Wednesday, June 25, 2014

Takkan sampai ke tahap ini? Betulkan sistem pemilihan dalam KeADILan



Golongan manusia yang waras akan ‘kehilangan kata-kata’ apabila menyaksikan pertikaian dalaman sebuah parti politik berakhir dengan pertumpahan darah yang menggerikan. Segera mengingatkan kita akan ucapan Mao Tze Tung, “Politik adalah peperangan tanpa darah dan peperangan adalah hasil dari politik yang sudah berdarah.”

Maksudnya, jika pertikaian sudah sampai ke tahap berbaling kerusi, pukul memukul secara fizikal sehingga berdarah-darah maka ia bukan lagi ‘berpolitik’ tapi namanya berperang. Peperangan yang berlaku sekalipun antara parti politik yang bermusuhan adalah keterlaluan dalam lingkungan demokrasi. Apatah lagi peperangan di dalam satu parti yang memperjuangkan ideologi yang sama di kalangan ahli-ahlinya. Ia sudah lebih dari keterlauan.

Ini kerana demokrasi memberi ruang kepada kebebasan bersuara dan peluang kepada suara terbanyak untuk menang. Demokrasi menolak kekerasan atau paksaan. Jika kekerasan yang ‘menang’ bermakna demokrasi kalah.


Entahnya, tidak ada ayat yang boleh direka untuk menjustifikasikan pertikaian dahsyat dalam sebuah parti politik yang menjadi rakan kongsi Pakatan. Ia bukan kes terpencil, bukan sekali dan bukan di satu tempat sahaja; jika mahu mengaitkan dengan konspirasi musuh. Ia adalah pertikaian dalam parti, yang benar-benar tulen.

Persepsi yang terbina di kalangan umum apabila wujud pertikaian dalam mana-mana parti politik, tiada lain selain dari perebutan jawatan atau ketidakpuasan hati berhubung proses perebutan jawatan. Jika tiada perebutan jawatan, tiadalah pertikaian. Jika proses perebutan jawatan itu adil, maka tiada juga kekecohan. Kedua-duanya negatif.

Ironinya, Pakatan telah berjaya meledakkan suara seantero dunia dalam memperjuangkan pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini melalui sekurang-kurangnya tiga kali himpunan Bersih berskala besar. Kini masanya musuh Pakatan memulang paku buah keras. ‘Kokok berderai, badan terpalit najis’.

Semua liku perjalanan yang dilalui oleh parti politik akan membentuk persepsi rakyat untuk jangkamasa panjang. Ia sama sekali tidak boleh dipandang enteng. Politik berdarah dalam parti yang satu itu bukan kali pertama berlaku untuk musim ini. Musim pemilihan lalu itu juga begitu. Ia bermula sejak polisi setiap ahli berhak miliki satu undi untuk memilih pemimpin, diperkenalkan dalam parti tersebut.

‘Satu orang, satu undi’ dalam apa jua pemilihan adalah konsep yang ideal dalam sistem demokrasi. Dalam negara yang maju amalan demokrasi seperti Amerika Syarikat, ia berjalan dengan baik. Di Malaysia, hasil tarbiyah kerajaan BN terhadap rakyat – budaya demokrasinya sangatnya primitif. Konsep yang ideal itu belum mampu dilaksanakan sepenuhnya.

Apabila semua di akar umbi berpeluang menentukan pucuk pimpinan di aras atas, ia mendedahkan parti kepada konspirasi jahat pihak musuh. Semua yang mengisi borang menjadi ahli, berhak mengundi dan mereka ‘berhak’ pula membuat kacau. Jika pemimpin-pemimpin utama parti tersebut pun telah berjaya dibeli berbondong-bondong oleh pihak musuh, maka susah apa sangat mereka nak mengupah ahli bawahan untuk membuat onar.

Musim pemilihan lalu, dalam onar siri pertama; banyak pihak sudah nasihati parti tersebut agar tidak mengulangi pemilihan berasaskan akar umbi – satu ahli, satu undi. Ia banyak membawa keburukan dari kebaikan. Hanya kepimpinan parti tersebut yang tahu mengapa sistem yang membawa mudarat itu terus dikekalkan.

Sistem pemilihan dalam banyak parti politik di negara ini juga terdedah kepada tercetusnya pertikaian, namun terkawal. Dalam kebanyakan parti, ahli akar umbi hanya berhak menentukan kepimpinan akar umbi. Dalam PAS ia disebut cawangan. Perwakilan dalam jumlah tertentu dari cawangan dipilih oleh akar umbi untuk menghadiri mesyuarat peringat lebih tinggi, iaitu kawasan. Hanya perwakilan ini yang berhak mengundi memilih kepimpinan kawasan. Mandat oleh mesyuarat agung kawasan pula diberikan kepada beberapa perwakilan untuk memilih pemimpin di peringkat Pusat - dalam muktamar. Alhamdulillah, hingga setakat ini, selepas 60 tahun berlalu, belum ada ahli PAS yang berdarah kepala dalam mana-mana pemilihan.

Allah jadikan manusia berbeza tahap pemikirannya. Lumrahnya orang yang lebih cerdik terpilih untuk memimpin mengikut arasnya. Memilih pemimpin di aras paling atas dalam kepimpinan parti biarlah ditentukan oleh orang yang bersesuaian tahap pemikirannya.
Sewaktu wafat Rasulullah SAW, para pemimpin kanan umat Islam ketika itu bermesyuarat memilih pengganti baginda. Hanya tokoh-tokoh tertentu. Tidaklah dikerahkan seluruh umat Islam untuk berbincang membuat keputusan memilih pengganti Rasulullah SAW.

Sistem pemilihan kita tidaklah seideal yang dilakukan oleh para sahabat Nabi, kerana kita cuba menyesuaikan diri dalam kerangka demokrasi ciptaan Barat. Namun tidak perlulah pula terlalu memikir bagaimana mahu menyempurnakan demokrasi ciptaan Barat sehingga menjerat leher sendiri.

Semua parti komponen Pakatan adalah bertanggungjawab terhadap kerja memposisikan diri di persada kuasa. Masing-masing sudah bersatu hati. Orang PAS dan KeADILan resah apabila DAP kalah di Teluk Intan. DAP dan PAS gembira apabila KeADILan mengekalkan kerusi di Kajang. Demikianlah laranya jiwa setiap pendokong Pakatan, melihat gelagat onar rakan dalam Pakatan. Eloklah jalan penyelesaian dicari.



No comments:

Post a Comment