Ramai terkejut apabila tiba-tiba nama Dr. Sohaimi Md Lazim
bekas pensyarah UPSI diumumkan sebagai calon BN. Dr. Sohaimi langsung tiada
dalam senarai bakal-bakal calon pilihan rakyat. Dia cuma calon dari proksi
Dato’ Seri jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Nama Dr. Suhaimi diputuskan oleh kepimpinan tertinggi
Umno sehari selepas pemilihan Umno
Bahagian Jerai yang menyaksikan Dato’ Suhaimi Abdullah ditewaskan oleh Jamil
Khir. Jika tidak kerana Jamil Khir menang ketua bahagian, nama Dr. Sohaimi
hampir pasti tiada dalam senarai menunggu sekalipun.
Oleh kerana Jamil Khir yang memimpin Umno Jerai maka
kumpulan beliau juga yang akan menerajui gerakerja PRK Sungai Limau. Manakala
Dato’ Suhaimi dan kumpulannya menjadi orang yang tersisih dari parti. Masakan
Najib hendak membiarkan pihak yang kalah memimpin PRK yang akan menentukan
maruah Umno dan BN kerana orang yang kecewa biasanya sanggup melakukan apa
saja.
Jamil Khir pula tidak bodoh untuk mengusulkan calon dari
pihak yang menentangnya. Dari kajiselidik dari beberapa kumpulan professional,
nama Dato’ Suhaimi mendapat tempat tertinggi dari kalangan orang Umno yang
mendapat sokongan penduduk Sungai Limau. Jika namanya terpilih mewakili BN maka
peluang BN menjadi lebih baik, sekalipun harapan untuk menang masih samar.
Selepas kalah pemilihan Bahagian, Dato’ Suhaimi menjadi
‘lebai malang’ kali kedua apabila namanya dicantas sebagai calon. Sewaktu
PRU13, ada sumber dalaman memberitahu bahawa terdapat perjanjian antara mereka
berdua. Lebihkurang maksud perjanjian tersebut ialah ‘Suhaimi tak ganggu Jamil
Khir jadi calon Parlimen mewakili BN, manakala Jamil Khir tidak akan mengganggu
jawatan Ketua Bahagian Jerai yang dipegang Suhaimi’. Malangnya, menurut sumber
tersebut, janji Jamil Khir tidak ditepati.
Pilihan awal Jamil Khir untuk jadi calon BN dari proksi
dirinya ialah Dr. Abu Hashim yang merupakan Pengarah Kesihatan Daerah Yan.
Latarbelakang keluarganya adalah dari kalangan aktivis PAS, bukan setakat ahli
biasa. Kira-kira macam si Jamil Khir jugalah, seorang diri yang muncul dari
keluarga PAS. Namun Dr. Abu agak kurang berani dari Jamil Khir kerana dia tidak
mahu jadi anak derhaka. Ibunya tidak merestui bertanding mewakili BN.
Selepas itu barulah muncul Dr. Sohaimi, masih dari proksi
Jamil Khir. Dr. Sohaimi dan calon PAS Ustaz Mohd Azam Abd Samat kedua-duanya
adalah anak kelahiran kawasan DUN Sungai Limau. Bezanya, Ustaz Azam tidak
meninggalkan Sungai Limau. Beliau bergelumang dengan denyut nadi rakyat jelata
sepanjang masa, kerana memimpin Pemuda PAS Kawasan Jerai. Bekerja cari makan
pun di Sungai Limau. Berjuang dengan PAS pun di Sungai Limau. Ibu bapa, datuk neneknya
semua dari situ. Saudara maranya dekat dan jauh sangat ramai di Sungai Limau,
setanding dengan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Razak.
Dr. Sohaimi tidak tinggal di Sungai Limau. Entah di mana dia
tinggal ramai yang tak tahu. Yang mereka tahu Dr. Sohaimi bukan tinggal di
Kedah. Jika pernah mengajar di Tanjung Malim tempat tinggalnya mungkin Perak
atau Selangor.
Dalam politik Malaysia sifat wakil rakyat lebih kepada kuli
kepada rakyat. Ribut, banjir, rumah terbakar hatta sampai isteri nak bersalin
pun maka wakil rakyatlah yang mesti hadir membantu menyelesaikan masalah
mereka.
Bayangkan jika berlaku kebakaran di Sungai Limau, maka habis
rumah jadi abu belum tentu wakil rakyat yang mewakili BN sempat sampai. Berbeza
dengan Ustaz Azam, kejutkan jam tiga pagi pun mampu hadir untuk menangani
masalah rakyat.
Ustaz Azam baru 37 tahun berbanding Dr. Sohaimi sudah 52
tahun. Kudrat orang muda tidak sama dengan orang berusia. Dari aspek itu saja
pun calon PAS jauh mengatasi BN.
Pihak BN, macam biasa mesti mencanang bahawa calon BN perlu
menang supaya pembangunan dapat disalurkan kepada rakyat dengan mudah. Sewaktu
masing-masing pemimpin Umno bercakap macam burung kakak tua, mengulangi hujah
yang sama, Sungai Limau belum ada wakil rakyat. Ustaz Azizan bukan letak
jawatan tetapi meninggal dunia menuju alam barzakh.
Dalam keadaan Sungai Limau tiada wakil rakyat ini,
pembangunan masuk mencurah-curah seolah-olah dalam Malaysia ini hanya rakyat
Sungai Limau yang berhak terima bantuan kerajaan BN. ADUN tak ada sekarang ini
tetapi menteri, pegawai daerah, penghulu, wakil rakyat, JKKKP serta
bermacam-macam agensi kerajaan semuanya berperanan menyalurkan bantuan kepada
rakyat. Rakyat Sungai Limau sekurang-kurangnya kaya untuk seketika menerima
hamburan duit dari kerajaan BN, walhal duit tersebut adalahdari poket rakyat
jua. Nah, di mana hujah untuk menjawab bahawa tanpa wakil rakyat BN maka
pembangunan tidak sampai? Agaknya orang tak sekolah pun tahu bahawa hujah BN
itu karut.
Wakil rakyat kerajaan atau pembangkang sama saja dari segi
bertindak membantu rakyat, termasuk menyalurkan pembangunan. Peranan mereka
cuma menggunakan lidah dan gigi. Kalau lebih pun ialah menggunakan tangan untuk
urusan surat menyurat. Wakil rakyat tidak turun sendiri menurap jalan atau
menjadi buruh kasar membina loji air. Semuanya orang lain yang buat, sedangkan
wakil rakyat cuma mendesak.
Dalam banyak keadaan, desakan oleh wakil rakyat pembangkang
kepada agensi tertentu untuk bertindak menangani masalah rakyat lebih didengari
dari cakap wakil rakyat BN sendiri. Ustaz Azam sedang melakukan beberapa
ujikaji untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa cakapnya lebih berwibawa dan
didengari walaupun baru jadi calon pembangkang.
Apabila isu jalan berlopak di Sungai Limau menjadi isu utama
yang membawa rungutan kepada para penduduk maka, calon PAS itu menghantar surat
rasmi mendesak JKR mengatasinya segera. Seluruh Malaysia boleh saksikan dalam
masa terdekat apakah desakan Ustaz Azam itu akan dilayan. Tunggu dan lihat…
No comments:
Post a Comment