BN ‘mati angin’ apabila PAS
mempelopori politik damai untuk PRK Sungai Limau kali ini. BN yang sudah
terbiasa dengan politik putarbelit, fitnah dan menyerang peribadi calon lawan,
tiba-tiba kali ini dihadapkan dengan politik lunak dari PAS.
BN menyedari bahawa langkah menyerang
peribadi calon PAS membahayakan diri sendiri kerana tiada isu yang boleh
dieksploit. Ustaz Mohd Azam Abd Samat adalah tokoh muda yang terpuji sekalipun
terbabit dalam politik namun tidak pernah naik kepentas menghentam sesiapa. Di
kalangan orang yang mengenali calon PAS, Azam terkenal dengan imej baik dan
bersopan santun. Sumber bilik gerakan BN sendiri mengakui bahawa calon mereka
sukar untuk mengatasi kelebihan wibawa
calon PAS.
Azam adalah anak kelahiran Sungai
Limau. Ibu dan ayahnya juga anak Sungai Limau, justeru mereka mempunyai
rangkaian keluarga yang sangat besar di sini. Ke mana sahaja beliau turun
berkempen, seolah-olah tidak perlu diperkenalkan lagi. Kelebihan ini tiada pada
calon BN meskipun dia juga anak Sungai Limau.
Apapun peribadi calon tidak akan
menyumbang peratus yag lebih besar dari sokongan berdasarkan parti. Realiti
Sungai Limau sejak PRU 1959, PAS dan Umno wujud secara tradisi dari warisan
keluarga. Cuma akhir-akhir ini anak muda dari keluarga Umno sudah mula
memecahkan tradisi itu. Sebahagian yang sudah biasa berhijrah ke tempat lain,
kenal PAS atau Pakatan Rakyat, membawa balik ideologi yang berbeza dengan ibu
bapa. Anak keluarga PAS biasanya menjadi PAS, tetapi anak keluarga Umno belum
tentu jadi Umno.
Faktor kecenderungan politik
berasaskan sentimen kepartian jauh mengatasi pengaruh isu semasa. Isu semasa
semacam sekadar hanya untuk memeriahkan PRK. Namun isu semasa tetap jadi
keutamaan dalam kempen dan penerangan.
Sekalipun PAS jadikan politik damai sebagai tema, namun seperti kata
Dato’ Mahfuz Omar ia tidak bermaksud pertentangan dasar dan isu dengan pihak
lawan diketepikan. “Memandangkan media arus perdana tidak memberikan liputan
yang adil maka usaha mendedahkan penyelewengan dan kelemahan pentadbiran BN,
Negeri mahupun Pusat akan tetap diteruskan,” ujarnya.
Antara isu yang dibangkitkan ialah kegagalan kerajaan negeri untuk meneruskan pembinaan Maahad Tahfiz Sains
di Pulau Tuba Langkawi, walaupun kerajaan negeri sebelum ini telah meluluskan
peruntukan sebanyak RM3 juta untuk tahun 2013 bagi fasa pertama pembinaan.
Lagi isu ialah, kegagalan
mereka meneruskan skim bantuan untuk keluarga si mati yang miskin iaitu Skim
Kafalah sebanyak RM500 untuk setiap kematian. Skim kafalah sudah jadi
‘Kafanlah’. Sedangkan kerajaan Pakatan Rakyat dahulu membelanjakan RM4.9 juta
untuk hampir 10 ribu penerima.
Mukhriz hanya
melakukan gimik politik apabila seringkali menyebut bahawa semua projek
pembangunan untuk rakyat akan dikaji di dalam, apa yang dinamakan, Makmal
Tranformasi. Namun sepanjang tempoh kira-kira lima bulan, kerajaan asyik
mengkaji tanpa sebarang hasil.
Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam keghairahan mempertahankan
kenaikan harga gula, menggunakan status kesihatan Ustaz Azizan semasa hayatnya
sebagai contoh. Kedua kakinya dipotong kerana penyakit diabetes. Kenyataan itu
mengguris hati keluarga Ustaz Azizan.
“Sesungguhnya
ucapan TPM telah menyentuh sanubari kami sekeluarga yang masih bersedih
dan masih pilu dengan kehilangan insan yang paling kami sayangi di dunia ini.
Air mata kami sekeluarga belum kering mengenangkan Allahyarham Ayahanda dan
kerinduan kami kepada Allahyarham Ayahanda masih menyelubungi setiap detik yang
kami lalui,” ujar Muhammad Rafiiy, anak Almarhum Ustaz Azizan.
Ramai
pihak mendesak Muhyiddin menuntut maaf secara terbuka kepada keluarga Ustaz
Azizan, namun beliau tetap berdegil. Sementara Mukhriz menyifatkan PAS
kekeringan idea kerana politikkan kenyataan Muhyiddin. Biasalah Umno, jika
mereka yang lakukan kesalahan, maka ‘yang jahat’ adalah pihak lain.
Sementara
di pihak BN, mereka benar-benar kekeringan isu kali ini. Beberapa bekas
pemimpin picisan PAS yang kini menentang PAS terpaksa digunakan untuk mengitar
semula isu lapok penuh dengan fitnah. Antaranya isu LGBT, DAP, tabung Memali,
kafir mengkafir serta isu berkaitan, di mana rakyat sudah muak mendengaranya.
Di
atas kertas PAS akan menang mudah. Itupun jika semua pengundi PAS keluar
mengundi dan tiada pengundi PAS yang berjaya dirasuah. InsyaAllah saya yakin
Sungai Limau akan dipertahankan.
No comments:
Post a Comment