Tuesday, November 5, 2013

BN cuba jadi ‘PAS’ di Sungai Limau

BN memasuki PRK Sungai Limau dalam keadaan tidak bersemangat, terpaksa serta gagal mencari konsep dan imej diri sendiri. Banyak faktor yang mengganggu fokus dalam PRK kali ini. Antaranya ialah kesan percecahan dalaman Umno yang baru selesai menjalani pemilihan kepimpinan, kegagalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir memenangi kerusi Naib Presiden dan menyedari hakikat bahawa Sungai Limau adalah kubu kuat PAS.

BN menyedari bahawa mereka memasuki gelanggang sebagai orang kalah, lantas mengerahkan beberapa kementerian kerajaan Pusat untuk turun menghamburkan projek dan wang bagi membeli sokongan dari pengundi Sungai Limau. Kos yang dibelanjakan bukan sedikit, dianggarkan melebihi RM10 juta untuk membeli 27 ribu jiwa pemilih.

BN Kedah sangat tertekan sebagai pentadbir sebuah kerajaan yang sudah lima bulan berkuasa. Mereka sedar mereka tidak berbuat apa-apa projek besar untuk rakyat. Jika adapun, semuanya projek kerajaan Pusat. BN diberi mandat pada 5 Mei 2013 di Kedah bukan kerana mereka hebat tetapi kerana wang dan undi pos. Selepas berkuasa baru kerja mereka dinilai. 


Inilah penilaian pertama yang mereka hadapi. Jika kalah PRK Sungai Limau bermakna BN gagal sebagai sebuah kerajaan. Jika kalah dengan majoriti lebih besar pula, maka peletakan jawatan sebuah kerajaan melalui pembubaran DUN adalah langkah yang paling wajar. Ia persoalan maruah dan kredibiliti pemerintah. Namun di Malaysia maruah bukan perhitungan utama BN. Proses untuk mereka mendapat mandat dari rakyat pun adalah secara tidak bermaruah – melalui kepincangan demokrasi dan penipuan. Masakan mereka sempat terfikir persoalan maruah.

Realiti sejak berdekad Sungai Limau adalah kawasan di mana terdapat banyak pusat pengajian agama termasuk pondok. Mereka menyokong PAS kerana ada asas agama hasil pendidikan yang diperolehi melalui institusi yang wujud itu.

Sembilan kali PRU berlangsung sejak 1959 di Sungai Limau, PAS menang Sembilan manakala BN cuma menang empat. Semua kemenangan itu diisi oleh ulamak. Bermula Ustaz Ahmad Shukri, Tuan Guru Haji Yahya Junaid, Ustaz Azahari Razak dan Ustaz Azizan Razak. Jika Ustaz Mohd Azam Abd Samat menang 4 November ini, bermakna legasi ulamak diteruskan.

Satu-satu cara yang mungkin difikirkan berkesan oleh BN dalam usaha mencari sokongan rakyat di sini ialah menonjolkan bahawa Umno lebih Islamik dari PAS. Dr Ahmad Suhaimi, meskipun bukan seorang ulamak tetapi ia dilahirkan dari pengalaman bersama sekolah agama rakyat. Dia pernah mengajar di Pondok Pakya, Padang Lumat dan Madrasah Khairiyah, Kupang.

Sebagai calon, beliau turun membawa imej ‘Islamik’, berketayap ke sana kemari. Para pemimpin Umno memasuki hampir kesemua sekolah agama dan pondok yang terdapat di Sungai Limau, yang hampir sebahagian besarnya terkenal dengan imej PAS. Peluang untuk memasuki sekolah agama mahupun tahfiz tidaklah sukar sangat kerana mereka datang dengan membawa wang ringgit yang banyak. Pihak sekolah tidak perlu menghalang kerana maslahatnya lebih besar, iaitu kemasukan wang yang banyak yang boleh membantu pengurusan pihak sekolah. Lagipun bantuan kilat yang diberi sempena PRK ini hanya mengenakan satu syarat, iaitu para pemimpin utama Umno dibenarkan memasukinya untuk mendapatkan keuntungan politik. Tiada masalah, selagi tiada syarat untuk pentadbir, guru dan waris mesti mengundi Umno baru dapat bantuan. Mudir-mudir sekolah agama pun sudah cerdik untuk mengenakan Umno kali ini.

Jika dilihat pada banner yang dinaikkan BN, juga menonjolkan imej ‘Islamik’. Terdapat foto Mukhriz berkopiah dan berjubah, bersama foto Datuk Seri Jamil Khir dan calon. Mereka kelihatan berdoa. Di atas banner tertera ayat Quran dan kalimah Allah. Kalimah Allah yang dianggap salah jika digunakan oleh orang kafir, kini tidak pula salah jika digunakan Umno sebagai bahan kempen politik. Teruknya Umno demi kuasa, kalimah Allah pun jadi barang dagangan politik.

Dari aspek berkempen pula, semuanya kononnya demi membela Islam. Penceramah BN sebahagian besarnya terdiri dari ulamak upahan Umno berceramah berdegar-denar dalam banyak aspek yang menggambarkan kononnya Umnolah pejuang Islam manakala PAS adalah pengkhianat. 

Mereka menggunakan khidmat sebuah yayasan untuk menyebarkan dakyah memburukkan PAS, berkempen dari rumah ke rumah.  Mereka turut membaca ayat Al-Quran dan hadis dalam kempen. Mereka turut menyalahgunakan masjid untuk berkempen. Dahulu mereka mengutuk PAS menggunakan masjid kononnya untuk politik kini mereka pula ghairah berlindung di masjid. Umno nampaknya menjadikan diri mereka kelihatan lebih PAS dari PAS. 

Sejauhmana strategi tersebut berkesan pada pengundi Sungai Limau? Sebenarnya ia tidak berkesan kerana masyarakat di sini sebahagian besar memiliki ilmu agama. Mereka sedar yang mana satu ikhlas dan yang mana lakonan. Masa kempen berbaki beberapa hari saja lagi. Lebih banyak imej Islamik yang akan ditonjolkan Umno demi politik dan undi.

Para pemimpin Umno mengutuk Dato’ Mahfuz Omar dan calon PAS kerana menziarahi bapa kepada Dato’ Seri Jamil Khir Baharom yang sehingga kini masih menjadi ahli PAS. “Ziarah politik,” sindir Jamil Khir. Bagaimana pula tindakan Muhyiddin menziarahi para pelajar dan guru sekolah pondok. Ikhlas sangatkah dia dan Mukhriz? Usah cakap, semuanya lakonan dan usaha untuk membeli undi. Selagi berjuang dalam kelompok sekular, sampai bila-bila pun Umno tidak akan ikhlas.

No comments:

Post a Comment