Datuk Wan Salleh Wan Isa dilaporkan akan meletakkan jawatan sebagai
Pengerusi Perhubungan KeADILan Kedah dan Ketua Cabang Langkawi. Beliau kecewa
terhadap kepimpinan parti itu di peringkat Pusat yang enggan mendengar suara
kepimpinan negeri dalam soal pemilihan calon sehingga menyebabkan tiga dari
tujuh kerusi Parlimen dan enam dari sepuluh kerusi DUN yang ditandingi parti
itu kalah.
Ulasan seperti yang dibuat oleh Datuk Wan itu (jika benar seperti laporan media) boleh kita dapati 'bersepah-sepah' di negara ini oleh ramai pengulas politik, selepas selesainya PRU13 ini. Maksudnya, meletakkan alasan kekalahan atas satu-satu faktor sahaja. Selain faktor calon, ada pihak yang menjadikan 'konflik PAS Kedah' sebagai penyebab, isu balak, Kolej Universiti Insaniah, kesihatan Menteri Besar, pusat hiburan, kemerosotan prestasi bolasepak dan sebagainya sebagai penyebab. Faktor-faktor tersebut boleh diterima sebagai penyebab kekalahan jika digabungkan kesemuanya, namun di kalangan itu tiada satu pun faktor yang terlalu kuat untuk bersendiri; sebagai penyebab kekalahan Pakatan mempertahankan kerajaan negeri Kedah.
Berdasarkan keputusan yang diperolehi, tidak benar KeADILan kalah
di beberapa kerusi DUN yang ditandingi kerana silap pilih calon. Calon KeADILan
kalah di Kuah dengan majoriti 6,371 berbanding jumlah pengundi seramai 17,406,
kalah di Bukit Kayu Hitam 7,873 dari 29,228 pengundi, kalah di Pedu 2,960 dari 20,309
pengundi dan kalah di Gurun 1,296 berbanding 26,037 pengundi. Melihat kepada
angka majoriti yang diperolehi BN, siapa pun calon memang sukar untuk menang.
Kekalahan tipis yang dicatatkan ialah di Bakar Bata iaitu 895 dari 28,186
pengundi tetapi calon BN, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah adalah nama
besar yang sejak dahulu tak pernah kalah di situ. Kekalahan yang dikaitkan
dengan faktor calon juga ialah di Kulim. Cina yang menjadi penyokong kuat
Pakatan merupakan 22.3 peratus pengundi tetapi KeADILan kalah dengan 898 undi.
Andaian yang dibuat, calon Pakatan tidak terkenal, jika calon lain mungkin
menang. Bagaimana pula dengan kerusi Parlimen yang menaungi DUN Kulim iaitu
Kulim Bandar Baharu. Pengundi Cina kira-kira 20 peratus, calonnya ialah tokoh
yang sangat hebat iaitu Datuk Saifuddin Nasution tapi beliau kalah juga.
Datuk Wan Salleh yang juga selaku Ketua Cabang Langkawi menyifatkan
KeADILan Pusat silap tentukan calon. Calon KeADILan Langkawi, Ahmad Abdullah
kalah dengan majoriti 11,861 undi. Jangankan kalau diletak Datuk Wan di Langkawi,
jika Datuk Seri Anwar yang bertanding pun tak akan mampu mengambus majoriti
yang sebesar itu.
Bagi calon PAS yang kalah pun sama saja situasinya. Ada orang
berkata, "Jika Taib Azamudin yang bertanding di Baling tentu boleh
menang." Calon PAS Datuk Najmi Ahmad kalah di Baling dengan majoriti 5,185,
tidak guna 'berjika' kerana sehebat mana pun faktor peribadi calon tidak akan
dapat mengumpul sokongan di luar lingkungan parti melangkaui jumlah sebesar
itu. "PAS kalah di Pendang kerana letak Mat Sabu, jika calon lain boleh menang... " Jika dan jika ini dilontarkan untuk beberapa tempat di mana PAS kalah
tetapi terdapat pertikaian terhadap calon oleh pihak tertentu. Antaranya
ialah Parlimen Jerlun (majoriti 3,270), Pendang (2,638), DUN Jeneri (2,060),
Bayu (4,132), Pantai Merdeka (1,707) dan Bandar Baharu (2,069).
