Tuesday, November 5, 2013

Teori mudah pertahan kerusi PAS di Sungai Limau

Saya pernah mendedahkan sebuah kajian yang dibuat oleh sebuah badan professional beberapa minggu sebelum parlimen dibubarkan untuk PRU13. Perihal di seluruh negara, secara umumnya sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat merosot sebanyak empat peratus berbanding enam bulan sebelumnya.

Apa yang mengejutkan dalam kajian tersebut ialah kemerosotan sokongan Melayu terhadap Pakatan berlaku paling teruk di Kedah, iaitu sebanyak 9 peratus! Jika pada September 2012 sokongan Melayu untuk Pakatan ialah 53 peratus, namun Mac 2013 sokongan merosot tinggal 44 peratus sahaja. Mengikut kajian tersebut, kerusi DUN yang mampu dimenangi oleh Pakatan Rakyat di Kedah cuma 14.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar melahirkan kebimbangan Pakatan akan kalah di Kedah jika perkara tersebut tidak berjaya diatasi.

Berikutnya, Penerangan PAS Kedah mengambil tanggungjawab menghimpunkan semua tenaga penerangan bagi memberi taklimat khusus menangani isu kemerosotan sokongan Melayu.
Datuk Mahfuz Omar ketika membentangkannya menjelaskan, antara faktor utama kemerosotan sokongan Melayu ialah pemberian BR1M 2.0. Namun di Kedah, katanya, terdapat faktor-faktor khusus yang menambah penolakan terhadap Pakatan. Isu terbesarnya ialah 'penebangan balak secara rakus'. Kali pertama dalam sejarah negara, isu alam sekitar mendapat perhatian dari masyarakat Melayu. Isu lain ialah kepimpinan PAS yang dilihat berpecah dan kemelut Kolej Universiti Insaniah. Maknanya, isu khusus dalam pentadbiran Kedah yang menyumbang penolakan orang Melayu terhadap kerajaan negeri. Soal sama ada kerajaan benar-benar gagal adalah persoalan lain, namun BN yang menguasai segenap media berjaya membina persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan negeri.

Dipendekkan cerita Pakatan hilang negeri Kedah dalam PRU13 angkara kehilangan undi Melayu dalam jumlah yang besar.

Dalam ranking kekuatan kerusi PAS di Kedah, Sungai Limau berada di tempat kedua selepas Tokai (di zaman Almarhum Ustaz Fadzil Noor dikenali sebagai Bukit Raya). Sewaktu PAS Kedah tinggal 'batu nisan' pada PRU tahun 1995, dua kerusi yang tinggal itu ialah Sala (sekarang Sungai Limau) dan Bukit Raya. Ertinya kedua-dua kerusi tersebut benar-benar kerusi yang dimenangi dengan undi teras ahli dan penyokong PAS.

Berdasarkan PAS Kedah kehilangan sokongan Melayu sehingga 9 peratus PRU13, saya mengandaikan bahawa di Sungai Limau sokongan untuk Tan Sri Ustaz Azizan datangnya dari pengundi teras PAS dan majoriti pengundi Cina dari seramai 1800 orang. Hampir tiada undi untuk PAS dari pengundi atas pagar. Tiada juga undi dari ahli Umno yang memprotes, kerana undi golongan itu tersalur kepada calon Umno yang bertanding tiket bebas. Itu pun tidak banyak, cuma 100 undi.

Jika sebelum ini, Ustaz Azizan dapat menarik ahli keluarganya yang ramai di sekitar Sungai Limau, kebanyakannya terdiri dari penyokong Umno. Pada PRU13, beliau ditentang oleh sepupunya sendiri iaitu Fadhilah Mohd Ali. Bermakna undi atas faktor keluarga tidak lagi solid untuk Ustaz Azizan, sekurang-kurangnya ia sudah berpecah dua.

Satu lagi faktor yang sangat menarik di Sungai Limau ialah kewujudan 'golongan kecewa' dalam PAS. Kumpulan ini tidaklah dominan namun tindakan protes mereka berterusan dan sedikit sebanyak memberi kesan negatif terhadap jentera parti. Mereka menyayangi PAS cuma berkonfrontasi dengan Ustaz Azizan ketika itu. Kini orang yang mereka musuhi sudah tiada. Mereka boleh ditarik untuk kembali menguatkan PAS.

Secara teorinya untuk mengekalkan kerusi Sungai Limau, kerja PAS cuma mengekalkan sokongan ahli-ahli dan penyokong PAS! Itu saja. Kejayaan menarik golongan atas pagar dan Umno cuma bonus. Teorinya mudah, tapi realitinya tak semudah itu.

Bagi BN, kerja mereka lebih sukar kerana di samping pertahankan sokongan pengundi tegar dan atas pagar. Mereka juga perlu menarik sokongan pengundi PAS, baru boleh menang.

Di Sungai Limau secara umumnya kekuatan PAS dan Umno adalah seimbang. Biasanya, di mana ada cawangan PAS di situ ada cawangan Umno. Kewujudan sokongan PAS dan Umno berlaku secara tradisi. Persaingan utama politik pun cuma berlaku antara PAS dan Umno sejak berzaman.

Pengalaman melalui beberapa pilihanraya kali kecil, kekuatan antara Pakatan dan BN selalunya tidak seimbang. Banyak tempat di mana Pakatan tiada cawangan, berbanding BN. Jika BN berjaya mengepung ahli-ahlinya sahaja cukup untuk menang. Dan itulah yang mereka lakukan.

Untuk PRK Sungai Limau, kerja 'mengepung ahli' sendiri untuk pertahankan kemenangan terbeban kepada PAS. Bagaimana cara untuk melakukannya ke tahap maksimum, terserah kepada kebijaksanaan jentera PAS.  Itulah rahsia besar kejayaan PAS pertahankan Sungai Limau -secara teorinya.

No comments:

Post a Comment