berjaya ditarik semula melalui kaedah yang ‘sedia
dimaklumi’ dalam Umno namun imej Najib bukan setakat tercalar tapi tercedera
teruk. Mana ada parti di mana orang boleh keluar masuk sesuka hati macam masuk
keluar jamban. Menerima semula sipembelot dalam masa yang singkat adalah kerja
yang tidak bermaruah.Najib tiada pilihan, tumbang sebuah kerajaan di depan mata
lebih tidak bermaruah.
Dari aspek
lain, kejutan yang berlaku ialah pembelotan seorang bekas menteri besar dan
Pengerusi Perhubungan Umno Negeri. Bukan calang-calang jawatan. Kalau orang
bertaraf itu sanggup khianati parti sendiri, maka setakat mana agaknya
keikhlasan para pemimpin dan ahli bawahan parti. Hilang jatidiri pendokong itu
adalah bayangan kegagalan seorang pemimpin tertinggi parti. Maknanya Najib
gagal lagi dalam isu ini.
Belum reda isu
di Terengganu, BN Sarawak pula bergolak. Sepuluh wakil rakyat BN, keluar parti
masing-masing dan menubuhkan parti baru iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak
(Teras). Enam darinya adalah dari Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan
empat lagi dari Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP). Para pemimpin BN Pusat
hanya tengok dengan melopong.
Parti-parti
komponen BN Sarawak sudah memberi amaran tidak akan menerima kemasukan Teras ke
dalam BN Sarawak, bermakna BN sudah kehilangan 10 kerusi di Sarawak secara
sia-sia. Apa Najib buat untuk redakan politik Sarawak? Najib tidak mampu
berbuat apa-apa. Dia langsung hilang wibawa dan BN seolah-olah hilang ketua
sekarang kerana masalah dalaman parti yang begitu besar tidak mampu lagi
ditangani.
Najib sekali
lagi memalukan partinya sendiri apabila menarik diri dalam PRK Bukit Gelugor
yang berlaku kekosongan akibat kematian penyandang Karpal Singh. Belum pernah
berlaku dalam sejarah, BN tidak bertanding PRK setelah berlaku kekosongan
akibat kematian.
Semua orang
tahu BN sukar untuk menang di situ, tetapi mereka wajar bertanding untuk
mengurangkan majoriti yang diperolehi oleh DAP. Kalau kurang 10 undi pun, memadai
bagi BN memukul canang ke seluruh negara bahawa pengaruh BN meningkat dan DAP
merosot.
Bukankah itulah ‘kejayaan’ BN setiap kali kalah PRK? Mengangkat
bendera putih sebelum masuk gelanggang merupakan satu lagi catatan kegagalan
Najib sebagai Pengerusi BN.
Pasca PRU13,
rakyat diulit tekanan kos sara hidup yang meningkat. Semua orang merungut,
termasuk rakyat yang telah mengundi BN. Kerajaan pimpinan Najib tidak mampu
berbuat apa-apa untuk mengatasinya selain dari memberi pelbagai alasan untuk
menutup kelemahan kerajaan. Di celah-celah derita rakyat bawahan, Najib umumkan
pula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikenakan terhadap semua
orang termasuk rakyat bawahan yang miskin.
Sebaik BN
hilang majoriti dua pertiga pada PRU12, Naib Presiden Umno ketika itu Tan Sri
Muhyiddin Yasin dengan lantang mendesak Tun Abdullah Badawi letak jawatan.
Abdullah dengan sinis menjawab “Apakah dia (Muhyiddin) sudah tidak sabar-sabar
lagi nak jadi Timbalan Perdana Menteri.” Seluruh negara menyaksikan drama
tersebut. Akhirnya Tun Abdullah meletakkan juga jawatan.
Najib
mengulangi kegagalan Abdullah apabila gagal memperolehi mandat dua pertiga di
Parlimen pada PRU13. Tiada siapa pula dalam Umno berani menjadi hero untuk
mendesak Najib melepaskan jawatan.
Abdullah gagal
dapat majoriti dua pertiga. Kegagalan Najib lebih besar dari itu, panjang
senarainya. Perdana Menteri Korea letak jawatan hanya kerana sebuah feri karam.
Perdana Menteri Malaysia kehilangan sebuah kapalterbang yang di dalamnya
terdapat nyawa manusia dari pelbagai negara di dunia. Kalau ada saki baki
maruah dalam diri Perdana Menteri Malaysia, maka selayaknya beliau melepaskan
jawatan.
No comments:
Post a Comment