Kesimpulannya, senario di Kedah untuk PRU13 ini, faktor calon tidak
lagi jadi penentu seperti PRU12 lalu. Pada PRU12 lalu, Ustaz Nasir Zakaria
menang di Parlimen Padang Terap walaupun kedua DUN di bawahnya Pakatan kalah.
Datuk Mukhriz Mahathir menang Parlimen Jerlun majoriti 2,205 walaupun
berdasarkan perolehan undi DUN yang dinaunginya BN kalah. Datuk Chor Chee Heung
menang di Parlimen Alor Setar, walaupun berdasarkan perolehan undi DUN BN kalah
kira-kira 3,000 undi. Che Uda Che Nik menang Parlimen Sik walaupun jumlah
perolehan DUN yang dinaunginya PAS kalah. Ustaz Firdaus Jaafar menang Parlimen
Jerai, sekalipun jumlah perolehan DUN yang dinaunginya PAS kalah.
Untuk PRU13 ini perolehan undi untuk DUN dan Parlimen adalah
seragam bagi semua kawasan. Perbezaan tetap ada tetapi jumlahnya terlalu kecil.
BN telah meminimumkan undi protes. Banyak bahagian bagi BN di mana berlakunya
bantahan oleh pihak tertentu yang tidak tercalon. Protes juga dizahirkan
melalui penajaan calon bebas atau bakal calon tidak terpilih bertanding bebas.
Apabila undi selesai dikira semua undi proksi calon pesaing BN (dari kalangan
mereka sendiri) memperolehi undi yang sangat kecil. Contohnya Mohd Yusof Lazim
(Pantai Merdeka) mendapat 316 undi, Fadzil Hanafi (Alor Mengkudu) 325 undi dan Sobri
Ahmad (Sungai Limau) 100 undi.
Ada pandangan yang mengatakan Pakatan Rakyat turut membantu BN
mengurangkan undi protes. Apabila slogan Tawan Putrajaya dilaungkan saban
waktu, ahli-ahli dan penyokong BN jadi cemas. Sebelum ini sebahagian mereka
cuma mahu mengajar pemimpin melalui undi protes sambil percaya BN akan terus
berkuasa. Tetapi kali ini mereka benar-benar takut melakukan undi protes kerana
khuatir BN tumbang di Putrajaya.
Di kalangan PAS juga terdapat calon protes. Abu Bakar Abdullah
(Tokai) hanya mendapat 136 undi dan Abdullah Hashim atau Lah 46 (Sungai Limau)
hanya mendapat 84 undi. Jika dilihat manipulasi media talibarut BN menjelang
PRU, Ustaz Azizan Razak ditolak oleh separuh ahli PAS di Kedah. Demonstrasi
menyangggah Ustaz Azizan digambarkan berlaku di mana-mana, tapi di peti undi
hanya 84 orang menyokong penentang beliau. Itu pun boleh jadi undi simpati dari
saudara mara Lah 46, bukan kerana menolak Ustaz Azizan. Liew Kard Seong ahli
DAP yang memprotes calon partinya, bertanding bebas di Kota Darul Aman hanya
mendapat 38 undi. Nampaknya baik BN atau Pakatan, tahap kesetiaan terhadap
parti adalah tinggi untuk PRU13 ini. Ini bermakna, mengundi berdasarkan parti
mendominasi keputusan PRU kali ini.
Walaupun faktor calon menjadi tidak begitu penting di peti undi,
namun dalam membuat pemilihan calon pihak parti tidak boleh pandang enteng.
Masalah yang melanda banyak kawasan untuk PRU13 ini adalah berkaitan pemilihan
calon. Secara sinis, ada pihak berkata ia ada kaitan dengan slogan 'PAS Ganti
Umno'. Ahli-ahli PAS yang dibekalkan tarbiyah umumnya tidak akan membuat undi
protes terhadap calon PAS. Mereka sekali-kali tidak tergamak mengundi BN. Cuma
yang luntur ialah semangat bekerja dan kelemahan jentera, tidak dinafi akan
menyumbang kepada kekalahan. Untuk pilihanraya yang akan datang, soal pemilihan
calon hendaklah diselesaikan dari awal jangan biar berlarutan sehingga waktu
tempoh perdana petugas perlu bekerja. Maksudnya selesaikan sebelum Parlimen
dibubar.
No comments:
Post a Comment