Datuk Seri Najib mengingatkan rakyat supaya ambil iktibar
daripada konflik di Mesir apabila perubahan yang ingin dituntut tidak menjamin
kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Akhirnya, kata Najib, ia menyebabkan
rakyat menuntut perubahan sekali lagi.
Siapa pun yang menjadi pemimpin kepada kerajaan tua BN tidak
akan mensia-siakan peluang untuk mengeksploit kemelut di Mesir perihal
bahayanya menukar kerajaan. Tun Mahathir sewaktu berkuasa sehingga kini pun
masih bercakap dalam nada yang sama; bahaya menukar kerajaan. Sekalipun,
katanya, kerajaan yang ada (BN) bukanlah sempurna.
Walhal situasi di Mesir berbeza sama sekali dengan Malaysia.
Pertama kali rakyat bangkit menentang regim Mubarak dua tahun lalu setelah
merasakan kerajaan pimpinannya tidak membawa apa-apa perubahan dalam menjaga
kebajikan rakyat,
sedangkan pada ketika itu rakyat mengalami tekanan ekonomi yang sangat teruk. Isu
utamanya masih persoalan 'bread and butter' atau periuk nasi, bukan perjuangan
berteraskan ideologi. Cuma solidariti kebangkitan rakyat dibantu oleh pelbagai
golongan, antaranya yang memperjuangkan keadilan sosial, menuntut demokrasi,
yang menolak sekular dan memperjuangkan Islam, pejuang kebebasan bersuara, golongan
miskin serta yang sekadar hadir untuk mencipta sejarah. Tanpa dipimpin oleh
sesiapa, mereka semua bersatu menumbangkan regim Mubarak yang tidak pernah mempamerkan model demokrasi sebenar di
negaranya.
Di Malaysia, kerangka dan landasan demokrasi sudah pun
wujud. Sebahagian rakyat cuma menuntut demokrasi itu dimurnikan supaya
pertarungan merebut kuasa berlaku atas padang yang sama rata. Perubahan
kepimpinan kerajaan diharapkan berlaku di Malaysia untuk sebuah negara yang
lebih baik. Model perubahan dalam skala yang lebih kecil pernah berlaku di
peringkat negeri. Pertukaran kerajaan langsung tiada membawa huru hara atau
keadaan yang lebih buruk. Rakyat yang sudah terbiasa dengan sistem demokrasi di
Malaysia tahu bahawa pertukaran hanya untuk tempoh sepenggal. Rakyat Malaysia
tidak pernah berkira-kira mahu menjatuhkan melalui kekerasan. Mereka hanya
turun di jalanraya untuk menuntut demokrasi yang bersih, tanpa senjata di
tangan, hanya berbekalkan garam dan air mineral.
Tuntutan perubahan di Mesir bermula di peringkat menuntut
demokrasi sebenar yang bebas dari bayangan kuasa tentera. Mereka memperolehinya
selepas Hosni Mubarak dijatuhkan. Melalui
pilihanraya yang bersih dan adil, tanpa campurtangan mana-mana pihak dalam
kerajaan, Dr. Muhammad Morsi memenangi jawatan Presiden dengan memperolehi 51.7
peratus sokongan rakyat. Tiada siapa pertikai kemenangan Morsi kerana beliau
dan partinya Kebebasan dan Keadilan, belum mendapat tempat dalam kerajaan,
justeru bukan pihak mereka yang menguruskan pilihanraya.
Kita
sudah jemu untuk menyebut bahawa realiti demokrasi di Malaysia sangatlah hodoh
di mana parti yang memerintah menyalahgunakan sepenuhnya jentera kerajaan dan
sumber dana kerajaan untuk berkempen mempertahankan parti mereka. Di samping
mereka menguasai sepenuhnya (100 peratus) saluran media-media utama dalam
negara. Di negara ini pembangkang dilayan seperti musuh negara.
Maka
jika ada pihak yang cuba melakukan perubahan untuk membetulkan sistem di
samping terus menukar perneraju kerajaan yang ada, ia adalah wajar dan tidak
sama situasinya dengan tentera yang menjatuhkan Morsi di Mesir.
Datuk
Seri Najib juga seolah-olah menyalahkan rakyat Mesir yang menggulingkan Hosni
Mubarak dahulu kerana apabila teraju kerajaan berpindah kepada Morsi maka 'perubahan
yang dituntut tidak jamin kemakmuran' dan rakyat menuntut perubahan sekali
lagi. Hakikat yang perlu diterima adalah Morsi dinaikkan melalui sistem
demokrasi yang adil, jika benar tiada perubahan dilakukan oleh Morsi tunggulah
sehingga habis penggal Presiden. Ayat yang sama sering diguna oleh para
pemimpin BN iaitu tukarlah kerajaan melalui pilihanraya bukannya demonstrasi di
jalanraya. Walhal, tiada sepatah pun
kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia untuk mengutuk rampasan
kuasa tentera menggulingkan Morsi.
Persoalan
kedua, benarkah seperti kata Najib bahawa perubahan yang dituntut tidak
menjamin keadaan yang lebih baik. Pastinya kenyataan tersebut dirujukkan kepada
situasi Mesir. Ini adalah masalah biasa rakyat Malaysia seperti Najib yang hanya
mendapat maklumat dari Utusan Malaysia, RTM dan TV3. Mereka cuba mengelirukan
rakyat dari memahami situasi.
Morsi
telah mengambil langkah drastik untuk pemulihan ekonomi selepas mendapat
mandat terhadap piagam baru Mesir pada Disember 2012 lalu (melalui referendum
rakyat) dengan sokongan 63.8 peratus dari rakyat. Jika sokongan itu diterjemah kepada sokongan terhadap
kedudukannya selaku Presiden, maka sokongan diterimanya, jauh lebih kuat dari
sokongan 47 peratus oleh sebuah kerajaan di negeri antah berantah.
Melaluinya, Morsi
telah menggerakkan semua semua kuasa politik untuk mengambil bahagian dalam dialog
kebangsaan untuk menyelesaikan masalah ekonomi. Beliau melakukan perubahan
peringkat kabinet untuk memperkenalkan insentif ekonomi demi
menjadikan Mesir sebuah destinasi pelaburan yang lebih menarik. Kabinet tersebut
telah melancarkan projek baru ekonomi dan insentif untuk pelabur bagi menyokong
pasaran ekonomi Mesir. Namun masalah ekonomi Mesir sangatlah rumit dan tidak
mungkin dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
Masalah ekonomi Mesir, ialah selama ini ia dikawal oleh sekumpulan kecil golongan elit (para Kapitalis).
Apabila golongan elit mengawal ekonomi, mereka menggunakan kuasa mereka untuk
mewujudkan monopoli dan menyekat kemasukan orang-orang baru dan
syarikat-syarikat baru. Inilah hakikat keadaan ekonomi Mesir sejak tiga dekad ekonomi Mesir dikawal oleh
konco-konco Hosni Mubarak – dianggarkan sebanyak 40%.
Seperti
kata Dr. Yusof Qaradhawy, kalau rakyat Mesir boleh bersabar selama 30 tahun di
bawah Mubarak takkan tidak boleh bersabar dengan Morsi yang baru setahun dalam
isu tekanan ekonomi.
No comments:
Post a Comment