Friday, August 30, 2013

Jangan anggap kezaliman Saddam adalah dari ajaran Islam hanya kerana memusuhi Syiah




Terdapat kecenderungan yang salah dalam sikap sekelompok manusia; iaitu apabila sesuatu pihak dimusuhi maka semua pihak yang turut berperang dengan musuh tersebut adalah benar.

Sebab itu tidak pelik jika terdapat pemimpin politik dari PAS, KeADILan atau DAP yang menyertai Umno atau parti komponen BN, atau sekurang-kurangnya 'bersama' dengan mereka selepas individu berkenaan berkonfrontasi dengan parti sendiri. Walhal wadah  yang disertai (atau bersama) itu adalah pihak yang ditentang habis-habisan sebelum ini.

Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam pernah saling berseteru kerana merebut jawatan Timbalan Presiden Umno. Apabila Musa pula tiba-tiba bermusuh dengan Tun Dr. Mahathir atas beberapa sebab, maka beliau boleh bersama dengan Tengku Razaleigh untuk menjatuhkan Mahathir. Ia sekadar satu contoh. Banyak contoh lain dalam pengalaman politik Malaysia.

Cinta itu buta. Tapi bermusuh pun jadikan seseorang buta sehingga nampak semua seteru musuh adalah pembawa kebenaran. Agak terkejut juga apabila tiba-tiba hari ini bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein menjadi hero pujaan pihak yang menamakan diri mereka gerakan anti Syiah, kerana kejayaan membunuh orang-orang syiah ketika berkuasa. Kumpulan ini bergerak dengan agresif dan meluas. Mereka bukan sahaja memerangi ajaran syiah habis-habisan bahkan memerangi sesiapa sahaja yang tidak menyesatkan semua syiah.


Barang dijauhkan Allah saya cenderung hati terhadap Syiah apatahlagi menyokong Syiah, tetapi hanya mahu membetulkan fakta, sekadar mahu membetulkan catatan sejarah moden yang dipesongkan hingga menganggap kezaliman Saddam sebagai tuntutan Islam. Saya tidak berminat untuk mengulas isu syiah berdasarkan aqidah kerana sedar tidak berkemampuan dari segi ilmu. Seperti kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang biarlah ianya menjadi perbahasan orang-orang berilmu, bukan antara Sunni yang jahil dan syiah yang jahil. Tapi 

Kononnya umat Islam tersalah faham terhadap Saddam kerana putarbelit media yang dikuasai Yahudi dan Amerika Syarikat. Saddam dikatakan sudah nampak ancaman Syiah, maka beliau ambil tindakan menghapuskan etnik syiah bertepatan dengan hadis nabi yang diriwayatkan dari Saidina Ali, supaya membunuh golongan rafidhah (ditafsirkan sebagai syiah).

Catatan sejarah moden yang tidak boleh dipadam ialah Saddam telah melakukan penghapusan etnik (disifatkan sebagai kewajipan menghapuskan golongan rafidhah?) menggunakan senjata kimia atau gas beracun. Peristiwa yang berlaku pada 18 Mac 1988 di Halabja, Selatan Kurdistan. Serangan telah membunuh di antara 3,200 dan 5,000 orang, dan mencederakan kira-kira 7,000 hingga 10,000 lebih, kebanyakan mereka orang awam terdiri dari kanak-kanak, wanita dan orang tua. Beribu-ribu lagi meninggal dunia akibat komplikasi, penyakit, dan kecacatan kelahiran pada tahun-tahun selepas kejadian. Adakah kezaliman regim Saddam ini adalah dari ajaran Islam sehingga beliau diangkat sebagai wira Islam dan Sunni?

Oleh kerana Iran pada masa itu adalah musuh nombor satu Amerika Syarikat, maka sekutu Israel itu menuduh serangan senjata kimia itu dibuat oleh Iran, di samping media-media utama antarabangsa yang menjadi alat Barat tidak menyiarkan peristiwa Halabja secara besar-besaran kerana boleh mencemar Iraq. (Iraq pada masa itu adalah sekutu Amerika).

Namun penyiasatan oleh masyarakat antarabangsa diketuai oleh Dr Jean Pascal Zanders, Ketua Projek Kimia dan Peperangan Biologi di Institut Penyelidikan Keamanan, Stockholm pada tahun 2007 membuktikan sejelas-jelasnya bahawa kezaliman itu dilakukan oleh regim Saddam.

Isu kedua selepas pembunuhan kejam itu ialah tafsiran hadis berhubung kewajipan 'membunuh orang rafidhah'. Adakah tindakan serakus itu (termasuk membunuh wanita dan kanak-kanak) menepati sebuah hadis yang menyeru membunuh orang yang dianggap rafidhah dan ulamak besar mana yang mentafsirkan hadis tersebut secara wewenangan begitu?

Kita khuatir jika gerakan melancar perseteruan sesama ummah tidak dibendung atau disedarkan perihal kegilaan mereka, maka umat Islam akan terjerumus lagi dalam malapetaka kehancuran. Musuh sebenar umat Islam iaitu Amerika Syarikat, Zionis serta sekutu mereka hampir dilupakan akibat keghairahan polemik mazhab yang telah bermula sejak lebih 1000 tahun itu.Umat Islam sudah cukup menderita dengan perbalahan dan penindasan. Usah lagi dicurah garam terhadap luka yang parah itu.


No comments:

Post a Comment