Sunday, August 18, 2013

100 hari Mukhriz, masih dibayangi Tun Mahathir


Datuk Mukhriz Mahathir - dengan imej jubah berkopiah muncul di mana-mana, di paparan billboard dan banner seluruh Kedah. Di luar papan iklan pun imej sebenar Mukhriz kelihatan agak 'Islamik'. Sewaktu para Exconya turun ke program rasmi dengan baju Melayu bersamping, Menteri Besar Kedah itu pula hanya berkopiah putih dan berkain pelikat. Di waktu Subuh, ramai jemaah masjid yang terkejut kerana tiba-tiba Mukhriz muncul bersolat subuh.

Jarang sekali para pemimpin Umno dapat turun ke pondok-pondok pengajian di Kedah tetapi Mukhriz boleh melakukannya. Beliau hadir dan diraikan. 


Dahulu, penguasa pusat pendidikan Islam, khususnya pondok dan sekolah agama rakyat di Kedah agak terasing dengan Umno. Mungkin kerana dianggap kubu PAS. Di era Mukhriz bukan setakat Umno tiada masalah dengan banyak pondok, NGO yang bergerak atas nama tahfiz dan pusat pengajian juga tidak kekok berkunjung hormat ke pejabat Menteri Besar. Itu kelebihan Mukriz yang tidak mampu dilakukan oleh Menteri Besar Kedah dari Umno sebelum ini.

Kuliah agama di Seri Mentaloon yang diwujudkan di zaman Ustaz Azizan, diteruskan selepas terhenti beberapa ketika, walaupun kehadiran orang ramai yang mengikuti kuliah jauh merosot. "Kita akan meneruskan apa-apa program yang baik untuk rakyat yang dimulakan oleh kerajaan lalu," katanya. Beliau meneruskan pemberian sumbangan saguhati untuk guru-guru Al-Quran dan bidan kampung. Khabarnya juga mereka akan meneruskan pemberian bantuan untuk para pelajar yang memasuki IPTA dan pemberian Kafalah seperti yang dimulakan oleh kerajaan lalu.
Hari ini gambar Mukhriz terpampang di mana-mana, di seluruh negeri Kedah. Ala-ala Sadam Husein sewaktu jadi Presiden Iraq dulu. Hinggakan banner kuliah agama di Seri Mentaloon pun bukan gambar penceramah yang terpampang tapi wajah Mukhriz.

"Kalau macam ni susahlah nampaknya PAS nak ambik balik Kedah," ujar seorang rakan aktivis. "Baru 100 hari mana boleh buat andaian, masih ada empat tahun lebih lagi... macam-macam boleh berlaku," lantas saya menyanggah.

Sebenarnya lebih banyak sisi yang tempang bagi Mukhriz sepanjang 100 hari, namun berjaya diselindungi di sebalik imej lahiriah bikinannya. Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid pernah 'berpesan' kalau jadi menteri jangan layan sangat wartawan. Mengapa? "Supaya apabila wartawan bertanya, tak nampak sangat bahawa kita tak tahu," ujar Sanusi.

Mukhriz menerima bidasan dari Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar apabila mendakwa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) apabila KUIN dijadikan badan berkanun oleh kerajaan negeri.

"Ini Mukhriz bercakap tanpa panduan bapanya, kalau bapanya yang nasihat boleh tahan jugalah kenyataan, bila dia bercakap sendiri terus tak betul," ujar Mahfuz.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, pendaftaran KUIN dibuat adalah mengikut Akta IPTS 1996 dan sijil yang  dikeluarkan mengesahkan bahawa KUIN adalah IPTS dan bukan IPTA, walaupun kemudian KUIN jadi badan berkanun.

Kemelut KUIN yang berpanjangan tidak dapat diselesaikan oleh Mukhriz dalam masa 100 hari sekalipun KUIN menjadi agenda utama dalam manifesto Umno dalam PRU13 lalu dan sekalipun beliau sendiri 'mencemar diri' turut menyertai himpunan pemberontak KUIN membelasah kerajaan PR sewaktu jadi pembangkang dahulu. Insaniah Holdings Sdn. Bhd. (IHSB) merupakan anak syarikat KUIN dianggap Umno sebagai bebanan suatu masa dahulu, kini selepas Mukhriz terajui kerajaan beliau kelihatan tidak tahu untuk membuat keputusan terhadap IHSB.

IHSB digantung tidak bertali dan 268 kakitangannya dilaporkan tidak menerima sesen pun gaji sejak Umno mengambilalih Kedah 5 Mei lalu. Mukhriz tersasul lagi apabila mendakwa IHSB tiada kaitan dengan kerajaan negeri sedangkan ia adalah syarikat milik penuh KUIN, manakala Mukhriz selaku Menteri Besar adalah Pengerusi Lembaga Pengarah IHSB. Jawapan popular yang diberikan beliau apabila diajukan soalan berhubung KUIN ialah kerajaan 'sedang mengkaji'. 100 hari masa berlaku, roket Apollo mampu berulangalik dari bumi ke bulan lebih enam kali namun kerajaan Umno Kedah belum selesai mengkaji.

Menurut sumber dalaman banyak isu tertunggak, khususnya berkaitan GLC tidak dapat dibuat keputusan oleh Mukhriz. Berbeza dengan Ustaz Azizan Razak yang mendalami sendiri setiap isu berkaitan pentadbiran ataupun GLC, sebaliknya Mukhriz hanya menyerahkan mandat kepada exconya sedangkan sebahagian exco termanggu-manggu tidak berani membuat keputusan. Pentadbiran Mukriz jauh lebih lemah berbanding Ustaz Azizan.

Soalan cepu emas, dalam masa 100 hari adakah Mukhriz masih dibayangi oleh arahan bapanya Tun Mahathir? Ramai yakin bahawa beliau belum bebas sepenuhnya dalam membuat keputusan. Pernah satu keputusan dibuat di peringkat pentadbiran negeri untuk membangunkan Pantai Chenang, Langkawi dengan susunatur baru sesuai dengan imej Langkawi sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia. Cadangan ini juga mula dicetuskan sewaktu kerajaan PR dahulu. Apabila maklumat tersebut sampai kepada Tun Mahathir, beliau membantah. Maka Mukhriz pun  dengan muram durja datang membawa 'titah' kepada pihak berkuasa tempatan bahawa "Tun tidak benarkan." Mungkin Tun ada hujah sendiri tetapi soalnya siapa Menteri Besar sebenarnya, Mukhriz atau Tun?

Begitu juga pelan kompleks Pekan Rabu baharu yang bakal dibina. Sehingga mendapat persetujuan Tun, baru projek boleh dimulakan.

Di awal pentadbiran, Mukhriz pernah menegaskan bahawa kerajaan hanya bersedia melaksanakan projek yang bawa keuntungan. Projek pendidikan KUIN, katanya, hanya ibarat mencurah air ke daun keladi. Ini cara berfikir Tun Mahathir yang sering nampak duniawi sahaja seolah-olah tiada perhitungan akhirat.

100 hari berlalu sepatutnya Mukhriz mampu menggilap diri dengan bebas tanpa bayangan sesiapa tapi nampaknya beliau masih dibayangi Tun.


















No comments:

Post a Comment