Monday, July 14, 2014

Jangan mudah sangat termakan hasutan pemecahbelah

Masih teringat sewaktu zaman kanak-kanak, seorang Ustaz pernah menceritakan perihal mudahnya syaitan melagakan manusia untuk berkelahi. Syaitan menyerupai manusia dan pergi berjumpa dua sahabat yang sangat karib. Syaitan itu berbisik kepada salah seorang darinya dengan berkata, “Dalam padi ada beras.” Lalu berlalu pergi. Rakan yang tidak mendengar bisikan syaitan itu mengesyaki mereka sedang berkata sesuatu yang buruk terhadap dirinya. Selepas syaitan pergi mereka berdua pula yang berkelahi. Mungkin cerita itu cuma rekaan tetapi Ustaz ingin memberitahu bahawa bijaknya syaitan untuk memecahbelahkan manusia. Justeru kita kena sentiasa berhati-hati.

Bertelingkah dan berkonflik adalah sifat lumrah manusia. Namun bertelingkah dalam semua perkara adalah perkara yang tidak normal bagi sekalangan manusia. Dalam organisasi politik bertelingkah dengan organisasi politik musuh semacam satu kewajipan kerana mereka adalah pesaing. Tetapi kalau bertelingkah sesama anggota dalam organisasi lebih hebat dari berperang dengan musuh maka ia adalah suatu yang amat buruk.

PAS sudah melepasi umur 60 tahun dalam persada politik tanah air. Jika Umno dikatakan sudah tua, maka PAS pun tidak boleh dikatakan muda kerana Umno cuma lima tahun lebih tua dari PAS. Masalah yang datang di usia tua lebih rumit untuk dihadapi berbanding ketika muda. Seorang rakan memberitahu, mudah sungguh sekarang ini kalau nak suruh orang PAS berkelahi. Kata-katanya itu sudah keterlaluan tetapi dengan senario yang berlaku nampak ada benarnya.

Hudud adalah isu yang diperjuangkan oleh PAS. Apabila tiba-tiba kini Umno menyambutnya, isu tersebut menjadi bahan polemik sesama ahli. Ada yang berhujah jangan pertikai keikhlasan pihak lain. Itu persoalan hati, manusia tidak tahu. Tidak kurang yang bertegas bahawa ia agenda Umno untuk memecahkan PAS dan Pakatan juga. Umno dahulu, kini dan selamanya tidak layak dipercayai. Maka yang ‘berjaya’ dan bertepuk tangan dalam isu ini ialah Umno. Testimonial kejayaan mereka ialah PRK Teluk Intan. BN muncul dalam dua versi; Umno menyanggah PAS kerana calon BN menolak hudud dan Gerakan/MCA menyanggah PAS (komponen Pakatan) kerana jalin hubungan dengan Umno tubuh jawatankuasa teknikal laksana hudud.


Sebuah kereta berjenama Vellfire milik isteri seorang ahli Parlimen PAS juga diangkat menjadi isu untuk sekalangan ahli-ahli berperang di alam maya. Isu Panda yang membazirkan wang negara pun dipanaskan dalam tempoh yang singkat tetapi serangan terhadap seorang pemimpin PAS dilanjutkan berbulan-bulan.
Apabila seorang ahli PAS digugurkan keahlian kerana mengangkat senjata di Syria, kepimpinan Pusat menjadi mangsa serangan bertalu-talu sekalangan ‘pecinta jihad’ kerana kononnya PAS tidak menghormati orang yang berjuang menentang kezaliman. Golongan ini membuat persepsi berdasarkan apa yang tersurat sedangkan kepimpinan PAS menilai berasaskan yang tersurat dan tersirat, persoalan maslahah dan keutamaan. Isu jihad pun sampai bertikam sesama sendiri.

Di Kedah, apabila para ADUN PAS menolak enakmen yang kononnya anti Syiah dalam Sidang DUN terdapat juga kalangan ahli yang marah-marah. Hujah mereka, sepatut PAS yang lantang menentang kesesatan Syiah. “Nampaknya, Mukhriz lebih serius untuk membanteras Syiah di Kedah,” ujar mereka. Segalanya berpunca apabila Umno menghebahkannya sebagai ‘Enakmen Anti Syiah’ walhal tiada sepatah perkataan Syiah pun yang disebut di dalam enakmen itu. Umno berjaya lagi buatkan pihak lawan bertelingkah.

Strategi Mukhriz sekarang ialah menjelajah pondok-pondok pengajian di Kedah. Semua tahu hampir semua warga pondok adalah penyokong PAS. Apabila Mukhriz hadir di rumah bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, beliau diraikan dengan jamuan berat. Foto ‘kemesraan’ kedua pemimpin itu diviralkan di media maya. Bertelingkah lagi sekalangan ahli-ahli parti mengenainya. Isu isu sangat remeh tetapi Umno berjaya cetuskan isu remeh untuk lagakan musuh. Isu seremeh Datuk Seri Najib menziarahi Presiden PAS di IJN pun boleh mencetuskan polemik dan sindiran.

Isu gereja, rampasan Bible dan kalimah Allah di Selangor tidak kurang panasnya. Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung JAIS. Separuh abad PAS berkonfrontasi dengan Utusan. Ia dianggap ‘lidah syaitan’. Tiba-tiba ‘lidah syaitan’ itu berjaya membakar kemarahan sekalangan ahli-ahli parti terhadap Khalid dan beberapa pemimpin yang lain. Berperang lagi ahli-ahli di alam maya.

Pertelingkahan yang berlaku dalam KeADILan mutakhir ini juga banyak dicetuskan oleh media pro BN yang menjadi ejen provokasi. Sejak Allah SWT menjadikan alam raya ini, media-media utama negara tidak pernah memberi ruang kepada pihak pembangkang mendapat liputan yang baik dan memuaskan. Tiba-tiba kenyataan para pemimpin tertentu yang terbabit dengan pertelingkahan diberi peluang untuk membuat kenyataan di kaca televisyen. Dungunya lagi, orang yang membuat kenyataan tidak peduli lagi bahawa media yang menyiarkan kenyataannya itu adalah media propaganda musuh.

Pasca PRU13, Umno/BN menjadi parti yang lemah. Sokongan rakyat untuk mereka cuma 47 peratus. Pakatan rakyat yang memegang suara majoriti berasaskan undi popular. Umumnya semangat juang ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi juga sudah lemah tidak bermaya. Kehebatan semangat mereka pun adalah ketika berkelahi sendiri. Tanyalah mana-mana pemimpin Umno bahagian pun, mereka mengakui realiti ini.


Masalahnya pihak lawan Umno/BN yang sepatutnya mengasah kekuatan sementara menunggu PRU14 ghairah pula bertelingkah. Lebih malang bertelingkah hanya kerana isu remeh dan sebahagiannya dicetuskan ‘syaitan penghasut’. 

No comments:

Post a Comment